Truyen2U.Net quay lại rồi đây! Các bạn truy cập Truyen2U.Com. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 4

KETUKAN pada pintu biliknya bertalu-talu. Iman yang baru keluar dari bilik air sempat termangu-mangu. Lebih kuat ketukan tersebut, lebih tenang langkah kaki Iman. Selalunya, yang mengetuk pintu biliknya seperti orang kerasukan bukan mama. Perangai suka mengetuk begini biasanya Ilya.

Pintu bilik dibuka seluasnya. Tekaannya betul. Ilya yang berdiri di depan pintu biliknya.

"Ilya ketuk dari tadi. Kakak tak buka pintu. Kenapa? Kakak bergayut cinta dengan Abang Taufik?"

Geli Iman mendengar pertanyaan Ilya.

"Kakak mandi. Kakak tak ada masa nak bergayut dengan lelaki yang tak pandai nak menghargai kakak."

Ilya mati ayat. Kumat-kamit mulutnya, namun tidak ada suara yang keluar.

"Ada apa ni?" Akhirnya Iman yang melontarkan pertanyaan.

"Mama menangis tadi. Kakak cakap apa sampai mama menangis?"

Iman yakin, bukan hal mama menangis yang mahu Ilya sebutkan, tetapi hal lain. Hal cintanya bersama Taufik.

"Kakak cuma cakap hal yang betul. Dan mama menangis bukan sebab apa yang kakak cakap pada dia, tapi sebab mama rindukan Inara."

Ilya mati ayat lagi. Sepi lagi yang mencuri waktu.

"Ilya nak cakap apa lagi?" desak Iman. Sabarnya menipis. Walaupun dia sudah tahu apa yang mahu Ilya katakan, namun dia mahu Ilya menyebutnya sendiri.

"Kalau tak ada apa, bilik Ilya hujung sekali. Ini bilik kakak."

Dia mahu menutup semula pintu biliknya, namun Ilya lekas menghalang. Raut muka Ilya sekarang seperti mahu menangis.

"Ilya ada hal lagi nak cakap dengan kakak. Penting. Sangat penting." Ilya nampak teragak-agak. Matanya sekejap memandang Iman, sekejap memandang sepuluh jarinya.

"Cakaplah."

Ilya meramas sepuluh jarinya. Ilya mematah-matahkan jarinya. Ilya juga tunduk memandang lantai. Sayang sekali, hal yang mahu dicakapkan belum juga meniti keluar dari bibirnya.

"Kakak ada kerja lain nak buat, Ilya." Sengaja Iman nenekan Ilya yang muda tiga tahun daripadanya.

"Apa maksud ayat kakak bila kakak kata Abang Taufik tak menghargai kakak? Abang Taufik buat apa?" Ilya akhirnya bersuara.

"Kenapa Ilya tanya?"

"Ilya saja nak tahu. Abang Taufik ada cakap apa-apa tak pada kakak?" Ilya memancing jawapannya dan Iman tidak suka dipancing.

"Cakap apa? Dia perlu cakap sesuatu ke dengan kakak?"

Iman melihat sorotan terkejut Ilya.

"Abang Taufik tak cakap apa-apa pada kakak?"

Ilya masih enggan berterus terang. Berpusing-pusing ayat Ilya demi mencari serangka jawapan. Dan Iman memilih mengeruhkan lagi kekalutan Ilya. Iman menggelengkan kepalanya.

"Abang Taufik dah janji," gerutu Ilya perlahan, namun sampai ke telinga Iman.

"Janji apa? Jangan percaya sangat dengan janji manusia ni. Lebih baik Ilya percayakan janji Allah."

Ilya nampak sangat tidak keruan sekarang. Sejenak kemudian, dia menarik Iman masuk ke dalam bilik. Setelah pintu tertutup rapat, pegangan tangan Ilya tak juga lepas. Namun Iman perasan, Ilya lebih tenang setelah mereka berdua berada di dalam bilik.

"Ilya nak minta kakak lepaskan Abang Taufik. Abang Taufik bukan untuk kakak. Hati dia milik perempuan lain."

Begitu mudah Ilya menghambur pengkhianatannya. Tenang dan seperti pengkhianatannya adalah hal yang terlalu biasa dan bukan luar biasa.

"Siapa perempuan lain tu?"

"Ilya, kak. Ilya perempuan tu."

Nafasnya panjang, sebelum dilepaskan secara perlahan-lahan. Ketika Taufik melemparkan berita kecurangannya bersama Ilya, dia sekadar terkejut dan terkesima. Namun ketika Ilya sendiri yang menyampaikan khabar kecurangan tersebut, hatinya patah dua. Saudara sedarahnya sendiri sanggup menikamnya dari belakang.

"Ilya minta maaf. Ilya tak sengaja. Ilya tahu kakak sayang sangat pada Abang Taufik."

