Bab 10
HIJAU KEKUNINGAN dedaunan yang luruh, pantulan langit biru pada lopak air dan merah bertompok hitam pada sayap kumbang kura-kura menghiasi kanvas putih. Alis Arjuna bertaup. Seluruh perhatian dicurahkan kepada mewarnai kanvas yang disandarkan pada easelnya yang dimamah usia.
Rambut keriting paras bahu diikat menjadi sanggul ala kadar. Tak kemas, tak mengapa. Yang penting tak mengganggu penglihatannya. Sejujurnya, bila sudah fokus melukis, penampilan memang dia letak ke tepi. Lihatlah pakaian, tangan dan pipinya yang comot dengan warna-warna yang dipicit keluar ke palet.
Arjuna menoleh sejenak ke arah kebun dari balkoni bilik tidurnya kemudian kembali menalakan pandangan ke kanvasnya. Sebelah tangan mencapai botol kecil yang menyimpan warna putih. Warna itu hampir kering kerana sering digunakan untuk mendapatkan langit serulean.
Berus menari-nari pada kanvas seperti seorang ballerina. Pergerakannya kemas, elegan, lemah-lembut dan mengingatkannya kepada persembahan balet Swan Lake. Alunan muzik oleh Pyotr Ilyich Tchaikovsky bermain di telinga. Cukup mengasyikkan, menghanyutkan ke dasar fikiran. Arjuna hilang sekejap dari realiti.
Tiba-tiba, angin bertiup kuat. Gelas di atas meja bersebelahan dengannya terjatuh. Berus-berus di dalamnya berguling dan satu per satu menyembah lantai. Arjuna mengeluh perlahan. Palet dia letakkan ke atas meja. Gelas kosong dicapai dan dia merendahkan badan.
Sedang dia memungut berus-berus yang telah dia gunakan dari lantai balkoni, dia terpandang sesuatu dari sudut matanya dan pegun sejenak. Perlahan-lahan, mata sepetnya ditalakan ke hasil seninya yang hampir siap. Jantungnya berhenti berdegup. Matanya tidak berkerdip memandang gazebo pada kanvas.
Arjuna telah lama berhenti menghitung berapa kali dia melukis kebun arwah mamanya. Meski objeknya sama, hasilnya sentiasa berbeza. Terkadang langit berwarna abu-abu, terkadang biru. Terkadang lopak air memantulkan kepulan awan dan bianglala, terkadang memantulkan rembulan dan cakerawala. Namun satu hal yang pasti, gazebo dalam lukisannya sentiasa kosong tanpa penghuni. Tanpa gadis bergaun putih dengan rambut ikal mayang yang dibiarkan terurai, ditiup bayu sepoi-sepoi bahasa.
Arjuna meneguk liur. Perlahan-lahan, dia bangun dari kerusi. Pandangannya jatuh ke gazebo. Kalau tadi jantungnya berhenti berdegup, kali itu, ia berdegup laju. Bahkan terlalu laju sehinggakan Arjuna sempat berfikir, jantungnya akan melompat keluar dari dada.
Matanya mengamati pemandangan itu dalam diam.
Embun yang sedang memejam mata, mempersembahkan kulit mulus wajahnya kepada Sang Suria melakar senyum bibir Arjuna tanpa Arjuna sedari. Mungkin terlalu asyik dilamun angau, genggamannya longgar dan gelas jatuh bersama berus-berusnya. Kembali menyembah lantai.
Arjuna dikejutkan oleh bunyi kuat itu. Apabila dia mendongak semula ke arah kebun, Embun tidak lagi mencerap langit. Sebaliknya, Embun sedang memandangnya dari kejauhan. Tiba-tiba, gadis itu mengangkat tangan. Seolah-olah dapat melihat Arjuna yang curi-curi melukisnya tanpa sengaja, dia melambai seraya tersenyum.
Nafas Arjuna tersangkut di kerongkong. Panik, dia bergegas masuk ke dalam bilik. Kanvas, warna air dan berus ditinggalkan di balkoni. Dia bersembunyi di sebalik langsir lut sinar, membelakangi balkoni dengan belakangnya disandarkan pada pintu. Apabila dia membuka semula matanya, dia dipersembahkan dengan hasil lukisan-lukisan yang digantung dan disandar pada dinding putih, bertentangan dengan katilnya.
Sama seperti muzik gubahan Tchaikovsky, karya-karya Arjuna juga ada jalan ceritanya sendiri walaupun interpretasi orang mungkin berbeza dengan apa yang dia cuba sampaikan. Kalau Swan Lake mengisahkan cinta di antara Putera Siegfried dan puteri angsa, Odette, lukisan-lukisan Arjuna pula berpaksi pada melankolia hidupnya.
Karya Arjuna yang pertama adalah ketika dia berusia 13 tahun. Beberapa bulan selepas pengebumian arwah mamanya, dia menemui cara untuk mengekspresikan diri. Apa saja yang membuatkan atmanya memberontak, dia zahirkan pada kanvas putih. Meskipun itu hanyalah coretan cat hitam yang berlingkar.
Pada usia 15 tahun, Puan Kirana yang memberinya pendidikan di rumah, menceritakan galaksi. Yang memetik minat Arjuna bukanlah Bimasakti, mahupun buruj juga Supernova, tetapi lohong hitam yang menjadi inspirasi satu lagi karyanya kerana saat itu, dia merasakan hidupnya akan sentiasa gelap seperti lohong hitam di galaksi yang sunyi. Perasannya terwakili.
