Truyen2U.Net quay lại rồi đây! Các bạn truy cập Truyen2U.Com. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 5

"DUDUK!" Sebaik mendengar arahan tersebut, Marsha segera mengambil tempat di hadapan lelaki itu.

"Perkenalkan, nama aku Kamal. Aku tak suka berbasa-basi, jadi kita terus ke topik. Kau, anak Azlan kan?" tanya lelaki itu.

"Ya." Marsha mengangguk dengan wajah takut.

"Bagus, aku tak salah orang. Kau tahu, ayah kau dah dimasukkan ke penjara atas kes rasuah pihak media?" Dengan kening terjongket, Kamal bertanya.

Dengan wajah yakin, Marsha mengangguk. Sebenarnya, dia hanya berpura-pura. Dalam hati, takutnya bukan kepalang.

"Kau rasa, daripada mana dia dapat duit untuk buat benda tu?" Kamal mula menghampiri Marsha sambil berpeluk tubuh.

"Daripada untung syarikat." Marsha menjawab dengan suara sedikit terketar.

"Hahahaha. Nampaknya, kau masih belum tahu. Dengar sini. Ayah kau, dah papa kedana semenjak setahun lepas. Itu bukan duit dia. Dia berhutang dengan bos aku." Senyuman sinis terukir di bibir Kamal.

"Apa buktinya?" tanya Marsha, sedikit terkejut.

"Bukti? Kau mesti bergurau. Tengok ni!" Kamal menyerahkan beberapa helai kertas kepada Marsha.

Dengan tangan berpeluh, Marsha menyambut huluran itu.

'Ini kontrak hutang!' Matanya hampir terbuntang tatkala membaca kontrak tersebut. Ayahnya telah meminjam sebanyak lebih kurang Ringgit Malaysia satu juta untuk kepentingan rasuah dan kelangsungan syarikat.

"Kenapa? Terkejut? Oh, kasihan," ejek Kamal dengan wajah simpati. "Encik nak saya buat apa dengan ini?" tanya Marsha

"Kau pernah dengar kata-kata ini? 'Jika wang tidak dapat dibayar dengan wang, maka ia harus dibayar dengan nyawa.' Aku bagi kau masa seminggu untuk bayar hutang satu juta ringgit. Kalau tak, kau tahu akibatnya." Seusai berkata, Kamal segera meninggalkan Marsha sendirian.

Marsha mengeluh, dengan seribu satu pertanyaan bermain dalam benaknya.

KIPAS yang berpusing dipandang kosong. Satu juta ringgit? Gilakah? Dari mana dia boleh mendapat duit sebanyak itu? Duit pada tangannya pun tidak sampai RM 600. Itupun setelah bekerja lebih masa di restoran berdekatan rumah. Sudahlah hari ini dia mengambil cuti untuk menemui Kamal. Waktu yang diberikan pula cuma seminggu. Dia meramas kasar bantal berbentuk kucing di hadapannya. Fikirannya kusut.

Marsha membetulkan kedudukannya. Otaknya mula mencuba berfikir rasional. Setelah lama berfikir, dia akhirnya membuat keputusan.

"Baik, aku akan minta bantuan bos!" Seperti biasa, Marsha tetap optimis. Lagipun, belum cuba belum tahu. Kata orang, kehidupan memerlukan pengorbanan. Di setiap pengorbanan, akan ada risiko yang harus ditanggung. Pengorbanan ini biasa saja baginya. Sebelum ini, dia sudah pernah menebalkan muka meminta bantuan ayah Reena. Kalau mahu dibandingkan, ini kecil saja.

Tok... Tok... Tok...

Pintu dibuka perlahan. Dapat dilihat, wajah Airin menjenguk dari luar bilik.

Marsha tersenyum memandang wajah Airin. Rakannya yang satu ini, walaupun lebih tua darinya, tapi perangainya keanak-anakan. Walau kadang sangat matang.

"Airin, masuklah. Jangan malu-malu."

Dengan berhati-hati, Airin berjalan lalu duduk di birai katil Marsha.

"Ada apa?" tanya Marsha. Airin kelihatan berkerut-kerut memikirkan ayat terbaik untuk disampaikan kepada Marsha.

"Marsha, sebenarnya, pampers dan susu Hyejin dah habis. Awak tahu kan, saya bergantung sepenuhnya kepada duit peninggalan arwah ibu saya? Saya tak boleh kerja, memandangkan SPM tak lama lagi. Saya nak sangat jadi ibu yang membanggakan Hyejin. Jadi... Kalau tak menyusahkan, saya nak pinjam RM 200 daripada awak. Boleh?" Airin berbicara dengan nada takut-takut. Rasa bersalah menjalar bebas dalam dirinya.

