Truyen2U.Net quay lại rồi đây! Các bạn truy cập Truyen2U.Com. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 20

PINTU bilik kerja Farhan ditutup rapat lalu dikunci dari dalam. Mereka berdua mengambil tempat di sofa baldu yang terletak di tengah ruangan bilik.

Farhan membuka komputer ribanya lalu jarinya mula lincah menari di atas papan kekunci. Haries diam memerhati gerak tangan Farhan.

Fikirannya mula terbang melayang mengingatkan kejadian pagi tadi. Serabut! Pelbagai maklumat berlumba-lumba ingin masuk ke kotak memorinya tanpa sempat ia dianalisa satu-satu. Pening!

"Kenapa kau diam?" soal Farhan, memandang skrin komputer ribanya sebelum perlahan-lahan, pandangannya terarah pada Haries.

Sejak Haries tiba ke rumahnya, air muka lelaki itu nampak tegang. Dahinya berkerut-kerut seakan memikirkan masalah negara. Hinggakan Shafira pun hairan dengan perubahan ketara daripada Haries.

Haries tersentak sebelum anak matanya beralih, menentang pandangan Farhan kepadanya.

"Diam pun salah ke?" Nada Haries kedengaran pasrah. Kali ini, Farhan pula yang mengerutkan keningnya. Lelaki itu menyandarkan tubuhnya ke badan sofa yang empuk.

"Memanglah tak salah. Tapi diam kau ni ada rahsia. Kau kenapa? Macam terganggu sangat je?" soal Farhan, prihatin. Tangan disilangkan ke dada sambil kening terjungkit, bertanya.

Lelaki bernama Haries yang dia kenal suka bercakap, ceria dan agak gila-gila sedikit orangnya. Haries bukan Farhan yang hanya suka berdiam. Tapi petang ini, Haries bukan seperti dirinya sendiri.

Banyak termenung, sekejap mengeluh kemudian pegang kepala. Muka tegang tanpa senyuman. Farhan benar-benar merasakan ada sesuatu yang telah mengganggu Haries. Sesuatu yang berjaya membuatkan lelaki itu hilang fokus.

Haries membisu sejenak, sedang merangka-rangka ayat yang sesuai untuk dilontarkan kepada sahabat seperjuangannya itu.

"Aku nak beritahu kau sesuatu," beritahu Haries, teragak-agak. Seram sebenarnya bila membayangkan wajah menyinga lelaki itu sebentar lagi saat dia memberitahu perkara sebenar.

"Dan kau tak nak aku marah kau?" tebak Farhan.

Kepala Haries dijatuhkan berkali-kali, mengiakan tebakan Farhan. Farhan hanya melepaskan nafas panjangnya sebelum bersuara memberi jaminan,

"Okey, aku takkan marah kau." Dengan tegas, Farhan membuat janji.

"Okey, actually..."

▶️ ▶️ ▶️

Setelah hampir beberapa minit terdiam mendengar cerita Haries, Farhan meraup wajahnya. Baru dia faham mengapa air muka Haries serius saja tadi. Dan kini, raut tegang itu pula yang terlukis di wajahnya.

Tekanan sungguh!

Haries menghembuskan nafas lega apabila Farhan langsung tidak memarahinya. Malah menjeling tajam pun tidak. Benarlah, lelaki itu menyimpan janji yang dibuatnya.

"Haries, listen! Aku cakap aku takkan marah kau, jadi aku tak nak marah kau walaupun aku rasa nak sepak muka lawa kau sekarang ni." Tenang Farhan berkata.

Haries tersengih kambing. Tahu lelaki itu geram. Apa tidaknya, dia baru saja bersikap cuai dan memberitahu maklumat misi kepada orang awam. Namun Farhan cuba memujuk diri memandangkan orang awam itu ialah anak kepada mangsa dan keadaan waktu itu pun agak di luar kawalan.

"Jadi, kenapa kau panggil aku ni?" soal Haries, mengalih topik perbualan berkaitan Raihanah. Dia tak mahu Farhan pula yang terbeban dengan masalah yang berpunca daripadanya.

"I want you to see the footage in the basement that happened yesterday," jawab Farhan lalu menumpukan fokusnya pada komputer riba yang dari tadi dibiarkan terbuka.

