Bab 3
IMAN mematikan enjin keretanya. Dia masih bernafas dengan baik, walaupun tiga jam yang lalu, cincin tanda milik Taufik tidak lagi menemaninya. Iman membayangkan, harinya pasti huru-hara. Dia akan meraung. Dia akan menangis semahunya dan dia akan bergaduh dengan Ilya. Rupa-rupanya dia salah memberi gambaran. Dia tidak melakukan semua kerosakan tersebut. Kawalan emosinya cukup sempurna.
Pintu keretanya ditutup. Kemudian pintu jeriji rumah dibuka, sebelum tangannya menarik pula pemegang pintu kayu jati rumahnya. Awal-awal lagi matanya telah menemui Ilya di ruang tamu. Ilya sama sahaja seperti Taufik. Ilya juga tidak berani membalas pandangan matanya. Mereka berdua memang sejiwa.
Iman menyimpan kasutnya. Dia melihat ada tiga ruang kosong. Itu ruang kasut Inara. Kalau kosong, bermakna Inara tidak ada. Inara tidak pulang ke rumah. Mama yang terkenal sangat tegas, tidak pernah bersuara. Sebab itu Iman kata, Inara itu anak emas mama. Inara buat apa sekalipun, mama tidak pernah lagi menghalang.
"Lambat Iman balik." Suara mama menyapanya. Mama telah datang dan sekarang berdiri di depan pintu.
"Tadi Taufik jumpa Iman. Kami berbincang hal 'penting'." Sengaja Iman menekankan perkataan 'penting'. Kemudian matanya mencari Ilya. Dia mahu melihat reaksi Ilya dan Ilya masih sama seperti tadi. Masih tidak berani berlawan pandang dengannya. Orang kalau sudah melakukan kesalahan memang begitu. Mana berani berlawan pandang dengan mangsanya secara terang-terangan.
"Jangan kerap sangat jumpa Taufik. Memanglah kamu berdua dah bertunang dan nak berkahwin tak lama lagi, tapi kamu berdua belum halal. Nanti jadi buah mulut orang. Bertunang tu bukan tiket untuk Iman dengan Taufik berdua-duaan."
Mama tidak perlu risau. Selepas ini, Iman takkan keluar menemui Taufik lagi. Taufik sudah berubah hati. Taufik telah membuangnya.
"Selagi Taufik belum jadi suami Iman, Iman mesti jaga diri baik-baik. Bukan lama, empat bulan saja lagi. Kalau dah kahwin nanti, Iman dengan Taufik nak berdating siang dan malam pun mama tak kesah. Mama lagi suka."
Senyuman Iman melebar. Mama sudah bijak menunjukkan sisi mengambil beratnya. Dahulu, mama mana pernah memberinya muka. Iman sekadar menerima layanan anak tiri.
"Kami jumpa sekejap saja, mama. Kami berbincang pun hanya hal perkahwinan kami nanti. Kalau bukan hal penting, Iman lebih rela berkurung dalam rumah. Mama pun tahu Taufik sibuk beberapa bulan ni. Kami dah jarang berjumpa." Dia sengaja memilih ayat yang boleh menenangkan perasaan mama. Tidak mengapalah dia berbohong. Tugas memberitahu kebenaran pada mama nanti terletak pada bahu Taufik dan Ilya. Dia takkan masuk campur.
"Lain kali kalau Iman nak keluar jumpa Taufik, bawa Ilya sekali. Biar Ilya temankan Iman. Bertiga lebih elok daripada berdua."
Cadangan mama sangat lucu. Kalaulah mama tahu hal sebenar, pasti teruk mama kerjakan Ilya. Ilya bukan sahaja menemaninya, malah mengambil Taufik terus daripadanya.
"Mama serius ni, Iman. Mama nak Ilya temankan Iman. Hati mama ni tenang sedikit kalau Ilya ada sekali."
Lirikan Iman singgah lagi pada Ilya. Kali ini sorotan mata mereka berdua bertaut. Jelas nampak raut bersalah Ilya.
"Mama dah tanya Ilya, dia okey."
Ilya pastilah setuju. Ilya dan Taufik dilanda penyakit mabuk kepayang. Kalau boleh, mereka berdua tak mahu berpisah. Mama telah memberi peluang, takkan mahu dilepaskan begitu sahaja?
"Kalau Iman nak kata mama ni berfikiran kolot, mama terima. Mama rela, asalkan anak mama tak buat dosa." Mama selesai meluahkan resah hatinya.
"Mama tak sedap hati beberapa hari ni dan mama yakin, cara ni berkesan."
Cara mama memang berkesan. Hubungan Taufik dan Ilya pasti bertambah erat.
"Keputusan mama muktamad, Iman. Dan mama tak terima bantahan. Ilya akan ikut sekali kalau Iman berjumpa dengan Taufik."
Iman memaut lengan mama. Hasrat mama sudah pun menjadi kenyataan. Ilya benar-benar telah menjadi orang ketiga dalam hubungan Iman dan Taufik. Taufik telah menolaknya dan kemudian menerima Ilya.
"Baiklah, mama. Iman akan bawa Ilya sebagai orang ketiga."