Gulp! Kenapa mesti sekarang? Kenapa mesti saat masa nyawanya menjadi taruhan hanya kerana wang, Airin malah memerlukannya? Banyak pula! Tetapi bila difikir-fikir lagi, Hyejin masih bayi, dia layak mendapatkan kehidupan yang baik. Dia sudah lama hidup, nyawa Hyejin lebih penting.

"Boleh, kenapa tak boleh pula? Sekejap ya?" Marsha membuka laci meja belajarnya. "Nah..." Empat keping RM 50 diserahkan kepada Airin.

"Terima kasih ya, Marsha. Saya akan ingat jasa awak." Airin memeluk Marsha, erat.

"JADI, boleh tak puan?" tanya Marsha dengan nada terketar. Dia sudah bersedia menerima tengkingan daripada wanita maha garang itu.

"Satu juta? Kau ni waras ke tak? Mana ada orang pinjam satu juta dari bos dia. Kau nak bayar hutang ke nak beli negara?" Suara bos Marsha melengking memarahi Marsha.

"Maaf puan, tapi satu juta murah sangat untuk beli negara," kata Marsha, berniat untuk mencairkan suasana.

Wanita itu mendengus. "Lawak? Kau nak buat lawak?"

Jerkahan itu membuat Marsha berundur selangkah. Ada rasa malu dan marah yang bercampur dalam dirinya saat ini. Dia mengangkat wajah takut-takut. "Tak, puan. Saya terdes..."

"Aku tak peduli dengan kau punya terdesak!"

"Puan, tolonglah. Saya merayu sangat. Tolong." Marsha memandang wanita itu dengan air mata mengalir membasahi kulit mulusnya. Dia berlutut, suatu hal yang tidak pernah dilakukan olehnya sebelum ini.

"Aku cakap tak boleh, tak bolehlah! Kalau pun aku ada sejuta ringgit, takkan aku nak bagi dekat kau sorang? Baik aku sewa pulau untuk sambut hari jadi anak aku. Terima ajelah hakikat ajal kau dah sampai!" ujar wanita itu tanpa sekelumit rasa bersalah pun bertapak dalam hatinya.

Marsha memeluk kaki wanita itu. "Puan nak suruh saya buat apa? Saya buat! Cuma untuk masa sekarang, tolonglah saya. Dia orang nak bunuh saya!"

"Marsha, itu masalah kau, bukan masalah aku. Jangan susahkan aku boleh? Bapa dengan anak sama saja. Tak berguna. Sampah masyarakat."

Panas telinga Marsha mendengar kata-kata wanita itu. Dia sudah tidak tahan lagi. "Puan, kalau puan nak menghina saya, silakan. Tapi kalau puan nak menghina ayah saya, tak payah. Saya pun tak batak dengan duit puan. Agaknya sebab itu anak puan bencikan puan. Ibunya pun perangai tak semenggah." Selesai berkata, Marsha segera meninggalkan wanita itu yang kelihatannya terkejut dengan kata-kata Marsha.

Marsha memang penyabar, tetapi tidak ketika keluarganya dihina. Wanita itu tahu apa tentang kehidupannya? Suka hati saja dia menghina. Bukankah dia boleh memberi alasan yang lebih rasional jika tidak mahu membantu? Sambutan hari lahir anak? Macamlah dia tidak tahu wanita itu memperoleh duit dari hasil berjudi. Jika dia memperoleh duit dari keuntungan restoran, kenapa restorannya selalu sepi?

'Saya berhenti!'

Marsha menghantar pesanan ringkas itu kepada wanita yang tadi menghinanya. Dia tahu dia miskin, tetapi dia tidak bodoh untuk bekerja dengan orang yang memandang hina pada dirinya. Walau bagaimanapun, dia tetap seorang manusia yang layak dihormati.

Marsha menutup televisyen. Bosan agaknya dengan rancangan yang disiarkan.

"Isy, entah apa-apa cerita zaman sekarang. Makin lama makin pelik."

Sudah empat hari berlalu. Dia masih belum menemukan penyelesaian bagi membayar hutang ayahnya.

'Mungkin aku patut lari. Barulah dia orang tak dapat cari aku. Aku yakin, dalam dua tiga hari ni, dia orang mesti datang sini. Kalau itu berlaku, penghuni rumah dalam bahaya. Lebih baik aku lari.'

Bilik tidur segera dituju. Ini rancangan rahsia. Dia harus melakukannya tanpa pengetahuan sesiapa, sekalipun Airin. Dia mencapai pen dan kertas. Satu per satu rancangan melarikan diri dirancang, lalu ditulis.

'Rasanya, pagi lusa ialah waktu yang paling sesuai. Kalau aku keluar pagi hari sekolah, pasti semua orang akan fikir aku nak ke sekolah.' Hatinya berdesis.

'Tapi, aku nak lari ke mana? Aku bukannya ada saudara-mara.' Marsha menggaru dagunya yang tidak gatal.

