Truyen2U.Net quay lại rồi đây! Các bạn truy cập Truyen2U.Com. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 8

Oktober, 2014.

DARI jauh, Abdul Raof memerhatikan anaknya, Muhammad yang sedang duduk termenung di atas tangga. Beberapa saat dia memerhati. Langsung tak berkalih anaknya itu. Entah apa yang dimenungkannya, Raof tak tahu. Apa yang pasti, fikiran anaknya bukan di situ. Tubuh saja dekat kampung. Fikiran entah melayang ke mana-mana.

Muhammad pulang bercuti sempena menyambut hari raya haji yang bakal menjelma beberapa hari lagi. Dalam masa yang sama Muhammad dipanggil oleh Majlis Agama Islam Johor untuk menghadiri ujian hafazan. Disebabkan itu, Raof ambil cuti sehari kerana hendak menemankan Muhammad ke pejabat agama.

Seperti tahun-tahun sebelum ini, ujian hafazan bukanlah perkara yang membebankan bagi anaknya kerana 30 juzuk al-Quran seperti sudah melekat dalam kepala. Tebuklah ayat mana-mana dari surah apa saja, terus saja Muhammad dapat menyambungnya.

Dulu dia bimbang juga jika Muhammad melupakan hafazannya setelah menamatkan pengajian tahfiz. Banyak cerita yang dia dengar di mana pelajar-pelajar tahfiz sudah tak ingat ayat-ayat al-Quran yang telah mereka hafal setelah mereka meninggalkan madrasah. Bukanlah tak ingat langsung tapi tak lancar. Banyak kesalahan bila disuruh baca tanpa mushaf. Kata kebanyakan ustaz, perkara ini berlaku apabila pelajar tidak lagi mengulang hafazan mereka. Mujurlah Muhammad tidak begitu. Anaknya itu tahu mendisiplinkan diri. Tak perlu disuruh atau diingatkan. Meski dalam kesibukan, Muhammad tahu bila masa hendak mengulang hafazan. Sebab itulah dia lepas ujian hafazan dengan mudah.

Sebenarnya tak perlu ambil masa yang lama pun. Bukanlah perlu baca 30 juzuk sekali harung. Satu juzuk sehari pun tak perlu tapi kalau dapat baca sehari satu juzuk, itu yang terbaik. Kata ustaz, sehari dapat baca dua helai pun sudah memadai. Janji kalam Ilahi itu tidak dilupakan sama sekali.

Raof bersyukur sangat-sangat kerana anak sulungnya tidak termasuk dalam kalangan huffaz yang alpa. Cuma kali ini Muhammad lain macam. Tidak bersemangat seperti selalu. Semalam dia nampak anaknya itu termenung. Balik dari pejabat agama pun termenung lagi.

Raof menggeleng kepala. Kecil punya hal pun dah jiwa kacau!

Raof kemudiannya mengatur langkah ke dapur, mendapatkan isterinya Nafisah yang sedang sibuk menghidang makan tengah hari.

Bangku ditarik. Duduknya kemudian dilabuhkan.

"Awak dah cakap dengan anak awak tu?" tanya Raof kepada isterinya.

"Belum." Sepatah cuma Nafisah membalas. Tangan sibuk meletak mangkuk berisi nasi ke atas meja.

"Bila awak nak cakap?" desak Raof.

"Nantilah, bang... Dia kan cuti seminggu? Ada banyak masa lagi." Nafisah tak mahu terburu-buru.

"Nanti, nanti... Nak nanti bila lagi?" Raof membebel. Dia sebenarnya risaukan Muhammad. Anaknya itu bukan sekadar banyak termenung, bercakap pun kurang. Sepatah ditanya, sepatahlah dia jawab.

"Eh, abang ni! Kalau dah tak sabar sangat, abang sendirilah pergi cakap dekat dia." Nafisah berkata. Dia pula yang hampir hilang sabar melihatkan suaminya mendesak.

"Saya ni bukan tak mahu cakap tapi kalau saya bercakap karang, dia kecil hati. Awak tu sebagai emak dia, awaklah cakap. Lagipun dia dengar cakap awak."

Nafisah tak jawab apa-apa, sebaliknya dia meneruskan kerja-kerja menghidang.

"Macam dunia dah nak kiamat sebab tak dapat kahwin dengan budak tu!" bebel Raof lagi.

Melihatkan suaminya itu tak sudah-sudah membebel, Nafisah geleng kepala.

