Truyen2U.Net quay lại rồi đây! Các bạn truy cập Truyen2U.Com. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

14

"Bonda." Larmina ternampak lambaian bonda. Dia melangkah mengikut bonda yang terus-terusan menggamit. Bonda berjalan balik ke rumah. Kaki Larmina pantas mengikut.

Tiba-tiba bonda hilang daripada pandangan. Larmina tercari-cari. Matanya melilau memandang sekitar.

Larmina sedar, dia kini berdiri menghadap batu nisan di pusara arwah abah dan bonda.

RUMPUT-RUMPUT di sekeliling pusara itu dicabut Larmina. Pusara pertama yang dicari. Pusara pertama yang dia jejaki. Pusara pertama yang dia duduki.

Pusara arwah bonda.

"Bonda..." Serak suara basah Larmina menyeru.

Tubir matanya mulai berlinangan dengan air mata. Tangannya menyentuh lembut pada batu atas pusara bonda.

Kemudian, tangan perlahan-lahan turun menyentuh tanah kubur yang masih merah.

"Maafkan Mina ya?" Dia mengetap bibir, menahan tangisan daripada jatuh.

"Anak bonda ini yang bunuh bonda."

Bendungan air mata Larmina pecah. Dada terasa sebak sekali dengan kenyataan yang keluar dari mulut sendiri.

"Mina janji dengan bonda, kuat demi bonda... Kuat demi diri dan kuat kerana...?"

"Allah..."

"Bonda... maafkan Mina, bonda. Mina tak kuat..." Sayup dan pilu menghambat hati.

Berkaca-kaca linangan air jernih gugur dari sudut kelopak mata.

Perlahan-lahan bonda menyoretkan senyuman nipis di bibir tua itu.

"Mina mungkiri janji Mina untuk kuat demi bonda... maafkan Mina," tutur Larmina dengan kesal.

Demi Allah Mina tak kuat.
Demi Allah Mina tak kuat, bonda.

Larmina beralih ke pusara abah di sebelah pusara bonda.

"Abah... Mina rindu."

Dedaun kering yang menutupi pusara abah dibersihkan dengan penuh hemah. Rumput yang mulai tumbuh di sekeliling pusara abah, dia cabut.

"Kita semua akan pergi, Mina. Bonda pun akan pergi nanti," dan sekarang bonda betul-betul sudah pergi. Yang tinggal cuma aku sendiri dengan kenangan di hati dan mata yang masih berkaca.

Aku tidak berhenti menangis, walaupun kenyataannya abah dan bonda telah pergi... dan tak akan kembali.

Aku tetap tidak percaya bonda sudah tiada, sekarang aku hanyalah seorang diri yang tidak mempunyai abah dan bonda.

Aku akan hidup sebatang kara di dunia ini dalam umur yang cukup muda dan masih sangat memerlukan kasih sayang.

"Cu... sudah ya, mari kita pulang sayang..."

Nek Mah berusaha memujukku pulang sambil mengangkat badanku. Aku masih menangis dan aku menggeleng-gelengkan kepala.

'Taknak, nek. Mina nak duduk kat sini temankan abah dan bonda Mina,' jerit suara batinku.

"Mina nak ikut bonda." Larmina ulang permintaannya sambil mendongak memandang Nek Mah.

"Ikhlaskan semuanya sayang, abah dan bonda Mina akan sedih nanti kalau Mina terus macamni. Sudahlah mari kita pulang." Nek Mah memaksaku untuk berdiri. Aku pasrah.

"Baiklah bonda, abah... nanti Mina datang lagi ya. Assalamualaikum."

Kami berjalan pulang. Nek Mah menyeka air mata jernih cucunya itu. Cuba untuk menenangkan diri Larmina.

Esakan itu hilang senyap-senyap, seolah-olah tiada lagi air mata yang tertinggal di wajahnya.

Namun tangisan itu masih berlegar di hati. Kesedihan, kesakitan dan kesunyian yang membebankan.

Terima kasih bonda, telah mengajarkan banyak hal di dunia ini bonda, terima kasih telah menjadi bonda yang hebat, yang mampu Mina kirim hanya doa setiap hari untuk bonda sekarang.