Marsha mundar-mandir sekejap di dalam biliknya. Mencuba menguraikan kekusutan dalam benaknya. Mencari ketenangan di tengah gerakannya yang berulang itu.

Hingga akhirnya, langkah kaki gadis itu terhenti ketika menemukan jawapan. 'Langkawi! Ya! Itu sesuai!'

Komputer riba segera dibuka. Dia memesan feri melalui laman web langganan feri. Nampaknya, feri dijadualkan bertolak jam 7.00 petang esok. Dia harus ke Perlis untuk menaiki feri. Maka, tiket bas pun segera dipesan. Dia dijadualkan untuk bertolak dari Kuala Lumpur jam 10.00 pagi.

"Siap!" Marsha bersorak teruja. Akhirnya, segala kerisauan sudah dapat dilupakan.

Tapi...

"Patut ke aku sembunyikan daripada Airin? Dia dah banyak tolong aku."

Di satu sisi, dia tidak mahu membuat Airin risau. Tapi bukankah hilangnya secara tiba-tiba akan lebih merisaukan Airin? Lagipula, Airin sahabat baiknya. Bukankah sakit rasanya jika ditinggalkan tanpa khabar berita?

'Kau kena bagi tahu dia.' Hatinya berpendapat.

'Itu kerja gila! Macam mana kalau dia bongkarkan?' Otaknya pula bersuara. Betul juga. Itu mungkin. Faktanya, manusia boleh bertindak tidak semena-mena hanya untuk menyelamatkan dirinya sendiri. Manusia itu makhluk yang mementingkan diri, dia tidak boleh menutup mata akan fakta itu.

"Argh!" Tanpa sedar, teriakannya mengejutkan seisi rumah.

"Marsha! Kenapa ni? Awak ada masalah?" Airin menerobos masuk ke biliknya. Bahu Marsha disentuh lembut.

"Airin..." Marsha memeluk Airin, erat. Seolah-olah cuba meminta sedikit kekuatan daripada gadis itu.

"Shh... Jangan nangis. Kenapa? Cerita dengan saya." Layaknya seorang ibu kepada anaknya, Airin memujuk Marsha.

"Saya minta maaf... Sebenarnya..." Katanya terhenti di situ. Membuat Airin bertanya-tanya.

"Sebenarnya apa?"

"Esok hari terakhir saya kat sini. Ada pemeras hutang datang berjumpa saya untuk minta hutang ayah saya. Saya cuma ada satu minggu. Hari ini, dah hari keempat. Saya akan mati kalau tak bayar. Jadi, saya minta maaf." Dengan sekali nafas, Marsha mengeluarkan beban yang terbuku dalam dada.

"Hah? Apa?" Airin kelihatan bingung. Mindanya cuba memahami situasi. "Ini betul?" tanyanya.

Marsha mengangguk.

"Marsha... Janganlah pergi... Nanti saya dengan siapa?" Bergenang air dari tubir mata Airin.

"Saya tak nak pergi, tapi... Kita dalam bahaya kalau saya tak lari. Tolonglah faham." Marsha cuba menjelaskan sambil tersedu-sedan.

Bagaimanapun, pengorbanan itu perlu, dan bagi memastikan dirinya selamat daripada tajamnya pisau dunia, dia harus menggunakan perisai tekad.

LOCENG waktu rehat sudah berbunyi dari tadi, tetapi Marsha memilih untuk tetap di tempat duduknya. Gadis itu mencatat sesuatu menggunakan pennya, sambil sesekali matanya memerhati rakan-rakan sekelasnya yang lalu-lalang. Saat kelas benar-benar kosong, dia meletak pennya.

Beberapa keping dokumen dengan tangkas dikeluarkan daripada begnya. Marsha segera mengemas begnya, lalu melangkah keluar dari kelas.

Marsha berjalan perlahan menyusuri koridor sekolah. Beberapa pelajar memandangnya aneh kerana menyandang beg sekolah, tetapi Marsha hanya diam dan meneruskan langkahnya.

Kakinya sampai di hadapan tempat yang dituju. Dia meneguk air liurnya yang terasa pahit. Ah, keputusan ini terlalu berat bagi remaja 16 tahun itu.

Tangannya memulas perlahan pintu pejabat pengetua. Wanita tua itu terlihat terkejut dengan kehadirannya yang lengkap dengan beg sekolah.

"Marsha. Masuklah. Duduk kat situ." Wanita dengan wajah keibuan itu memandangnya mesra.

Pelajar tingkatan 4 itu berjalan hati-hati menuju ke arah meja pengetua. Tangannya menarik kerusi dekat situ dengan rasa ragu.

Satu minit pertama, bilik itu hening. Pengetua itu memandang Marsha aneh, "Ada apa?"

Marsha tersedar. Dia mengangkat wajahnya. Tangannya dikepal, mengumpul kekuatan.

"Saya nak serahkan ni," ucapnya sambil meletakkan beberapa keping dokumen di atas meja.

