13
LARMINA termenung di tepi jendela wadnya. Matanya tidak berkedip memerhatikan sekawan burung yang bersenda gurau di atas wayar elektrik.
Namun, selepas burung-burung itu terbang, pandangan mata Larmina masih tidak berganjak. Masih kekal merenung tempat yang sama. Masih wajahnya tidak bereaksi, tidak ada walau segaris senyum.
Walaupun bonda belum lama meninggalkan Larmina, tapi Larmina masih teringat dan terbayang di ruang matanya detik bonda menghembuskan nafas terakhirnya.
Ternyata itu perpisahan untuk selamanya, rindu yang tiada penghujungnya. Rasanya separuh jiwa ini hancur saat kehilangan bonda.
Mata Larmina cekung manakala tulang pipinya tersembul keluar kerana sudah beberapa hari Larmina tidak makan dengan kuantiti yang banyak. Seleranya berkurang secara drastik.
Air diminum terasa duri, nasi dimakan terasa sekam.
Dia hanya makan di waktu pagi dan petang, itupun setelah dipujuk Nek Mah dan bukanlah makan dengan berselera. Cuma makan sekadar untuk tetap bernafas, walau jiwanya terasa sudah mati.
Kepergian bonda bagai menikam sanubari. Sampai saat ini Larmina merasa berdosa. Sampai saat ini Larmina merasa sangat terluka.
Dia belum dapat membahagiakan bonda.
Hidupnya tiada arah tujuan bak pengembara hilang peta dan dia, merasa dirinya terlampau rapuh tanpa bonda.
+ + +
Bukan kerana kepergian kita merasa kehilangan, tapi kerana harus menerima kenyataan bahawa esok hari tidak ada sosok untuk menguatkan diri lagi.
Luka yang sangat-sangat menyakitkan dan rasa pedih yang terdalam adalah merindui mereka yang telah pergi.
Kerana kita tahu walaupun satu dunia kita berpusing berkali-kali, kita tetap tak akan bertemu mereka.
+ + +
Larmina tersenyum kelat. Kenyataan itu sungguh perit, kerana ia adalah sebuah realiti walhal yang diharapkan ini semua hanyalah... sebuah mimpi.
Kenyataannya, ini nyata dan fakta.
Lebih menyedihkan lagi, Larmina tidak dapat melihat arwah bonda buat kali yang terakhir semasa hari pengebumian setelah dihalang oleh kakaknya, Alma.
Larmina merasakan dia menjadi punca kematian bonda. Jikalau dia tidak keluar meninggalkan bonda berseorangan di rumah, mesti semua ini tidak akan terjadi.
Larmina menjadi pembunuh kepada ayah tirinya sendiri. Sungguh, dia benar-benar merasakan dirinya tidak berguna.
Apakah dosa si anak kecil ini Tuhan sehingga diuji sebegini rupa akan mentalnya?
Baru seminggu ditinggal bonda, terasa hampa sangat hati, seketika hidup sepi dan tidak bersemangat setiap pagi.
Hari demi hari digigit kesepian yang amat menyeksa. Bagai luka terhiris belati karat, laksana ikan tersangkut pukat. Perit.
"Maafkan Mina, bonda. Maafkan Mina... hisk..."
Larmina menangis mengongoi. Kolam mata yang menahan seribu duka akhirnya pecah jua.
Petang ini, seperti hari-hari sebelumnya dia dibalut dengan selimut kekecewaan. Juga kesal, dengan dirinya sendiri.
Mengingat saat pemergian bonda yang tragis itu membuatkan hatinya meraung hiba. Bibirnya terketar-ketar. Tidak mampu mengungkapkan kata-kata untuk menggambarkan bahawa hatinya begitu sedih.
Larmina sangat merindui belai kasih daripada arwah bonda dan abahnya.
'Kalau bonda tak ada nanti, Mina jangan lupa doakan bonda ya? Jangan lupa untuk sedekahkan al-Fatihah untuk bonda dan abah.' Pesanan terakhir bonda kembali mengintai di fikiran.
TOK! TOK! TOK!
Jeda.
Onomatopoeia itu langsung tidak dapat perhatian Larmina yang sedang membaca al-Fatihah buat arwah abah dan bonda.
"Tolong sampaikan rindu ini kepada abah dan bonda, ya Allah. Abah, bonda... Mina dah tak tahu nak pergi mana. Mina tak kuat," katanya dalam tersedu-sedan.
Ditinggal sesosok wanita yang benar-benar bererti dalam hidup kita itu memang berbeza rasanya, sakit dalam perasaan rindu yang tidak berpenghujung.
Terasa ingin tidak hidup di dunia kerana lelahnya menahan rasa sakit yang begitu mendalam.
Krekk...
Bunyi daun pintu yang dibuka dari luar, menyentak kuat. Kepala Larmina terngadah sendiri. Memandang sosok tubuh yang perlahan-lahan masuk ke dalam. Tinggi lampai dengan langkah teratur.
