Bab 33
DISEBABKAN kerana rumah sewa Haries dah tak sesuai dijadikan tempat perbincangan mereka berdua kerana kehadiran Raihanah dan Raziq, Farhan memberikan kebenaran untuk menggunakan bilik kerjanya sebagai tempat baharu mereka buat sementara waktu.
Haries mencicip teh di cawan sambil tangan memegang helaian kertas yang mengandungi maklumat tentang The Oscura. Cawan kembali diletakkan ke meja namun matanya masih melekat pada tulisan Times New Roman itu. Kertas itu diselak lagi sebelum tiba-tiba saja, lelaki itu berdecit halus.
Kerusi beroda hitam di bilik kerja Farhan dipusing menghadap si empunya tuan bilik. Dahi Haries berkerut dengan wajah yang jelas tidak puas hati.
"Sikit ni saja ke?" soal Haries, agak kecewa.
Farhan yang sedang menghadap komputer ribanya di sofa membalas ringkas, "Haah." Mendengarkan jawapan tidak berperasaan Farhan itu, Haries melepaskan keluhan panjang.
"Maklumat sikit sangat. Tak cukup ni nak 'mati'kan dia," keluh Haries sambil memusing-musingkan kerusi beroda itu.
"Tahu pun," celah Farhan.
Mereka berdua berdiam untuk beberapa saat. Haries menghentikan pusingan kerusi berodanya manakala Farhan yang dari tadi menaip turut menghentikan gerakan laju jari-jarinya. Haries dan Farhan membisu lagi sebelum tiba-tiba mereka berpandangan sesama sendiri. Suasana sunyi. Hanya mata mereka yang berbicara.
"Kau tahu ke apa dalam kepala aku?" soal Haries lalu menjungkitkan keningnya berkali-kali.
"Mungkin?" Farhan mengangkat kedua-dua bahunya.
"This is the last choice, you know," sambung Farhan, cuba meyakinkan Haries.
"Tahu. Sebab... cara ni paling bahaya sekali. Lagi-lagi pula kumpulan The Oscura tu." Haries mengurut dagunya. Bibir digigit lembut. Keliru juga. Dengan kumpulan mafia yang ternama seperti The Oscura, Haries memerlukan seorang lagi pembantu. Pembantu yang handal dan semestinya lebih tahu dengan sistem dalam mafia ini.
Anak-anak buahnya? Tak boleh! Mereka masih belum cukup pengalaman. Silap-silap, identiti mereka terbongkar tanpa belum sempat menjalankan tugas mencari maklumat. Lama Haries senyap, ingin mencari-cari seseorang dalam kepalanya yang dapat menepati segala kriteria yang dia mahu.
"Jack Raymond."
"RedJ."
Mereka berdua bersuara serentak. Haries tersengih-sengih. "Kita memang sehati sejiwa, sehidup semati ya hari ni?" usik lelaki itu lalu ketawa. Seronok apabila sahabatnya turut memikirkan perkara yang sama dengannya.
Farhan mencebik kecil. "Mungkin kesan dari minum kopi aku tak?" Selamba lelaki itu masuk bakul angkat sendiri di depan Haries.
"Amboi! Sejak bila kau jadi seorang narsistik ni? Ni mesti sebab Shafira puji kau hari-hari sampai kau kembang tak reti nak kuncup balikkan?" tebak Haries sambil jari telunjuknya melurus pada wajah Farhan yang masih tekun menaip. Entah buat apalah tu.
"Dah, jangan main-main. Masa tu, aku ada faxkan maklumat pasal Jack Raymond dekat kaukan? Mana? Kalau boleh, kau kena tarik kerjasama dia cepat-cepat," dalih Farhan, malas mahu melayan usikan Haries yang memang ada betulnya pun. Tapi jika dia terus-terusan membiarkan Haries bersuka-suka begini, memang sampai ke sudah kerja mereka berdua takkan siap.