Maafkan Mina bonda, sebab masih belum dapat membahagiakan bonda.

+++

Terima kasih kerana mengenalkan aku kepada kasih sayang,

Terima kasih kerana mengenalkanku kepada belas kasihan,

Terima kasih kerana mengenalkanku kepada rindu,

Terima kasih kerana mengenalkanku kepada duka,

Terima kasih kerana mengenalkanku kepada kecewa,

Terima kasih kerana mengenalkanku kepada harapan, dan memberiku peluang menikmati kehidupan yang kini hanya seorang diri.

Terima kasih, atas segalanya.


***

AKU memandang ke arah rumah di hadapanku kini, tepatnya... sebuah rumah kayu kecil.

Mata meneliti segenap inci dinding kayu yang kian mereput. Seketika, aku mengeluh kecil.

Bukan mengeluh kerana bakal menjalani kehidupan yang miskin lagi, namun ianya kerana kali ini aku bakal meneruskan hidup tanpa sosok yang disayangi selama ini.

"Mina, mulai hari ini kamu akan tinggal bersama nenek, ya?"

Aku terpaku merenung Nek Mah. Tiada anggukan atau gelengan diberi. Cuma kerlipan mata yang penuh tersirat sahaja yang diberi. Aku hanya mampu menurut.

"Jom, kita masuk," ajak Nek Mah lalu mereka melangkah masuk ke dalam rumah itu.

Mulai saat ini, Nek Mah akan menjaga kedua cucu perempuannya. Nek Mah tidak mahu cucu-cucunya terus terusan sedih teringatkan arwah bonda dan ayah mereka.

Mungkin dengan ini dia dapat menebus kesalahannya suatu tika dahulu, atas sebab mengahwinkan Seyra dan Hamza.

+ + +

MALAM bertakhta. Butir-butir bintang yang menghias dada malam mengerdip cantik.

Pintu dikuak perlahan lalu ditutup dengan penuh hemah. Langkahnya kini mendekati Larmina yang sedang melihat gambar arwah abah dan bonda pada loket rantai pemberian arwah bondanya.

Larmina rindu. Rindu sosok penyemangat dalam hidupnya yang selalu memotivasikan Larmina dalam segala hal, iaitu bonda.

Bonda sahaja yang faham dia.

Namun belum sempat membahagiakan bonda, belum sempat buat dia tersenyum sepenuhnya, belum sempat memberikan yang terbaik, bonda sudah pergi meninggalkan dirinya... sendiri.

"Semoga bonda dan abah dimasukkan ke dalam syurga, ya Allah," tutur Larmina perlahan lalu loket itu dikucup lembut sambil matanya yang dipejam rapat.

"Kau tengok apa tu?" soal Alma sekali gus menyentakkan Larmina.

Mata Larmina serta-merta dibuka. Lantas, dia menggenggam rantai loket di tangannya itu sebelum disorok di tepi badannya.

"Tak... tak ada apa-apa," jawab Larmina sambil menggeleng perlahan.

"Mina nak tidur dulu," tutur Larmina senada. Berharap yang Kak Alma faham akan suara penatnya, ingin berehat.

Alma membongkokkan tubuh. Menyamakan paras kedudukan Larmina dengannya.

Larmina pejam mata. Kedudukan wajah Alma hanya seinci dari wajahnya.

Tangannya naik mengusap perlahan rambut ikal mayang Larmina. Menyalir kasih sayang palsu. Ada senyuman syaitan terukir di wajahnya.

Belaian lembutnya di ubun-ubun hanya sekejap, sebelum tangannya mencengkam kasar rambut Larmina.

"Sombong kau eh? Makin biadap sekarang," kata Alma perlahan. Namun dalam suara perlahannya itu ada ketegasan yang terselit.

Larmina menahan perit dan tangis. Cukup, dia tidak mahu menjadi lemah lagi.

"Seronoklah kau kan? Bunuh ayah aku. Suka tengok keadaan aku macamni?" soal Alma. Cengkaman di rambut Larmina semakin dikuatkannya.

Larmina hanya mampu memaparkan riak menahan kesakitan. Mulutnya bagai dikunci, lidah pula bagai tidak boleh bertutur lagi.