Seorang wanita menarik dan duduk di kerusi berdekatan Larmina. Haruman sitrus pudina menerawang di dalam bilik itu. Sedikit-sedikit, ketenangan mula hadir.
"Hai adik Larmina. Awak rasa macam mana harini? Okey?" tanya dia dalam senyuman yang manis di bibir.
Wanita yang kemas bersarung kot putih dihadapan Larmina itu dipandang lama. Comel berkaca mata. Pandangan mata jatuh pada tag nama. ZEHRA.
Sudah jelas, beliau mesti jururawat yang bertugas di hospital ini.
Larmina menggeleng. Tangan kirinya menunjukkan matanya yang berlinangan air mata.
Jujur.
"Adik dah makan?" tanyanya lagi dengan lembut.
Pertanyaan itu dibalas dengan gelengan lagi. Larmina memang tidak akan makan jika dia tidak dipaksa.
"Adik nak makan?"
"Tak."
"Minum?"
"Taknak."
"Erm adik nak apa?"
"Bonda."
Larmina hanya menjawab dengan monosyllables.
Jururawat itu sedikit tersentak. Hatinya terasa hiba, menaruh simpati terhadap kanak-kanak perempuan di hadapannya ini.
Dia sudah tahu kejadian yang menimpa Larmina setelah diceritakan oleh Nek Mah.
"Akak..."
Pantas Zehra mengangkat wajah, memandang Larmina.
"Mina tak bunuh bonda..." Larmina mengeluarkan nada perlahan. Rasa pilu semakin menebal menyiat-nyiat di jiwanya.
Dengan rasa penuh letah-letai perlahan-lahan Larmina menundukkan kepala. Hatinya benar-benar rawan. Apabila bercakap tentang arwah bonda.
"Kakak kata Mina yang bunuh ayah dan bonda," sambungnya lagi sambil menahan tangis.
Kesayuan membelit wajah Zehra dengan tiba-tiba. Dia menarik dan menghela nafas panjang.
"Setiap mata yang tertutup belum beerti dia tidur. Setiap mata yang terbuka belum beerti dia melihat," kias jururawat itu.
Larmina pantas mengangkat kepala memandang Zehra. Di luar angin dengan tiba-tiba sahaja berubah rentak. Dari kencang menjadi perlahan. Macam bersimpati dengan apa yang melanda jiwa Zehra.
Tentang sesuatu.
Larmina memandang wanita yang masih lagi tunduk berdiam diri. Tidak sanggup rasanya Zehra untuk membiarkan gadis kecil di hadapannya ini ternanti-nanti. Bagi mengetahui jawapan sebenar mengapa kesayuan tiba-tiba hadir.
Dia kemudiannya menarik nafas panjang.
Larmina yang duduk berhadapan dengannya itu hanya mendiamkan diri sambil memerhatikan sahaja gelagat yang ditunjukkan oleh wanita di hadapannya itu.
"Awak... buat saya teringat pada Na'ime," ujar Zehra perlahan.
'Na'ime?'
"Pesakit kanak-kanak pertama saya yang saya jaga. Dia sama macam awak, dalam umur 9 ke 10 tahun macamtu."
"Saya kenal dia masa 'posting' di wad jantung. Dia sakit jantung berlubang. Terpaksa ditahan lama di wad sebab komplikasi pembedahan. Jadi, saya yang jaga dia," ceritanya lagi.
"Budaknya baik dan berakhlak mulia. Beberapa hari sebelum arwah discaj, dia kata dia sayang sangat dekat mak ayah dia. Dan dia kata, dia tak sabar nak berjumpa dengan mereka 'di sana' suatu hari nanti."
"Bila dah discaj, dalam perjalanan pulang ke rumah tu dia dan mak ayah saudaranya kemalangan. Semuanya selamat kecuali... Na'ime.
Saya waktu tu, susah nak cakap. Kami baru sahaja hantar dia keluar wad dengan senyum gembira. Kemudian terimanya semula sebagai jasad yang sudah tidak bernyawa." Zehra mengeluarkan nada hampa. Air jernih di hujung mata diseka.
"Tapi saya sedar, doktor cuma berusaha. Allah yang menentukan segalanya. Itulah lumrah kehidupan. Satu bayi yang lahir, berganti dengan satu nyawa yang pergi. Moga dia disatukan bersama mak ayahnya di tempat yang baik, aamiin," katanya lagi.
Jururawat ini... Islam?
"Adik nak dengar satu cerita tak?" soal Zehra.
Larmina mengangguk.
"Dalam satu trip akak ke Lausanne dengan WWF, kami pernah lihat kejadian yang sangat menarik berlaku pada seekor anak monyet," Zehra membuka cerita.
"Anak monyet ni kudung, mungkin terkena perangkap yang dipasang oleh pemburu. Ada orang di sekitar situ kata tangan anak monyet tu digigit anjing liar dan terpaksa dipotong supaya jangkitan kuman tidak merebak ke dalam badan terutama jantung dan peparu," terang Zehra.
