Truyen2U.Net quay lại rồi đây! Các bạn truy cập Truyen2U.Com. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

07

MALAM menjelang. Selepas makan malam, Larmina dan Alma terus masuk ke bilik.

Ayah masih belum pulang. Kami di rumah makan mahupun tidak, langsung dia tidak peduli. Kerja tidak, apapun tidak. Janji sebelum kahwin cuma ungkapan kosong sahaja, dusta.

Untuk mendapatkan sayang, manusia boleh berpura-pura menjadi seperti malaikat walhal merekalah iblis yang bertopengkan manusia.

Bonda masih setia menunggu kepulangan suaminya untuk dihidangkan makan malam meskipun makanan yang bakal dijamu itu, masih menu sama seperti hari-hari sebelumnya.

Tiba-tiba kedengaran bunyi pintu diketuk. Bonda bergegas membuka pintu dan menyapa ayah yang baru pulang.

Pertanyaan bonda tidak dihiraukan oleh ayah. Sebaliknya ayah mendengus dengan wajah yang masam mencuka.

•  •  •

ADA pertengkaran yang sedang berlaku. Larmina bingkas bangun lalu mengintai dari celah pintu biliknya.

"Oi, kau buat apa tu?" tanya Alma yang sedang duduk di meja belajar, menyiapkan tugasan kerja sekolah sebelum beberapa detik kemudian dia turut bersama Larmina.

"Mana duit?" tanya ayah kepada bonda dengan nada seoktaf.

"Duit apa, bang?" Dahi bonda berkerut. Bonda memandang ayah dengan seliratan tanda tanya, hairan.

"Duitlah. Duit apa lagi? Kau kan kerja siang tadi," balas ayah. "Aku perlukan duit," sambungnya.

"Abang, mana ada duit lagi? Semua duit tu abang dah guna," balas bonda, masih dengan ritma bicara yang lembut dan tenang.

"Mana boleh tak ada? Mana pergi duit lain yang kau simpan?" Suara ayah makin meninggi. Mukanya memerah menahan marah.

"Duit tu saya nak bagi kepada Alma, buat belanja sekolah." 

"Halah budak-budak bukannya tahu guna duit pun. Budak tu pergi sekolah pun bukannya pandai, bengap jugak! Dia budak miskin je, mana boleh berjaya." Kata-kata ayah meluncur bersama sepasang mata sinis dan dingin.

Terkebil-kebil mata bonda tatkala ayah berkata sedemikian. Bonda meneguk air liurnya sendiri dengan hati terkilan.

Tidak kasihankah ayah pada Alma?

Dia juga perlu berbelanja di sekolah. Jauh dalam sudut hati, suaminya juga sanggup menghina anak kandungnya sendiri?

Bukankah semangat dan sokongan yang baik itu datangnya daripada kedua ibu bapa dan keluarga?

"Sampai hati ayah," keluh Alma sambil menahan sebak dihati.

Lontaran kata-kata itu bagai merobek ranting-ranting semangatnya. Ayah langsung tidak memikirkan perasaan Alma.

Alma mengeluh di balik pintu sambil tangan menggenggam kemas. Nafasnya berombak-ombak.

"Ah! Aku perlukan duit tu sekarang! Aku tak peduli, bagi duit tu kat aku!" herdik ayah, terus mendesak.

"Apa abang nak buat dengan duit tu, bang?" tanya bonda dengan nada yang masih lembut.

Nafas ayah makin tidak teratur. "Argh!" Ayah menumbuk dinding, serentak dengan suaranya yang juga menzahirkan amarahnya. Kekusutan merajai paras ayah.

"Kau tak payah banyak tanyalah! Aku banyak urusan. Bagi duit itu cepat!" desak ayah, masih berkeras membuatkan suasana di dalam rumah itu menjadi kalut.

Bonda tertunduk lesu. Air matanya mula mengalir. Bahu bonda terhinggut-hinggut menahan sendu kerana sedih mengenangkan sikap ayah. Nada suara ayah bagai sembilu yang menghiris tangkai hati bonda.

Larmina turut berasa kasihan melihat bondanya diherdik dan ditengking begitu. Sampai hati ayah memperlakukan bonda sedemikian rupa.

"Eh Mina, kau nak pergi mana tu?" tanya Alma sebaik melihat adik tirinya itu keluar dari bilik di saat bonda dan ayah bertengkar.

"Jangan nak berdrama dengan aku. Mana duitnya?" tanya ayah, semakin garang.

Untuk beberapa saat, hati bonda hanyut dalam kebisuan. Berat hatinya mahu menyerahkan wang simpanan itu kepada ayah sesuka hati selepas penat bekerja dari siang ke petang.

Bonda bekerja keras untuk menyimpan wang itu biarpun jumlahnya tidak banyak mana.

Harapkan ayah?

Ayah bukan memberi nafkah namun mempergunakan isterinya dengan ikatan perkahwinan, seakan bonda menanggung biawak hidup.