"Kenapa eh kau buat macamtu? Nak tahu jugak, apa dendam kau dekat aku sampai nak bunuh ayah aku tu," sambung Alma lagi.

Renungan matanya yang tajam menusuk ke lensa Larmina.

"Seteruk-teruk aku, aku tak macam kau tau. Walaupun perangai aku ni 'setan' sikit tapi tak adalah sampai nak membunuh!"

Badan Larmina ditarik dan direngkuh lalu dihentak pada dinding kayu rumah. Larmina meringis kesakitan. Kuku Alma yang tajam masuk menghiris kulit Larmina yang lembut.

"Sakit, kak..." rintih Larmina namun sama sekali dihiraukan Alma.

"Ooo sakit, tahupun kau sakit. Habistu kau tikam ayah aku tu kau ingat tak sakit ke!"

Hembusan nafas menerpa sesama sendiri.

Rantai loket yang digenggam Larmina luruh dan tercampak ke lantai. Alma mencapai loket itu lalu dilihat dengan teliti. Segaris senyuman sinis tersungging di bibirnya.

Satu idea jahat timbul di benak fikiran. Ada gunanya juga kan kalau digadai?

"Kak, jangan ambil rantai tu kak. Rantai tu bonda yang bagi Mina," rayu Larmina.

Menagih rasa simpati daripada Alma dengan harapan yang menggunung tinggi terbenam di lubuk hatinya.

Alma mendengus kasar. Leher Larmina dicekik kuat sehingga badannya sedikit terangkat.

Melihat Larmina yang seperti sudah tidak cukup nafas itu amat memuaskan hati Alma. Cengkaman dilepaskan. Larmina jatuh terduduk.

"Kau takkan dapat balik loket ni, faham!" herdik Alma. "Aku nak gadai rantai ni," sambungnya.

Tidak lama selepas itu tawa Alma meletus dan mengacah cuping telinga Larmina.

Larmina memegang lehernya yang sakit. Dia hanya mampu merenung sayu tindakan kakak tirinya itu.

Alma kembali membongkokkan tubuh. Tangannya memegang kasar dagu Larmina.

"Hei kau dengar sini, kau jangan nak tergedik-gedik pergi mengadu dekat nenek. Itupun, kalau kau rasa taknak kepala kau ni pecahlah," ugutnya.

Alma lantas bangun dan memalingkan tubuh, ingin keluar dari bilik itu. Namun buat seketika langkahnya terhenti. Kepalanya menoleh memandang Larmina.

"Oh lagi satu, aku tak benarkan kau pergi keluar kemana-mana. Kecuali hal penting atau nenek yang suruh. Faham?" tanya Alma.

Matanya terbeliak besar memandang Larmina.

"Faham ke!" Dia meninggikan suara.

Nadanya naik seoktaf namun masih dikawal agar tidak didengari oleh Nek Mah yang kini mungkin sudah tidur.

"Faham kak," jawab Larmina perlahan.

"Heh, kalau tak... aku hantar kau dekat rumah kebajikan masyarakat. Duduk sini pun menyusahkan orang aje!"

Alma kemudiannya meninggalkan Larmina dari bilik itu.

Malam ini begitu indah, namun tak seindah hidup yang dijalani Larmina. Hanya satu hal yang dia inginkan, dan dia harap sebelum dia mati dia mampu mewujudkan impiannya itu.

Impian Larmina, adalah impian bonda.

"Loket Mina... Bonda, kakak ambil rantai tu," keluh Larmina dalam suara yang lemah dan tak bermaya. Bersama rasa kecewa dan hampa terukir di wajahnya.

Loket itu adalah satu-satunya kenangan yang dimilikinya.

Hanya loket itu yang menjadi tempat untuk Larmina melepaskan rindu yang tidak berpenghujung dikala Larmina masih terhenyak dalam emosi zaman di bawah putaran masa.

"Ya Allah berikanlah hamba kekuatan untuk memikul tanggungjawab dan beban berat ini. Mina tak kuat, ya Allah," ucap Larmina dengan perlahan sebelum naik semula ke atas katil.

[Bersambung >> FREEDOM - 15]

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Com