Truyen2U.Net quay lại rồi đây! Các bạn truy cập Truyen2U.Com. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 1

"AKU tak tahu apa yang berlaku pada diriku, tapi aku rasa seperti ingin lari. Lari ke tempat yang paling jauh, yang tidak akan ditemui oleh sesiapa pun jua. Aku hanya ingin bersendirian!" Lara bercakap kepada dirinya sendiri di hadapan cermin di kamar tidur, merenung matanya yang mengenakan solekan mata yang tebal serta bulu mata palsu yang lentik.

Sudah beberapa hari fikirannya kacau-bilau. Hatinya tidak tenteram. Lara selalu lupa buat sesuatu ataupun dia membuatnya beberapa kali sehingga penat. Semalam dia buat kek cawan, lalu menyimpannya di dalam peti sejuk. Dia terlupa dan menuduh kek itu dimakan semuanya oleh Aidit. Mereka bertengkar. Ibunya, Cik Biah masuk campur dan mulai merepek dan menuduh Lara dengan bermacam-macam tuduhan.

Lara tidak dapat terima semua itu! Bapanya tidak mahu masuk campur, lalu terus keluar dari rumah. Dia hanya akan pulang selepas maghrib nanti. Biarpun perintah kawalan pergerakan sedang berlangsung tetapi ayahnya tetap punya tempat untuk melepak. Itulah salah satu cara untuk dia menghindarkan diri jika ada masalah di dalam rumah itu.

Bagi Lara, di rumah itu terlalu banyak masalah. Masalah-masalah kecil boleh jadi besar, seperti bara api yang akhirnya menjadi marak dan boleh menyebabkan kebakaran. Lalu untuk menyejukkan hatinya yang panas, dia membuat kek cawan lagi. Dia buat beberapa adunan untuk memuaskan hatinya sendiri. Ketika membuka peti sejuk, dia hampir terduduk kerana dia mendapati kek cawannya langsung tidak luak dan tidak disentuh sesiapa pun.

Buat seketika dia sedar, sesuatu tentang dirinya yang tidak beres. Dia yang bermasalah. Bukan adiknya, Aidit ataupun emaknya, Cik Biah. Bukan juga bapanya, Encik Musa yang tidak bekerja dan hanya makan duit pencen yang tidak seberapa. Tetapi masalah itu adalah dirinya.

'Malam ini, aku akan pergi dari sini buat selama-lamanya!' bisik hatinya yang terpantul di hadapan cermin. Kemudian dia mencapai jaket kulit hitam kesayangannya, lalu terus keluar dari kamar tidur yang pengap itu. Dia berjalan perlahan-lahan melintasi ruang tamu yang samar-samar, namun dia masih boleh melihat berpandukan cahaya lampu di luar yang terbias di tingkap.

Rumah itu sunyi, semuanya sudah diulit mimpi. Lara tersentak apabila terdengar dentingan jam yang menunjukkan angka 12.00 tengah malam. Tanpa lengah, dia membuka pintu hadapan, menutupnya perlahan-lahan agar tidak mengejutkan sesiapa di rumah itu. Motosikal disorong keluar ke tepi jalan. Dia menolak motosikal itu agak jauh dari rumah, barulah enjin dihidupkan. Lantas dia memecut pergi meninggalkan kawasan perumahan itu, tidak menoleh lagi ke belakang.

Angin malam yang keras dan dingin, sesekali menyapa tubuhnya yang bersalut jaket kulit. Bagaikan terbang, dia memecut motosikal itu dengan kelajuan paling maksimum. Sepanjang jalan raya lengang selengang-lengangnya. Perjalanannya cukup lancar. Dia tiba di persimpangan jalan menghala ke lebuh raya.

Lara memberhentikan motosikalnya, berfikir sejenak jalan mana yang harus diambil. Dia tidak tahu ke mana arah yang harus dituju, hanya mengikut naluri. Menunggang motosikal dengan laju, tanpa sebarang halangan itu buat dia rasa sedikit teruja. Mungkin inilah jalan lurus ke syurga, fikirnya.