Jika kesemua duit diserahkan kepada ayah, bagaimana halnya dengan anak-anak perempuannya, Alma dan Larmina?

Bagaimana pula dengan perbelanjaan rumah tangga?

Anak-anak orang lain dibekalkan wang saku. Alma pula sering ke sekolah dengan poket dan perut kosong.

Dalam keadaan perutnya yang lapar, bagaimana Alma hendak belajar? Bagaimana dia dapat menumpukan perhatian di dalam kelas?

Bonda tidak mahu Alma keciciran dalam pelajaran meskipun Alma bukan anak kandungnya.

Mata ayah melilau. Ayah tidak berpuas hati kerana tidak mendapat apa-apa jawapan daripada bonda.

Ayah beredar masuk ke dalam bilik.

"Oi, kau buat apa dekat sini?" tanya ayah kepada Larmina, masih dengan muka garangnya.

"Keluar!" bentak ayah.

Ayah menolak kasar badan Larmina sehingga Larmina terjatuh. Bonda yang menyedari hal itu memangku anaknya.

"Mina, pergi masuk ke bilik ya sayang," bisik bonda.

Ayah terus menyelongkar gerobok baju mencari sesuatu. Habis bersepah pakaian dari gerobok baju itu.

Akhirnya, ayah menjumpai duit yang dicari-carinya. Dari celahan pintu yang ternganga sedikit, Alma dapat melihat segala perbuatan ayahnya itu.

Seketika kemudian, ayah keluar semula dari dalam bilik.

"Ini jeke duit yang ada?" tanya ayah kepada bonda. Nada suaranya masih tinggi.

"Tu je bang duit yang tinggal. Janganlah ambil duit tu bang, macam mana Alma nak berbelanja kat sekolah nanti?" soal bonda semula, masih tersedu-sedu.

"Mana lagi duitnya? Ada kau sorokkan kat mana-mana lagi ke?" tanya ayah, terus juga mendesak.

Hati bonda bertambah sebak. Bendungan air matanya pecah, mengalir di pipinya. Hanya tangisan memberi nikmat kepuasan batin. Tubuh bonda kelihatan sedikit menggigil.

"Tu ajelah yang ada, bang. Saya mohon sangat bang, janganlah ambil duit tu. Macam mana kalau ada apa-apa jadi dan kita perlukan duit? Dekat mana kita nak cari duit lagi?" kata bonda, meminta ihsan.

Bonda cuba mencapai wang yang digenggam oleh ayah tetapi tangan bonda pantas ditepis oleh bonda. Ayah tidak mempedulikan permintaan bonda.

"Mana lagi?"

"Dah tak ada lagi, bang," jawab bonda.

"Aku tak percaya. Mesti kau sorokkan dekat mana-mana," kata ayah.

Ayah terus menyelongkar barangan di rumah sehingga keadaan bertukar menjadi tunggang-langgang. Ayah tercungap-cungap.

"Abang, kenapa abang jatuhkan lauk yang ada atas meja tu? Anak-anak belum makan dari tengahari, bang."

"Sudahlah, bang. Semua duit tu abang dah ambil," sambungnya lagi.

"Mana cukup?" Mata ayah melilau lagi. Ayah terpandang seutas gelang emas yang dipakai bonda.

"Abang nak buat apa dengan semua duit tu? Abang nak berjudi lagi?" soal bonda.

"Sudah-sudahlah tu bang, cukuplah makan duit haram!"

Bonda memberanikan diri untuk bersuara. Dia tidak mahu menyokong afal suaminya itu. Dia perlu berani kerana benar.

Meskipun meninggi suara kepada suami itu adalah salah, tetapi dia tidak boleh reda dengan afal suaminya itu. Kali ini suaminya benar-benar sudah melampau!

"Sudah! Tak payah kau nak ceramah aku!" marah ayah.

"Kau fikir aku kahwin dengan kau sebab aku cintakan kau ke? Puih!" ayah mendekati bonda lalu mencengkam rambut bonda dengan kuat tanpa secebis belas kasihan.

"Hei, kau dengar sini! Aku, kahwin dengan kau sebab aku taknak jaga si budak Alma tak guna tu! Dia tu tak habis-habis membebankan aku," herdik ayah sekali gus berterus-terang akan rancangannya untuk mengahwini bonda.

"Bawa mengucap bang, itu anak kandung abang," ucap bonda lembut, cuba mengawal perasaan meskipun hatinya berasa sangat sakit dengan kejujuran yang didengarinya.

"Kau siapa nak ajar aku soal agama ha? Kau fikir diri kau tu bagus sangat? Heh, bebal betul betina ni!"

Dahi Seyra ditunjal kuat sehingga jatuh terduduk.

"Kalau macamtu, bagi aku gelang emas yang engkau pakai. Bagi!" herdik ayah.