Iman rasa macam deja vu. Petang tadi Taufik mengeluarkan ayat sama. Sekarang Ilya pula. Masing-masing 'tak sengaja'. 'Tak sengaja' yang menghiris Iman secara senyap.

"Ilya menyesal. Ilya dah cuba anggap Abang Taufik macam abang Ilya sendiri. Tapi tak tahu macam mana Ilya boleh jatuh sayang pada dia. Abang Taufik caring pada Ilya. Dia tahu nak ambil hati Ilya. Ilya dah tak boleh kehilangan dia. Ilya rela mati."

Mata dan hati Ilya telah dibutakan cinta manusia yang bersifat sementara, sehingga Ilya lupa pada cinta yang lebih kekal. Ilya sekarang rela mati demi cintanya pada seorang lelaki.

"Ilya merayu, kak... Tolong lepaskan Abang Taufik pada Ilya. Ilya tak pernah minta apa-apa pada kakak. Sekarang Ilya meminta. Ilya harap, kakak boleh tunaikan permintaan Ilya. Ramai lagi lelaki di luar sana yang kakak boleh pilih. Kakak bukan tak ada rupa."

"Kakak pun nak sebut perkara sama. Ramai lagi lelaki dekat luar sana, kenapa tunang kakak juga yang Ilya suka? Ilya bukan tak ada rupa."

"Ilya menyesal, kak. Ilya minta maaf. Tapi Ilya dengan Abang Taufik dah pergi jauh. Kami tak boleh berpatah balik. Cinta kami cinta suci."

Tipikal manusia, bila dah terbongkar baru mahu menyesal. Lagi satu, kes Ilya dengan Taufik kes dua-dua gatal. Kalau tak gatal, tak jadinya keadaan sekarang.

"Ilya tak sengaja. Ilya minta ampun. Cium kaki kakak pun Ilya sanggup, asalkan kakak ampunkan Ilya."

Sabar Iman lebih menipis setiap kali perkataan 'tak sengaja' masuk ke dalam telinganya dan kemudian meracun fikirannya.

"Ilya, jangan sebut perkataan tak sengaja tu lagi. Kakak tak kesah dah Ilya nak berkahwin dengan Taufik. Kahwinlah dengan dia."

"Kakak tak kesah Abang Taufik dengan Ilya berkahwin?"

Iman sudah membenamkan Taufik dari hidupnya. Taufik sudah dilenyapkan dari hatinya. Dan biarpun hatinya terluka dengan sikap Ilya, dia pun takkan menunjukkan air matanya pada Ilya.

"Ya, kakak tak kesah. Yang kakak kesah sekarang, penerimaan mama macam mana? Ilya nak cakap apa dengan mama?"

"Tentang hal ni, Ilya dengan Abang Taufik sepakat nak minta tolong kakak."

Keluhan Iman meletus. Dia tidak suka dengan apa yang baru didengarnya.

"Kami nak minta kakak slow talk dengan mama. Kakak pujuk mama sampai mama setuju. Kakak katalah yang kakak dah tak ada hati pada Abang Taufik. Kakak pun boleh sebut yang kakak dah jatuh cinta dengan lelaki lain. Ilya ada kawan. Dia boleh menyamar jadi kekasih kakak."

Entah apa yang telah mengganggu sistem pemikiran Ilya, sehingga dia memberi cadangan gila.

"Jangan nak rumitkan lagi keadaan dengan heret kawan Ilya sama dalam masalah ni. Daripada Ilya guna kawan Ilya, lebih baik Ilya berterus terang dengan mama. Asalkan Ilya ikhlas, rasanya mama akan pertimbangkan."

"Mama lebih sayang kakak berbanding Ilya dengan Inaz. Kalau kakak yang bersuara, mama takkan melenting."

Ilya salah. Mama paling sayang Inara. Iman sekadar pelepas rindu mama pada Inara yang jauh.

"Tolong Ilya, kak. Ilya yakin, mama akan beri green light kalau kakak yang bercakap. Tapi dengan syarat, kakak tutup mulut. Kakak jangan bongkarkan rahsia kami. Semuanya akan selamat selagi kakak tak buka mulut fasal hal kami."

Ada juga yang makan kasut sekejap lagi. Ilya sungguh-sungguh membuang rasa sabarnya.

"Kakak tak nak masuk campur. Ilya dengan Taufik selesaikan sendiri. Ilya dengan Taufik yang gali masalah."

"Kakak tak boleh pentingkan diri sendiri. Lagi satu, kami tak gali masalah. Dah ditakdirkan Abang Taufik cinta sejati Ilya."

Ilya buta rasanya. Sebab yang pentingkan diri sendiri adalah Ilya dan Taufik. Iman adalah mangsa pada sikap pentingkan diri sendiri mereka berdua. Dan jangan sebut cinta sejati sebab Taufik pernah menyebut ayat tersebut ketika dia dan lelaki itu masih baru bercinta.

