Truyen2U.Net quay lại rồi đây! Các bạn truy cập Truyen2U.Com. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 1

PAGI ini, Dina keluar dari biliknya tanpa mengeluarkan sebarang bunyi. Dia melihat ke kiri dan kanan dulu sebelum melangkah. Tak ubah macam pencuri saja. Dicepatkan langkahnya menuju ke tangga rumah banglo dua tingkat itu.

Melalui pagar tangga, Dina melihat ke bawah. Suasana sunyi sepi. Agaknya semua orang sudah pergi kerja terutama sekali ibunya. Dengan laju dia menuruni satu per satu anak tangga. Senyuman terpamer di wajahnya.

Matanya tepat ke arah pintu rumah. Nampaknya line clear hari ini.

"Wait a minute!" Bergema satu rumah dengan suara Puan Dariah. Sambil mencekak pinggang, renungan mata tepat ke arah anak ketiganya, Dina.

Badan Dina terus mengeras. Senyuman tadi beransur hilang. Air mukanya berubah serta-merta. Alamak, ingatkan ibunya sudah keluar ke farmasi. Ternyata kira-kiraan dia salah. Terpaksa la dia menghadap bebelan ibunya.

Dengan perlahan-lahan Dina memusing badan dan berhadapan dengan Puan Dariah.

"Ibu tak pergi farmasi lagi ke? Rasanya macam ibu dah lewat ni!" Dina bersuara.

"Ibu pergi lewat sebab kamu. Apa nak jadi dengan kamu ni, Dina? Tak habis-habis cari pasal dengan orang sana sini. Bergaduh dengan orang tu, bergaduh dengan orang ni. Apa masalah kamu ni? Minggu ni saja, dah dua kali kamu bergaduh dengan orang. Kamu ni dah tak ada kerja lain ke, hah? Malu ibu, tahu tak? Sebut saja Farah Dina, satu taman perumahan ini kenal." Puan Dariah mula membebel. Sikap Dina memang menguji kesabaran. Antara keempat-empat orang anaknya, Dina seorang yang selalu memberi masalah.

"Ibu, Dina tak gaduh pun dengan orang. Dina tegur saja. Dah nampak orang buat salah, takkan tak tegur kut." Dina menjawab.

"Bila ibu cakap, asyik nak menjawab saja. Petang kelmarin kamu bergaduh dengan siapa pula? Puan Hajar beritahu ibu malam tadi." Puan Dariah menggelengkan kepala dengan telatah anak perempuannya itu.

"Dina tegur saja, tak gaduh pun. Orang tu yang sentap. Maklum la dah buat salah. Mesti la terasa. Siapa suruh parking kat tempat OKU? Allah Taala dah bagi diri tu sempurna tapi tetap juga nak rampas parking kat tempat OKU! Tak ada kesedaran langsung. Sikit pun tak fikir pasal golongan OKU. Kesedaran masyarakat terhadap hak OKU masih rendah. Kita patut bela hak orang OKU ni," jelas Dina bersungguh-sungguh. Masa dia baru lepas tutup klinik, dia nampak lelaki itu parkir kereta di tempat letak kereta OKU. Tak ada stiker OKU pun kat kereta. Keluar kereta saja, elok saja berjalan. Nak kata pekak, boleh saja cakap dalam telefon masa itu. Apa lagi, dia pun naik angin la.

"Tak payah nak sibuk sangat. Biar la!"

"Sebab biar la, hak orang OKU ditindas," balas Dina.

"Eee... Budak ni! Menjawab saja kerja dia." Suara Puan Dariah terus tinggi. Nasihat orang tak pernah dengar langsung.

"Dariah oooiii, sampai keluar abang dengar suara kamu tu! Malu kat jiran-jiran kita." Encik Ehsan melangkah masuk. Dia baru saja pulang dari hospital. Dari luar rumah lagi dia sudah mendengar suara isterinya. Semestinya Dina buat hal lagi.

