Truyen2U.Net quay lại rồi đây! Các bạn truy cập Truyen2U.Com. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 9

SEBAIK sahaja masuk ke dalam biliknya, Eshal baling botol minyak wanginya ke lantai. Bunyi kaca berderai itu sungguh memuaskan hatinya. Namun, aroma yang semerbak wangi itu tak mampu menenangkan jiwanya.

Semua orang tak guna. Semua orang boleh pergi mampus!

Eshal tiba-tiba rasa marah. Marahkan diri sendiri. Marahkan semua orang. Bila ingat balik apa yang baru terjadi tadi, dia rasa sesuatu dalam jiwanya bagaikan sedang berlumba-lumba untuk dilepaskan. Soalan yang sama muncul sejak dulu lagi.

Kenapa semua ini jadi pada dia? Kenapa dia malang? Kenapa dia dilahirkan di dunia ini? Kenapa dia tak mati bersama mama dulu?

Eshal genggam penumbuk. Erat sehingga tapak tangannya terasa perit gara-gara kukunya yang tajam mencengkam. Cepat-cepat Eshal buka genggamannya. Berlalu ke arah meja solek. Mencari ketip kuku. Satu per satu kukunya dipotong sehingga pendek.

Dia dah cakap sebelum ini. Kuku panjang bukan petanda bagus untuknya. Sebab dia selalu terbayang-bayang bagaimana rasanya jika kuku itu mencakar-cakar tubuhnya sehingga meninggalkan kesan. Bergarit. Berdarah. Macam manakah rasanya?

Siapa cakap dia tak pernah fikirkannya selama dia bernafas di atas muka bumi ini? Jadi, sebelum otaknya terhasut, lebih baik dia cegah awal-awal.

Don't fall in love with pain. You'll be addicted to it!

Kenapa? Kerana apabila anggota tubuh badan cedera, otak akan rembeskan hormon endorfin atau lebih dikenali sebagai hormon gembira. Hormon ini bertindak sebagai ubat tahan sakit semula jadi yang akan membuatkan seseorang itu hilang kesakitan dan merasa lega. Sebab itulah selepas seseorang itu mencederakan diri sendiri, kesakitan dan tekanan perasaannya turut berkurang.

Namun, itu semua sementara. Lega cumalah sekejap! Apabila tekanan perasaan yang serupa kembali berulang, otak akan ketagih untuk merasakan dos endorfin yang serupa supaya kesakitannya berkurangan. Dia mahu berasa lega, lalu membuatkan seseorang itu memilih untuk mencederakan diri sendiri lagi. Dan kitaran ini akan selalu berulang.

Eshal tahu semua itu. Sebab itulah dia tak mahu cederakan dirinya. Tiga puluh tahun dia berjaya mengawalnya. Dan dia enggan mulakan sekarang. Dan apa yang Eshal rasa sekarang ini?

Eshal rasa nak maki hamun.

Eshal rasa nak humban segala benda di dalam bilik ini.

Mungkin itu semua pilihan yang bagus daripada dia memendam rasa sendiri sehingga depresi. Kalau sedih, menangis. Kalau marah, luahkan. Dia bukan jenis yang memendam perasaan. Paling tidak, bukan selalu. Dia tak berlagak okey. Dia tak pura-pura gembira.

Dia memang tak gembira! Dan dia tunjukkan kepada semua orang dia tak pernah gembira. Dia jadi perengus. Dia jadi dingin. Dia dah tak tahu bagaimana senyum dan ketawa dengan ikhlas. Dan Eshal salahkan dunia sekelilingnya yang membentuknya seperti sekarang.

Dia pun masih hairan macam mana dia masih boleh bertahan sehingga sekarang. Mungkin demi kelangsungan hidup. Tapi, tak mustahil satu hari nanti, semuanya akan mencapai hadnya. Barang yang dibeli pun ada tarikh luput. Inikan pula perasaan manusia. Boleh jadi suatu hari nanti dia akan penat dengan hidup ini dan memilih untuk bunuh diri saja.

Bilik Eshal tak ubah seperti tokang pecah kini. Amarahnya hilang. Tapi adrenalinanya masih tinggi di dalam kapilari darah. Turun naik, turun naik dadanya akibat kepenatan. Dahinya juga sudah berpeluh.

Amarahnya hilang tapi kini berganti pula dengan perasaan baru. Rasa kecewa. Dan sedih. Dia terduduk di atas katil sambil menekup wajahnya dengan kedua-dua tangannya.

