Truyen2U.Net quay lại rồi đây! Các bạn truy cập Truyen2U.Com. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 1

JASMEEN berjalan tergocoh-gocoh menghala ke bangunan yang tersergam tinggi di tengah-tengah jantung kota raya Kuala Lumpur.

Aduh! Lambat dah aku ni! Hari-hari lambat. Mati aku kalau terserempak dengan pak long! kata hati Jasmeen. Kasut tumit tingginya dihentak agak kuat ke lantai ruang lobi yang luas, berturap marmar putih bersih itu. Langkahnya laju menuju lif. Sambil menunggu lif sempat lagi dia memeriksa telefon bimbit. Dia lambat hampir setengah jam! Mujur pagi ini tak ada mesyuarat.

Jasmeen buru-buru keluar dari lif dan berjalan menghala ke pintu utama pejabat.

Di ruang menunggu, Jasmeen nampak seorang lelaki sedang duduk sendirian, asyik dengan telefon bimbit. Lelaki itu memakai jaket kulit hitam, berseluar jean dan kasut kulit hitam. Siapa pulak mamat ni? Nak jumpa pak long agaknya. Maklumlah pak long memang terkenal kerana terlibat dalam politik dan perniagaan. Pelbagai jenis manusia yang datang untuk berjumpa dengannya. Lelaki yang handsome, yang kaya, yang bergaya semua ada.

Jasmeen menuju ke arah meja penyambut tetamu, Syamila.

"Selamat pagi, Kak Meen!" tegur Syamila.

"Siapa tu?" Jasmeen bertanya separuh berbisik.

Syamila hanya angkat bahu.

"Dia nak jumpa Datuk. Tapi Datuk lambat masuk ke pejabat hari ni."

Jasmeen mengangguk, spontan memandang ke arah lelaki yang tetap menunduk, asyik sekali dengan telefon bimbit. Itulah peel orang zaman sekarang. Telefon bimbit itu paling penting daripada segalanya. Jasmeen berjalan menghala ke mejanya. Dia bertugas sebagai pengurus pemasaran di syarikat perumahan milik bapa saudaranya, Datuk Borhan.

Sebaik sahaja duduk, dia terus menghidupkan komputer. Hmmm, rasa penat semalam tak hilang lagi, pagi ni dah kena buat laporan, kertas kerja dan macam-macam lagi. Senak perut aku rasanya! keluh Jasmeen.

Oh, patutlah. Aku belum makan lagilah. Dia baru teringat tidak sempat menjamah sandwic yang disediakan Puan Nazirah pagi tadi. Keluar sekejaplah pergi beli makanan, gumamnya dalam hati.

"Pergi mana, Kak Meen?" tegur Syamila apabila dia nampak Jasmeen berjalan laju menuju ke pintu utama.

"Pergi beli makanan sekejap. Tadi terlupa nak beli."

Sempat dia menjeling ke sofa. Lelaki yang duduk di situ tidak kelihatan lagi. Dah blah dah mamat tu! bisik hati Jasmeen. Jasmeen berjalan laju seperti dikejar hantu menuju ke arah lif.

"Tunggu!" jerit Jasmeen apabila dia melihat lif hendak tertutup.

Lif terbuka semula lalu Jasmeen terus meluru masuk. Saat itu dia tersalah pijak lalu terpelecok. Kelam-kabut Jasmeen mengimbangi badan. Namun dia gagal untuk mengelak daripada jatuh tersungkur. Dia betul-betul tersungkur di tepi kaki lelaki itu.

"Opocot! Mak kau jatuh, aku sambut!" Jasmeen sempat melatah lalu dengan cepat dia cuba bangun.

Pergelangan kakinya terasa amat sakit. Kedua-dua tangan tegap lelaki itu menariknya supaya bangun dan berdiri. Spontan juga tangannya berpaut kemas pada lengan lelaki itu. Dia segera melepaskan tangan lelaki itu sambil mata memandang sebelah dari kasutnya yang tersepit pada lubang di pintu lif sekali gus menghalang pintu lif daripada tertutup.

"Ya, saya sambutkan!" jawab lelaki itu sambil tertawa kecil.

Merah padam wajah Jasmeen. Macam mana dia boleh melatah spontan begitu sebaik sahaja terjatuh tadi? Lelaki itu pantas mengutip kasut Jasmeen. Dia menekan punat pada lif dan lif mulai bergerak turun.

"Nah!" katanya sambil menghulur kasut yang sudah patah tumitnya pada Jasmeen.