"Semalam? Menarik sangat ke sampai aku perlu ada sekali?"

Farhan meleretkan senyum senget. Keningnya terangkat, "Kau rasa?"

Haries tak membalas sebaliknya hanya menunjukkan reaksi ingin tahu. Melihatkan senyuman Farhan itu, dia pasti mereka telah mendapat maklumat yang berguna melalui rakaman kamera dalam gelap itu.

Tapi apa?

Apa saja bilik bawah tanah yang menyimpan mangsa seksaan boleh beri? Farhan menyuruhnya meletakkan kamera kecil itu pun kerana mereka berdua menyangka bilik rahsia itu adalah bilik penyimpanan maklumat The Oscura.

Beberapa saat berteka-teki sendiri, Farhan menolak komputer riba itu ke arah Haries supaya sahabatnya dapat melihat video itu dengan lebih jelas.

Mata Haries tunak memandang ruang bilik yang kelihatan samar-samar itu. Kelihatan seorang lelaki kurus sedang duduk memeluk lutut. Badannya dihadapkan ke dinding lalu kepalanya dihantuk-hantukkan ke batu konkrit itu.

Serupa orang gila. Serupa orang yang telah hilang kewarasan akalnya.

Haries mengetap bibir. Entah kenapa, pelbagai perasaan hadir melihatkan keadaan lelaki kurus itu. Lebih-lebih lagi tatkala mengetahui bahawa lelaki kurus itu merupakan ayah Raihanah yang telah lama hilang tanpa jejak.

Agaknya, jika Raihanah melihatkan rakaman ini, pasti jiwanya akan retak seribu. Siapa yang tak pilu melihatkan keadaan orang yang membesarkan kita dengan tangannya jadi sebegitu rupa?

"Aku perlukan bukti untuk Raihanah percayakan aku. Tapi takkanlah aku nak bagi rakaman ni pada dia?" soal Haries, perlahan sambil matanya terus memandang rakaman yang masih berjalan.

Tadi, sewaktu gadis itu menangis sikit pun, dia dah gelabah kucing. Inikan pula jika Raihanah menangis lebih daripada tadi. Mati akal dibuatnya!

"Janganlah jadikan otak tu macam akal lembu. Nanti aku bagi minit rakaman yang lain," sindir Farhan.

Haries hanya menadah telinga saja mendengar ayat sarkastik Farhan. Mata dan perhatiannya lebih tertumpu pada apa yang kamera itu tayangkan.

Hampir seminit berlalu, bilik yang gelap gelita itu menjadi cerah kerana disuluh cahaya daripada lif yang terbuka pintunya.

Kelihatan beberapa orang lelaki yang berbeza keadaan melangkah masuk ke dalam ruangan yang gelap itu.

Dua orang lelaki yang berbadan sasa sedang menyeret seorang lelaki. Kelihatannya agak muda. Lelaki yang diseret itu jelas sangat lemah tak berdaya. Apabila tiba benar-benar di hadapan ayah Raihanah, lelaki muda itu dilepaskan hingga tubuh yang sudah hilang kekuatan itu terjelepok menghentam lantai.

Di belakang dua orang lelaki sasa itu, menyusul dua orang lagi lelaki. Seorang sedang duduk di kerusi roda sambil ditolak oleh seseorang.

Jari Haries menghentikan rakaman. Kerutan muncul di dahinya sebelum pandangan matanya terarah pada Farhan di sebelahnya.

"Siapa?" soal Haries, ringkas. Wajahnya jelas menunjukkan dia agak keliru.

"Yang tolak kerusi roda tu ialah..." Belum sempat Farhan menghabiskan ayatnya, Haries mencantas laju.

"Tahu. Tu Sovrano. Tapi yang dekat kerusi roda tu? Anggota keluarga dia?" soal Haries bertalu-talu. Sungguh, dia pelik. Daripada apa yang Farhan beritahunya, ketua The Oscura atau nama panggilannya, Sovrano tiada keluarga.

Farhan mengangkat bahunya, tanda dia juga tidak punya jawapan. Ternyata Sovrano sangat bijak menyimpan rahsianya.

