l b p | 0 2
NAINA menjenguk ke ruang tamu apabila melihat Raihanah datang ke dapur. Hatinya mula rasa tak sedap. Takkanlah Haries tak suka dengan Raihanah sampai gadis itu terpaksa ke dapur?
Rupanya, lain yang jadi. Dia lihat Haries sedang tidur nyenyak di sofa sambil memeluk bantal. Siap berdengkur lagi. Tidur macam tiada hari esok.
Naina mengetap bibir. Dia sangka, kalau dah letak Raihanah dan Haries berdua, mungkin mereka akan berkenalan, tapi Haries pergi membuta pula. Depan tetamu!
"Memang tak tahu malu budak ni! Aku lahirkan manusia ke tembok batu?" bebel Naina, geram.
Tangannya laju sahaja hinggap di pinggang Haries yang terlena. Haries terus menjerit nyaring apabila merasakan kulitnya dicubit kejam.
Matanya berair. Terus saja rasa segar. Haries pantas bangun dari perbaringan.
"Mama, mama... chill! Saya tidur je. Bukan berzina! Mama ni, perlu ke cubit orang sampai macam ni sekali. Sakit tau!" Suara Haries bernada tidak puas hati campur gedik. Bibirnya tercebik-cebik.
Tiba-tiba, mulutnya pula ditampar perlahan oleh Naina.
"Kalau awak berzina, mama tak cubit. Mama ambil kuali dapur tu tempek kat muka awak!" Naina memetir kuat. Dia sudah bercekak pinggang di hadapan anaknya yang masih buat muka.
"Mama ni, saya penatlah. Semalam tak tidur pun," rungut Haries sambil memuncungkan bibirnya. Nak tiru gaya Naina bila marah. Tapi buruk benar jadinya sampai wanita itu membuat muka jelik melihat anaknya.
"Ish, dah! Geli mama tengok muka tak semegah mana awak tu! Awak ni punkan, kenapa tidur? Boraklah dengan Hana tu!" Di hujung ayat, suara petir Naina berubah perlahan.
Naina mengambil tempat di sebelah Haries yang sedang meregangkan badannya. Keningnya bertaut, geram. Walhal, inilah peluang yang baik untuk Raihanah dan Haries berkenalan. Tetapi lelaki itu pergi sambung tidur.
Patutlah Shafira pun tak lekat! Gerutu Naina dalam hati saat terkenangkan satu-satunya rakan baik perempuan Haries. Sangkanya, Shafira itu bakal menantu, tapi akhirnya jadi kepunyaan orang lain.
Nasib baik orang lain itu Farhan, rakan baik Haries yang sudah dia anggap seperti anak sendiri. Tiadalah dia rasa ralat sangat.
"Mengantuklah, mama. Lagipun nak cakap apa? Dia pun diam je," tingkah Haries lalu memeluk manja lengan ibunya. Haries tahu, dalam geram-geram Naina, wanita itu takkan sampai hati nak marah dia lebih-lebih bila tengok muka comelnya.
Naina mengeluh berat. Kepalanya dipegang kejap.
"Memanglah dia diam je. Awakkan lelaki, patutnya awaklah mulakan langkah dulu."
"Ala, tak penting pun. Mama beria-ia sangat kenapa ni?" soal Haries, hairan. Matanya mengecil. Macam bersemangat sangat Naina nak suruh dia berkenalan dengan Raihanah. Padahal sebelum ni, tiada pula.
Naina terkedu seketika sebelum cepat-cepat dia mengukirkan senyuman lebar. Jantungnya berdegup kencang, berdebar membayangkan reaksi Haries dengan kata-katanya sebentar lagi.
Wanita itu menggenggam erat jemarinya. Dalam diam, dia menarik nafas dalam-dalam dan menghembusnya lembut.
"Haries, awak tak tahu ke? Hana tu bakal isteri awak," beritahu Naina, tenang dan lembut. Dia merenung anak mata Haries di hadapannya yang semakin membulat besar.
"What?" Suara Haries terus naik ke frekuensi yang tertinggi.
HARIES memegang kepalanya yang berdenyut-denyut. Tangan kanannya pula memegang kemas beberapa helaian kertas putih yang diberikan oleh Naina tadi.
Dia mahu membaca ayat itu buat sekali lagi. Tapi tiba-tiba, dia jadi takut. Seram pun ada. Kegilaan apa yang sedang berlaku ni?