Sudah lama dia tidak berasa gembira. Sejak beberapa bulan ini, rasa sedih, marah, tidak puas hati dan ingin memberontak sering mengisi hatinya. Memang aneh. Dia gagal mengawal perasaannya sendiri. Kadang-kadang dia tidak tahu apa yang dirasainya. Dia bingung, apabila otaknya tepu dan terlalu banyak suara yang muncul. Tangannya menggenggam pemulas motosikal dan memulas beberapa kali hingga terdengar bunyi ngauman enjin memecah suasana yang sepi.

Kebanyakan orang sudah pun tidur ketika ini. Sudah beberapa malam dia tidak boleh tidur. Ketika matanya terkebil-kebil memandang siling, pada malam yang suram dan berhujan, dia hanya ingin menunggang motosikal di atas jalan raya yang sunyi dan kosong hingga bertemu dengan kaki langit. Hanya itu yang ingin dilakukannya.

Tangan Lara pantas menutup cermin fullface helmetnya. Dia akan memecut laju di atas lebuh raya itu. Dia akan pergi sejauh mungkin. Pemulas minyak dipulas lagi beberapa kali, kemudian dia terus memasuki simpang lebuh raya lalu terus memecut laju. Rasa hati Lara benar-benar teruja hingga dadanya berdebar dengan kencang. Dia rasa motosikalnya itu seakan-akan terbang di udara.

"Yes! Inilah yang ingin aku lakukan. Akhirnya aku boleh terbang!" Lara berkata kepada diri sendiri sambil tersenyum kecil. Lebuh raya yang dilaluinya berakhir di persimpangan lampu isyarat. Lampu kuning pinang masak menerangi kawasan itu. Ia nampak meriah tetapi sunyi. Ada empat simpang di hadapannya. Dia mengambil keputusan untuk memasuki simpang di sebelah kiri. Dia terus menunggang lagi beberapa ratus meter. Jalan di hadapannya semakin sempit dengan kepungan pokok-pokok dan rumah orang.

Lara sedikit kesal kerana dia tersalah memilih jalan. Dia ingin menghindari rumah orang. Bunyi ngauman motosikalnya yang kuat akan membangunkan orang yang sedang nyenyak tidur. Dia berhenti di tepi jalan, ingin memutar motosikalnya kembali ke arah dari mana dia datang. Namun dia terhenti saat matanya terpandang sebuah rumah yang terang-benderang. Rumah itu didominasi dinding kaca dan tingkap cermin yang tidak berlangsir. Pandangan tembus ke dalam rumah, seperti ada sebuah parti sedang berlangsung.

"Parti? Di musim PKP? Adakah aku sedang bermimpi?" Lara bercakap sendiri.

Tiba-tiba dia tertarik pada keadaan di dalam rumah itu. Kelihatan beberapa pasangan sedang menari, saling berdakapan. Tiada mask yang menutup wajah. Tiada sekatan apa-apa, semuanya nampak harmoni. Tarian mereka nampak lembut dan romantis. Pasti lagu yang ke udara adalah lagu sentimental, fikirnya. 'Wah, aku suka lagu sentimental begini. Mungkin aku boleh join sekejap,' kata hatinya sambil menongkat motosikal dan bergerak ke arah rumah itu.

Halaman rumah juga terang dengan lampu berwarna-warni, memudahkan Lara untuk mencari pintu utama. Pintu utama rumah itu langsung tidak berkunci dan Lara boleh melangkah masuk dengan mudah. Dia berdiri di tengah-tengah pintu, memerhati ruang tamu. Tanpa sedar tubuhnya bergoyang tatkala mendengar alunan muzik. Tiada yang menghiraukan kehadirannya kerana mereka sedang asyik menikmati alunan lagu romantis dan menari bersama pasangan masing-masing.

