Truyen2U.Net quay lại rồi đây! Các bạn truy cập Truyen2U.Com. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 1

DIA tidak melawan, biarpun sejak tadi emaknya dirasuk kemarahan. Emak memukulnya tanpa henti. Emak sedang melampiaskan rasa kecewanya. Emak tidak dapat menerima berita yang baru disampaikan kepadanya.

"Kenapa Hadrian buat macam ni? Mak tak didik Hadrian jadi macam ni!"

Dia tunduk kepalanya. Dia juga tak tahu kenapa keadaan boleh jadi tak terkawal begini. Segalanya di luar kawalannya. Ketika ini, dia tidak menemui jalan penyelesaian pada masalah yang ditimbulkannya bersama Inara.

"Mak malu sangat, Hadrian. Sampai hati Hadrian buat mak macam ni." Emak bersuara lagi melepaskan rasa kecewa. Tangan emak juga tak berhenti memukul. Emak lupa tentang luka yang belum sembuh pada bahagian kepala dan juga bahagian tubuh Hadrian yang lain.

"Kalau mak tahu kamu nak malukan mak, mak bunuh kamu dari kecil dulu. Mak takkan benarkan kamu hidup!"

Ayat emak terlebih dahulu telah membunuhnya. Dia susah mahu bernafas. Pandangan matanya semakin berbalam.

"Mak tak boleh terima Hadrian malukan mak dengan cara macam ni. Hadrian dah ikut jejak ayah Hadrian!"

Bergetar bahunya mendengar ayat emak. Dia marah ketika ayah menduakan emak lagi. Dia marah ayah mensia-siakan peluang yang emak beri. Ayah tidur dengan wanita lain. Dia lebih marah apabila wanita itu mengandung lalu ayah memilih meninggalkan emak. Sekarang dia telah dicampak ke dalam kandang kesalahan yang sama dengan ayah.

"Mak salah apa, Hadrian? Cara mak didik Hadrian salah dekat mana? Sampai Hadrian balas kesalahan mak dengan cara terkutuk?"

Demi Allah, tidak pernah terlintas di dalam kepalanya mahu memalukan emak. Dia hanya mahu membahagiakan emak. Apa yang berlaku sekarang, pasti ada penjelasan yang rasional. Pasti ada terang di sebalik semua kegelapan ini.

"Hadrian bukan saja dah malukan mak, tapi Hadrian malukan kawan mak sekali. Hadrian tak sepatutnya rosakkan Inara. Kenapa Hadrian heret Inara sekali?"

Terbayang di ruang kepalanya senyuman polos Inara. Suara lembut Inara seperti menampar-nampar telinganya.

"Kalau Hadrian suka Inara, kenapa tak cakap dengan mak? Mak pasti melamar Inara untuk Hadrian. Kenapa kamu berdua mesti terlanjur?" Bertalu-talu soalan emak. Satu pun tidak mampu dia jawab. Dia menerima segala pertuduhan yang dijatuhkan kepadanya. Itu jalan penyelesaian jangka pendek yang masuk ke dalam kepalanya.

Dia telah melakukan kerosakan. Telah wujud nyawa di dalam rahim Inara. Nyawa kecil yang memerlukan pembelaan seorang ayah. Mungkin fikiran seperti ini yang ada di dalam kepala ayah sewaktu membuat keputusan untuk meninggalkan emak untuk kali kedua.

"Mak," panggilnya. Namun jawapan balas emak adalah memukul lengannya semula. Emak juga memukul dada Hadrian. Akhirnya, emak terjelepok di dalam rangkulan kemas Hadrian. Tubuh emak lemah.

"Mak malu, Hadrian..." bisik emak sambil mengesat-ngesat matanya dengan hujung baju. Kesedihan emak jelas nampak di matanya. Hadrian yang mencetuskan kesedihan emak.

"Mak tak tahu nak letak muka dekat mana. Kalau orang tahu, semua orang akan bercakap tentang hal ni. Mereka akan mengata. Mereka akan cakap mak tak pandai ajar anak. Mereka akan mengata keluarga kita, keluarga Inara. Mak tak sanggup nak tanggung malu."

"Saya akan kahwin dengan Inara, mak. Sebaik sahaja Inara dibenarkan keluar wad, kami akan berkahwin. Selepas tu, kami akan tinggal jauh dari sini. Jauh dari mulut orang." Dia membuat keputusan jangka panjang, biarpun hatinya sendiri masih goyah. Dia baru habis belajar dan baru mula bekerja empat belas hari yang lalu. Inara juga masih belajar. Dia bimbang dia tidak mampu memberi Inara kesenangan.

Emak mengongoi mendengar jalan penyelesaiannya. Raut muka emak hilang cahayanya. Bengkak mata emak.

Dia juga dapat mendengar dengan jelas suara mama Inara menangis. Dia juga dapat menangkap suara adik Inara, Ilya dan Inaz menangis. Terakhir sekali, pandangan matanya bertaut dengan sorotan mata Iman.

Iman tidak menangis. Iman hanya memandangnya. Penuh benci. Penuh dendam. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Com