Keluarga Baru
KERETAKU diparkirkan di perkarangan rumah banglo dua tingkat Datuk Yusri. Kelihatan dari cermin tingkap gelap kereta, Datuk Yusri dan Datin Bashirah menunggu aku bersama sebuah senyuman gembira.
Entah kenapa, jantungku berdetak laju. Perasaan teruja, gembira, cemas dan tak sedap hati bersilih ganti dalam hatiku.
Dada dipegang. Ah, hati. Kenapa rasa tak tentu arah ni? Mungkin kerana ini merupakan hari yang paling ditunggu-tunggu sekali.
Makan bersama bagaikan sebuah keluarga yang lengkap. Bagaikan sebuah keluarga yang bahagia.
Nafas ditarik dalam-dalam lalu dihembus kuat, cuba menenangkan hati yang agak bercelaru.
Beberapa kali mengulang perlakuan yang sama, senyum ditarik. Pintu kereta dibuka.
"Dear, kenapa lambat sangat buka pintu? Nervous ke?" Duga Datin Bashirah lalu tergelak kecil.
Aku tersengih. Tepat kena batang hidungku. Memang aku cemas pun.
Lantas tangan tua Datin Bashirah menarik lenganku lembut untuk mengajakku masuk.
"Jom, jom. Kita masuk. Mama masak makanan kegemaran Fira tau! Dulu, tiap-tiap hari Fira akan minta mama masakkan makanan ni untuk Fira." Cerita Datin Bashirah, bersemangat.
Aku ketawa. Walaupun kenangan indah itu sudah aku lupakan, tapi kehangatan kasih sayang Datin dan Datuk terasa ada dalam hati ni.
Kakiku melangkah masuk ke dalam rumah itu. Saat tiba saja di bahagian dapur, terdengar riuh rendah suara perempuan dan seorang kanak-kanak sedang bergaduh.
"Ya Allah, Ian!! Habis tumpah nasi! Ian nikan! Cuai! Macam mana boleh tumpah ni?" Rungut Humairah, gadis yang berusia 16 tahun. Sewaktu kemalangan, dia mengalami kecederaan teruk di bahagian tangan kanannya namun alhamdulillah, semuanya selamat selepas menjalani rawatan pakar.
Dia sedang mengutip nasi yang berterabur di lantai gara-gara kenakalan Ian.
"Ian dah cakap pinggan nasi tu berat. Kak Ngah yang paksa Ian bawa juga!" Balas Ian dengan cebikan di bibir. Tangan disilangkan ke dada bersama wajah yang cemberut.
"Eee... Awak tu, memang! Lembik! Bawa pinggan nasi pun boleh jatuh! Sendi otot tu dah hilang ke apa?" Perli Humaira membuatkan aku ketawa.
Membulat mata Ian disindir begitu. Dia menyinsing lengan bajunya hingga ke bahagian ketiak lalu Ian sedaya upaya menunjukkan otot comelnya kepada Humaira.
"Eh, mana ada! Ni... Ha! Tengok! Kuat tau. Ian ni abang sado ya!" Terkembang kempis hidung Ian, bangga punya pasal.
Humaira cebik meluat. "Abang sado konon. Badan kecil macam awak ni, sekali tiup, melayang sampai ke Utara Afrika sana."
Datin Bashirah yang melihatkan pergaduhan yang tercetus itu kalut-kalut mendekati mereka.
"Eh, apa ni Mai, Ian, gaduh-gaduh macam budak kecil! Malulah Fira tengok. Kemas cepat. Ian, salam Kak Fira." Arah Datin Bashirah.
Datuk Yusri tergeleng perlahan sambil tersenyum. Aku pula sudah lama gelak. Allah, sungguh aku rindu dengan suasana ini. Sangat-sangat!
Ian mendekatiku lalu menyalami tanganku. Dia memandangku dengan wajah polosnya. "Kak Fira, Ian kuatkan? Kak Ngah tu dengki. Tahulah otot dia tak besar macam kita. Lemak je banyak," kutuk Ian selamba lalu terkekeh-kekeh ketawa pada hujung ayatnya.