"Budak tu patah hati, bang... Biasalah orang patah hati termenung sana sini."

"Awak tak patut galakkan dia termenung, Fisah. Sepatutnya awak nasihatkan dia. Saya risau pelajaran dia terganggu."

"Alah... Biarlah dia tenangkan fikiran dia dulu. Insya-Allah, nanti dia okeylah tu." Kali ini Nafisah cuba tenangkan suaminya.

"Saya bukan apa, Fisah... Kalau jadi apa-apa dekat anak kita tu nanti, barulah nak menyesal!" Roaf masih tak puas hati dengan respons daripada isterinya.

"Jadi apa, bang? Muhammad tu masih ada iman. Takkanlah dia nak buat benda bukan-bukan pula! Cubalah abang husnuzon dengan anak sendiri..."

Kedengaran bunyi Raof mendengus. Jelas sangat dia masih belum berpuas hati.

"Kalau nak sangat menikah, apa kata kita pergi pinangkan anak Si Sahar? Cantik pun cantik budak tu. Cuma bukanlah hafizah atau alimah."

"Hesy, abang ni! Aida tu pelajar universiti. Tak mahunya dia kahwin dengan Muhammad yang cuma ada sijil UPSR." Lekas saja Nafisah membantah. Bukanlah bermakna dia tak sukakan anak Sahar, rakan sekampung mereka tapi dia tak mahu menambah tekanan dalam jiwa Muhammad. Takkanlah nak bagi Muhammad malu lagi?

"Eh, anak kita apa kurangnya? Bakal maulana tu! Ingat senang ke belajar agama?"

Meskipun hendak mengikuti pengajian Alim tak perlukan sijil PT3 mahupun SPM tapi Raof tahu pengajian Alim bukanlah mudah. Bukan calang-calang orang yang boleh lulus. Ramai yang hanya sekerat jalan kerana tak mampu hendak meneruskan lagi. Kata orang, kalau lepas sampai tahun 5 pun dah cukup hebat, apatah lagi kalau sampai tamat tahun 8. Muhammad pula baru sahaja memulakan pengajian tahun 7. Sayanglah kalau pengajian anaknya terganggu hanya kerana seorang perempuan.

"Saya tahu... Tapi tak semua orang tahu dan faham, bang." Nafisah mengingatkan.

Kini Raof pula senyap. Ada betulnya kata-kata isterinya itu. Tak semua orang boleh terima lulusan madrasah. Bahkan kalau hendak bekerja di agensi kerajaan pun tak layak selagi tak memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Sebab itulah ada dalam kalangan pelajar lepasan madrasah ini yang menduduki SPM secara persendirian selepas menamatkan pengajian kitab.

Suaminya dipandang. Nafisah faham kenapa suaminya itu risaukan Muhammad. Muhammad merupakan anak sulung jadi dia sepatutnya memberikan contoh teladan yang baik kepada adik-adiknya. Kejayaan Muhammad pastinya akan menjadi sumber inspirasi buat adik-adik. Namun Nafisah juga tahu, Muhammad anak yang baik dan mendengar kata. Selama ini pun Muhammad tak banyak kerenah atau memberi masalah besar kepada mereka. Jadi dia yakin, keadaan Muhammad itu hanya untuk tempoh waktu sementara. Fasa peralihan remaja. Pertama kali jatuh cinta tapi cinta tertolak pula. Sakitnya di situ! Nafisah faham sangat-sangat.

"Abang jangan risau... Saya yakin Muhammad orang yang kuat semangat. Insya-Allah, nanti dia okeylah tu... Tambah esok Salman nak balik. Adalah dia kawan berbual." Sekali lagi Nafisah cuba menenangkan hati suaminya.

Bukan senang menjadi isteri dan emak dalam masa yang sama. Nak pujuk dan tenangkan hati suami, hati anak-anak lagi. Pendek kata, dia umpama kaunter pengaduan dan juga biro kebajikan. Kaunter pertanyaan pun dia juga. Bila anak-anak nak buat kerja sekolah, mereka main tanya aje jawapan dekat emak. Senang betul kerja mereka. Nafisah sebenarnya sengaja memberi ruang kepada Muhammad mencari ketenangan diri. Bila tiba masa yang sesuai barulah dia datang mendekati. Masa itu, barulah dia suntikkan kata-kata nasihat dan semangat.

