18
Hujan mula gerimis. Timbunan air terkumpul, mencipta lopak.
Selimut menutupi tubuh Larmina, cukup untuk menghilangkan udara sejuk khas hujan.
Iris hitam Larmina dipejam celik beberapa kali. Kepalanya terasa menyucuk kuat.
'Huh? Dekat mana ni?'
Larmina terdiam sejenak. Matanya masih curiga dengan suasana sekitar.
Namun suasana ini... dia pernah rasa. Bebola mata masih memerhatikan kawasan sekeliling.
Hanya berwarna putih.
Ah! Hospital?
Suasana bungkam seketika dan dirayapi sepi.
Tiada sesiapa yang berada di dalam wad ini.
"Aku..." Mata dikalihkan ke tangan kirinya. Pedih.
Tangan Larmina kini dibalut oleh bandage. Namun begitu, tompokan merah tetap juga kelihatan di bandage yang putih bersih itu.
"Aku hidup lagi?"
Daun pintu yang terkuak tiba-tiba menyentakkan Larmina. Nenek dan Alma melangkah masuk dan menutup pintu dengan tertib.
Namun melihat Larmina yang sudah sedar, membuatkan mereka menapak laju ke arah Larmina.
Rasa gembira dan syukur berbunga di lubuk hati mereka. Larmina yang sedar akan kehadiran Nek Mah dan Alma cuba sedaya upaya menggagahkan diri untuk duduk.
"Alhamdulillah kamu dah sedar, cu." Nek Mah menyeka air matanya menggunakan hujung baju.
Sepasang mata letih Larmina menatap wajah Nek Mah, lalu senyuman lemahnya menjamah sebentar ke wajah neneknya itu.
"Nek Mah ada bawakan makanan untuk cu, cu makan ya?" kata Nek Mah sambil meletakkan bekas makanan di atas meja kecil di tepi katil.
Lambat-lambat walaupun dalam gaya teragak-agak, Larmina mengangguk.
Dalam keadaan ini, seleranya langsung tidak ada namun pabila memikirkan tentang Nek Mah yang bersusah-payah bawakan makanan itu dari jauh membuatkan dia akur.
Ubun-ubun Larmina diusap lembut oleh Nek Mah.
"Nek Mah nak basuhkan sudu, kejap ya cu," ujarnya sebelum perlahan-lahan berjalan ke bilik air.
Alma memerhatikan pergerakan Nek Mah. Nek Mah menoleh dan memberi pandangan penuh makna kepadanya. Seakan faham atas tindakan Nek Mah, Alma mengangguk kecil.
Kini, hanya tinggal Alma dan Larmina berdua di situ. Beberapa detik berlalu begitu sahaja.
"Inilah sebabnya aku tak bagi kau berjumpa dengan sesiapa. Tapi kau degil," kata Alma perlahan, memecahkan sepi. Cukup hanya dia dan Larmina sahaja yang mendengar.
Senyuman Larmina memudar. Larmina menarik nafas panjang. Matanya dipejam perlahan.
"Itulah sebabnya lebih bagus kalau Mina mati... tak jadi bahan umpatan sesiapa," ujar Larmina.
Kata-kata yang melantun dari mulut kecilnya itu membuatkan Alma tenggelam dalam arus kata.
Mata Larmina memandang ke bawah, sedikit pun dia tidak mahu wajahnya dijamah oleh silau mata kakak tirinya itu.
Pernyataan Larmina cukup membuatkan Alma dihimpit dengan segunung rasa serba salah.
"Kenapa Mina tak mati? Kalau Mina mati, Kak Alma pun dah tak boleh dera Mina," ujarnya lagi dengan selamba.
Mata Alma membulat, terpercik secebis kejutan di wajahnya.
"Kenapa Mina kata macamtu?"
"Salah?" Mata Larmina yang redup semakin membara. Bukan niat mahu kurang ajar namun dia sendiri sudah penat dengan semua ini.
"Mina penat. Mina nak rehat." Larmina mengeluh seketika dalam helaan nafas kasar.
Penat! Sangat penat. Bukan fizikal sahaja malah mental juga turut sama.
Larmina mahu menangis. Hatinya amat sakit. Tubuh badan serta kepala juga masih sakit, tetapi ditahan sekeras hati.
Larmina tahu, kalau dia menangis, kakak tirinya itu akan seronok dan mentertawakan dia. Larmina tidak mahu menunjukkan kelemahannya lagi. Larmina telan air matanya supaya tidak gugur di pipi.