Jasmeen hampir menangis apabila mendapati tumit kasutnya patah. Mengalir air matanya tanpa sedar. Kasut itu baru dibelinya dua minggu lepas. Belum puas pakai, sudah rosak. Dahlah harga mahal nak mampus, Jasmeen sempat merungut dalam hati.

"Awak okey ke?" tanya lelaki itu.

Okey? Of courselah aku tak okey sekarang ni. Kasut aku patah tumit! Apa punya soalan? rungut Jasmeen dalam hatinya. Wajahnya masih hangat, rasa segan, sedih bercampur-campur dah jadi macam rojak.

Jasmeen tunduk sahaja, pura-pura tidak mendengar kata-kata lelaki itu. Lif bergerak turun dengan cepat. Jasmeen ingin segera lari dari berada di sisi lelaki itu.

Kacau betul! Tak pernah dia menggelabah macam ni!

"Awak..." tegur lelaki itu lagi.

Senyum terpamer di bibir lelaki itu. Entah mengapa Jasmeen meluat melihat senyuman itu. Jasmeen kertap bibirnya dengan agak kuat. Ah, nanti comot pula bibirnya dengan palitan lipstik. Lalu dia pura-pura tenang. Sengaja dia memasamkan wajah dan matanya menjeling lelaki itu dengan dengan tajam.

"Apa?" tanya Jasmeen garang, seolah-olah marah untuk menutup rasa malu yang tidak terkira.

"Awak okey ke tak ni?"

"Saya okeylah."

"Tapi saya nampak macam tak okey?"

"Saya okey. Awak jangan sibuk sangat, boleh tak?"

"Saya tak sibuk. Saya free sekarang."

"Lawak sangatlah tu!" kata Jasmeen geram, masih tidak dapat melupakan insiden tadi. Masih berdebar dadanya, panas seluruh tubuhnya, teringat dia tergolek di hadapan lelaki itu seperti nangka busuk yang jatuh dari pokok.

"Amboi, garangnya awak. Jom kita pergi minum. Awak tahu air boleh sejukkan hati orang yang tengah marah."

Jasmeen hanya angkat bahu. Siapa nak pergi minum dengan dia, entah! rungutnya dalam hati.

Kalau kau nak tahu, aku memang singa betina! Pergi jauh-jauh! gerutu Jasmeen dalam hatinya sahaja. Bibirnya terkatup rapat dan mata enggan ditoleh ke arah lelaki di sisinya.

Pintu lif terbuka. Jasmeen cepat-cepat keluar tapi langkahnya pincang. Sebelah kaki masih berkasut dan sebelah lagi berkaki ayam. Kasut yang patah itu masih dipegangnya. Spontan lelaki itu menoleh. Di wajahnya tergambar rasa bimbang Jasmeen akan jatuh sekali lagi.

Lelaki itu bergerak pergi meninggalkan bangunan pejabat. Jasmeen berjalan dengan langkah lambat menghala ke ruang rehat lobi. Dia menelefon Syamila meminta gadis penyambut tetamu itu membawa turun selipar. Jasmeen ingin pergi menghantar kasut itu ke tukang kasut di Jalan Masjid India. Terpaksalah dia berselipar sepanjang hari sehingga kasutnya siap diperbaiki.


SEMASA dia ingin mengerjakan solat zohor tengah hari itu barulah dia sedar sesuatu. Di mana cincinnya? Satu-satunya cincin pemberian Puan Sri Mariam. Kata nenek itu cincin pusaka pemberian datuknya.

"Kau mesti jaga cincin tu baik-baik sebab itu cinta bertuah. Cincin tanda cinta sejati," kata Puan Sri Mariam.

Kata Puan Sri Mariam lagi, walaupun dia ramai cucu perempuan tetapi dia memilih untuk memberikan cincin itu kepada Jasmeen.

"Nenek harap kau kahwin cepat. Umur kau dah banyak. Cucu perempuan nenek yang lain umur dua puluh tiga dah kahwin. Kau ni dah dua puluh enam tak ada orang nak!"

"Nek, Meen tak nak kahwin. Meen nak membujang sampai tua. Meen nak jaga nenek dan mama."

"Kau jangan merepek. Semua orang nak kahwin, tahu? Kau saja yang tak nak. Pelik betul kau ni."

"Ikutkan di zaman nenek dulu, orang dah panggil anak dara tua." Puan Sri Mariam meneruskan bebelannya.