"Mama tak nak pisang berbuah dua kali, Iman. Mama tak kuat nak harung semua tu sekali lagi." Kali ini suara mama hampir tidak kedengaran. Cukup perlahan namun cukup jelas masuk ke dalam pendengaran telinga Iman.
Iman tidak selesa. Hati Iman yang tenang tadi mulai bergolak. Kaku pergerakan tubuhnya. Nafasnya perlahan-lahan mulai laju. Mama sedang mengungkit kisah hitam keluarga mereka.
"Cukuplah sekali tu, Iman. Cukuplah sekali tu mama tanggung malu."
Mama lebih mementingkan rasa malunya berbanding darah dagingnya sendiri. Ya, Inara melakukan dosa. Tetapi Inara cuma manusia biasa. Bukan manusia namanya kalau tidak melakukan dosa.
"Mama tak nak apa yang jadi pada Inara, jadi pula pada Iman atau pada Ilya dan Inaz. Mama tak nak malu lagi."
Muka mama merah padam. Bukan mama marah, tetapi mama sedang berduka. Iman faham. Inara anak emas mama, anak harapan mama. Jadi sangat payah untuk mama menerima apabila Inara terpalit skandal yang memalukan.
"Mama, benda dah lepas. Dah lima tahun pun. Takkan mama nak terus kenang benda yang dah boleh masuk muzium?" Pandailah Iman menasihati mama. Padahal dia sendiri masih hidup dengan bayang-bayang sejarah silam.
"Sebab benda dah lepas, mama nak ingatkan. Mama tak nak Iman lupa. Mama pun tak nak Ilya dan Inaz lupa apa yang dah terjadi pada keluarga kita."
Tiba-tiba saja Iman teringat kata-kata Taufik. Taufik ada menyebut dia dan Ilya hampir terlanjur.
Panjang tarikan nafas Iman, kemudian dilepaskan perlahan-lahan. Kalau diikutkan kegilaannya, sekarang juga dia mahu menempelak Ilya sepuas hatinya.
"Mama nak Iman jadi contoh pada Ilya dan Inaz.Iman mesti jaga maruah keluarga kita. Jangan conteng arang lagi ke muka mama. Cukuplah Inara seorang yang conteng."
"Mama tak boleh nak salahkan Inara sepenuhnya."
Hari ini, Iman berpihak di sebelah Inara, sesuatu yang sangat jarang dia lakukan. Selalunya dia pembantah nombor satu Inara.
"Mama patut salahkan Hadrian juga. Anak yang Inara kandung anak Hadrian. Kalau mama berkeras nak salahkan Inara, mama patut heret Hadrian sekali. Pukul sama rata. Jangan jatuhkan semua kesalahan pada Inara." Setelah lima tahun, Iman menyebut semula nama Hadrian. Selama lima tahun ini, dia menanam nama itu tujuh kaki di bawah tanah.
Sayu saja sorotan mata mama. Rasanya kalau dia terus menekan mama, air mata mama pasti jatuh.
"Mama bukan nak salahkan Inara. Mama sayang Inara. Cuma sampai sekarang mama tak boleh terima apa dia buat."
"Mama patut marah Hadrian."
Tunduk kepala mama.
"Kalau mama risau kawan mama terasa, biar Iman yang marah Hadrian bagi pihak mama."
"Jangan. Mama tak nak Iman cari Hadrian. Kak Sal sendiri pun sedih. Kak Sal dengan mama sama-sama kehilangan anak."
Iman sedar mama tersepit. Hadrian itu anak kawan baik mama. Pastilah mama mahu menjaga hati kawan baiknya. Jadi kalau sudah begitu, mama tidak sepatutnya bersedih lagi. Mama mesti kuatkan hati dan menerima segalanya.
"Iman nak naik atas."
Mama anggukkan kepalanya berkali-kali. Baru tiga langkah, Iman mendengar suara esakan mama. Dan dia adalah anak yang tidak pandai meredakan kesedihan mama. Iman harap sangat, Inara balik dan memujuk mama.
Anak tangga didaki satu per satu. Melalui ekor matanya, dia melihat mama mengesat-ngesat matanya dengan hujung baju.
Jari tangannya dikepal. Dia marah dan dia tak tahu mahu melepaskan kemarahannya kepada siapa. Apa yang Iman tahu, kemarahannya lebur sewaktu dia melalui bilik tidur Inara. Langkahnya goyah.
Mungkin esok, dia perlu menemui Inara. Mungkin esok, dia perlu merendahkan egonya. Dan mungkin esok, dia boleh hidup tanpa sejuta penyesalan.
"Kakak buat apa pada mama? Mama menangis ni!"
Itu suara Ilya. Iman abaikan dan terus melangkah menghampiri biliknya sendiri. Biliknya tidurnya adalah ruang privasinya yang paling selamat.
"Kak Iman!"
Iman masih dengan sikap keras kepalanya.
"Kak Iman ni macam tak ada perasaan!" kutuk Ilya setelah kalah untuk menarik perhatian Inara.
Iman sempat melihat tubuh mama berada di dalam dakapan kemas Ilya, sebelum dia menutup pintu rapat-rapat. Pandailah Ilya memujuk mama. Dia sendiri ada masalah hati yang belum selesai.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Com