Ian merupakan anak angkat Datuk Yusri dan Datin Bashirah. Jadi, tak hairanlah muka Ian tiada iras-iras wajah Datuk Yusri mahupun Datin Bashirah.
Humaira yang sedang membersihkan nasi di lantai, lantas bangun lalu bercekak pinggang dengan wajah garang.
"Amboi, Ian! Hoi, Kak Ngah dengar tau! Jangan sampai Kak Ngah mulakan perang nasi Basmathi kat sini!" Ugut Humaira. Matanya menjegil memandang Ian yang sudah menjelir lidahnya pada Humaira.
"Sudahlah Mai, Ian. Kak Long boleh dengar dari belakang lagi. Kauorang ni... Kalau sehari, tak boleh ke cuba berdamai sikit. Sakit telinga Kak Long dengar kauorang terpekik, terlolong macam orang sakit jiwa!" Bebel Huraiyah, anak sulung dalam keluarga ni.
"Kak Long ni membebel je!" Balas Humaira dan Ian serentak. Terkebil-kebil Huraiyah memandang mereka berdua sebelum kedua-dua tangannya mula dicekakkan ke pinggang.
"Oh, membebel! Eh, orang yang duk membebel nilah yang sediakan makan minum kauorang kalau mama dan papa tak ada tau!" Ungkit Huraiyah tak puas hati. Wajah gadis yang baru berusia 20 tahun itu masam mencuka.
"Ya Allah, Ya Rabb! Sudah! Sudah!! Kamu tak perasan ke ada tetamu datang ni? Tak malu ke? Jagalah air muka mama ni." Marah Datin Bashirah lalu setiap satu wajah anak-anaknya dipandang tajam.
Suasana dapur sunyi apabila marah si permaisuri rumah sudah meletus. Datuk Yusri pula hanya senyum senget lalu mengangkat kedua-dua bahunya tanda tak mahu masuk campur.
Lekas-lekas, lengan Datin Bashirah dipelukku mesra. Aku ukirkan senyuman manis padanya.
"Ala... Datin. Tak payahlah marah sangat. Biasalah, adik beradik. Selalu bergaduh, riuh rendah... Tapi bila mereka dah tak ada, saya pun jadi rindu." Kataku lalu mataku mula merenung kembali waktu dulu.
Senyum manisku kini berubah kelat mengenangkan Kak Fiqa dan Fina. Tuhan, rindunya aku pada mereka.
Jika boleh diputarkan masa, ingin kulaluinya lagi sekali.
Datin Bashirah membalas pelukanku dengan erat.
"Jomlah, kita duduk. Makan-makan. Lepas tu, kita borak sama. Dinner ni kami buat sebab nak raikan ahli keluarga baru. Jadi, no sedih-sedih." Ujar Datin Bashirah lalu jari telunjuknya digoyang kiri dan kanan.
Dia mengajakku duduk untuk makan bersama. Ian, Humaira dan Huraiyah turut mengambil tempat. Manakala Datuk Yusri sudah lama melabuhkan punggungnya di kerusi.
Sebelum makan, sempat Datuk Yusri memandang semua orang di meja makan yang besar itu.
"Sebelum tu, papa nak buat syarat." Tutur Datuk tiba-tiba membuatkan semua pasang mata memandang ke arah Datuk Yusri dengan kening bertaut.
"Syarat? Mai dah lama ni. Macam nak mati dah rasa!" Rungut Humaira, perlahan namun masih didengari yang lain.
Huraiyah menyenggol lengan Humaira dengan sikunya lalu menjelingnya tajam.
"Mati betul-betul, baru padan muka Mai!" Perli Huraiyah.
Ian yang berada di sebelah kiri Humaira turut melakukan hal yang sama.
"Apa syaratnya, bang?" Soal Datin Bashirah.