"Ayah! Ayah baru balik? Mesti ayah tak makan lagi, kan?" Melihat kehadiran ayahnya, Dina terus mendekati Encik Ehsan. Dia tersenyum. Beg yang ada di tangan ayahnya segera diambil. Sejak kecil lagi, dia lebih rapat dengan ayahnya. Maklum la dia dengan ibunya memang tak sependapat. Apa saja yang dia buat semuanya tak kena di mata ibunya.

"Tengok tu! Ibu tak habis cakap lagi ni!" Puan Dariah menjegil matanya.

"Anak sambut ayah balik, takkan salah kut? Aaa... Dariah, abang nak air. Dahaga. Lima jam abang kat dalam wad bedah tadi," tambah Encik Ehsan. Dia terus duduk di sofa dengan wajah keletihan.

"Baiklah. Saya ambilkan," jawab Puan Dariah. Sebelum pergi, dia menjeling Dina. Masih tak puas hati.

Sebaik saja ibunya sudah ke dapur, Dina hampiri ayahnya.

"Ayah memang ayah paling best kat dunia ni!" Dina tersengih.

"Bagi beg tu. Tunggu apa lagi, cepat pergi sebelum ibu kamu datang," kata Encik Ehsan dengan nada perlahan.

"Love you, ayah!" Dina segera meletakkan beg itu dan bergerak keluar dari rumah. Mujurlah ayahnya tiba tepat pada masanya. Ada peluang meloloskan diri daripada mendengar bebelan ibunya.


DARI pintu belakang klinik, Dina keluar menuju ke kedai makan bersebelahan klinik haiwan miliknya. Dia terus masuk melalui pintu belakang kedai makan seraya memegang perut.

"Lapar! Lapar! Kak Dina lapar! Tolong, dari pagi Kak Dina tak makan lagi." Dina merayu. Dia mendekati lelaki yang sedang membasuh sesuatu di singki dapur.

"Sorry! Kedai dah tutup. Kedai ni untuk sarapan pagi saja." Lelaki tinggi lampai itu menoleh ke arah Dina.

Muncung terus bibir Dina. Mulanya dia sengaja berlakon sakit perut semata-mata ingin meraih simpati tauke kedai makan ini. Lakonan dia tak jadi rupa-rupanya.

"Dengan kakak sendiri pun nak berkira! Bihun goreng lebih-lebih takkan tak ada?" balas Dina. Dia terus menarik kerusi dan duduk.

"Itu la, pagi tadi Eiman dah buat sarapan untuk semua orang tapi Kak Dina tak turun makan sekali. Tahu la takut kena sound dengan ibu, kan?" Eiman menutup pili air.

"Ibu tu kalau membebel non stop! Tak pernah sekali backup Kak Dina. Salah Kak Dina ni nampak sangat. Entah-entah tahi burung yang berak kat kereta pun, ibu cakap Kak Dina yang buat."

"Mula la tu nak merepek!" Eiman menggelengkan kepala.

"Eiman... Kak Dina lapar, masak la something..." Dina merayu meraih belas kasihan.

"Sebab Eiman tahu Kak Dina akan datang, awal-awal lagi Eiman simpan baki Maggi goreng." Eiman berjalan ke arah almari dan membawa keluar Tupperware biru. Kalau lapar, selalu sangat kakaknya itu datang bertandang ke kedai makan dia.

"Kak Dina tahu Eiman mesti tak sampai hati tengok kakak kesayangan Eiman ni mati kelaparan, kan?" Dina seronok dan terus mengambil Tupperware itu dari tangan Eiman. Doa makan dibaca kemudian dia terus makan.

"Hari ni biar Eiman yang ambil Eiyad pula. Hari ni kedai tutup awal," beritahu Eiman. Selalunya masa rehat Dina akan keluar mengambil anak abang mereka di tadika.

"Abang Erjaz oncall kan kelmarin?"

"Ya," jawab Eiman.

"Kak Darina pun sama, kan?" soal Dina.

"Ya. Itu la tak nak turun breakfast sekali," sindir Eiman.