Datuknya, iaitu ayah kepada Naina baru sahaja meninggal dunia lebih kurang dua bulan lalu. Dia tidaklah pelik jika Tuan Besar Marzuki ada mewasiatkan sebahagian hartanya kepada dirinya, tapi kenapa perlu ada syarat merepek macam ni?
"Kahwin?" soal Haries. Dahinya berkerut-kerut. Riak mukanya yang sentiasa ceria kini tegang. Dia mengetap bibir. Dia langsung tak memikirkan tentang hal itu walau sejenak.
Dan kini, dia perlu berkahwin? Dengan gadis entah siapa-siapa? Pula tu, masa yang diberi tak sampai setahun pun. Bukan, tak sampai enam bulan!
Gila! Dia tak pernah sangka datuknya seorang peminat drama Melayu pukul tujuh. Agaknya, lelaki tua itu sering berangan-angan untuk meninggalkan wasiat sebegini kepada cucu-cucunya.
Naina di sebelah yang sedia mengusap lembut bahu Haries, mengangguk kecil. Daripada rautnya sendiri, Haries tahu, Naina juga serba salah untuk memaksa.
Namun, jika dia tak berkahwin dalam masa terdekat...
Semua harta kekayaan Tuan Besar Marzuki simpan untuk keluarganya akan diserahkan sepenuhnya kepada Tuan Besar Malik.
Harta itu termasuklah syarikat keluarganya sendiri.
"Tapi peliklah, ma. Syarikat yang papa pegang tukan memang datuk dah bagi dekat papa. Kenapa tiba-tiba pindah milik pula? Kenapa pelik sangat wasiat ni?" suara Haries. Kertas di tangannya serasa mahu dironyok-ronyok saja kemudian campak masuk sungai.
Jelas, ada sesuatu yang mencurigakan dengan surat terakhir yang ditinggalkan oleh Tuan Besar Marzuki.
"Ya, tapi hanya sebagai orang yang menguruskan. Datuk tak bagi sepenuhnya sebab ayah saudara awak tu..." Tiba-tiba, Naina terdiam.
Mungkin tak termampu untuk berkata lebih. Kulit putih Naina sudah memerah, menahan marah. Semua orang tahu, Naina sangat alergik dengan ayah saudaranya sendiri, iaitu Tuan Besar Malik.
Naina menghela nafas berat. Dia membuat keputusan untuk tidak menyambung kata-katanya. Tangannya yang dari tadi mengusap bahu Haries kini turun menggenggam kemas jemari kasar anaknya.
Jejaka yang bergelar anak itu dipandang dengan penuh pengharapan.
"Jadi, awak kena kahwin supaya harta tu tak jatuh ke tangan kotor macam orang tua tu! Papa yang penat-penat uruskan syarikat tu sampai berjaya. Takkan senang-senang nak beri dekat orang tua jijik tu?" hasut Naina. Matanya terbias kebimbangan dan juga sebuah kebencian yang dalam.
"Tapi, mama. Ni masa depan saya," tutur Haries. Suaranya kian perlahan saat melihat Naina hampir menghamburkan tangisnya. Lagi-lagi pula, tangan tua itu terus mengeratkan lagi genggaman di tangannya.
"Haries, please. Please, tolong mama. Please jangan tolak permintaan mama ni," rayu Naina. Mata bundar itu berkaca-kaca.
Melihatkan ibu sendiri merayu sebegitu rupa, anak mana yang tak luluh jantungnya? Mulut Haries terus terkatup. Dia mahu membantah tapi mulutnya terasa berat nak membalas.
"Mama tak nak... mama tak sanggup, sayang." Kepala itu menggeleng-geleng laju dengan linangan air mata yang tak berhenti.
Haries mungkin tak tahu sejauh mana Naina membenci Tuan Besar Malik. Tapi sekurang-kurangnya, dia mengerti, wanita kesayangannya bukannya terlalu tamakkan harta sehingga sanggup menangis dan merayu sebegini rupa.
Wanita itu menangis seolah-olah dia akan hilang sesuatu yang sangat bermakna. Mungkinkah syarikat yang papanya kendalikan sekarang ini terlalu penting buat Naina sehingga wanita bekerjaya itu sanggup merendahkan egonya untuk merayu sebegini sekali?