Wanita itu melihat dokumen itu dengan saksama. Ada keterkejutan pada wajahnya saat membaca itu.

"Kamu nak berhenti sekolah?"

Marsha mengangguk perlahan. "Ya, cikgu."

"Kamu yakin? Kalau ini pasal Chayra, cikgu minta maaf. Ayah dia pengerusi PIBG." Wanita itu bertanya sekali lagi.

Gadis itu terdiam sebentar. Hatinya terlalu sakit untuk mengucapkan kebohongan yang dia harapkan sebenarnya ialah kenyataan. "Saya yakin, cikgu. Ini bukan pasal Chayra. Saya nak pindah London. Duduk dengan mak cik saya kat sana."

Pengetua berwajah keibuan itu mengangguk perlahan. "Kalau macam itu, tak apalah. Baguslah, sekarang ada orang boleh jaga kamu."

Marsha mengukir senyum palsu. Dia mengangguk mengiakan kata-kata gurunya.

"Apa pun tujuan kamu, semoga kamu berjaya. Terima kasih sebab dah harumkan nama sekolah kita dengan pencapaian tae kwan do kamu. Wah, dah jadi orang putih dah kamu."

Pelajar itu tergelak canggung. "Terima kasih, cikgu." Marsha menundukkan kepalanya sebelum melangkah keluar dari pejabat itu.

Menyusuri koridor sekolah dan melihat para pelajar mula bersedia untuk kelas, hatinya sedikit terhiris. Segalanya berlalu begitu pantas. Dia akan segera meninggalkan sekolah ini dan Kuala Lumpur.

ADA satu hal tentang Marsha yang tidak diketahui ramai. Dia sangat menghargai barang. Kalau anak orang kaya lain mempunyai lima almari pakaian, dia yang merupakan pewaris tunggal hotel terkenal hanya mempunyai satu almari pakaian. Beg sekolah yang dia kenakan juga sudah empat tahun tidak berganti. Terakhir dia mengunjungi kedai beg sekolah ketika mahu masuk tingkatan satu. Baginya, barangan mempunyai hati. Jika ditinggalkan, mereka akan sedih layaknya manusia.

Sayangnya...

'Selamat tinggal awak semua.'

Itulah kata-kata yang diucapkan Marsha di hadapan almari bajunya. Dia melihat jam di dinding. Sudah pukul tiga pagi lebih. Hanya tersisa enam jam sebelum dia meninggalkan Kuala Lumpur. Dia tidak lagi boleh bersama barang-barangnya itu. Semuanya harus ditinggalkan bagi mengelakkan kecurigaan penghuni rumah yang lain.

Tok... Tok... Tok...

Kelihatan wajah Airin menjenguk dari luar bilik. "Awak dah siap kemas barang?" Dengan terkedek-kedek sambil menggendong Hyejin, Airin menghampiri Marsha.

"Ya, jumpa lagi, Airin... Nanti bila-bila awak telefonlah saya ya?" Mata Marsha sudah mula berkaca-kaca. Mereka berpelukan. Lama... Rasanya Marsha tidak ingin melerai pelukan itu.

"Awak masih ingat masa awak bersalin? Masa tu... Kita tak sempat pergi hospital. Alhamdulillah, ada Kak Juwita yang kerja jadi nurse sakit puan. Kalau tak, tak tahulah apa nak jadi. Awak bersalin pun depan TV, sambil tengok drama Korea," kata Marsha mengenang masa-masa lucu itu.

"Isy, awak ni, janganlah disebut, malu saya. Awak pun apa kurangnya? Suka juga tengok drama Korea. Tak ada subtitle pula tu." Tidak berpuas hati, Airin juga mengusik Marsha.

Marsha tersenyum simpul.

"Oh ya, esok, apa rancangan awak?"

"Ermm... Paginya, saya akan pergi ke penjara dulu rasanya untuk jenguk ayah.

Bam!

"Eh? Ada apa tu?" Marsha dan Airin bertanya serentak.

"Marsha awak jaga Hyejin ya? Saya nak tengok kejap," arah Airin.

Marsha hanya mengangguk menandakan dia mengerti.

Terlopong mulut Airin ketika matanya melihat seorang lelaki berwajah ganas sedang memegang senjata. Dia dapat melihat beberapa penghuni rumah lainnya diikat. Ada juga yang diacukan pistol di kepalanya. Syukur lelaki itu tidak melihatnya. Dia berada di tingkat atas, sedangkan lelaki itu di bawah.

"Mana Marsha? Bagi tahu aku sekarang atau dia akan mati!" ugut lelaki itu sambil mengacukan pistol di kepala salah seorang penghuni rumah.

'Dia mesti pemungut hutang ayah Marsha. Dia datang lebih awal daripada masa yang dijanjikan. Memang dasar orang jahat! Tak menepati janji.' Airin segera berlari ke biliknya.

