Truyen2U.Net quay lại rồi đây! Các bạn truy cập Truyen2U.Com. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 14

LAMPU LED yang membelit tiang lampu jalan bertukar-tukar warna. Begitu juga dengan papan tanda neon Bunga Raya, bunga kebangsaan di sepanjang jalan. Angin kuat menderu di telinga, menerpa ke muka Nabila di sebalik topi keledar yang dikenakan. Jejaka yang memboncengnya pula, melirik ke cermin sisi. Hairan apabila gadis itu diam saja dan hanyut dalam lamunan sendiri. Berbeza jika dibandingkan dengan hari-hari sebelumnya.

Motosikal membelok ke kiri dan diperlahankan sebelum berhenti sepenuhnya di sebuah pondok perhentian bas. Nabila turun dari kenderaan pacuan dua roda itu. Hujung skirt biru dan baju kurung putih sekolahnya ditarik ke bawah. Menutup stokingnya yang naik ke betis. Sementara itu, jejaka yang memboncengnya pula menanggalkan topi keledar untuknya. Nabila tersenyum kecil, tanda terima kasih.

"Betul tak nak aku hantar sampai simpang rumah?" Remaja lelaki dengan tag nama 'Riki' itu bertanya, meminta kepastian.

Nabila menggeleng. "Tak apalah, Ki. Tak pasal-pasal nanti kau kena pukul dengan ibu lagi."

Nabila terkenangkan beberapa minggu yang lalu bila Riki, teman lelakinya menghantarnya pulang ke rumah. Nabila sengaja meminta Riki berhenti di simpang jalan agar tidak terlihat oleh ibu mahupun abahnya. Beberapa bulan dihantar pulang ke rumah oleh Riki, tidak pernah sekali pun mereka tertangkap sehinggalah beberapa minggu yang lalu. Kebetulan, Puan Kalsom dalam perjalanan pulang dari surau dan mereka terserempak di simpang jalan pulang ke rumah.

Teringatkan betapa teruknya Puan Kalsom memukul Riki menggunakan topi keledar sehingga mengalami cedera ringan, Nabila merasa takut untuk mengulangi rutin mereka lagi. Kalau cuma dia yang terkena tempiasnya, tidak mengapa juga. Ini, dengan Riki sekali yang terkena. Tidak pasal-pasal anak orang dikejarkan ke hospital lagi.

"Alah, tak apalah! Ibu kau pukul tak kuat mana pun!"

"Tak kuat mana tapi sampai tiga hari duduk dalam hospital," sindir Nabila.

"Eh, okeylah duduk hospital! Bolehlah kau jaga aku. Kupaskan aku epal, tuliskan aku nota Math..."

"Haah! Yang untungnya kau seorang aje! Yang ruginya, aku!"

Riki meledakkan tawanya. Menggeleng kepala. Nabila pula sekadar tersenyum kecil.

"Kau okey tak ni?" tanya Riki tiba-tiba.

Nabila mengerutkan dahi. Muka dia, ada nampak macam orang tak okey ke? Belum sempat dia menanyakan soalan itu, Riki sudah menyambung ayatnya.

"Aku perasan, beberapa hari ni, kau macam tak banyak cakap sangat. Selalu termenung. Aku offer roti coklat pun kau tak nak. Kenapa? Kau dah tak suka roti coklat mak cik kantin lagi ke? Dah bosan eh?"

"Taklah."

"Dah tu?" Riki mencebik. "Ceritalah."

Nabila menghela nafas dalam. Sangkanya, perkara yang mengganggu fikirannya selama beberapa hari itu tidaklah sebesar mana tetapi kalau sudah Riki dapat menghidunya, mungkin dia memandang rendah terhadap perkara itu. Mungkin ia lebih besar berbanding yang disangka.

"Ingat tak hari tu, aku pergi lawat sepupu aku?"

Riki mengangguk.

"Kenapa? Orang kaya tu buruk-burukkan keluarga kau ke?" Wajah Riki berubah sekelip mata. "Bagi alamat dia orang. Biar aku aje yang pergi sound."

"Taklah, Ki! Bukan macam tu!" nafi Nabila, geram pula bila Riki buat tuduhan melulu. "Kau nak dengar ke tak nak ni?"

"Nak, nak, nak!" Riki menenangkan semula dirinya. "Okey, okey. Aku dengar. Ceritalah."

"Orang kaya tu ada seorang anak lelaki."

Kening Riki terjongket sedikit. Tekak tiba-tiba terasa kering pula. Selama hampir setahun bersama Nabila, itu kali pertama dia mendengar Nabila menyebut tentang mana-mana lelaki. Nabila bukanlah gadis yang senang untuk didapati. Buktinya, dia terpaksa duduk dalam 'zon kawan' selama bertahun-tahun sebelum Nabila mula membuka hatinya. Dek merasa sedikit terancam, dia pun berdehem kecil.

"Aku rasa... aku macam pernah nampaklah muka dia kat mana-mana. Tapi aku tak ingat kita orang pernah jumpa kat mana," sambung Nabila.

"Budak sekolah kita kut?"

"Tak!" Nabila menggeleng kepala. "Aku tak rasa dia budak sekolah kita."

"So, mungkin budak sekolah lain? Nama dia siapa?"

"Arjuna."

"Arjuna?" Riki tertawa. "Kuno gila nama dia!"

Nabila menjeling tajam kekasihnya. Orang tengah serius, boleh pula dia gelak tak kena tempat. Memang nak kena ni!

"Okey, okey! Sorry." Riki menyengih. "So, kau rasa macam pernah terserempak dengan dia. So? What? Kenapa kau kena fikir pasal dia aje? Baik fikir pasal aku, boyfriend kau."

"Tak payah nak cemburulah!"

"Eh, wajarlah kalau aku cemburu!"

"Aku tak suka dia punlah!"

"Ya, tahu," balas Riki, lembut. "Tapi rasanya tak perlu kut nak fikir pasal dia memanjang. Kalau kau tak ingat, maksudnya dia tak penting manalah. Sebab tu kau terlupa pasal dia. Betul tak cakap aku?"

Nabila membuka mulut, mahu menafikan kata-kata Riki tetapi setelah dia fikirkan semula, tiada gunanya mencetuskan pergaduhan di antara mereka atas hal sepele seperti itu. Mulut ditutup semula dan dia membalas dengan anggukkan. Iakan saja.

"Aku pergi dululah. Nanti abah kau ternampak aku, tak pasal-pasal kau kena marah lagi."

Sekali lagi Nabila mengangguk bersetuju.

"Hati-hati bawa motor. Balik rumah terus. Jangan gatal nak singgah kat rumah kawanlah, nak pergi lepaklah. Dah lewat dah ni."

"Ya..." balas Riki, menghidupkan semula enjin motosikalnya. "Jumpa esok."

"Hm."

Lambaian tangan berbalas dan deruman enjin motosikal menyapa gegendang telinga. Lama-kelamaan berubah menjadi satu titik sebelum hilang sepenuhnya dari pandangan mata. Nabila melabuhkan punggung pada tempat duduk yang disediakan di bawah pondok perhentian bas itu. Keluhan panjang dia lepaskan.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Com