Datuk Yusri memandangku lalu tersenyum. "Papa nak buat syarat, sebelum kita makan, papa nak Fira panggil kami macam keluarga kamu."
Redup saja mata Datuk Yusri terarah padaku. Aku terkelu sebentar.
"Err... Tapi masih tak biasalah! Lagipun, Fira segan." Beritahuku lalu kepala yang tak gatal digaru-garu perlahan.
"Mana boleh! Tak ada orang panggil mak ayah dia datuk datin! Nanti jadi peliklah!" Bantah Ian. Aku mengeluh.
Susah juga kalau ada budak lima tahun yang petah bercakap ni. Susah nak cantas kata-kata mereka sebab mereka ni terlebih jujur.
"Hmm... Tapi," Aku cuba beralasan. Sungguh, aku tak biasa.
"Fira, kamu nak segan apa? Semua kat sini dah jadi ahli keluarga kamukan?"
Aku gigit bibir sebelum menghela nafas panjang. Datuk Yusri dipandang, "Pa...pa," Semerta, perasaan sebak menyentap kalbu. Lama rasanya aku tak panggil seseorang itu papa.
Mataku kini beralih pada wajah gembira Datin Bashirah. "Ma... Mama." Aku mula rasa ingin menangis kerana perasaan terharu, gembira dan... Rindu.
Aku lihat pula Huraiyah. "Kak Long," Dadaku terasa sempit kerana cuba menahan rasa yang membuak-buak.
"Kak Ngah," Suaraku bertukar serak. Pandangan mataku kabur dengan air mata.
Akhir sekali, wajah polos Ian direnung. "Ian."
Tanpa ditunggu-tunggu lagi, air mataku jatuh. Cepat-cepat kuseka lalu senyum lebar kuhadiahkan buat mereka semua.
"Keluarga Fira yang baru."
Ya Allah, Ya Salam, aku bahagia.
#####
426 memasukkan earphone di kedua-dua belah telinganya sambil tangan laju mencatat rakaman yang didengarinya tadi di atas kertas. Rakaman itu merupakan bukti jenayah yang dilakukan sebuah kumpulan mafia yang baru saja mahu berjinak-jinak dengan dunia pembunuhan.
Sedang pen berdakwat hitam itu menari-nari di kertas putih mejanya, dia tiba-tiba teringatkan Shafira. Lantas bibirnya mengukir senyum lebar mengenangkan kegembiraan gadis itu kerana dapat makan malam bersama keluarga barunya.
Dia pasti Shafira teruja bertemu dengan keluarga angkatnya kerana merekalah yang dapat mengubat sunyi dan rindu Shafira pada keluarganya yang sudah meninggal dunia kerana sebuah tragedi yang berpunca dari perasaan...
Dendam.
Manusiakan? Diberikan akal untuk berfikir tapi disia-siakan begitu saja.
Bagaikan tersedar dia sudah jauh mengelamun, segera dia mengumpul semula fokus yang dibawa pergi oleh bayangan gadis itu tadi.
Baru saja dia mahu mengulang rakaman itu, dia tersentak saat terdengar suara lelaki di dalam kaset itu berkata,
"....Mempertemukan mereka dan waktu tu, semuanya musnah! Ha ha ha ha!!"
Entah kenapa, banyangan wajah gadis itu kembali menerjah minda. Tapi kali ni bersama dengan seorang gadis yang bernama... Maya Karmeela. Tersenyum sinis memandang Shafira dari belakang dengan sebilah pisau yang tajam.
Jantung 426 berdetak hebat. "Kenapa aku baru perasan semua ni?" Bisiknya sendiri lalu earphone dicabut kasar. Jaket kulit hitamnya dicapai di atas katil lalu disarung kemas. Topi hitam turut dipakai ke kepala.
Telefon bimbit diambil lalu nombor seseorang didail laju. Sambil menunggu panggilannya berjawab, 426 bergegas turun dari rumahnya untuk menuju ke kereta. Wajahnya kelihatan tegang.
"Helo,"
"Pergi rumah Datuk Yusri. Sekarang!" Arah 426, keras.