"Mina..." panggil Alma perlahan. Dia mengambil posisi di penjuru katil.
Larmina memejam mata rapat. Tidak! Dia tidak mahu tunjuk lemah lagi!
Alma melirik mata ke arah lengan Larmina. Perlahan-lahan tangannya memegang tangan Larmina dengan penuh berhati-hati. Ada air mata kesal tercalit pada wajahnya.
"Akak minta maaf atas segala yang akak dah buat pada Mina. Sepatutnya akak yang melindungi Mina, bukannya menyakiti Mina," ujar Alma memohon kemaafan.
Huh, semudah itu?
"Akak minta maaf..."
Alma mengeluarkan air mata egonya selama ini. Lantas, dia merangkul tubuh Larmina.
"Maafkan akak sebab tak guna akal fikiran disebabkan dendam akak. Maafkan akak, Mina. Maafkan akak," tutur Alma kesal.
Larmina terkejut dengan tindakan kakak tirinya. Melihat keadaan kakaknya yang sedang menangis itu membuatkan hatinya berdetik hiba dan dari kelopak matanya tergenang air mata hangat.
Kedua-dua ulas bibir Larmina menguntum senyuman tawar.
Hanya Tuhan Yang Maha Mengetahui akan gelombang perasaannya kini.
Larmina membalas dakapan Alma dengan erat meskipun tangannya masih sakit.
Apa lagi perkara yang lebih bahagia daripada ini?
Apa lagi erti sakit jika dia telah dimaafkan oleh kakaknya sendiri?
Biarlah dia disiksa seteruk manapun. Asalkan dia dapat dimaafkan oleh kakak tirinya, dia sanggup terima apa sahaja.
"Akak, Mina sayang akak. Mina tak pernah bencikan akak," balas Larmina.
"Akak pun sayang Mina," akui Alma.
Dia sedar, Larmina masih terlalu muda untuk mempersiakan dirinya sekadar untuk bermurung.
"Cuma... apa yang Kak Alma dah buat dekat Mina sakit sangat," luah Larmina dalam suara yang bergetar.
Alma kelu seketika. Dia tahu ini salahnya. Bukan mudah juga untuk Larmina menerima kata-katanya itu.
"Mina mampu maafkan akak, tapi maaf... untuk Mina lupakan segala perbuatan akak itu susah," sambungnya lagi.
Alma hanya menghadiahkan seulas senyuman mendengar pernyataan tersebut. Baginya, perkara itu memang wajar dilakukan oleh Larmina.
"Tak apa, Mina dah maafkan akak pun akak bersyukur sangat dah. Terima kasih ya, Mina."
"Sama-sama, kak."
Nek Mah kembali semula sebelum duduk di penjuru katil Larmina dan meletakkan sudu yang telah dibasuhnya di atas bekas makanan.
"Akak janganlah nangis, tau? Mina sayang akak dengan nenek. Mina taknak orang yang Mina sayang sedih-sedih. Nanti comotlah muka akak yang cantik ni."
Percakapan Larmina mengundang tawa Alma.
"Iyalah, kalau macam itu jom makan bubur ayam ni."
Bekas makanan dibuka Alma lalu sudu yang berisi bubur ayam disuapkan ke dalam mulut Larmina.
"Sedap tak?"
"Hm? Sedap. Sedap sangat!" jawab Larmina dengan girang.
"Kak Alma kamu yang beria benar nak masakkan bubur ni untuk kamu," kata Nek Mah menyelit perbualan di antara cucunya.
"Wah, pandainya akak buat."
Buat kali keenam disuap, Larmina bersuara.
"Alhamdulillah, terima kasih kak. Sedap sangat, tapi Mina dah kenyang."
"Eh, banyak lagi makanan tak habis ni... tak luak pun. Mina taknak lagi?" tanya Alma dan pertanyaan itu dibalas dengan gelengan oleh Larmina.
"Baiklah kalau macamtu, akak taknak paksa Mina. Mina rehat baik-baik tau? Kalau ada apa-apa, Mina boleh panggil jururawat. Nanti Kak Alma dengan nenek datang lagi, okey?" kata Alma mengakhiri pertemuan pada hari itu.
Larmina mengangguk dan membalas dengan sebuah senyuman kepada mereka.
***
MATA masih terkebil-kebil melihat siling. Sekejap badannya berpusing menghadap kanan. Sekejap dia berpaling ke kiri pula.