Tanpa sedar, ada air hangat mengalir dari tubir matanya. Namun Eshal tak menghalangnya. Titisan jernih itu dibiarkan saja tanpa diseka. Dia sudah lupa bila kali terakhir dia menangis. Tapi dia tahu alasan kenapa tiap kali dia menangis. Sebab rindukan arwah mamanya.

Seperti sekarang. Dia teringatkan arwah mamanya. Sudah sembilan tahun mama pergi, tapi aibnya tidak terkubur bersama. Dicanang dan diungkit orang lain tanpa rasa bersalah sehingga sekarang. Dan tak cukup dengan itu, walaupun mama dah tiada, tinggal dia untuk membayarnya.

Sampai bila semua ini? Agaknya semua akan puas hati kalau dia pun turut mati sekali.

Deringan telefon yang sayup-sayup itu menyedarkan Eshal. Tangisannya juga berhenti. Dia sapu matanya menggunakan jari sebelum mencari keberadaan telefonnya itu. Beberapa detik juga masa diambil untuk menyelongkar kawasan yang bagai dilanda tsunami itu. Eshal hanya mengikut bunyi deringan.

Terpampang nama Astatine.

Eshal buat keputusan untuk biarkan saja sehingga Ardean berdating dengan pemilik suara mesin peti pesanan suaranya. Pertama, dia tiada mood untuk bercakap. Kedua, dia takut dia melampiaskan emosinya kepada Ardean yang tak bersalah itu. Dengan emosinya yang terumbang-ambing ini, salah sekecil mikroorganisma pun dia boleh maki hamun sampai tujuh keturunan.

Namun, setelah beberapa kali deringan, tangan kanannya terlebih dahulu bertindak tanpa persetujuan otaknya. Eshal tekan juga ikon berwarna hijau itu sebelum membawa telefon pintar ke telinga. Dia bangun dan berjalan ke arah tingkap balkoni biliknya. Rasa sedikit segar.

"Helo. Assalamualaikum, Cik Eshal. Maaf kacau malam-malam ni." Ardean terlebih dahulu menyapanya.

Sempat Eshal jeling jam di skrin telefonnya tadi. Lima minit sebelum pukul sepuluh malam. Awal lagi.

"Waalaikumussalam. Ada apa?"

Senyap.

"Cik Eshal baru lepas menangis ke?" Ardean tidak menjawab soalan itu. Malah, dia pula yang bertanya. Suara Ardean terselit rasa prihatin.

Eshal terus berdehem. Memang suaranya sedikit dalam. Tapi rasanya tak ada beza sangat dengan suara normalnya. Tak sangka Ardean masih mengesannya. Atau mungkin lelaki itu sekadar serkap jarang.

"Do you need a shoulder to cry on or do you need someone to do a hunt?"

"Jangan nak mengarutlah. Mana ada saya menangis. Saya sakit tekak." Laju Eshal mengauta. Dia tak tahulah Ardean serius atau tak. Namun tipikal Ardean memang suka berhiperbola.

"Ni... Awak nak apa ni kacau saya malam-malam ni?" Eshal terus tukar topik. Suaranya dikeraskan sedikit supaya kedengaran agak tegas.

"Oh, maaf! Saya nak lapor yang saya dah siapkan proofreading yang Cik Eshal suruh Jumaat lepas. Cik Eshal cakap Cik Eshal nak sebelum Isnin. Saya dah e-mel. Lepas tu, saya nak ingatkan Cik Eshal untuk bawa draf idea kulit depan buku untuk siri khas sempena pesta buku nanti," jawab Ardean.

"Dan awak tak rasa semua ni hanya boleh diberitahu melalui WhatsApp?"

Eshal agak kurang mengerti. Kenapa perlu bersusah payah menelefon dia? Saja nak kayakan tauke telco?

"Cik Eshal yang cakap, call."

Nanti call ingatkan saya. Rasanya lebih kurang macam tu kut pesanan dia pada Ardean Jumaat lepas. Entahlah... Dia pun tak berapa pasti. Yang pasti dia maksudkan, jangan lupa ingatkan dia.

Eshal selit rambutnya yang diterbangkan bayu malam itu ke celah telinga. Mengeluh reda.

"Awak ni ada masanya bendul juga, ya?" komen Eshal selamba.

"Bukan bendul tapi melaksanakan amanah. Itu yang saya dah janji, maka itulah yang saya akan buat," balas Ardean tenang.

"Wah, man of words gitu!"