Saat itu, Lara terlihat seorang lelaki sedang duduk di sofa. Dia termenung jauh, fikirannya melayang entah ke mana, dengan tangan yang masih memegang gelas yang sudah kosong. 'Kenapa lelaki itu tidak menari? Kenapa wajahnya kelihatan sedih seperti ditinggal kekasih? Kasihan! Mungkin aku boleh temankan dia?'

Lagu bertukar. Kini ke udara lagu yang menjadi kesukaan Lara. Dancing With A Stranger. Dia terus bergerak ke arah lelaki itu, berdiri di hadapannya dan menegur, "Hey, stranger! Nak menari dengan saya?"

Lelaki itu mendongak, terkejut mendengar teguran Lara. Dia memerhati Lara dari puncak kepala hingga ke hujung kaki. Lara tiba-tiba teringat bahawa dia belum menanggalkan topi keledar lalu cepat-cepat dia membuka dan meletakkannya di atas sofa yang kosong. Dia turut membuka jaket, lalu mencampakkannya di atas sofa.

Lara berdiri tegak di hadapan lelaki itu yang sedang meneliti sekujur tubuhnya yang mengenakan jean ketat dan baju T putih kosong yang amat ringkas.

"Awak siapa?" tanya lelaki itu lalu berdiri. Tubuhnya tinggi sedikit daripada Lara, dengan rambut pendek yang kemas sekali. Baju T merah ketat memperlihatkan dadanya yang bidang dan lengan yang sasa. Gayanya ringkas tapi menarik.

Lara mengangkat bahu, cuba memperkenalkan diri tetapi gagal. Dia tidak tahu bagaimana harus menerangkan siapa dirinya.

'Siapa aku?' bisik hati Lara. Seorang gadis yang menyedihkan, terperuk di dalam bilik yang dipenuhi dengan ubat-ubatan yang harus ditelan. Tetapi dia selalu mengelak daripada menelan ubat-ubat itu kerana selepas itu dia akan hilang ingatan.

"Saya... hanya seorang gadis yang terlambat datang ke parti ni. Saya sepupu kepada tuan rumah. Awak buat-buat kenal saja, sudahlah!" ujar Lara lalu tertawa kecil.

Entah dari mana datangnya rasa gembira yang menyentuh hatinya. Mungkin kerana mata lelaki itu yang memandangnya dengan lembut. Atau bibirnya yang terkatup rapat tetapi kelihatan seperti tersenyum. Dia ingin menari dengan lelaki itu dan menikmati suasana ceria walaupun hanya sejenak. Mungkin dia akan dihalau pergi dengan penyapu oleh tuan rumah. Jadi dia harus segera menari sebelum lagu Dancing With A Stranger habis dan dia diusir dari situ seperti kucing kurap.

"Cepat! Sebelum lagu habis." Lara menghulurkan tangannya kepada lelaki itu.

Bagaikan terkena sihir, lelaki itu menurut sahaja. Mereka mulai menggerakkan badan, mengikut alunan muzik. Lagu terus berkumandang.

I don't wanna be alone tonight (alone tonight)

It's pretty clear that I'm not over you (over you, over you)

I'm still thinking 'bout the things you do (things you do)

So I don't wanna be alone tonight, alone tonight, alone tonight

Can you light the fire? (light the fire, light the fire)

I need somebody who can take control (take control)

I know exactly what I need to do

'Cause I don't wanna be alone tonight, alone tonight, alone tonight

Look what you made me do, I'm with somebody new

Ooh, baby, baby, I'm dancing with a stranger

Look what you made me do, I'm with somebody new

Ooh, baby, baby, I'm dancing with a stranger

Dancing with a stranger

Lara berharap lagu itu tidak akan berakhir. Dia merapatkan kepalanya ke bahu lelaki itu. Hidung Lara terhidu bau yang menyenangkan daripada tubuh lelaki itu. Entah mengapa Lara merasakan bau itu seperti selalu hinggap di deria rasanya. 'Siapakah dia? Kenapa aku rasa seperti sudah kenal lama dengannya sedangkan hakikat sebenar nama dia pun aku tidak tahu?' Hati Lara berbisik. Lagu itu berakhir dengan cepat. Sekurang-kurangnya itulah yang dirasakannya.