Haries tersengih-sengih apabila Farhan jelas mahu mengelat dari soalannya. "Kejap ya. Rasanya aku ada masukkan dalam beg aku." Beg silang yang selalu dibawanya dicapai dari atas meja. Zip beg hitam itu dibuka lalu tangannya menyelak satu-satu fail yang berada di situ. Namun setelah hampir 30 saat mencari, Haries menghela nafas lemah.
Sahabatnya menjeling sekilas Haries sebelum cawan kopi di meja dicapai. "Kenapa? Tak jumpa ke? Aku boleh je printkan balik," tawar Farhan, senada. Bibir cawan sudah didekatkan dengan mulutnya, ingin menikmati kopi yang dibancuhnya sendiri. Namun perlakuannya terhenti apabila tiba-tiba saja Haries melakukan sesuatu yang di luar jangkaannya.
Haries menterbalikkan beg hitamnya itu sehinggakan semua fail yang tersusun rapi dalam beg itu berterabur ke lantai. Farhan meletakkan kembali cawannya ke meja. Terus mati niatnya ingin membasahkan tekak tatkala melihat perbuatan gila Haries.
"Ries, kau buat apa? Bilik kerja aku..." Farhan ternyata tak mampu menghabiskan ayatnya. Dia benar-benar terkelu melihatkan bilik kerjanya yang sebentar tadi kemas dan tersusun barangannya kini tak ubah seperti lori kertas terbalik. Hinggakan lantai putih yang bersih berkilat sudah tak terlihat kerana kertas-kertas dan longgokan fail yang bersepah.
"Ala... kau sendiri bagi pinjam bilik kerja kaukan? Nanti aku susun balik. Aku cuma nak cari balik fail pasal Jack yang kau pernah bagi aku tu." Haries yang tak mahu dimarahi, memberi alasan awal-awal.
Dia tahu benar sikap Farhan yang amat mementingkan kesempurnaan lebih-lebih lagi di pejabatnya sendiri.
Tangannya tangkas menyelak-nyelak fail dan kertas di lantai dengan gaya orang yang tidak bersalah. Nak buat macam mana? Berbeza dengan Farhan, Haries lebih gemar suasana kerja yang begini. Barulah nampak macam dia sedang bekerja.
Farhan melepaskan hembusan nafas panjang. Belakang lehernya diusap-usap perlahan. Mengalah. Lagipun, melihat dari wajah Haries yang serius itu, dia malas mahu mengganggu. Pasti Haries sudah masuk ke mod bekerja. Sebab itulah perangai pelik-peliknya datang.
Manakala Haries pula berlutut di lantai dan fail-fail yang pelbagai warna itu dibuka satu-satu. Melihatkan fail itu langsung tiada kaitan dengan pencariannya, fail itu terus saja dicampak jauh, ingin diasingkan terus agar tidak diperiksa lagi.
Farhan jadi tak senang duduk. Cara bekerja Haries ni buat dia rasa panas hati. Penyepah tegar! Nasiblah sahabatnya ini tahu kemas semula.
"Haries, aku keluar kejap. Apa-apa... aku dekat bilik utama," pinta Farhan. Komputer ribanya dibawa sekali. Baik dia sambung kerjanya di sana saja.
"Hmm..." Ringkas balasan Haries. Matanya lebih sibuk ditumpukan untuk mencari fail tentang Jack Raymond yang lebih dikenali sebagai Red Joker. Pembantu setia dan orang kanan kepercayaan RedK suatu masa dulu.
Haries percaya hanya Jack saja orang yang sesuai untuk diajak bersama menjalankan misi mereka. Misi untuk menyamar sebagai ahli kepada The Oscura.
Setelah hampir 10 minit mencari, sebuah fail berwarna hitam menjadi tatapannya. Fail nipis itu dicapai dan dibuka isinya.
Nama Jack Raymond terpapar di muka surat pertama fail itu. Beberapa keping gambar Jack dari pelbagai sudut yang dirakamkan sendiri oleh salah seorang anak buahnya terselit di celahan kertas itu.