"Tu zaman nenek. Orang zaman sekarang tak kesah. Lebih baik membujang daripada kahwin dengan lelaki yang tak bertanggungjawab."

"Yalah, kau tu kalau pasal menjawab nombor satu."

Jasmeen bingung seketika sambil merenung wajah di cermin besar bilik air pejabat. Rambut yang panjang separas bahu itu dilurut perlahan-lahan. Tiba-tiba dia teringat bagaimana dia jatuh di hadapan lelaki itu. Tangan tegap lelaki itu menariknya supaya bangun. Dia pejam mata beberapa saat. Dia cuba melupakan detik itu tapi mengapa ia seperti magnet yang melekat kuat dalam ingatan? Wajah lelaki itu bagai terlukis semula di ruang mata Jasmeen. Mengapa? Mengapa dia harus bertemu dengan lelaki itu di dalam lif? Mengapa harus terjadi insiden yang sangat memalukan itu?

Di mana cincin aku? Tercicir dalam lif? soal Jasmeen sendiri. Dia bergegas keluar dari bilik air dan menuju ke lif. Ahhh, tak mungkinlah dia akan menemui cincin itu semula kalau tercicir dalam lif. Mesti dah diambil orang.

Cincin itu cantik, diikat dengan batu permata delima merah. Kalaulah nenek tahu, mesti aku akan kena marah. Sepanjang harilah nenek akan membebel. Mujurlah nenek tak ada di Malaysia.

Puan Sri Mariam sedang bercuti di Eropah. Selalunya dia berada di sana selama berbulan-bulan, mengunjungi rumah anak cucu.

Di Kuala Lumpur, neneknya lebih suka tinggal di rumah Puan Nazirah, ibu Jasmeen. Jarang sekali neneknya mahu bermalam di rumah anak-anaknya yang lain. Malah di rumah Puan Nazirah banyak tersimpan barang-barang peribadi nenek.

"Mati aku kena marah dengan nenek!" kata Jasmeen sendirian.

Akhirnya dia melangkah longlai masuk ke pejabat semula sambil memikirkan apakah alasan yang harus diberi sekiranya Puan Nazirah dan Puan Sri Mariam bertanya? Mana cincin itu? Mungkin dia akan katakan begini: Meen dah gadai.

Tapi mama dan nenek takkan percaya. Pasti nenek akan mengamuk. Selera makan Jasmeen terus hilang. Selepas solat dia kembali menghadapi kerja yang bertimbun-timbun. Dia tidak sedar jam sudah hampir menunjukkan pukul enam setengah petang.

Seseorang mengetuk permukaan mejanya dengan agak kuat. Dia menoleh dan terlihat Rose, rakan baiknya yang bekerja di bahagian kewangan berdiri di tepi meja.

"Tekun sangat kau ni. Jom kita pergi minum petang."

"Aku banyak kerja lagi ni."

"Jomlah kejap!" ajak Rose setengah mendesak.

Rose tarik tangan Jasmeen supaya bangun. Tetapi Jasmeen tetap duduk di kerusinya bagaikan punggung kena paku di situ.

"Aku tak boleh keluarlah. Kau tengok kaki aku!" kata Jasmeen sambil menghulur kakinya keluar dari bawah meja. Dia hanya berselipar jepun.

"Mana kasut kau?"

"Aku terlupa kasutku yang patah tumit tu masih di tempat tukang kasut. Mungkin sekarang kedai tu dah tutup."

"Ahhh, taktik nak beli kasut baru ni?" kata Rose sambil tersengih.

"Bukan taktik. Memang kasut aku rosak," balas Jasmeen tegas.

"Macam mana boleh rosak kasut kau tu? Kan baru beli dua minggu lepas?" Rose masih ingat kerana dia pergi bersama-sama Jasmeen ke KLCC untuk shopping kasut dan beg tangan.

"Tu lah, pagi tadi aku terpelecot, salah pijak masa nak cepat masuk dalam lif. Malu aku, tahu? Aku jatuh tergolek dok depan lelaki."

"Apa?" Rose terperanjat.

"Lepas itu, apa yang terjadi?"

"Aku rasa macam nak cabut lari jam tu juga. Malu sangat-sangat. Tapi lelaki itu selamba aje macam tak ada apa-apa berlaku."

"Siapa lelaki tu?"

Jasmeen diam sejenak kemudian mengangkat bahu.

"Aku tak kenal. Yang pasti dia bukan kerja di bangunan pejabat kita ni."