Ardean diam di hujung talian. Tangan kanannya yang sedang scroll tetikus komputer ribanya turut terkaku. Bukan terasa dengan nada ejekan Eshal, tapi dia dapat rasakan macam ada sesuatu yang tak kena. Dia capai telefon pintarnya yang berada dalam mod pembesar suara itu dan menukarkannya kepada mod biasa. Dirapatkan ke telinganya.

"Cik Eshal okey? Ada sesuatu yang berlaku ke?" soal Ardean lebih serius.

Hanya hembusan nafas Eshal yang menjadi jawapan Ardean.

"Cik Eshal kat mana sekarang ni?" Ardean yang masih belum berputus asa bertanya lagi.

"Saya ada di rumah papa. Dekat balkoni bilik. Tengah tengok ke luar." Kali ini Eshal jawab. Mendatar aje suaranya.

Dari merenung dada langit yang berbintang halus, Eshal renung ke tingkat bawah pula. Boleh tahan tinggi. Mula buat kira-kira. Kalau jatuh, paling teruk pun hanya patah kaki tangan saja.

"Dan sekarang saya rasa macam nak terjun dari tempat ni."

Ardean yang mendengarnya terdiam sesaat. Memang betullah ada sesuatu telah berlaku. Memang betullah Eshal baru lepas menangis. Ardean tanggalkan cermin mata berbingkai penuhnya itu, lalu diletakkan di sebelah komputer ribanya. Diurut-urut pangkal hidung sambil memikirkan ayat terbaik untuk dibalas.

"Eh, jangan macam tu, Cik Eshal! Saya tak ada untuk sambut Cik Eshal nanti. Saya tak boleh terbang," balas Ardean tenang. Biar saja Eshal interpretasi sendiri maksudnya. Boleh jadi serius, boleh jadi bergurau.

"Siapa awak nak tolong saya, hah?" sinis Eshal.

"Tapi Cik Eshal ceritakan pada saya. Sedikit sebanyak saya rasa bertanggungjawab," balas Ardean lagi.

"Awak nak cakap saya saja lapar perhatian?" marah Eshal.

"Mana ada saya maksudkan macam tu. It's just... it's normal to feel shitty sometimes. We want to do something crazy, but at the same time we don't." Penuh hati-hati Ardean membalas. Dia tak tahu apa yang jadi. Dan dia tak mahu menerukkan lagi keadaan.

"Oh, really? Try to replace sometimes with all the time." Entah kenapa Eshal rasa lagi marah.

Marah sebab dia rasa Ardean tak faham apa yang dia rasa. Sebab itu dia tak nak angkat panggilan Ardean tadi. Ardean akan jadi mangsa dia lepaskan amarahnya.

Namun Ardean di hujung talian hanya tenang.

"All the time? You feel shitty all the time? Damn... it must be hard to be you."

Arghh... Eshal tak suka rasa ini! Nada suara Ardean itu seolah-olah bersimpati kepadanya. Macam nak cakap, kesiannya lahai jadi manusia macam kau! Sebab itu dia tak suka bercerita pada sesiapa. Orang akan bersimpati. Dan paling nak buat dia marah, suruh bersabar!

"Tak patut betul siapa yang buat Cik Eshal rasa macam tu! Cik Eshal patut smackdown semua. Kalau Cik Eshal nak partner in crime, saya boleh tolong. Bagi tahu aje siapa dan di mana. Biar saya tolong belasah semua sampai lunyai." Tapi lain pula kata-kata Ardean setelah itu.

"Really? Then I can start planning a kidnap now." Kepala terbayang-bayang macam mana dia boleh membalas dendam. Mungkin hatinya akan kurang sakitnya selepas ini. Alangkah indahnya kalau boleh jadi nyata.

"Saya boleh tolong carikan bangunan terbengkalai yang jauh-jauh. Cik Eshal nak sewa van putih tak? Kita palsukan nombor plat. Tali? Chloroform? Tranquilizer? Taser?"

"Topeng dan sarung tangan sekali. Kita tak nak tinggalkan bukti."

"Blindfold juga, Cik Eshal. Dan voice changer. Langkah jaga-jaga supaya dia tak cam. Kita nak belasah dia aje, kan? Bukan nak bunuh."

"Gila! Awak sengaja nak gula-gulakan saya, kan? Awak patutnya halang saya, bukan bersubahat!" Eshal mendengus. Dahlah gaya Ardean dah macam pernah menculik orang! Dia pula yang seram.

Ardean ketawa perlahan.