"Cepat! Mana Marsha?" Jeritan orang itu kembali bergema.

"Isy, tak sabar betul orang jahat ni. Mana pula talinya ni?" Airin bermonolog sambil menyelongkar biliknya.

"Hah jumpa!" Dia segera menuju ke bilik Marsha melalui bilik air. Dulu Airin selalu mengeluh kerana perlu berkongsi bilik air. Maklumlah, walaupun dulu ayahnya jahat, dia tetap dibekalkan dengan keperluan mewah. Salah satunya termasukah bilik air peribadi. Tidak sangka, bilik air berkongsi ada juga gunanya.

"Marsha, awak dah dengar?" Airin bertanya sebaik sahaja melangkah ke bilik Marsha.

"Ya, aduh... Macam mana ini? Rosak rancangan saya. Tapi nyawa dia orang berada di tangan saya... Ottoke?" Marsha berkata dengan nada resah.

"Tak apa, awak ambil tali ini. Keluar dari tingkap tu. Pasal dia orang , biar saya uruskan," kata Airin, seraya membukakan tingkap.

"Err..." Marsha menghulurkan tangan dengan hati yang masih ragu-ragu. Tidak sabar dengan sikap Marsha, Airin menyerahkan tali itu secara paksa.

"Saya dah ikatkan, awak tinggal turun aje."

Marsha segera mencapai tudung, lalu menghampiri tingkap

"Jumpa lagi, Airin..." Marsha melompat dengan air mata membasahi pipi.

"Baik, bagus. Dia dah turun. Sekarang, biar aku uruskan orang jahat kat bawah tu."

"Marsha tak ada! Dia dah balik ke kampung di Sabah. Jangan ganggu kami!" Nampaknya, pengalamannya menjadi ibu telah menjadikan Airin sedikit lebih berani. Dengan selamba, dia menghampiri tiga orang penjahat itu.

"Ah, jangan tipu! Dia mesti ada kat atas. Dasar penakut. Bergerak!" Salah seorang daripada mereka bersuara, seraya mengajak kuncu-kuncunya naik ke atas. Salah seorang lagi sedang melihat-lihat halaman rumah. Nampaknya dia terpegun. Pasti dia masih baru menjadi gengster.

Keningnya berkerut. Gambar di poket seluar segera dirujuk. Sama! Pasti ini orang yang dicari bosnya. "Bos itu dia! Baru lalu pagar rumah!" Dia segera memanggil bosnya.

"Kali ini, kau orang selamat. Tunggu nanti." Dia segera berlari dengan pistol di tangan.

"AKU nak ke mana?" Marsha memerhatikan jam di tangan. Jam sudah menunjukkan pukul 5.50 pagi. Sudah mahu subuh! Dia mahu berehat. Dari tadi, dia tidak berhenti berlari. Kumpulan Black Blood mengejarnya dengan pistol.

'Hah! Bus stop!' Dia berlari menuju pusat perhentian bas tersebut. Akhirnya, dia boleh duduk. Tadi, kira-kira dua jam lalu, belum sempat dia duduk, kumpulan Black Blood berjaya mengesannya. Rasanya, sekarang dia sudah boleh lega.

"Amboi, seronok ya dapat duduk. Kalau dari tadi macam ini kan bagus, tak payah aku berlari."

Suara itu datang dari arah kiri. Dapat diperhatikan, seorang lelaki memakai jaket kulit hitam dengan pistol yang diacukan tepat ke arah Marsha. Sepertinya, dia nampak sedikit lurus bendul. Marsha tersenyum sinis. Dia membuat reaksi terkejut. Tangannya terketar.

"Kenapa? Kau takut? Wah, tak sia-sia aku berlatih menembak bertahun-tahun. Kau tahu, ketua kumpulan Black Blood? Aku anak dia. Tak salah lagi, bakatnya menurun kepada aku." Lelaki itu bermegah. Sepucuk pistol dihalakan ke arah Marsha.

"Po... Polis!" Marsha berteriak. Dia segera berlari kencang.

"Polis? Mana?" Kecut perut lelaki itu. Dia segera menoleh ke belakang. Tiada siapa-siapa. Hanya kegelapan malam yang terlihat

"Cis... Penipu. Dia pergi mana pula? Mesti belum jauh." Menyedari dirinya ditipu, dia segera mencuba kembali mengesan Marsha. Dia memutuskan untuk tidak meminta bantuan rakan-rakannya dulu. Nanti apabila Marsha sudah ditemui atau sudah terlalu sukar untuk dikesan, baru dia akan menghubungi mereka.

MARSHA menghela nafasnya dengan tercungap-cungap. Kelihatannya, matahari sudah mulai terbit. Wajahnya kelihatan cemas. Tudung hitamnya dibasahi peluh.

"Allahuakbar... Allahuakbar..."