Haries melabuhkan punggungnya di kerusi beroda milik Farhan yang kini dipinjamkan sepenuhnya kepada Haries. Fail itu diselak-selak lagi. Latar belakang lelaki bernama Jack itu memang bukanlah sesuatu yang enak untuk dibaca pun.
Berasal dari orang lorong yang hanya beribukan seorang pelacur. Sejak kecil lagi, Jack sudah terbiasa untuk melakukan kerja-kerja haram. Apabila usianya menginjak remaja, ibunya mati dirogol secara beramai-ramai dan dibunuh di hadapannya sendiri.
Tatkala umur mencecah ke angka 15, Jack pasrah. Dia membuat keputusan untuk bunuh diri, namun RedK pada masa itu, iaitu ayah Maya Karmila mengambil Jack sebagai anak buahnya.
Jika diringkaskan cerita, Jack sudah terlibat dalam dunia gelap sejak kecil lagi. Memang dia merupakan calon yang paling sesuai dan boleh dikatakan lebih senior daripada Lelaki Bertopeng Putih sendiri.
Haries mengukir segaris senyum yang penuh makna. Mungkin kerjanya akan bertambah sedikit kerana perlu berunding dengan pihak polis untuk membenarkan Jack keluar dari penjara. Tapi tugas itu tidaklah sesusah mana kerana pihak berkuasa sentiasa memberikan kerjasama yang terbaik untuknya. Tapi lelaki itu...
Jack Raymond. Mahukah lelaki itu melibatkan diri kembali dalam dunia gelap ini? Tidak serik ke? Itu yang mengganggu Haries tika ini. Namun dia cuba untuk positif. Nak tak nak, lelaki itu perlu dipujuk supaya The Oscura dapat ditumbangkan.
Haries bangun. Ingin menuju ke bilik utama untuk membincangkan perkara itu dengan lebih lanjut dengan Farhan. Bilik kerja tu? Nanti-nantilah dia kemas. Ada perkara lebih penting yang perlu diberitahu sekarang ni.
SEMENTARA itu, Farhan masih dengan kerjanya. Menaip dan menaip. Dia dan komputer memang dah tak dapat nak dipisahkan lagi. Sendi-sendi ototnya yang terasa lenguh dipicit-picit seketika. Setelah itu, kepala digerakkan ke kiri dan ke kanan sebagai senaman kepada otot-otot di leher. Tangan pula diregangkan dan jari-jari dipatah-patahkan.
Lima minit melakukan regangan kecil, Farhan berura-ura ingin menyambung kembali kerjanya tapi tiba-tiba saja pintu bilik utamanya terkuak lebar. Serta-merta, bibirnya melebar dengan senyum melihat Shafira di muka pintu.
"Eh, awak? Ingatkan buat kerja dekat ofis sendiri?" soal Shafira sambil mengangkat keningnya.
"Asalnya macam tu... tapi ada budak tu buat sepah. Susah nak buat kerja dengan keadaan tak terurus macam tu," ujar Farhan dengan mata masih melekat pada isterinya. Dah halal, suka hati dialahkan?
Gadis itu hanya mengangguk faham. Tahu siapa budak yang diperkatakan Farhan itu. Tak lain tak bukan mesti Si Haries. Shafira menutup pintu bilik lalu dia duduk di birai katil.
"Awak... kerja awak, lambat lagi ke nak siap?" tanya Shafira dengan nada berharap. Matanya yang bundar itu merenung terus ke wajah Farhan.
Sebenarnya, dia dah lama sangat nak ajar Farhan keluar sama-sama. Kalau dapat keluar pergi beli barang dapur berdua pun dah betul-betul buat Shafira rasa gembira.
Yalah, Farhan memang sibuk memanjang. Namanya sebagai seorang penggodam handal semakin terkenal. Ada saja lot permintaan masuk. Kebanyakannya daripada kumpulan-kumpulan kongsi gelap.
Tapi walauapapun, Shafira tak mahu rumah tangganya menjadi hambar. Dia tak mahu dia seorang saja yang terkejar-kejarkan Farhan, tapi Farhan pula buat tak kisah dengan dia.