Ayah cuba merentap gelang emas di tangan bonda tetapi bonda melarikannya. Ayah jadi berang. Wajahnya menyinga.

"Aku kata bagi!"

Ayah pantas memegang tangan bonda lalu direntapnya gelang emas itu.

"Tolonglah, bang. Ini je yang ada. Nanti kalau ada jadi apa-apa, gelang tu ajelah yang diharapkan," rayu bonda memohon simpati daripada ayah.

Ayah langsung tidak menghiraukan rayuan bonda. Mata ayah membuntang. Dia membelek-belek gelang emas itu berkali-kali. Rakus dan puas.

Bonda tidak berdaya berbuat apa-apa lagi.

Ayah tersenyum. Gelang emas bonda disimpan di dalam saku seluarnya. Ayah bergegas menuju pintu untuk beredar keluar.

"Bang tunggu, bang!"

Bonda lantas bangun mengejar ayah dari belakang. Namun, nasib tidak menyebelahi bonda.

Kakinya tersadung kaki meja jahit sekaligus bonda hilang keseimbangan lalu jatuh tersembam. Mesin jahit diatas meja itu terjatuh, menimpa kaki bonda.

"Aduh!"

"Bonda!" Larmina menjerit lalu mendapatkan bonda.

Ayah menoleh sekilas. Sedikit pun ayah tidak belas kepada bonda.

Alma naik geram. Pantas dia menghalang ayah daripada pergi. Dia mendepangkan kedua-dua belah tangannya di muka pintu.

"Engkau nak apa? Nak jadi heroin? Dah mula menyebelahi ibu tiri kamu?"

"Bagi semula gelang bonda."

Ayah buat tak tahu. Alma terus menghalang apabila kaki ayah mahu melangkah.

Pang!

Tangan ayah hinggap pada muka Alma.

"Kakak!" jerit Larmina.

"Lain kali, jangan masuk campur hal orang tua! Dasar anak tak guna. Menyesal aku ada anak macam kau!" tengking ayah.

"Kecik-kecik taknak mampus, dah besar menyusahkan orang! Patutnya kau pergi mati jelah dengan ibu kau tu!"

Alma tersungkur. Luluh hatinya mendengar kenyataan itu daripada mulut ayah kandungnya sendiri.

Kata-kata ayah mengembalikan luka-luka yang lama berdarah, saat Alma kehilangan ibu... buat selama-lamanya.

Segalanya berubah lepas ibu meninggal. Ayah yang tidak berubah. Dari dulu sehingga kini masih sama. Ayah yang selama ini sememangnya seorang yang garang berubah menjadi bengis.

Kekesalan hati Alma terhadap ayahnya begitu bertubi-tubi datang, sambil mencoretkan bisikan hati yang menangis.

Sifat ayah dan ibu jauh berbeza. Bolehkah kita percaya kepada seorang lelaki yang suka memaki juga menyakiti anak dan isterinya bahawa dia faham akan erti sebuah cinta?

Adakah manusia seperti itu faham maksud sebenar sebuah kasih sayang?

Sukar untuk Alma memaparkan lukisan kekesalan yang sebenarnya tidak tercerna lagi, yang ada cuma hati yang diselaputi perasaan pilu.

Air mata jatuh tak terseka tetapi ayah terus meluru keluar dan menghilang dalam kegelapan malam.

"Kakak, kaki bonda sakit!" jerit Larmina, buntu melihat darah yang keluar dari hirisan luka yang terkena pada kaki bonda.

Alma memeluk bondanya sambil menahan sakit. Pipinya merah.

"Maafkan Alma, bonda. Maafkan Alma sebab selama ni Alma benci bonda," ucap Alma bernada kesal.

"Kenapa ayah sanggup buat bonda macamni? Alma malu berayahkan orang macam dia!" kata Alma, melepaskan keluhan.

"Jangan cakap macamtu, Alma. Dia masih ayah kamu. Ayah belum lagi sedar perbuatan dia sekarang. Doakanlah semoga ayah kamu cepat berubah ya," kata bonda.

Alma tidak menyangka bonda masih boleh berkata begitu.

'Bonda betul-betul tabah dan setia. Mulianya hati bonda,' cetus hati Alma, menambahkan rasa serba salah dalam hatinya.

"Aduh duh duh, kaki bonda sakit," adu bonda. Mata dikalihkan ke kakinya. Seketika kemudian, bonda tidak sedarkan diri.

"Allahuakhbar, bonda!"

"Mina, tunggu sini. Aku... er akak nak pergi minta tolong orang bawa bonda ke rumah nenek jap," kata Alma sebelum gegas melangkah keluar meminta pertolongan.

Erm Larmina tak salah dengar kan?

Kak Alma... bahasakan diri dia 'akak'?

Akak?

Mata Larmina membulat. Teruja.

Hah ya, akak!

[Bersambung >> FREEDOM - 08]

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Com