"Hah? Buat apa?" Soal suara garau di hujung talian.
"Now, please. Please... Shafira... Shafira dalam bahaya!" Nada suara 426 kedengaran merayu. Hatinya terasa takut. Takut kehilangan gadis itu dalam hidupnya. Takut memikirkan rancangan RedK pada Shafira.
"Okey, okey. Aku gerak sekarang. Rumah Datuk Yusri kan? Bye,"
Talian diputuskan.
Ya, RedK nak bunuh Shafira dengan keluarga barunya sekali. Kemalangan misteri yang berlaku dulu semuanya telah dirancang dengan teliti yang pengakhiran rancangan itu ialah... sekarang!
Ya Salam, selamatkanlah dia! Doanya.
#####
USAI makan malam bersama, kami berkumpul di ruang tamu. Tak henti-henti bibirku tersenyum gembira dengan suasana ceria keluarga ini. Rinduku pada arwah keluargaku dan sahabatku dulu semakin menebal. Sangat rindu! Tapi Allah Maha Adil. Dia menggantikan papa dan mama baru kepadaku.
Ah, tak sabarnya nak cerita pada 426 pasal pengalaman indah aku hari ni. Kalau boleh, semua benda aku nak ceritakan kepadanya. Sebab... dia dah jadi salah satu orang yang penting dalam hidup aku.
"Kan... Ian, besar nanti nak jadi super hero!" Celah kanak-kanak lelaki itu. Dia sudah berdiri di hadapan kami semua dengan wajah bangga. Kembang kempis hidung kecilnya tu.
Kami hanya menahan tawa manakala Humaira tanpa ditahan-tahan sudah tergelak dulu.
"Ian? Nak jadi super hero? Dik, mana ada super hero. Banyak sangat tengok kartun ni. Rasanya orang yang tolong awak bukan awak yang tolong orang. Merepek betullah budak nikan," ejek Humaira lalu tersenyum sinis.
Aku sengih bila melihat wajah Ian tetap bersemangat, langsung tak terkesan dengan ejekan si kakak yang suka cari gaduh.
Manakala papa sudah tergeleng perlahan dan mama setia mendengar celoteh anak-anaknya. Langsung tak menyampuk dan adakalanya turut tersenyum sama.
"Kak Ngah jeles sebab Ian kuat. Kak Ngah tengok jelah bila Ian dah besar nanti. Ian akan jadi lelaki yang hensem, bergaya, baik dan jadi hero macam Abang Han!" Balas Ian, selamba.
"Eee... Ya Rabbi, Kak Long rasa nak muntahlah." Celah Huraiyah, tiba-tiba. Tak mahu ketinggalan dalam mengutuk si adik.
Dan aku pula. Terdiam. Kelu. Senyumku juga mati berganti dengan ketapan di bibir. Tiba-tiba saja aku rasa takut dan cuak.
Macam mana kalau... mereka tahu sebab mereka kemalangan?
Macam mana kalau... mereka tahu akulah punca mereka dalam bahaya?
Mampu ke mereka terima aku? Aku adalah punca kemalangan kereta itu berlaku. Pembunuh tu sanggup membahayakan orang di sekeliling aku hanya kerana dendam.
Aku dapat merasakan jantungku berdegup cemas. Lama aku berdiam diri. Gelak tawa mereka bagaikan tak ada lagi kesannya dalam hatiku malah hanya membuatku semakin rasa cuak.
"Err, Fira... Fira dahagalah. Fira pergi dapur kejap ya?" Pintaku lalu senyum kelat kulemparkan untuk menjadi santapan mata mereka. Aku tak mahu terus berada di sini.
Tiba di dapur, aku tersandar di dinding. Mendengarkan tawa mereka sekeluarga, kebahagiaan mereka, aku hanya dapat rasakan... aku akan menyebabkan mereka akan selalu berada dalam bahaya. Mungkin pembunuh tu akan balas dendam pada keluarga baru aku pula.