"Eh? Dah subuh? Aku solat dululah." Dia segera menuju ke masjid berdekatan.

Hanya ada beberapa orang di ruangan solat wanita. Semuanya terlihat memakai telekung mahal.

Iri? Ya, dia iri. Mereka memakai telekung dengan fabrik berkualiti tinggi. Berbeza dengannya yang cuma bermodalkan tudung hitam dan stoking sekolah.

Air mata yang mengalir di pipi segera diseka. Bukankah pakaiannya bersih? Bukankah pakaian mahal tidak menjamin syurga? Lalu kenapa dia harus malu? Kenapa harus cemburu? Dia seorang optimis. Apa buktinya jika dia terus menangis?

Dia berjalan keluar dari masjid setelah selesai menunaikan solat subuh. Dahulu, sewaktu dia masih bersama ayahnya, dia sering melewat-lewatkan solat. Kadang-kadang, lagi sepuluh minit sebelum habis waktu, barulah dia terkocoh-kocoh mengambil wuduk. Jauh sekali ke masjid. Dia hanya akan pergi ke masjid ketika hari raya. Memang dia orangnya teratur, tetapi tidak soal solat.

Dapat dilihat dari jauh, seekor kucing sedang menikmati ikan bakar di hadapan sebuah restoran makanan kampung. Perutnya berkeroncong. Sebenarnya, dari semalam dia belum makan sama sekali. "Ayah, kenapa ayah buat kakak macam ni. Kakak penat. Dia orang kejar kakak. Kakak takut," ucapnya diiringi hamburan air mata yang tidak lagi dapat dikawal. Wajahnya kelihatan tertekan.

Rasanya, baru satu jam dia melepas lelah. Lenguh di kaki dan pinggangnya pun belum reda lagi. Baru mahu melapangkan fikiran, dia dikejutkan sekali lagi dengan jeritan keras dari arah belakang.

"Dia kat sini!" seru satu suara. Sebaik mendengar jeritan itu, Marsha mula mengatur langkah seribu. Tenaganya yang tadi sudah habis, secara ajaib muncul kembali.

Dia berhenti sejenak. Di sebelahnya, terdapat sebuah bank. Pucuk dicita ulam mendatang. Seorang wanita keluar dari bank dengan beg tangan di tangan. Dari pakaiannya, wanita itu kelihatan berada. Pasti dia mengeluarkan wang yang banyak sebentar tadi.

'Patutkah aku minta? Tapi, dia mesti tak akan bagi. Tengoklah cara dia melayan pembantunya. Nampak sangat sombong. Aku mesti dapatkan juga duit itu. Tak kira apapun.' Sekarang, nyawanya yang terpenting.

Dia mula berlari ke arah wanita itu. Matanya terfokus ke arah tangan wanita itu. Dia sudah bersedia merampas beg tangan di tangan wanita itu.

Zupp!

Dengan sekali rembat, beg tangan itu sudah berada di tangannya. Kakinya pun mula bergerak meninggalkan tempat itu.

Dia tidak berani menoleh ke belakang. Dia tahu, di belakang sana, ada beberapa orang yang mengejarnya. Jika dia menoleh, dia akan lebih takut.

Secara kebetulan, teksi lalu di jalan raya di sebelahnya. Dapatlah dia melarikan diri.

"Teksi!" Dia melambai-lambai ke arah teksi tersebut.

"KLIA 2!" Sebaik masuk ke perut kereta, dia memberitahu arah destinasinya.

Gadis itu membetulkan tempat duduk. Matanya dipejam sebentar. Mencuba meredakan kegelisahan dalam hatinya.

"Sudah hampir dua bulan berlalu sejak MH370 dilaporkan hilang dari radar. Sebanyak 239 anak kapal dan penumpang gagal dikesan ekoran kejadian tersebut."

Perlahan kedengaran berita yang diputar melalui radio teksi.

"Kesian ya keluarga mangsa, mesti mereka sedih sangat." Suara pemandu teksi tersebut memecah kesunyian.

Marsha membuka matanya. Entah mengapa, tiba-tiba fikirannya seolah-olah terbayang tragedi tersebut. Gadis itu memasang wajah sedih. "Ya.."

Pemandu teksi itu cuba meninjau reaksi Marsha melalui cermin pandang belakang. "Pak cik dengar ramai orang yang batalkan niat nak pergi naik kapal terbang lagi-lagi dekat negara dekat-dekat situ selepas kejadian. Orang kampung pak cik pun dari tahun lepas dia mencanang nak pergi ke Jepun, tapi dia terus batalkan selepas baca berita. Trauma katanya."

Marsha yang mendengar hanya terdiam. Dia dapat memahami trauma yang dialami orang ramai. Sungguh, kejadian MH370 memang merupakan titik terendah dalam sejarah penerbangan Malaysia. Banyak yang hilang tanpa jejak, bahkan setelah hampir dua bulan, seluruh Malaysia masih berduka dengan kejadian tersebut.