"Tolong mainkan sekali lagi lagu tadi. Dancing With A Stranger! Please!"

Lagu diputarkan sekali walaupun terdengar beberapa suara yang memprotes.

"Nampaknya awak amat sukakan lagu ni!" kata lelaki itu sambil merenung mata Lara. Tangan mereka bertaut, wajah mereka begitu dekat.

"Ya, saya selalu mendengar lagu ni, tak kira masa," jawab Lara.

"Jadi, awak peminat Sam Smith?"

"Tak juga, bukan semua lagu dia best. Hanya beberapa lagu yang saya suka."

"Seperti lagu apa?"

"Hmm... entahlah saya tak ingat," jawab Lara sambil tersenyum lagi.

"Awak cantik. Siapa nama awak?" tanya lelaki itu.

Lara tidak menjawab. Dia hanya tersenyum, kemudian pura-pura berfikir dan berkata, "Hmm... entahlah. Tiba-tiba saya terlupa nama saya, bila lihat mata awak. Ada tak orang pernah cakap muka awak macam pelakon Korea Song Joong Ki?"

Lelaki itu ketawa mendengar jawapan Lara. "Tak pernah pula. Saya adalah saya... bukan macam sesiapa. Nama saya Adri. Awak?"

"Awak Adri, ya? Adri... Adrina. Mungkin tu nama saya."

"Awak janganlah main-main!"

Lara memutar badannya beberapa kali, Adri mengikut sahaja rentak tariannya. Dia masih memegang tangan Lara. Lagu itu sudah pun habis, berganti pula lagu lain. Sekali lagi Lara menjerit meminta lagu Dancing With A Stranger dimainkan lagi. Hal itu berulang hingga lima kali. Kebanyakan teman Adri mulai bosan. Suara mereka hingar-bingar memprotes, namun Adri lebih senang menurut sahaja kehendak tetamu tidak diudang itu. Akhirnya, Lara kepenatan. Dia memberitahu Adri tidak ingin menari lagi dan akan segera pergi, tetapi lelaki itu enggan melepaskannya begitu cepat.

"Awak belum minum dan makan apa-apa. Awak berpeluh dan kehilangan banyak air di dalam badan. Mari minum dulu." Adri mengajak Lara ke satu sudut.

"Ada kek. Awak mungkin tak tahu hari ni hari lahir saya," kata Adri.

"Oh... parti ni untuk meraikan hari lahir awak? Bukan ke sekarang PKP dan tak boleh berkumpul di dalam rumah?" kata Lara.

"Mereka semua kawan baik dan juga kawan sepejabat saya. Saya tahu sekarang PKP, sebab itulah kami buat parti ni selepas pukul 12 tengah malam. Tak ada sesiapa pun yang tahu. Jiran-jiran semua sudah tidur. Polis pun tidak akan meronda selepas pukul dua belas tengah malam."

"Awak yakin tak ada polis?" tanya Lara.

Adri mengangguk sambil mengajak Lara menuju ke arah meja yang dipenuhi dengan makanan. Adri mengambil piring dan mengisi sepotong kek lalu memberikannya kepada Lara. Lara duduk di salah satu kerusi yang kosong. Matanya memerhati sekeliling banglo itu. Rumah itu kelihatan mewah melambangkan penghuninya orang yang berduit. Perabot-perabotnya juga mahal.