Haries tak faham. Dia keliru. Dia rasa ada sesuatu tak kena. Namun, saat ini, dia tak berani untuk mempersoalkan apa-apa. Hatinya sendiri terluka melihat wanita yang membesarkannya merayu-rayu seperti seorang hamba meminta belas tuannya sendiri.
Lambat-lambat, Haries anggukkan kepala. Setelah itu, dia melepaskan nafas panjang. Tak pasti, adakah ini pilihan yang betul. Mungkinkah, dia terlalu terburu-buru? Tapi, dia juga tak punya kekuatan untuk menolak permintaam Naina.
"Haries kahwin." Perlahan suara garau itu memberi keputusan.
"Haries kahwin dan jadikan syarikat tu hak milik mutlak papa dan mama." Akhirnya, Haries membuat janji.
Kepalanya sekali lagi terasa sakit. Penat dan sengal-sengal semalam masih belum hilang. Misinya pun masih banyak lagi belum jumpa penamat. Dan tiba-tiba, dia dikejutkan dengan berita tak masuk akal ni.
Haries menjeling helaian kertas wasiat Tuan Besar Marzuki. Jelas terlukis tanda tangan arwah datuknya di situ.
Kahwin? Argh, Farhan... tolong aku! Hatinya tiba-tiba saja menjerit memanggil nama rakan baiknya.
Kalaulah dia boleh jadi setenang Farhan, pasti lelaki itu takkan terus memberi kata putus. Tapi Haries tak boleh.
Dalam dunia ni, dia ada satu kelemahan yang nyata.
Dan kelemahan itu ialah Naina Matissa, ibunya sendiri.
RAIHANAH mengambil sebungkus roti dan jem berperisa coklat dari rak kedai runcit. Dia turut mencapai sebotol air susu kultur Calpis dari peti sejuk kedai apabila teringatkan Razif di rumah. Kemudian, Raihanah terus membayar barang-barang itu di kaunter.
Setelah membayar harga barang-barangnya, Raihanah berpusing ke belakang, ingin berlalu pergi. Namun, dia tersilap langkah. Badannya berlanggar dengan seorang lelaki di belakangnya.
Lelaki itu memakai baju pagoda putih dengan jaket kulit hitam. Di kepalanya masih tersarung topi keledar.
"Maaf, maaf," ucap Raihanah, menundukkan kepalanya sekali sebelum cepat-cepat melangkah keluar dari kedai runcit itu.
"Cik!" Suara garau yang memanggilnya membuatkan pergerakan pantas gadis itu terbejat. Raihanah berpaling melihat empunya suara.
Lelaki bertopi keledar itu menuju ke arahnya dengan sekeping kad berwarna hijau. Kening Raihanah bertaut.
Aik, kad aku ke? Macam mana boleh jatuh? Hatinya tertanya-tanya, hairan. Padahal dia letak kadnya di dalam dompet. Masakan boleh tercicir.
Namun, segala kemusykilan di hati disimpan jauh dengan sebuah senyuman mesra.
"Cik, kad cik jatuh," ujarnya, lalu menghulurkan kad itu kepada Raihanah yang agak terpinga-pinga.
Raihanah melihat kad itu. Kad membership untuk kedai buku Popular. Matanya membulat sedikit.
"Ya Allah, terima kasih, encik." Raihanah tersenyum gembira. Sayang kalau hilang kad ini. Dengan kad inilah, dia dapat membeli serba sedikit barang keperluan untuk Razif di sekolah. Walaupun diskaun yang diberi hanya 20% tetapi cukup buat Raihanah bersyukur.
"Sama-sama!" Lelaki itu terus bergerak ke motornya di depan kedai.
Raihanah cepat-cepat masukkan kad itu ke dalam dompetnya semula. Takut-takut tercicir lagi.
Manakala, lelaki bertopi keledar yang sudah berada di atas motor itu, terus memerhati Raihanah melalui cermin sisi. Gadis itu nampaknya langsung tak syak apa-apa.
Jejaka itu tersenyum lebar. Dia memanaskan enjin motor sebelum menderum pergi, meninggalkan Raihanah yang masih belum sedar dirinya menjadi sasaran si mata-mata.
Tarikh - 100521
Masa - Jam 2120
DJ's prescription :
√ Jangan lupa vote dan comment kalau awak enjoy dengan bab ni.
√ Bab ni bosan? Boleh utarakan di komen atau di private message. DJ boleh buat penambahbaikan.
√ Terima kasih kerana sudi membaca, vote atau komen.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Com