"Ya, kakak ni manusia jahat. Suka pentingkan diri sendiri. Kakak cuci tangan terus dari masalah cinta sejati Ilya dengan Taufik."

"Kak, Ilya ni adik kakak. Adik kandung kakak, bukan adik tiri. Takkan Ilya minta tolong sikit pun tak boleh?"

"Minta maaf, Ilya. Untuk hal yang satu ni, kakak tak pandai nak tolong. Pandai-pandailah Ilya dengan Taufik cari jalan penyelesaian."

"Kakak sengaja nak balas dendam. Kakak busuk hati. Kakak tak ikhlas lepaskan Abang Taufik."

"Ilya, kakak tak ada masa nak dengar semua ni. Ilya dengan Taufik yang bercinta, kenapa nak sabitkan kakak pula?"

"Sebab kakak punca kami tersepit sekarang."

Iman pula yang dituduh jadi punca pada masalah sekarang?

"Ilya dengan Taufik sendiri yang nak disepit. Bila masalah timbul, kamu berdua salahkan kakak. Adil ke?"

Berlaga gigi Ilya.

"Ilya tahu, kakak sengaja nak rumitkan keadaan."

"Nak rumitkan keadaan apa? Ilya tinggal cakap dengan mama perkara sebenar. Lepas tu selesai. Tak payah dah nak create pembohongan demi pembohongan. Semakin besar pembohongan tu, semakin susah hidup Ilya nanti."

"Cakap senanglah sebab bukan kakak dekat tempat kami sekarang!" Tiba-tiba saja Ilya meninggikan suaranya. Tiba-tiba saja air mata Ilya berjatuhan keluar.

"Yang buat hal sekarang, Ilya dengan Taufik. Kakak tak buat apa-apa."

Semakin teruk jatuhan air mata Ilya.

"Ya, Ilya tahu Ilya dengan Taufik salah. Tapi kakak pun mesti bertanggungjawab juga. Kakak punca semua masalah ni. Kalau kakak pandai jaga hati Abang Taufik, Abang Taufik takkan beralih arah."

"Kakak nak jaga macam mana lagi kalau Ilya dengan Taufik dua-dua gatal? Kalau Ilya ada hati, Ilya tahu mana baik dan mana salah."

Ilya anggukkan kepalanya berkali-kali. Nampak kecewa benar raut mukanya.

"Ilya tak menyesal jatuh cinta pada Abang Taufik. Cinta kami bukan saja sejati, tapi luhur sekali."

Luhur? Ya, baiklah. Iman setuju saja. Iman penat nak bertekak.

"Kalau macam tu masalah selesai. Terus terang dengan mama. Itu saja yang Ilya perlu buat. Cinta luhur tak perlukan pembohongan."

"Kakak jangan menyesal kalau Ilya dengan Abang Taufik ambil jalan mudah supaya mama setuju dengan hubungan kami."

Nada suara Ilya berbaur ugutan. Iman tidak senang mendengarnya.

"Apa maksud Ilya ni?"

"Kalau dah susah sangat nak suruh kakak tolong, Ilya akan serah diri pada Abang Taufik. Kak Inara dah pernah buat cara ni dengan Abang Hadrian. Tak salah kalau Ilya ikut jejak langkah Kak Inara. Selepas Ilya mengandung, mama dah tak boleh bantah."

Mudahnya jalan fikiran Ilya. Ilya belakangkan akalnya. Ilya menjunjung tinggi dosa. Tanpa sedar, dia memegang kuat lengan Ilya.

"Kalau Ilya buat perkara tu, kakak bunuh Taufik! Kakak tak kesah dah kalau kena penjara sekalipun." Tenang dan penuh ketegasan suara Iman. Dia dapat merasakan bahu Ilya bergetar.

"Itu saja jalan penyelesaian yang Ilya nampak. Kakak bukan nak tolong Ilya dengan Abang Taufik. Kami cuma ada Kak Iman. Lagipun Ilya sungguh-sungguh nakkan Abang Taufik. Ilya tak boleh bayangkan kalau bukan dia yang jadi suami Ilya."

Panjang tarikan nafas Iman. Cengkaman tangannya pada lengan Ilya turut dilepaskan.

"Ilya kena cakap dengan mama sendiri. Kakak cuma boleh tolong back up. Yang mesti mulakan perbualan tu... Ilya. Kalau Ilya bimbang mama marah, minta Taufik datang sekali ke sini. Kamu berdua beritahu mama. Kakak akan tolong mana yang patut."

"Kalau mama tak setuju?"

"Kakak akan tolong pujuk sampai mama setuju."

"Kakak janji?"

"Janji."

"Janji tolong sampai mama setuju?"

"Ya, kakak janji tolong Ilya sampai mama setuju."

Itu dia, Iman telah terjun ke dalam lubang masalah.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Com