Farhan diam seketika. Dia meletakkan komputer ribanya di sebelah. "Kerja saya tak siap lagi. Dan mungkin kalau awak bagi masa berbulan-bulan pun masih tak siap juga. Awak tahukan?" duga Farhan. Kepalanya tertunduk sedikit, ingin melihat wajah Shafira supaya setentang dengannya.
"Tahu... tapi, kita dah jarang keluar sama." Perlahan suara Shafira menuturkan kata. Dia mengalihkan matanya dari ditenung oleh mata kelabu Farhan. Shafira serba salah kerana terasa dirinya sengaja mengada-ada.
Lelaki itu terdiam lagi. Dia menggaru-garu keningnya. Nak cakap apa ni? Bukan dia sengaja nak abaikan Shafira tapi... sejak akhir-akhir ni, dia memang tak berkesempatan untuk keluar ke mana-mana. Kalau setakat luangkan masa duduk depan TV tu mampulah. Itu pun masih dengan komputer riba di tangan.
Shafira cepat-cepat mengukir senyum manis apabila lama sangat Farhan diam. Dia tak mahu lelaki itu rasa bersalah. Dia sebagai isteri kena faham. Shafira paksa dirinya untuk memahami Farhan. Lagipun, berkahwin dengan 426 memang impiannya pun. Apa lagi yang dia mahukan?
"Awak tak payah risaulah, Farhan. Saya tanya je. Dah, awak sambunglah kerja tau. Nanti Haries bising pula," pujuk Shafira. Jujur, memang dia kecil hati kerana selalu tak dilayan. Namun dibuang jauh-jauh rasa itu. Shafira tak mahu dianggap perempuan menyusahkan.
"Saya pergi dapur kejap tau. Nak masak air." Sengaja Shafira membuat alasan apabila hatinya tiba-tiba saja terasa sebak. Mulalah ni nak buat drama air mata. Cepat betul sensitifnya. Matanya entah kenapa berair tanpa sebab.
Dia ingin bangun tapi Farhan menahan. Tangan Shafira ditarik lalu tubuh Shafira didudukkan di ribanya. Tak berani Farhan mahu berdiam lagi saat melihatkan mata merah si isteri. Hati dia takkan tenang nanti.
Tangannya melingkar di perut Shafira seraya kepalanya disandarkan ke belakang tubuh genit itu. Suara garaunya halus berbisik, "I'm sorry... and trust me, I love you. So much. Jangan menangis." Ringkas saja pujukan dari Farhan tapi cukup buat Shafira tersentuh.
"Ma... mana ada saya nangislah. Saya okey je," nafi Shafira. Tapi suaranya yang mulai serak itu tak beri kerjasama.
Farhan melekapkan pipinya di belakang badan Shafira. "Awak tahu tak... saya pernah tengok dekat status Haries," jeda Farhan sebelum kembali menyambung kata.
"Haries tulis... perempuan selalu kata dia okey, tapi sebenarnya tak. Is that true, Fira?" soal Farhan lalu mengeratkan pelukan.
Dengan hidung yang masih berair, Shafira ketawa. "Haries letak status macam tu? Tak sangka dia boleh tulis macam tu ya?" Geli hatinya mendengar kata-kata Farhan. Haries yang disangka kaku dengan makhluk bernama perempuan boleh tulis ayat-ayat macam tu? Macam bukan Haries je?
"Tapi betulkan? Yang awak terasa dengan saya?" soal Farhan, ingin mengalihkan perhatian Shafira dari memikirkan sahabatnya itu.
Perlahan-lahan, gadis itu mengangguk. Mengiakan. Dia mahu jujur walaupun hatinya berat. Serentak itu, kepalanya tiba-tiba saja ditarik ke belakang. Kucupan Farhan singgah di kepala Shafira yang masih ditutup dengan selendang.
"Then, I am sorry. Saya tak tahu nak bagi ayat bunga-bunga dekat awak. Saya cuma buat apa yang saya rasa nak buat. I hurt you, and I know it. Cuma maaf je saya boleh cakap untuk awak."