"Aku perlukan masa untuk tahu semuanya pasal dia, Ries. Or the bad news is... aku mungkin takkan dapat tahu semuanya tentang dia. Kumpulan The Oscura satu-satunya kumpulan yang sangat jarang gunakan teknologi. Aku rasa mereka ada jurutulis sendiri," beritahu Farhan tanpa mahu berselindung.

Dia juga manusia punya kelemahan. Sedangkan teknologi juga punya hadnya, apatah lagi dia. Atas sebab itu, dia tak mahu menabur janji pada perkara yang Farhan rasa tak mampu untuk ditunaikan.

Berterus-terang lebih baik daripada janji bulan bintang.

Haries mengeluh. Susah juga! Jika mereka tidak punya maklumat yang cukup, celah mana pula mereka ingin menang dalam pertarungan secara senyap ini?

"Okey, siapa dia, kita tinggalkan dulu perkara tu. Ada benda lagi yang perlu kau tengok," tegur Farhan, pantas menyedarkan Haries yang mereka tidak terikat dengan hanya satu persoalan saja.

Haries akur. Dia pantas menekan papan kekunci untuk meneruskan rakaman yang tergendala tadi.

Dua orang lelaki sasa berundur, memberi ruang kepada Sovrano untuk menyelesaikan pula urusannya dengan si mangsa yang terbujur lemah di lantai simen.

Manakala ayah Raihanah langsung tidak mempedulikan mereka berlima. Dia masih juga dengan dunia ciptaannya, menyakitkan kepala sendiri dengan dinding.

Sovrano menarik rambut lelaki muda itu, membuatkan kepala mangsa terdongak dalam kesakitan. Manakala salah seorang daripada lelaki sasa tadi menghentikan perbuatan ayah Raihanah supaya badan itu berpusing menghadap Sovrano dan mangsanya.

Sovrano bercakap sesuatu namun abiliti kamera dalam gelap itu tiada alat untuk merakam suara. Tapi daripada gaya percakapan Sovrano, marah sedang merajai hatinya.

Tindakannya juga menunjukkan lelaki muda yang menjadi mangsanya itu benar-benar telah menaikkan darah ketua kumpulan kongsi gelap yang terkenal itu.

Dia menghantukkan kepala mangsanya dengan lantai berkali-kali tanpa belas. Tubuh si mangsa juga ditendang sepuas nafsunya. Walaupun hanya menonton daripada rakaman video, tapi Farhan dan Haries tahu, syaitan benar-benar telah menjadikan Sovrano hambanya.

Setelah itu, Sovrano melepaskan lelaki muda itu dan bercakap sesuatu kepada mangsanya. Kemudian, mereka berlalu pergi setelah Sovrano memberikan tendangannya buat kali terakhir kepada si mangsa.

Keadaan menjadi samar-samar kembali setelah limpahan cahaya daripada lif hilang.

Haries terus memerhati perlakuan lelaki muda itu. Dengan kudrat yang masih tersisa, lelaki muda itu sedaya upaya cuba mendekati lelaki kurus yang masih khayal.

Apabila tangannya sudah dapat memegang hujung kaki lelaki kurus itu, terus saja batang kaki itu dipeluk kemas seperti tidak mahu lepas.

Kaki lelaki kurus itu dikucup berkali-kali seperti seorang hamba yang ingin meminta keampunan daripada tuannya. Perbuatan aneh lelaki muda itu membuatkan Haries hairan sendiri. Mungkinkah ini juga salah satu sebab Farhan mengajaknya datang?

Farhan menekan papan kekunci untuk menghentikan video itu. Haries dan Farhan saling berpandangan. Masing-masing membisu. Hanya mata mereka saja yang saling berbicara.

"Kau tahukan apa yang aku fikir ni?" duga Farhan.

"Ak... Aku tak sanggup, Han." balas Haries, perlahan. Dadanya terasa memberat mengenangkan tindakannya selepas ini.

Tindakan yang pastinya akan melukakan sekeping hati Raihanah. Tanpa dia tahu, perasaan takut muncul dalam dirinya.

Takut untuk membiarkan luka Raihanah kembali berdarah.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Com