Macam pembunuh tu dah buat pada arwah keluargaku dan sahabatku dulu.
Tak mustahilkan?
Bibir digigit kuat. Kenapa aku perlu ingat semua ni? Mata terpejam rapat, cuba melupakan segala fikiran negatif yang bermain di kepala.
"Tak apa, Fira. Mereka takkan tahu." Monologku lalu dada diurut perlahan, menenangkan hati yang resah.
Tanganku mencapai muk di rak lalu air milo panas dibancuh. Sudu besi mula perlahan-lahan mengacau air di muk. Bunyi dentingan sudu dan muk mengkhayalkan aku. Membawaku jauh dan jauh.
Jauh dari realiti dan pergi dari mimpi indah.
Mataku merenung dinding dapur itu tajam, mengimbas kembali memori yang hampir setahun itu. Seakan-akan apa yang ada di depan mataku sekarang bukanlah dinding tapi layar wayang yang menayangkan keadaan rumah banglo dua tingkat yang marak dijilat api.
Telingaku juga seakan-akan mendengar jeritan kesakitan mama dan papa yang ada di dalamnya. Tangisan kepedihan dari dua beradikku. Air mata kesedihan dari mata Maya, sahabat aku.
Apa yang mereka rasa di dalamnya? Pasti sakit dimamah api yang marak, yang mengigit-gigit badan mereka dengan kepanasan yang mencengkam.
"Allah," seruku perlahan dengan mata yang dah bertakung dengan manik jernih.
Mereka yang tak melaluinya takkan pernah merasai apa yang aku rasa. Ini lagi sakit dari cinta ditolak dan ini lagi mengecewakan dari putus cinta.
Tiba-tiba aku terdengar bunyi pelik datang dari arah pintu dapur yang tertutup rapat. Bunyi itu membuatkan semua bayangan pahit di kepalaku hilang. Pantas mata memandang pintu kayu itu.
Mungkin perasaan saja. Aku cuba sedapkan hati apabila otakku mula memikirkan macam-macam perkara yang tak baik. Bertenang, Fira. Tiada apa pun!
Tanpa sedar, kakiku mula menapak setapak demi setapak, mendekat ke arah pintu itu yang aku pasti ia telah berkunci. Jantungku mula berdegup kencang dengan irama yang tak sekata. Perutku bergelora kerana rasa takut yang tiba-tiba saja datang.
Tangan memegang tombol pintu. Sejuk. Perlahan-lahan, tombol pintu itu dipulas. Tuhan, kenapa aku rasa akan ada sesuatu yang tak baik akan muncul?
"Arrgghhh!!!"
Aku tersentak. Kepala menoleh memandang ke arah ruang tamu. Itu suara Humaira! Dadaku mula berombak dengan detak yang tak sekata. Air mataku mula bertakung tanpa sebab.
Baru aku mahu berlari ke arah ruang tamu, aku terasa ada tangan kasar yang memeluk tubuhku dan menekup mulutku. Dia menarik aku keluar dari rumah jauh dari kawasan rumah papa menuju ke sebuah rumah yang tidak berpenghuni di taman perumahan itu.
Aku meronta-ronta kuat untuk melepaskan pegangannya padaku namun gagal. Dia terlalu kuat!
"Lepaskan saya! Lepaslah!!!" Jeritku sekuat hati dalam tekupan tangannya.
Namun manusia itu langsung tak pedulikan jeritanku sebaliknya mengurungku dalam sebuah bilik kosong yang berdindingkan putih dan berlantai biru. Aku cemas sendiri.
"Kenapa kau kurung aku kat sini?! Lepaskan aku! Kau siapa? Kau siapa?!" Tengkingku, keras bersama ketukan kasar di pintu kayu itu. Aku mesti kuat! Aku mahu tahu apa yang terjadi kepada keluarga aku!
"Shafira," Serunya perlahan.
Pantas aku terdiam. Walaupun sudah lama takku dengar, tapi aku kenal suara garau ini.