"Anak ni nak pergi mana?"

Suasana kembali tegang saat soalan itu terpacul dari mulut pemandu teksi.

Marsha mengambil nafas, mencuba berfikir dengan tenang. Dirinya cuba menghubungkan segala informasi yang diterima, termasuk perbualannya dengan pemandu teksi sebentar tadi.

"Korea," jawabnya sedikit canggung.

Destinasi tersebut adalah destinasi paling strategik yang dia boleh fikirkan untuk saat ini. Marsha yakin masih banyak tiket kosong yang belum ditempah. Marsha juga sudah fasih berbahasa Korea.

Pemandu teksi itu mengangguk-angguk. "Ada keluarga ya tunggu kat sana?"

"Emmm... Ya..." Marsha mengangguk bagi memantapkan kebohongannya.

Senyum lembut terukir di wajah tua itu. "Tak apa, doa banyak-banyak. Insya-Allah, pak cik doakan kamu selamat pergi."

"Terima kasih, pak cik." Perlahan suara Marsha saat mengatakan itu. Rasanya agak serba salah kerana berbohong. Marsha bertanya-tanya, berapa banyak lagi kebohongan yang harus diciptakan olehnya hari ini untuk menyelamatkan diri.

Marsha menghela nafasnya yang terasa mengah. Rasa panik menjalar dalam dirinya, memikirkan bagaimana caranya membeli tiket kapal terbang pada usianya yang baru 16 tahun.

Segera, telefon bimbitnya dicapai. Dia melakukan carian pantas menggunakan Google. Mencari-cari syarikat penerbangan yang membenarkan penerbangan solo di bawah umur berserta syarat-syaratnya.

Guests between the age of 16 to 17 years old on the day of departure may travel without completing any forms and will be treated as adults. However, they cannot accompany a child under 12 years old.

Itu yang tertulis dalam laman web syarikat penerbangan itu. Perlahan, Marsha menghela nafas lega.

Teksi yang Marsha tumpangi terparkir sempurna di hadapan gerbang Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2. Marsha menapakkan kakinya ke lantai, lalu menutup pintu teksi itu. Matanya melilau memerhati sekeliling. Lapangan terbang itu ramai seperti biasa. Tidak menyisakan sedikit pun ruang untuk bertenang.

Marsha memilih untuk tidak berlari, sebaliknya, mengatur langkahnya sedikit lebih laju. Tubuhnya yang keding sudah memberinya jaminan untuk tidak terlihat jelas di dalam kerumunan, namun berlari akan menimbulkan kecurigaan. Dicurigai adalah hal terakhir yang dia inginkan pada hari ini.

Kakinya terhenti pada sebuah kaunter dengan tulisan AirAsia. Dia mengepal tangannya, membulatkan tekad.

"Excuse me."

Lelaki muda yang menjaga kaunter itu mengangkat muka.

"I'm looking for a flight ticket. Is any of them available?"

"Domestic or international?"

"International." Marsha menjawab yakin.

"To where, miss?"

"South Korea, return." Tergesa-gesa gadis itu menjawab. Nafasnya naik turun.

Pekerja itu kembali mengangguk-angguk mendengar jawapan Marsha.

"May I know the exact date?"

Seketika, Marsha terkaku. Badannya berpeluh.

Kakinya serasa tak berpijak pada bumi nyata.

Ketakutan menguasainya. Pandangannya kabur oleh air mata. Tidak tahu mahu menjawab apa.

"Miss?"

Marsha tersentak, namun mulutnya masih terkunci.

Sesaat, dua saat, susana senyap.

"Today and 2nd of May." Berat hati Marsha menyebut kebohongan itu. Sebenarnya, dia hanya membeli tiket pulang agar nanti dirinya berjaya melepaskan diri daripada pemeriksaan pihak berkuasa di Korea. Sama sekali gadis itu tidak terfikir untuk pulang ke tanah air. Tidak untuk masa terdekat ini.

Pekerja itu mengangguk-angguk. "May I have your passport, please?" ucapnya lalu tersenyum.

Marsha dengan gopoh membuka beg sandangnya. Pasportnya dikeluarkan dan diletakkan di atas kaunter dengan tergesa-gesa.

"Thank you." Pekerja itu berbicara ramah sambil tangannya mencapai pasport yang diletakkan di atas kaunter. Matanya kembali fokus ke arah komputer di atas mejanya. Menguruskan tiket yang diminta.

Marsha memerhati sekeliling. Perasaannya gusar. Hujung bajunya digenggam hingga kusut.

Lelaki itu mengangkat muka. "Here you go miss, the check in counter will be open around an hour from now. Enjoy your flight!" Dia tersenyum di hujung kata.