"Alhamdulillah, tanpa perlu saya halang pun, Cik Eshal masih sedar semua tu salah. Sekarang rasa lega tak? Atau kita perlu proceed Pelan B pula?"

Eshal mencebik tapi memilih untuk diam. Ego nak mengaku yang dia memang sedikit lega. Mungkin terlepas apa yang terbuku di dada. Membayangkan dalam kepala pun sudah cukup untuk beri dia kepuasan. Dia belum cukup gila lagi nak laksanakan semuanya.

"Saya tak tahu apa yang jadi pada Cik Eshal tapi hidup ni memang begitu. Selagi kita bernafas, ujian hidup tu memang tak akan putus. Tapi kita yang pilih. Nak jadikan macam musuh atau macam best friend kita. Selalu cari yang positif. Selalu pandang hikmahnya. Kenapa kita nak pandang satu masalah kalau kita ada seratus sebab lagi untuk bersyukur?" nasihat Ardean secara lembut.

"Oh, really? Then, awak boleh senaraikan kepada saya seratus sebab awak patut bersyukur." Dalam ejekannya, Eshal mencabar Ardean.

Senyap.

Eshal senyum sinis.

"Bercakap memang pandai. Sebab awak tak rasa apa yang saya rasa," bidas Eshal pula.

"Memang betul. Sebab itu saya tak bandingkan Cik Eshal dengan sesiapa. Ujian setiap orang tak sama. Verily, with every hardship, there is relief. Al-Insyirah, fifth verse. Dan ujian kita ni tak akan lebih daripada kadar kemampuan kita. Allah's words of affirmation, not mine. Buktinya, Cik Eshal berjaya bertahan sehingga sekarang. Jadi, Cik Eshal seorang yang kuat," hujah Ardean pula. Tenang seperti selalu.

"You're doing a very good job. I don't know what you went through but I know your life was hard. Nevertheless, you didn't give up. I'm proud of you, Cik Eshal. You should also be proud of yourself. Look into the mirror and praise yourself more." Kata-kata Ardean itu kedengaran sungguh ikhlas, buatkan ada sesuatu muncul dalam hati Eshal. Beginikah rasa kalau dihargai?

Namun cepat-cepat Eshal geleng kepala. Tepis semua itu. Itu hanyalah kata-kata. Yang mampu dihamburkan oleh mulut manusia tanpa maksudkan apa-apa. Mulut manusia adalah jaguh scammer paling berjaya di dunia ini.

"Ni ayat-ayat healing penyedap duodenum ni, awak cilok dari manuskrip mana satu ni?"

Ketawa maco Ardean kedengaran. Cik Eshal ni, ayat-ayat rawak dia kadang-kadang boleh menggeletek ulu hati betul.

"Copyright by A.T, 2023."

"Dahlah, panjang pula saya berborak dengan awak. Awak lupakan apa yang jadi malam ni, saya nak masuk tidur." Eshal tak sangka dia mampu berbual dengan Ardean selama ini.

"Okeylah kalau macam tu. Saya harap Cik Eshal tenang. Kalau masih lagi tak tenang, ambil wuduk dan solat sunat dulu. Insya-Allah hati akan lebih tenang lepas tu," nasihat Ardean.

"Jangan cerita kat orang lain!" Sekali lagi Eshal beri amaran. Dia tak tahu kenapa dia percaya dan dia tak percaya Ardean sama banyak.

"Don't worry. A therapist is as good as a wall."

A therapist is as good as a wall. And a wall doesn't speak and doesn't have ears...

Spontan muncul kata-kata itu di dalam kepala Eshal. Macam pernah dengar, tapi kat mana, ya? Mungkin pernah terbaca dalam banyak-banyak manuskrip sebelum ini kut.

"Sebelum tu. Soalan serius sekali lagi, Cik Eshal. Are you sure you don't want me to hunt someone? We can proceed with our plan, you know?"

"Good night!" Terus tekan butang merah. Malas dah Eshal nak layan Ardean yang merapu melebihi dia.

Eshal mahu melangkah masuk ke dalam biliknya. Sekarang ini hatinya lebih tenang. Dia mahu kemas bilik sikit, mandi dan tidur. Tapi bunyi notifikasi menandakan ada mesej WhatsApp baru masuk membatalkan niatnya. Terus dia buka untuk membacanya.

Berdamailah dengan takdir...

Good night too.

Encik Astatine tak habis-habis lagi. Eshal tiada niat untuk membalasnya. Dia pandang ke dada langit sebelum mengeluh lemah. Berdamai dengan takdir. Sesenang itukah?

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Com