Rose tersenyum sahaja kemudian bertanya; "Handsome tak?"

"Entah, aku dah tak ingat muka dia. Aku malulah. Tak tahu mana nak letak muka. Jangan dia muncul lagi depan aku sudahlah," jawab Jasmeen.

Spontan dia termenung, cuba mengingat wajah lelaki itu. Sebenarnya dia masih ingat setiap inci wajah itu kerana mereka saling merenung biarpun beberapa saat tapi jaraknya amat dekat. Tubuh Jasmeen tiba-tiba merinding kesejukan. Dia rasa seperti berada di awangan beberapa saat kemudian jatuh terhentak ke bumi.

"Okeylah, aku nak pergi beli kopi. Nanti aku belikan kopi kegemaran kau. Americano, kan? Kau stay back sampai pukul berapa?" tanya Rose mematikan lamunan Jasmeen.

"Lepas maghrib aku balik. Nak siapkan laporan dan hantar ke Datuk dulu sebelum balik."

Rose mengangguk dan beredar. Setengah jam kemudian Rose kembali ke pejabat, membawa kopi Americano tanpa gula kegemaran Jasmeen. Jasmeen beredar ke pantri untuk minum sebentar. Dari tingkap pantri dia melihat pemandangan senja di Kuala Lumpur. Kota raya kelihatan bermandi cahaya lampu yang gemilang, kereta di jalanan bertali arus seperti tidak akan putus.

Sambil meneguk kopi dia turut mengunyah beberapa keping biskut. Dia makan sendirian hingga air kopi habis tanpa sedar. Kemudian dia beredar mengerjakan solat maghrib. Pejabat sunyi sepi. Kebanyakan staf sudah pun pulang. Dia nampak bilik Datuk Borhan masih terang benderang. Selepas mengerjakan solat maghrib, dia berhasrat ingin menghantar laporan. Kemudian dia akan balik. Jalan raya pasti sudah sedikit lengang dan perjalanannya akan menjadi lebih lancar.

Selesai solat maghrib, dia mengambil fail yang akan diserahkan kepada Datuk Borhan. Dari kejauhan Jasmeen terdengar suara orang bercakap dari bilik Datuk Borhan. Dia terus berjalan ke arah bilik Datuk Borhan. Selipar jepun yang dipakai mengeluarkan bunyi yang kurang menyenangkan. Jasmeen tidak peduli. Dia terus berjalan ke arah bilik bapa saudaranya. Dia mengetuk pintu dan terdengar suara Datuk Borhan menyuruh dia masuk.

Jasmeen masuk sambil memangku fail di tangan. Dia memandang ke arah Datuk Borhan dan teman bicaranya yang sedang duduk di sofa. Dahi Jasmeen berkerut, lidahnya tiba-tiba kelu. Dia tidak sangka akan bertemu lagi dengan lelaki di dalam lif pagi tadi.

Apalah malang nasib aku hari ni... Jumpa lagi dengan dia!

Tak semena-mena rasa malu yang dirasakan pagi tadi datang menerpa semula. Dia berdiri kaku sahaja, tanpa suara.

"Ya, Meen?" tanya Datuk Borhan sambil merenung wajah Jasmeen.

"Er, Meen nak hantar laporan ni pada pak long."

"Okey, letak atas meja pak long."

"Meen balik dulu, pak long." Jasmeen meminta diri sambil terus bergerak keluar.

Seliparnya mengeluarkan bunyi yang memalukan semasa dia bergerak meninggalkan bilik Datuk Borhan. Lelaki itu memandang Jasmeen dengan mata tidak berkelip. Jasmeen tidak suka dengan tatapannya itu. Datuk Borhan juga perasan lelaki itu asyik memandang Jasmeen. Jasmeen menutup pintu bilik Datuk Borhan dengan tertib. Dia berdiri sejenak di tepi pintu, ingin mendengar perbualan antara bapa saudaranya dengan lelaki itu. Apakah lelaki itu akan menceritakan pada Datuk Borhan apa yang terjadi di dalam lif pagi tadi?

"Dia anak saudara aku. Anak saudara sebelah isteriku yang pertama," kata Datuk Borhan.

"Ooo, cantik orangnya," puji lelaki itu sambil tertawa kecil.

"Jasmeen memang cantik, mewarisi kecantikan adik ipar aku dan juga kecantikan emak mentua aku. Mak mentua aku masa muda dulu jadi rebutan ramai lelaki," kata Datuk Borhan sambil tertawa kecil.