Lama-kelamaan, rona lain mula menghiasi kanvasnya. Daripada hijaunya pokok ke merahnya buah strawberi. Dia kerap kembali ke memori sebelum tragedi hitam itu. Hari-hari di mana dia meluangkan masa di kebun yang subur bersama wanita yang amat dia rindukan. Berusnya sering kali menari untuk imej yang sama, memori yang lama.
Namun, setiap lukisannya, ada satu persamaan. Arjuna tidak pernah memotret sesiapa. Baik arwah mamanya ataupun mana-mana wajah yang pernah bersilang takdir dengannya. Tetapi hari itu...
Arjuna menoleh ke balkoni. Tirai dibuka dan dia menjejakkan kaki ke luar balkoni. Angin turut meniup kencang paletnya. Kini mozek putih itu tercalit dengan pelbagai rona tetapi itu hal terakhir yang Arjuna risaukan.
Pandangan dilontar jauh ke gazebo yang terletak berhampiran kebun. Embun tidak lagi kelihatan di mana-mana. Langit juga tidak secerah tadi. Mungkin gadis itu kembali ke tempat teduhannya, sama ada perpustakaan mini ataupun kamar tidurnya. Arjuna mengeluh kecil, entah itu keluhan berat atau lega.
Tangannya memisahkan kanvas dari easel. Raut wajahnya sukar sekali untuk dibaca. Embun sudah hilang dari pandangan mata, tetapi masih hadir di atas kanvasnya. Mungkin... tak akan pernah terhapus. Sentiasa ada. Abadi di situ buat selama-lamanya.
"Juna?"
Arjuna cepat-cepat menyembunyikan lukisannya di belakang. Mata sepetnya membulat tatkala melihat Puan Kirana berada di dalam bilik tidurnya dengan pintu terkuak luas.
"Aunty dah ketuk dah tadi tapi Juna tak jawab. Aunty ingatkan ada apa-apa. Sebab tu aunty masuk." Puan Kirana mengetap bibir, risau Arjuna akan melenting.
"Tak apa," balas Arjuna dengan wajah terbebani oleh kehadiran Puan Kirana di situ.
"Ada apa-apa lagi ke?"
Puan Kirana menghulurkan beberapa beg kertas kepada Arjuna. Arjuna panik. Risau sekiranya Puan Kirana dapat melihat lukisannya, dia pun kaku. Huluran Puan Kirana tak disambut.
Puan Kirana kekal tersenyum. Dia sudah terbiasa dengan layanan dingin daripada Arjuna dan tidak lagi terasa hati. Apabila Arjuna menolak pemberiannya, dia pun meletakkan beg-beg kertas itu ke atas katil Arjuna yang berselerak. Kalau Arjuna benarkan, dia mahu tolong kemaskan tetapi dia tahu, Arjuna tak suka orang menyentuh barangannya tanpa izin.
"Malam ni kita ada tetamu."
"Tetamu?" Arjuna mengerutkan dahi.
"Keluarga Embun."
Arjuna diam membisu. Bukankah Embun tiada ahli keluarga yang lain? Sebab itulah dia tinggal bersama mereka, bukan? Jadi, maksudnya, Embun...
"Don't think too much about it. Dia orang datang nak lawat Embun aje. Bukan nak bawa Embun pergi."
Cuping telinga Arjuna bera. Mata sepetnya terbeliak. Adakah Puan Kirana baru saja membaca isi hatinya? Ah, memalukan betullah!
"Actually, aunty tak tahu dia orang nak apa," luah Puan Kirana, mengeluh kecil. "But I took Embun to do some shopping this morning. Maybe if they know that Embun is well taken care of, they'll let Embun stays with us."
Arjuna menjawab dengan anggukan.
"Alang-alang dah pergi shopping, aunty pun belikanlah Arjuna kemeja baru. Embun and I tried our best to choose them, so please be considerate?"
Mengetahui Embun turut memilih kemejanya, dia terus mengangguk. Puan Kirana hampir tertawa. Siapa sangka Arjuna mampu berkelakuan seperti remaja lain saat angau dilamun cinta? Ah, indahnya masa muda...
"Terima kasih," ucap Arjuna sebelum menyambung, "Beritahu kat Embun sekali."
Puan Kirana mengetap bibir. Sukar sekali untuk dia menahan senyum.
"If you're thankful, then wear them for tonight's dinner. Mesti Embun suka."
Arjuna melarikan pandangannya ke arah lain. Berpura-pura tidak mendengar kata-kata Puan Kirana. Puas mengusik Arjuna, Puan Kirana pun mengundurkan diri untuk memantau khidmat katering yang Encik Adi tempah untuk makan malam itu. Bukan tidak yakin dengan kemampuan memasak isterinya, tetapi dia tidak mahu membebani Puan Kirana.
"Jangan lupa tahu? Pukul lapan malam, dinner downstairs."
Arjuna mengangguk faham. Pintu kembali tertutup rapat dan dia menghembus nafas lega. Kaki menjejak masuk ke dalam bilik. Dia melabuhkan punggung pada katil dengan kanvas lukisan diletakkan di atas riba. Beg beli-belah dia belek-belek. Ada celana, ada kemeja dengan rona dan gaya yang menepati cita rasanya.
Pandai Embun pilih.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Com