Marsha meninggalkan kaunter tersebut setelah membuat pembayaran. Dia mengatur langkahnya ke arah kedai serbaneka. Dengan pantas, dia membeli pelitup muka berwarna hitam dan segera memakainya. Dia seterusnya menghampiri mesin deposit memasukkan sejumlah wang tunai yang dicurinya tadi ke dalam akaun bank miliknya.

Kakinya kemudian melangkah ke dalam tandas. Dia mengunci dirinya di dalam kubikel tandas. Mencari ruang sendiri. Matanya sekali lagi memerhati langit-langit bangunan.

Sederhana, luka. Marsha menyusun dunianya dengan kemampuan sederhana dan luka-luka yang membuat binasa. Serpihan-serpihan diri yang rapuh, serta sedikit harapan untuk mengubah kehidupannya menjadi lebih baik.

Rasa takut, hilang arah tak pernah jadi hal asing dalam hidup Marsha. Separuh hidupnya dihabiskan untuk itu. Sisanya mencuba bertahan hidup.

Marsha sekali lagi gusar memikirkan alasan yang akan diberi sekiranya petugas kastam bertanya mengenai dirinya yang akan pergi ke luar negara secara bersendirian. Bagaimana ingin menjelaskannya? Dia tidak mahu terlihat mencurigakan.

Dia terus dengan lajunya membuat tempahan hotel agar selamat daripada disoal pihak berkuasa mengenai penginapan di sana kelak.

"Hai, kau participant juga ke? Dari sekolah mana?"

"Aku dari Jumantara. Kau pula?"

"Seri Kejora. Banyak juga ya sekolah yang join, tadi aku jumpa student Bitara."

"Kita sampai Korea nanti pukul berapa eh?"

"Dalam group madam cakap around pukul tujuh malam macam tu."

Suara perbualan dari luar kubikel tandas mematikan lamunan Marsha. Tangannya mencapai kembali tiket kapal terbang yang tadi diletakkan di dalam begnya.

'Macam sama.' Dahinya berkerut. Marsha memasang telinga.

"Kau dah start contact dengan host family kat sana ke?"

Suara ceria kedengaran dari mulut yang ditanya. "Dah, dia orang cakap nanti dia orang nak bawa aku visit sekolah yang kita nak pergi tu before official schedule kita."

"Good for you, aku malu nak contact host family aku..." Suara rakannya terdengar hampa.

"Hm?" Kening Marsha terangkat. Gadis itu mencuba menyusun kronologi dalam fikirannya. Host family... Setahunya, itu istilah yang digunakan untuk program pertukaran pelajar. Jika benar, bermaksud...

Suasana tandas sunyi selama beberapa minit. Marsha menjenguk ke luar. Kakinya melangkah ke arah singki saat dirasakan dua orang itu sudah pergi. Dia memerhatikan biasan wajahnya di cermin. Bibirnya mengukir senyum. Rasanya, dia sudah menemui jawapan bagi kemelut fikirannya sebentar tadi.

"It wouldn't be obvious right kalau aku pura-pura macam aku dalam group dia orang?"

"SELAMAT pagi, para penumpang. Kapten kapal terbang anda bercakap. Pertama sekali, selamat datang ke penerbangan kami. Kita sedang berlayar dengan ketinggian 33,000 kaki dan kelajuan udara 400 batu sejam. Masa sekarang adalah 11.35 pagi. Cuaca kelihatan baik dengan angin kencang di luar kapal. Kami menjangkakan akan mendarat di Incheon kira-kira 20 minit lebih lewat daripada yang dijadualkan iaitu pada pukul 7.25 malam waktu Korea Selatan. Cuaca di Korea Selatan baik, dengan suhu 12 darjah untuk malam ini. Sekiranya cuaca baik, kita akan dapat melihat pemandangan bandar yang indah ketika kapal terbang mendarat. Anak kapal akan datang sekitar dua puluh minit lagi untuk menyajikan hidangan anda. Ketika kapal terbang akan mendarat, pengumuman akan dibuat sekali lagi. Selamat menikmati penerbangan anda. Terima kasih."

Dia teringat akan insiden tadi. Dia nekad mahu menghubungi wanita itu kelak jika dia sudah ada duit untuk menggantikan duit yang dicurinya itu.

Pastilah harus dipulangkan. Jika tidak, seluruh hidupnya tidak akan berkat.

"Namun hakikatnya bukan mudah aku sembunyikan gundah-gulana..."

Suara itu datang dari bahagian kokpit pesawat. Seorang pramugara berlari di sebelahnya menuju ke arah kapten kapal.

"Oh, belum tutup ya?" Terdengar jelas suara kapten kapal bertanya kepada pramugara.

"Maafkan saya, para penumpang. Jangan laporkan ya."

Seusai berbicara, mikrofon segera ditutup. Aduh, memalukan sungguh!

Marsha tergelak dengan situasi lucu yang berlaku. Tiba-tiba, matanya terasa kuyu. Dia menutup mata dan segera terlelap.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Com