"Cantik tapi agak clumsy."

Datuk Borhan ketawa.

"Ya, Jasmeen memang gitu. Cantik, bijak tapi clumsy dan kuat melatah."

"Oh, my God." Lelaki itu teringat peristiwa di dalam lif pagi tadi. Tanpa sedar dia ketawa apabila teringat Jasmeen melatah.

Jantung Jasmeen terasa macam nak putus, otaknya mendidih. Marah bercampur geram mendengar suara tawa lelaki itu. Best ke gelakkan orang jatuh dan melatah? Jasmeen rasa seperti ingin memiliki kepak lalu terus terbang meninggalkan ruang itu. Dia bergegas pulang tidak lama kemudian dengan hati tidak keruan. Cukuplah pertemuan dua kali dengan orang yang sama. Saat menunggu lif terbuka, dada Jasmeen berdebar kencang. Rasa bimbang masih terus mengisi hati kecilnya. Dia tidak ingin terjumpa lagi dengan lelaki tadi di dalam kotak empat segi kosong dan sempit itu. Tidak untuk selamanya.


AMSYAR pulang ketika malam sudah pun larut. Dia membuka pintu perlahan-lahan agar tidak membangunkan neneknya yang sudah pasti sedang nyenyak dibuai mimpi. Amsyar terus berjalan terjengket-jengket menghala ke bilik neneknya. Pintu bilik yang tidak berkunci ditolak dengan penuh hati-hati. Dalam samar cahaya dari luar, dia melihat neneknya sedang tidur, berselimut hingga ke dada. Pintu ditutup kembali, namun dia mendengar suara Nenek Timah menegur; "Kau baru balik, Am?"

"Ya, nek. Ingatkan nenek dah tidur."

"Nenek terjaga bila dengar bunyi enjin kereta kau."

"Nenek tidurlah semula," kata Amsyar.

"Kau dah makan? Ada lauk yang nenek simpan. Petang tadi, Aini ada hantar kurma ayam," kata Nenek Timah sambil bangun perlahan-lahan.

"Tak payah bangun, nek!" larang Amsyar sambil mendekati katil neneknya.

"Nenek tidur semula. Am dah makan dengan kawan-kawan sebelum balik tadi. Dah pukul dua belas lebih ni. Nenek tidur sajalah. Nanti pukul empat pagi, nenek nak bangun solat tahajud, kan?"

"Yalah," jawab Nenek Timah sambil berbaring semula dan kembali menarik selimutnya hingga ke dada.

Amsyar keluar dari bilik Nenek Timah. Dia masuk ke bilik tidurnya yang terletak bersebelahan dengan bilik wanita tua itu. Dia membuka jaket kulit yang tersarung di badan, lalu menggantungkannya di kerusi. Satu per satu pakaian dibuka lalu dia menukar dengan seluar Bermuda paras lutut. Dengan berlenggeng tanpa baju, dia melontar tubuh ke atas tilam. Hawa di dalam bilik tidurnya itu terasa panas berbahang. Sisa-sisa kehangatan siang tadi masih meruap memerangkap ruang, biarpun malam semakin larut. Dia menguatkan lagi putaran kipas angin di siling.

Dia tercari-cari telefon bimbit. Mana pulak telefon bimbit aku?

Dia mencapai semula jaket yang tergantung di kerusi dan menyeluk kedua-dua poket jaket. Tiba-tiba tangannya tersentuh sebentuk cincin. Dia mengambil cincin itu lalu menatapnya dengan pandangan lembut. Cincin Jasmeen... seru hatinya perlahan. Cincin itu terjatuh di lantai lif. Sebelum keluar dari lif, Amsyar ternampak cincin itu di tepi kasutnya. Dia terus mengutip cincin itu lalu memasukkannya ke dalam poket jaket.

Dia sengaja tidak ingin memulangkan cincin itu semula kepada Jasmeen. Lagipun Jasmeen kelihatan sedih dan marah. Mungkin juga malu. Jadi, dia akan berjumpa dengan Jasmeen kemudian untuk menyerahkan cincin itu. Dia punya alasan untuk datang lagi ke pejabat Datuk Borhan.

Amsyar membelek-belek cincin di tangannya. Cincin permata delima merah itu berkilau dipanah cahaya lampu. Cincin ini sudah tentu mahal, bisik hatinya.