MUHAMMAD bermenung di atas tangga. Terngiang-ngiang kata-kata Abdul Rahman di hujung telinganya... "Tanggungjawab seorang suami ni berat. Mana dengan nafkah lagi..."

"Tapi anta pun tahu ana dapat elaun bulanan dari MAIJ." Muhammad berkata kepada dirinya sendiri.

Setiap bulan, Muhammad menerima elaun sebanyak seribu ringgit dari Majlis Agama Islam Johor sebagai insentif kepada golongan huffaz. Jika dihitung, simpanannya sehingga ke hari ini boleh mencecah 80 ribu ringgit. Namun dalam akaun bank miliknya tidaklah sebanyak itu kerana dia telah menggunakan sebahagian dari wang elaunnya itu bagi menampung pengajian Alim yang dia sedang ikuti sekarang ini, seperti membeli kitab-kitab. Muhammad tak mahu membebankan ayah. Walaupun ayah mampu tapi gaji ayah tak besar macam gaji ayah Khadijah yang bergelar doktor.

Dalam perkiraan Muhammad, dengan wang simpanannya yang berjumlah hampir 40 ribu ringgit itu bolehlah dia melangsungkan perkahwinan dengan Khadijah. Takkanlah ibu bapa Khadijah mahu membuat majlis besar-besaran di hotel? Mereka menjalani kehidupan sunnah iaitu hidup secara sederhana, kut?

"Buat apa buat majlis walimah besar-besaran sampai pinjam dekat bank? Hujung-hujung bercerai. Entah-entah hutang bank pun tak habis bayar lagi." Teringat Muhammad akan kata-kata Abdul Rahman ketika mereka berbincang tentang isu mahar dan majlis walimah dalam kelas Maulana Luthfi sedikit masa dulu. Bab munakahat merupakan bab kegemaran para pelajar dalam kelas. Segar-bugar biji mata masing-masing bila tiba bab munakahat.

Muhammad sedar apabila sudah bernikah, Khadijah di bawah tanggungannya. Walaupun tidak bekerja tapi Muhammad masih punya pendapatan. Kalau dia beri Khadijah dua ratus ringgit setiap bulan sebagai duit saku, masih lagi berbaki duit elaunnya. Muhammad tidaklah berharap akan tinggal sebumbung dengan Khadijah selepas bernikah kerana mereka sama-sama masih belajar. Bila cuti panjang pada bulan Ramadan barulah mereka boleh bertemu. Ketika itu nanti, dia akan bawa Khadijah balik ke kampungnya. Kalau Khadijah tak mahu, dia rela berkorban tinggal di rumah ibu bapa Khadijah. Janji dapat sambut raya bersama. Begitulah perancangan Muhammad. Jauh dia merancang sampai soal raya pun dia ambil kira.

Sekiranya Khadijah mahu tinggal berasingan dari keluarga pun Muhammad sanggup. Dia akan cari rumah sewa murah yang harga sewanya lima ratus ringgit ke bawah. Duit simpanannya masih mencukupi untuk beberapa tahun lagi.

Nafas dihela. Sayangnya, apa yang dirancang tak membuahkan hasil. Impian hanya tinggal angan-angan. Dia pun sudah jauh ditinggalkan Khadijah.

Dulu anta juga yang kata anta suka beriparkan ana supaya hubungan kita tak putus bila dah tamat belajar. Tapi kenapa sekarang anta pertikaikan soal nafkah, Abdul Rahman?

Jeda.

Atau sebenarnya keluarga anta sengaja nak mengelak? Dahi mulai berkerut. Otak pula terus memikir.

"Tapi ana rasa anta berhak mendapatkan yang lebih baik." Kata-kata Abdul Rahman diimbau semula. Puas Muhammad cuba memahamkan kata-kata sahabatnya itu.

Apa buruk sangat ke Khadijah?

Tapi Abdul Rahman elok aje... Tak hodoh.

Jeda lagi.

Atau semua itu cuma alasan?

Bila Muhammad fikir-fikirkan balik, memang terlalu banyak alasan yang diberi. Bukan Abdul Rahman saja, umi Abdul Rahman pun sama. Sanggup mereka kata Khadijah tak cantik?

Atau seribu ringgit tu tak cukup?

Hermmm... Khadijah kan anak orang berada?

Seribu sebulan mungkin celah gigi saja pada mereka. Wahamnya tiba-tiba menerpa.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Com