05
بِسْـــــــــــــــمِ اللّٰه الرَّحْمَنِ الرَّحِيـــم
RUTIN setiap hari tetap terlaksana seperti biasa. Di waktu pagi sehingga petang Larmina dan bondanya bekerja sebagai pengutip buah epal di ladang.
Hampatan waktu yang begitu mendesak menyebabkan mereka lupa sejenak dunia luar.
Angin menjatuhkan daun-daun kering dari pohon-pohon yang berjejer di sepanjang jalan.
Mentari bersinar cerah, namun tak terasa bahangnya kerana diselimuti awan tebal. Angin bayu berhembus membisikkan pesan, bahawa petang itu alam memilih untuk berlembut-lembut dengan umat manusia.
Namun dalam ketenangan itu, lain pula keadaan di rumah Larmina.
"Setakat keputusan yang suam-suam kuku tu, baik tak payah pergi sekolah. Buat habis duit aje."
Alma genggam tangan sendiri. Cuba bertahan. Slip peperiksaannya sudah terbang entah ke mana dibaling dek ayah.
"Yah, keputusan kakak okeylah. Tengok ni, ada subjek yang akak lulus tau!" Larmina terpanggil untuk membela kakak tirinya.
"Larmina, kamu diam. Budak-budak tak payah nak menyampuk. Diri sendiri pun tak sekolah, ada hati nak cakap pasal orang."
"Si kakak kamu ni, dia memang dari dulu bengap. Apa yang dia belajar dekat sekolah tu entah." Hamza menambahkan lagi rasa sedih yang sudah berkilo-kilo membakul dalam hati Alma.
"Alma minta maaf, ayah. Alma minta maaf sebab Alma tak dapat bagi keputusan yang membanggakan ayah," tutur Alma perlahan. Kecewa dan sedih.
"Maaf, maaf. Naik muak telinga ni dengar. Sikit-sikit minta maaf lepastu usaha satu pun tak ada! Apa nak jadi dengan kamu ni? Haih naik rimas betullah duduk dalam rumah ni! Dahlah makanan satu pun tak ada! Balik-balik tunjuk dekat aku keputusan macam itu!"
"Abang, kenapa cakap macam itu dekat anak? Alma punya keputusan ni cukup baik, bang," ujar bonda juga membela Alma.
"Lagipun... ini salah kita jugak," sambungnya. Nada yang dituturkannya sedikit perlahan.
"Ha? Salah kita? Hei, kau jangan nak menyalahkan aku pulak eh. Manusia kalau nak berjaya hidup susah pun boleh berjayalah! Semua tu alasan je!" sangkal Hamza.
Alma hanya membatu di situ. Tidak mampu untuk membalas. Hamza mahu melangkah keluar namun cepat-cepat ditahan bonda.
"Abang nak pergi kemana tu?" soal bonda bernada lembut.
"Aku nak keluar, nanti aku balik ah," jawab ayah sebelum terus keluar dari rumah. Pintu rumah dihempasnya dengan kuat sehingga terhinjut bahu semua orang yang berada di dalam rumah itu.
Wajah bonda dikalihkan ke arah Alma. Meskipun hatinya turut bersedih, namun tetap dia cuba untuk mengukir senyum.
Alma membongkok lalu mengambil slip keputusannya dan meluru keluar dari rumah menuju ke pangkin.
Bonda hanya memerhatikan tingkah laku Alma sebelum kepalanya dikalihkan ke arah Larmina.
"Mina, pergi mandi dulu eh. Kita baru balik dari kerja badan kotor. Mina pergi mandi dulu, nanti barulah badan wangi bonda pun sayang."
"Hm? Maksudnya kalau Mina busuk bonda tak sayang Mina ke?"
"Eh, kesitu pula dia hahaha. Sayang, semua orang sayang dekat Mina. Tapi kalau Mina mandi semua lagi bertambah sayang dekat Mina. Mina pergi mandi ya."
Larmina mengangguk dan mengikut pesan bonda. Terus dia berlalu pergi dari situ. 'Baiklah, Mina kena mandi kalau nak semua orang sayang dekat Mina!'
***
AIR mata Alma semakin banyak tumpah membasahi pipinya dan mengalir turun perlahan-lahan di atas slip keputusan peperiksaan.
Kekecewaan ternyata menyiat-nyiat di jiwanya yang kala ini dilanda kosong dan pasrah.
Ini bukan kali pertama dia dihina sebegini. Dia sudah lali dikatakan sebegitu. Tapi lihatlah keadaan dirinya juga bagaimana?
Huh, kuman di seberang lautan tampak, gajah di pelupuk mata tiada tampak. Kesalahan orang lain, biar pun kecil, nampak, tetapi kesalahan sendiri tidak disedari.
Alma mendengus kesal. Tangan kirinya bergerak pantas menyeka air mata yang mengalir di lekukan pipi.
Kesepian... entah mengapa?
Menjenguk di hatinya dengan tiba-tiba. Sembari memeluk tubuh dia melontarkan pandangan sedalam- dalamnya ke arah sawah padi yang terbentang luas.
Angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa terasa nyaman dan dingin. Lembut menyapu seluruh pangkalan.
Gadis remaja itu jauh termenung. Pandangan matanya bersinar dan berkaca, memikirkan sesuatu yang telah lama berlalu.
Fikirannya masih bercelaru memikirkan kisah silamnya yang sukar dipadam. Tentang seseorang yang disayanginya tetapi...