Ada tetamu yang masih menari dan ada juga yang masih menikmati hidangan. Selain kek, ada makanan lain seperti bihun goreng, kuih-muih dan minuman. Adri duduk menemani Lara makan.

"Siapa tuan rumah ni? Mesti orangnya kaya."

"Awak tak kenal? Tadi awak kata awak sepupu kepada tuan rumah."

"Saya tipu," kata Lara lalu tergelak kecil.

"Sebenarnya tadi saya tengah menunggang motosikal dan saya ternampak satu-satunya rumah yang masih terang. Jadi, saya singgah. Mana tahu dapat makan kek dan air percuma."

"Okey..." Adri terangguk-angguk. Tapi orang tak akan saja suka-suka singgah, di parti hari jadi di rumah orang asing. Ada sesuatu yang pelik tentang perempuan ini. Walau bagaimanapun, dia cantik. Dia ralit memerhati Lara memamah kek dengan tertib. "Awak dari mana?" tanya Adri.

"Tak penting saya dari mana. Tapi yang penting ke mana saya akan pergi selepas ni."

"Awak lari dari rumah, ya? Awak jangan buat perkara yang bukan-bukan yang akan buat keluarga awak kesal ataupun marah. Awak masih ada emak? Tentu awak sayangkan emak awak. Jadi, saya harap awak akan pulang dengan selamat," nasihat Adri.

Lara senyum sahaja sambil mengelus rambutnya yang terhurai.

"Tapi sebelum awak balik, saya ingin tahu siapa tetamu saya. Tentu boleh kan saya tahu nama awak?"

"Awak... awak tuan rumah?" tanya Lara terkejut, piring di tangannya hampir terlepas.

"Ya," jawab Adri sepatah.

"Maafkan saya. Saya tak sangka. Saya ingatkan awak juga tetamu," ujar Lara sambil meletakkan piring di atas meja. Keknya tinggal separuh. Dia tidak akan menghabiskannya. Dia kelam-kabut ingin beredar pergi dari situ. Tapi dia terlupa di mana dia meletakkan topi dan jaket kulitnya. Lara memerhati sekeliling, tercari-cari. Fikirannya jadi tepu dengan bermacam perkara yang melintas, datang dan pergi seperti sebuah keretapi yang melintas laju.

Muzik tiba-tiba bergema kuat dengan lagu rancak. Lara memekup telinga, bunyi muzik yang terlalu kuat buat dadanya berdebar-debar dan tangannya menggigil. Lara terus berlalu menuju ke pintu.

"Hei, awak okey ke tak ni?" tanya Adri simpati. Spontan dia memberi isyarat tangan kepada temannya yang berada berdekatan stereo agar merendahkan volume muzik. Pantas dia mengekori Lara yang sudah pun keluar ke ruang porch. "Awak dah nak pergi? Awak belum minum." Dia buru-buru masuk semula ke rumah lalu mencapai sebotol air mineral. Lantas dia mengejar Lara yang berjalan laju menghala ke tepi jalan.

Lara mendekati motosikal, duduk di atasnya lalu menghidupkan enjin. Dengan mudah, enjin motosikalnya mengaum kuat.

"Hei! Tunggulah!" Adri terburu-buru mendapatkan Lara. "Ambil air mineral ni!"

Lara menggeleng sambil tangannya memulas pemulas minyak hingga motosikal itu menderam.

"Saya ambil helmet dan jaket awak! Awak tunggu!" Adri berlari masuk ke dalam rumahnya. Beberapa ketika dia keluar semula. Tidak sempat dia memulangkan topi keledar dan jaket Lara, gadis itu terus memecut laju. Dalam beberapa saat sahaja motosikalnya sudah hilang dalam kelam malam. Adri berdiri di tepi jalan sambil memegang barang milik gadis itu.

'Siapa dia? Dia pergi macam tu aje?' Adri bingung. 'Aku harap dia tak apa-apa. Aku ingin berjumpa dengannya lagi,' bisik hatinya.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Com