"426? Awak... ke tu?" Tergagap-gagap aku bertanya.
"Shafira, dengar cakap aku. Kau dalam bahaya. Duduk dalam bilik ni sampai aku datang balik." Arah 426, tegas tapi lembut. Nadanya kedengaran agak tenang.
"Ta... tapi macam mana awak ada kat sini? Lepas tu, Humaira... keluarga saya. 426, awak tahukan apa jadi pada diaorang? 426?!" Panggilku lalu pintu diketuk bertalu-talu tanpa rasa penat dan lelah.
"Maafkan aku, Shafira."
Selepas tu, aku terdengar derap kakinya melangkah pergi.
Air mataku menitis-nitis ke pipi sambil kepala tergeleng-geleng perlahan. "426! 426!! Buka pintu ni! Buka!! Buka pintu ni, 426! Jangan buat saya macam ni! Keluarga saya... keluarga saya!" Rayuku bersama tangisan yang semakin kuat.
Jeritanku bergema di bilik yang kosong itu. Pipiku dah basah dengan air mata yang semakin lebat mengalir. Daripada nada 426, aku tahu, sesuatu yang buruk akan berlaku kepada keluarga aku. Sesuatu akan berlaku pada mereka!
"Tolong 426... jangan seksa saya macam ni. Mama dan papa saya...adik beradik saya! 426!! Saya tak nak hilang mereka lagi! Buka!! Buka pintu ni!!!"
Pintu ditumbuk-tumbuk dengan buku lima. Aku terduduk atas lantai kerana lutut yang lemah tak berdaya. Tenagaku hilang dengan apa yang berlaku hari ni.
Tiba-tiba, aku terdengar bunyi letupan tidak jauh dari sini. Aku terdiam sebentar sebelum aku berdiri kembali. Kelam-kabut pintu diketuk-ketuk lagi. Lagi dan lagi tanpa putus asa.
Aku tak mahu sejarah lama berulang semula. Aku tak nak hidup dalam penyesalan. Aku tak sanggup untuk merasa kehilangan lagi setelah apa yang aku lalui selama ni. Dan sungguh-sungguh aku tak mahu orang yang tak bersalah menderita kerana aku!
Aku cuba mencari cara lain dengan menolak pintu itu dengan tubuhku tapi tak berhasil kerana badan kecilku tak cukup untuk membuka pintu kayu yang keras ini. Aku mencuba sekali lagi tapi nampaknya ia sia-sia.
Mata memandang sekeliling bilik. Mana tahu ada benda yang berguna tapi ternyata bilik ini kosong. Malah tingkap pun diperbuat dari tingkap nako. Macam mana aku nak keluar?
Air mata yang bercucuran mengalir diseka kasar. Pasti! Pasti ada jalannya.
Atas, bawah, kiri, kanan, depan dan belakang. Tiada jalan keluar.
Ya Allah, tolonglah selamatkanlah mereka.
Aku terduduk kepenatan di lantai setelah berbagai cara aku lakukan. Semuanya bagai tak mengizinkan aku keluar dari bilik kosong ini.
Perlahan-lahan, lutut dibawa rapat ke dada. Kau memang teruk, Shafira! Ini saja yang kau mampu lakukan. Menangis.
"426, keluarkan saya," rintihku perlahan. Walaupun aku tahu dia takkan dengar. Dan jika dia dengar pun, dia takkan lakukan apa yang aku minta padanya.
Kepalaku mula terasa pening dan berat. Tenagaku hilang kerana terlalu banyak menangis malah mataku rasa sakit dan mula membengkak. Aku dapat merasakan duniaku perlahan-lahan gelap.
Maaf sbb lmbat update. Author exam. Trima kasih bgi yang setia menunggu. Sori sgt2 buat korg trtunggu-tunggu. Mungkin lepas ni author jarang update, so sorry sbb u know, i'm still student. Belajar lagi. Apa2 pun thanks tunggu dan maaf. T _ T Sori klu ade typo. Vote n comment.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Com