"Kalau Kak Dina join, kau orang lagi rasa tak selesa nak makan. Asyik dengar ibu duk pot pet pot pet. Mak Cik Hajar pun satu, suka sangat menyibuk hal orang. Sikit-sikit roger kat ibu. Macam spy ibu la pula." Dina bercakap sambil mengunyah. Geram gila apabila ingatkan Puan Hajar. Busybody! Kuat menyampai pula tu.

"Siapa suruh bergaduh depan klinik sendiri? Kedai runcit Mak Cik Hajar depan kedai kita kut. Mesti la dia nampak," kata Eiman.

"Mana ada gaduh, just tegur saja. Tak salah, kan? Lelaki tu yang sentap sendiri. Dah buat salah mesti la terasa. Parking berlambak lagi masa tu, tapi parking OKU juga dia letak kereta. Sendiri mau ingat la." Dina mendengus kuat.

Eiman menggelengkan kepala. Keras kepala kakak dia yang seorang ini. Prinsip kakaknya ini selalu mengundang masalah. Kebenaran dan keadilan, itu la prinsip hidup Dina.

"Minggu depan nak gaduh dengan siapa pula?" perli Eiman.

"Sindir nampak?" bidas Dina. Dia menyambung semula makan sampai habis.

"Alhamdulillah, dah kenyang! Thank you. Semoga adik kesayangan Kak Dina ini dimurahkan rezeki dan untung berlipat kali ganda. Amin," tambah Dina. Ditolak Tupperware itu kepada Eiman. Dia terus bangun.

"Aiii... Dah makan, takkan tak reti basuh pula?" tegur Eiman.

"Alang-alang tak habis basuh, basuh la sekali. Ciao! Adios!" kata Dina dan terus melarikan diri.


KERETA Suzuki Vitara berhenti di hadapan bengkel kereta. Dina keluar dari perut kereta dan terus masuk mencari kelibat kakaknya. Dia menerima mesej daripada kakaknya yang memberitahu keretanya rosak dan terpaksa berada di bengkel selama dua hari.

"Kak Darina!" panggil Dina. Dia melihat Darina sedang berbual dengan salah seorang mekanik yang ada di situ.

Darina tersenyum selepas menyedari kehadiran adiknya. Dia menghampiri Dina.

"Kerosakan major ke?" tanya Dina.

"Ya. Spare part tak ada, jadi dia orang baru saja oder. Mungkin esok atau lusa sampai. Sorry la kacau Dina. Mesti busy kat klinik." Darina bimbang jika dia mengganggu masa kerja adiknya.

"Hari ni Dina tutup awal. Hari Rabu selalunya tak ramai yang datang. Kalau hari Isnin, Dina memang tak cukup tangan," jawab Dina seraya berjalan seiringan dengan kakaknya yang tua dua tahun daripadanya.

Mereka berdua terus masuk ke dalam kereta Suzuki Vitara milik Dina.

Kereta itu bergerak meninggalkan bengkel kereta dan menuju pulang ke rumah mereka.

"Dina, hari tu Kak Darina dengar ibu cakap dengan siapa entah. Ibu nak buka satu lagi cawangan farmasi," beritahu Darina. Dia terdengar perbualan ibunya semasa nak ke dapur.

"Wah, bertambah maju business ibu sekarang ni. Dah ada dua farmasi lepas tu nak buka lagi. Boleh la pau ibu lepas ni." Dina tersenyum.

"Jangan seronok sangat. Nak tahu tak ibu buka cawangan ketiga ni kat mana?" Wajah Darina serius.

"Kat mana?" Dahi Dina berkerut. Apa yang peliknya kalau ibu mereka buka cawangan farmasi baru?

"Dekat dengan klinik haiwan Dina dan kedai makan Eiman!"

"Apa?!" Intonasi suara Dina terus tinggi. Terperanjat.

"Itu la, Dina suka sangat buat hal," tambah Darina lagi.

"No! No way!" Semakin berkerut dahi Dina. Dia mula resah. Tak tahu bagaimana hidupnya jika perkara itu terjadi. Huru-hara jika ibunya buka farmasi dekat dengan kliniknya. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Com