Matanya juga dikerah untuk pejam namun dia tetap tidak dapat lena walau sepicing pun.
Cahaya lampu jalan dari luar berjaya masuk dan menjadikan keadaan di wad ini samar-samar. Di luar jendela, kedengaran burung gagak menggauk.
Sudah jam 1 pagi. Tiba-tiba satu cahaya putih bersinar tidak jauh dari katil dan muncul pintu putih yang dihiasi ukiran yang cantik dan kemas buatannya.
"Pintu apa tu?" soalku dengan nada terkejut.
Aku yang sebelum ini berbaring di katil terus bangun dan menanggalkan wayar yang ada di sekitar tanganku. Aku berdiri menghadap pintu putih yang tiba-tiba muncul entah dari mana.
"Pintu dunia mimpi," kedengaran satu suara wanita seolah-olah berbisik di telingaku.
Aku melihat sekelilingku. Tiada orang lain, kecuali aku seorang dan bayangku sendiri di sebalik pintu.
Bulu roma aku meremang.
Pintu dunia mimpi itu terkuak kecil dan memperlihatkan kepadaku sedikit keajaiban yang ada di sebalik pintu itu. Perasaan ingin tahu yang membuak-buak membuatkan aku melangkah menuju ke pintu dunia mimpi.
Aku genggam dan kutarik tombol pintu itu agar ianya terbuka. Aku terkesima melihat segala yang ada di sebalik pintu. Tidak dapat dibayangkan dengan kata-kata.
Aku mula melangkah untuk memasuki ke dunia mimpi di sebalik pintu.
"Selamat datang," suara wanita itu sekali lagi kedengaran.
Sewaktu itu, aku seolah-olah sedang khayal. Suara ini seakan biasa aku dengari, dan terasa sangat dekat bersama orang yang aku sayang.
Ini... ini suara bonda!
"Jom, bonda bawa Larmina mengembara dan nikmati segala yang ada dekat dunia ni," kata suara bonda itu sebelum aku terhanyut lena di alunan mimpi.
• • •
"Bonda... tunggu. Abah, bonda... tunggu Mina."
"Bonda!" Larmina terjerit kecil.
Matanya dikerdipkan beberapa kali di dalam gelap. Kata-kata bonda dalam mimpi tadi kembali terngiang di telinga.
Air mata dibiar mengalir di pipi buat kesekian kalinya tanpa diseka. Igauan mimpi dan igauan hatinya bertaut satu dan merebut keasyikan yang disulam.
Mimpi dalam mimpi? Ya, benar.
Bonda sempat datang jumpa Larmina dalam mimpi sambil mengusap kepalanya. Mungkin itu tanda terima kasih kerana sudah menjaga dia.
Bonda pesan, Larmina perlu kuat. Bonda kata, bonda bahagia di sana bersama abah.
Aku jadi gembira. Rasa hampa dan kecewa selama ini terasa hilang setelah aku dapat bertemu abah dan bonda. Allah telah mengabulkan doaku untuk bertemu dengan bonda, walaupun cuma di alam mimpi.
Alhamdulillah... terima kasih Ya Allah.
Cuma, mengapa aku tidak boleh bersama mereka? Kan lebih seronok jika begitu?
Hurm.
Bonda juga berpesan,
"Mina jangan putus asa dalam hidup, tau? Hidup ni perlu diteruskan. Gantungkanlah azam dan semangat Mina setinggi bintang di langit walau apapun jadi."
"Mina anak yang baik," sambungnya lagi.
Aku mengukirkan senyuman nipis.
'Baik, bonda. Mulai hari ini, Mina janji... Mina tak akan biarkan diri Mina dibelenggu rasa yang negatif lagi.
Mina akan kuatkan semangat, sebab Mina yakin di sana abah dan bonda lihat Mina dari atas sambil sebut "Mina anak hebat Mina kuat!"
Ya! Insya-Allah Mina kuat kerana Allah dan bonda,' kata hatiku lagi.
Harapan itu pernah membunuh diriku dulu.
Namun...
Harapan itu jugalah yang menyinari makam derita ini.
Aku pasti akan menunaikan suatu pengharapan, suatu permintaan dan suatu keinginan yang menatang keharuan, suatu janji pada diri sendiri yang bertolak dari titik-titik derita.
"Pasti!"
[Bersambung » FREEDOM - 19]
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Com