Amsyar membaringkan tubuhnya. Dia merenung cincin itu dengan penuh tanda tanya. Cincin apa ni agaknya? Cincin tunang ke atau cincin kahwin? Mungkin Jasmeen itu tunangan orang ataupun kekasih orang. Lebih parah lagi, isteri orang.

Agh! Kalau dilihat dari tubuhnya yang solid molid, aku yakin dia belum kahwin, bisik hati Amsyar lagi.

Oi, tuan punya cincin permata delima! Kau ni dah ada kekasih ke? Amsyar berdialog dengan cincin itu tanpa sedar. Dia merenung cincin di tangannya yang mulai menyilaukan mata. Matanya amat berat diserang rasa mengantuk. Beberapa saat kemudian dia terlelap. Cincin di tangan terlepas dari genggaman lalu jatuh ke lantai dan bergolek ke bawah katil. Amsyar sudah hanyut dibawa arus mimpi.

Keesokan hari, dia sudah lupa pada cincin permata delima merah itu. Dia bangun tergesa-gesa dan berpakaian. Nenek Timah di dapur membancuh kopi dan menyediakan cucur. Bau kopi dan cucur bilis saling berlaga semasa dia masuk ke dapur. Dia hanya mencicip seteguk kopi, kemudian menyalami tangan nenek lalu mengucupnya dengan tertib. Amalan itu dilakukannya sejak kecil, setiap kali ingin pergi ke mana-mana. Memohon restu nenek yang bagaikan ibu kepadanya amatlah penting bagi Amsyar.

Dia sedar tangan itulah yang memeliharanya sejak kecil, memberikan dia sepenuh kasih sayang setelah ibu bapanya berpisah. Dia dipelihara oleh datuk dan nenek, bersama emak saudara dan bapa saudaranya yang agak ramai. Kesusahan yang dilalui neneknya ketika mereka tinggal di kampung halaman dahulu tidak pernah dilupakannya. Kini dia mempunyai pekerjaan yang baik dengan gaji yang lumayan. Dia pernah berjanji pada dirinya hendak menjaga nenek hingga ke akhir hayat wanita tua itu.

"Kau jangan balik lambat tiap-tiap malam, Am," pesan Nenek Timah.

"Nenek harap kau tak tinggalkan solat. Sibuk macam mana sekali pun, utamakan solat dulu."

"Ya, nek. Assalamualaikum," jawabnya ringkas lalu beredar ke luar.

Ketika dia sedang memakai kasut, dia lihat Aini berada di luar rumah sedang menyiram pokok-pokok bunga. Setiap hari Aini akan menyiram pokok-pokok bunga yang menghiasi ruang porch rumah. Rumah mereka bersebelahan. Sudah agak lama Aini dan keluarganya menjadi jiran Amsyar.

"Kerja, bang?" tanya Aini.

Soalan itu yang diulang oleh Aini setiap hari tanpa jemu. Setiap kali Amsyar keluar hendak ke tempat kerja, pasti akan terserempak dengan Aini yang sedang menyiram pokok bunga.

"Ya. Kenapa, nak ikut ke?" gurau Amsyar sambil tersenyum lebar.

Walaupun dia hendak cepat tetapi sempat lagi bergurau dengan Aini. Kemesraan antara dia dan gadis di sebelah rumah sewanya itu memang sudah terjalin sekian lama. Amsyar pindah ke situ sekitar lima tahun yang lalu. Ketika itu Aini masih bersekolah. Setelah menjalani peperiksaan SPM, gadis itu hanya duduk di rumah sahaja kerana ibu bapanya tidak membenarkan dia bekerja. Bagai gadis pingitan di ibu kota besar, Aini patuh pada kehendak keluarga.

Aini tersipu-sipu malu mendengar gurauan Amsyar.

"Tak naklah."

"Ingatkan nak ikut, sebab hari-hari tanya, kan?"

Merah wajah Aini mendengar kata-kata Amsyar.

"Yalah, esok Aini takkan tanya dah," balas Aini bagaikan merajuk pula.

Masam wajahnya.

"Marah ke? Abang bergurau sajalah."

Aini diam, hanya mencebikkan bibirnya sahaja.

"Bye Aini. Baik-baik ya, jangan bazirkan air tu pulak!" Usik Amsyar.

Amsyar tertawa kecil sambil membuka pintu kereta. Enjin kereta dihidupkan lalu dia memecut pergi. Aini masih memerhati kereta amsyar bergerak meninggalkan kawasan itu . Dia hanya mengeluh perlahan.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Com