Shafira benar-benar terharu. Mungkin ayat tu bukanlah ayat romantik yang selalu dia dengar di drama TV mahupun di buku novel cinta lain tapi untuk seorang Farhan mengungkapkan ayat sebegitu, benar-benar buat Shafira terharu. Sekejap saja dia sudah rasa terpujuk.
"Harap awak tak menyesal pilih saya, Fira," bisik Farhan. Gadis itu menggeleng-gelengkan kepalanya. Dia tersenyum meskipun Farhan tak dapat melihat tapi dia tahu lelaki itu dapat merasainya.
"Tak. Tak pernah terlintas dalam hati dan fikiran saya untuk menyesal pun. Awakkan 426 yang saya cari dan tunggu selama ni?"
Farhan sembunyi senyum. Tipulah kalau kata tak seronok sebab dah berjaya pujuk isteri sendiri. Dan tipulah juga kalau dia kata tak gembira apabila gadis yang dia cinta masih menerimanya. Memang pilihannya tak salah dari dulu lagi. Dan semestinya pilihan Tuhan untuknya takkan pernah salah.
"Terima kasih, Fira sebab faham saya."
Gadis itu melepaskan tawa kecilnya. "Eee... awak ni, comellah bila pujuk saya! Nak tengok sikit muka!" Shafira ingin memusingkan tubuhnya namun Farhan segera menahan.
"Tak payah! Duduk je diam," arah Farhan. Jatuhlah air muka dia kalau Shafira nampaknya wajahnya yang dah merah padam sekarang ni. Huh, ada ke suami yang cair dengan ayat isteri sendiri?
Baru Shafira ingin bersuara membantah, pintu bilik tidur mereka tiba-tiba saja terbuka luas dari luar. Seorang lelaki berdiri di muka pintu dengan wajah teruja. Tangannya kemas memegang sebuah fail. Tapi senyumannya mati apabila melihat adegan mesra suami isteri itu.
Shafira ingin bangun tapi Farhan tak mahu lepaskan. Dia membuat isyarat mata supaya tidak berdiri. Jadi, mahu tak mahu, Shafira hanya menurut. Aduh, malulah macam ni! Kepalanya sudah tertunduk memandang kaki. Langsung tak berani nak menjeling Haries walau sekilas.
Manakala Haries sudah menutup matanya dengan fail. "Astagfirullah, apa yang aku tengok ni? Masya Allah, rosak mata aku yang suci ni," rungut Haries lalu beristighfar berkali-kali.
Dia sudah memusingkan tubuhnya ingin berlalu. Gayanya tak ubah seperti pak imam yang baru terlihat pasangan ditangkap basah. Melebih-lebih!
Farhan menghela nafas pendek. Dia hanya memerhati tingkah laku sahabatnya yang sudah berlari masuk bilik pejabat.
"Biarkan je dia, Fira. Over!" Sinis Farhan berkata. Kepalanya tergeleng perlahan.
"Yalah, tapi malulah! Awak sambung kerja tau! Saya... saya pergi masak air!"
Terus Shafira bangun dari riba Farhan lalu bergerak turun ke dapur. Mukanya merah menahan segan. Dia tahu Haries sengaja buat reaksi lebih-lebih untuk mengenakan mereka berdua. Walhal, bukan mereka sedang buat adegan cium pun. Setakat peluk saja.
"Argh, malu!" jerit Shafira. Mukanya ditekup. Sedih yang datang beberapa minit lepas hilang begitu saja. Kenapa asyik dia saja yang terkena?
Maaf sebab chapter kali ni macam panjang sangat. Mesti kauorang bosan panjang-panjang sangat dalam satu chapter. Ingat nak asingkan tapi wattpad buat masalah. Memandangkan author tulis dekat laptop, jadi proses nak copy paste tu memang ambil masa. Ini pun sampai sejam semata-mata nak copy paste chapter ni. Laptop author pulak lag dia... memang sakit hati menunggu. Sori, ampunkan author eh!
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Com