Sudah pergi.
Pergi yang tidak akan kembali lagi.
Sakit hatinya. Entahlah, susah untuk dizahirkan bagaimana rasa sakitnya hati itu.
Bonda tercari-cari keberadaan Alma. Dia memandang ke kiri dan kanan dan terlihatlah Alma sedang duduk di pangkin.
"Ibu..."
Slip keputusan tadi ditatap lama sebelum direnyuk dan dicampak jauh.
"Maafkan Neesa bu... hisk..." Kepiluan hati Alma menujahkan keluar manik-manik jernih dari birai kolam matanya itu.
"Neesa tak dapat bagi keputusan cemerlang untuk gembirakan ayah. Ayah marah Neesa bu, ayah tak suka dapat anak yang tak pandai macam Neesa," Alma mengeluarkan nada kesal. Tangannya digenggam erat dan kemas.
"Maafkan Neesa, bu..." Suara hiba gadis itu perlahan-lahan bertukar menjadi esakan.
Mengingatkan sikap ayahnya membuatkan dia panas hati namun nasihat arwah ibunya memujuk hati.
Walau seburuk manapun perangai ayahnya, itu tetaplah sosok yang perlu dihormati. Tanpa ayah dan ibunya, dia tidak akan wujud di muka bumi ini.
Tangan bonda bergerak mengambil kertas yang sudah dibaling Alma tadi. Lalu, bonda menapak kearah Alma. Ruang pangkin yang kosong didudukinya.
Mata bonda tidak beralih, setia memandang Alma yang menekur lantai bumi beserta tangisan air mata.
Bonda mengelap air mata yang membasahi pipi Alma.
"Tangisan ni diciptakan untuk orang yang kuat, untuk ingatkan mereka yang kesilapan ni benda biasa. Takpe kalau nak rasa takut, menyesal, ataupun sedih sekali-sekala."
"Kehidupan ni pulak berputar antara satu sama lain. Kadang-kadang kita di atas, kadang-kadang kita di bawah. Kadang-kadang kita gelak, kadang kita menangis. Tapi itulah kehidupan. Sesiapa yang bersabar, Insya-Allah semua tu kita dapat lalui dengan hati yang terbuka. Sabar ya sayang?"
"Sabar pun ada hadnya, bonda. Alma ni orang biasa je," keluhnya.
"Alma, dengar cakap bonda. Allah kata orang yang buat baik dekat dunia ni akan dapat kebaikan. Bumi Allah ni luas sangat, sayang. Dan orang-orang yang bersabar je yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tak terkira. Jadi, kita sebagai manusia biasa sepatutnya malu untuk cakap sabar tu ada batasnya sedangkan pahala dan nikmat yang Allah berikan tak terbatas pun," ujar bonda panjang lebar.
"Walaupun Alma rasa Alma gagal harini tapi tu tak semestinya Alma akan gagal selama-lamanya. Gagal tu proses, sayang," pujuknya lagi. Nada suara yang lembut perlahan-lahan menyejukkan hati Alma.
Seorang ibu akan memberikan kasih sayang kepada anaknya: tidak berkesudahan dan bersyarat, bila-bila masa diperlukan, secara berterusan, dari lahir hingga ke liang lahad.
Itulah yang mereka lakukan.
Alma terkedu. Bonda persis arwah ibunya. Selalu memberikan semangat dan sokongan kepada dia meskipun... layanan yang diberi kepada bonda tidak begitu baik.
1001 soalan dan sangkaan meroboh alam fikirannya. Benarkah ada ibu tiri yang baik? Tidak seperti cerita-cerita yang pernah didengarinya sebelum ini?
"Sayang, bonda bangga sangat dengan kamu. Alhamdulillah, moga berjaya dunia akhirat ya," ucap bonda selari dengan tangan yang mengusap ubun-ubun Alma.
Alma tersenyum hambar. Keputusannya tidaklah bagus, daripada sembilan mata pelajaran hanya tiga mata pelajaran saja yang lulus. Padanlah ayahnya marahkan dia.
Namun, pujukan bonda benar-benar menyentuh hati. "Terima kasih, bonda."
"Haa macamnilah kakak Mina! Mina suka tau tengok Kak Alma senyum, canntik sangat hihi," ucap Larmina girang yang tiba-tiba entah muncul dari mana.
"Eleh kau, ada-ada je," tutur Alma senada.
"Betullah kak," balas Larmina. Matanya membulat.
"Iyelah tu." Alma menjeling Larmina sekilas. Air mata yang hampir kering di pipi disekanya menggunakan tangan kiri.
"Betul-betul!"
"Ceh, ngada." Tanpa sengaja Alma mengukir senyum.
Deraian tawa memecah kesunyian. Tidaklah terlalu mencuit hati apa yang diperkatakan oleh kedua adik beradik tiri ini namun ianya luar biasa buat diri Si Larmina.
Jarang sekali rasanya melihat Alma tersenyum kepadanya sedangkan selama ini hanya herdikan dan jelingan sahaja yang diterima.
"Ha dah-dah, jom kita masuk dalam rumah," pintas bonda sebelum bingkas bangun.
"Bonda dengan Mina masuklah dulu, Alma nak nikmati suasana alam ni kejap," balas Alma.
"Iyelah, hati-hati tau Alma." Bonda dan Larmina kemudiannya masuk ke dalam rumah semula.
[Bersambung >> FREEDOM - 06]
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Com