"Kesiannya... kudung? Macam mana anak monyet tu nak bergayut kalau dia kudung, kak?" Larmina menyoal dengan penuh minat bercampur hairan dengan mengangkat kepala.
Hujung kening yang tidak gatal digaru Larmina sambil memandang wajah Zehra.
"Haa... itulah pointnya. Sebab fikir dia tak boleh 'survive' dengan sebelah tangan, kami bercadang nak 'tamatkan' penderitaan dia."
"Maksud akak?" Larmina cepat menyoal Zehra.
Rasa ingin tahu dengan lebih lanjut semakin bertapak kuat dalam diri gadis kecil itu.
"Kami cadang nak mematikan dia," jelas Zehra sebaliknya.
Larmina berasa sungguh terkejut. Apabila mendengar kata-kata yang keluar daripada mulut Zehra.
"Tapi... tak lama lepas tu kami nampak dia melompat dalam keadaan terbalik dengan menggunakan sebelah tangan. Kami kagum tengok macam mana haiwan sesuaikan diri dengan kekurangan 'mereka'," sambungnya lagi.
"Cuba tengok gambarnya dalam ni." Zehra menunjukkan gambar anak monyet itu kepada Larmina.
"Wah, seronoknya! Untungnya kakak dapat tengok depan-depan," ucap Larmina girang. Bibirnya tidak lekang dengan senyuman.
"Akak... Mina nak tanya, boleh?" Larmina membetulkan posisinya.
"Boleh, sayang. Apadia tu?" tanya Zehra pula sebaliknya.
"Akak orang Islam ke?" soal Larmina terus-terang tanpa alas.
Zehra menjongket kening, berasa sedikit aneh dengan soalan yang diajukan. Namun dia cuba untuk menyorokkannya dengan memberi senyuman.
"Ya, akak beragama Islam. Majoriti penduduk di bandar ni ramai yang beragama Islam. Kenapa adik tanya?" tanya Zehra kembali sambil membelai lembut rambut Larmina.
Lah, mengapa Larmina tidak perasan jururawat di hadapannya ini memakai tudung?
"Oh, dekat kampung Mina tak ramai orang Islam. Keluarga Mina je orang Islam. Dekat kampung Mina tak ada tempat solat tu, tapi ada gereja," jawab Larmina.
Er gereja eh nama dia?
Larmina tak tahu, cuma teringat bonda pernah kata dulu apa nama tempat tu. Erm lantaklah.
Zehra mengangguk-angguk tanda mengerti. Agak menarik.
"Saya percaya, satu hari nanti adik akan menjadi dewasa. Walaupun adik perempuan, tetaplah berdakwah ya? Sampaikan kebaikan dan penyebaran tentang agama Islam. Sebab agama Islam adalah agama fitrah, yang paling benar dan betul lurus," pesan jururawat itu dengan panjang.
"Belajar agama bukan hanya untuk menjadikan diri baik, tapi juga bermanfaat. Sayang jika hanya baik untuk diri tapi tak bermanfaat bagi sekitarnya, sebab sebaik-baik manusia adalah yang bermanfaat kepada orang lain." Zehra menambah.
Mata memandang sekilas pada jam tangan. Melihat masa yang ditunjukkan membuatkan dia tersedar akan sesuatu. Dia agak terlalu lama berada di situ.
"Baiklah Mina, akak pergi dulu, ya? Mina anak yang baik, Mina anak hebat. Moga Allah sentiasa cekalkan hati Mina untuk tabah dalam menjalani kehidupan," doa Zehra.
Lantas dia bangun dari tempat duduknya.
Larmina mengangguk dengan senyuman. Baru sahaja Zehra mahu melangkah keluar, Larmina memanggil.
"Akak..."
Kaki Zehra terhenti. Dia memalingkan muka ke arah Larmina.
"Terima kasih."
Ucapan itu Zehra terima dengan senyuman. Membuatkan pesakit tersenyum kerananya sangat memberikan dia satu kepuasan tatkala berkhidmat sebagai seorang jururawat.
"Sama-sama, berehatlah. Assalamualaikum."
Pemegang pintu ditarik dan ditutup dengan tertib sebelum kemudiannya Zehra berlalu pergi dari situ.
"Waalaikumussalam," jawab Larmina.
Hujan yang seminit berselang dengan matahari terik, seolah memberitahu Larmina sesuatu perkara.
Terima kasih, bonda. Terima kasih kerana pernah membuat Larmina tersenyum... Walaupun Mina tersenyum dalam tangisan, saat mengulangi sebuah kerinduan yang tidak berpenghujung.
Buat masa ini...
Biarkan dia sendiri.
Berilah dia ruang.
Berikanlah dia waktu.
Sebuah ruang untuk bernafas.
Sebuah waktu untuk dia menyapa sadarnya.
[Bersambung >> FREEDOM - 14]
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Com