Truyen2U.Net quay lại rồi đây! Các bạn truy cập Truyen2U.Com. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 9

TEKO teh kamomil dengan beberapa titis madu dihidangkan di atas meja bersama sepinggan biskut coklat cip lembut yang baru dibakar. Teh hangat Puan Kirana tuangkan ke dalam cawan porselin yang suaminya beli sebagai hadiah untuknya di Guangzhou, China sempena ulang tahun perkahwinan mereka yang ketiga iaitu beberapa tahun lalu.

Encik Adi bingkas bangun dan meninggalkan timbunan fail di atas meja kerjanya. Dia kemudiannya menghenyakkan punggung pada kerusi, duduk bersama isterinya tanpa perlu menunggu pelawaan daripada Puan Kirana. Dia juga sejak tadi ternanti-nanti untuk meluangkan masa bersama setelah hampir seharian terperuk di dalam bilik bacaannya, meneliti laporan pekerjanya.

Memiliki syarikat acap kali disebut sebagai mercu tanda kesuksesan seseorang. Oleh sebab itu, namanya disanjung tinggi di mana-mana. Kewangan mereka sekeluarga juga terjaga. Dia tidak perlu berfikir dua, tiga kali untuk membelikan apa yang isteri mahupun anak tunggalnya, Arjuna inginkan. Sayangnya, realiti tak indah sentiasa.

Kebelakangan itu, graf penjualan teh mereka menunjukkan penurunan yang ketara. Ramai yang menukar selera kepada jenama-jenama teh lain yang jauh lebih murah kerana di mata pengguna, kualiti tidak begitu penting. Yang penting, rasa dan rupa. Ditambah lagi dengan trend bubble tea yang kian menular. Pengguna kini kebanyakannya hanya fokus kepada nilai estetik saja.

"Arjuna mana?" tanya Encik Adi.

Sudah menjadi kebiasaan untuknya bertanya soalan itu walaupun dia tahu, waktu-waktu begitu, Arjuna selalunya mengurung diri di dalam bilik. Dia sudah menghafal rutin hidup anak tunggalnya itu. Memang malar. Tahun demi tahun berlalu, langsung tiada perubahan.

"Ada kat luar," jawab Puan Kirana lalu tersenyum kecil. "Dengan Embun."

Encik Adi tidak jadi menghirup tehnya. Kedua-dua alisnya terjongket. Biar betul Arjuna meninggalkan bilik tidurnya? Lebih-lebih lagi untuk berbual bersama Embun di luar? Jauh betul berubah...

"Saya perasan, Juna dah lain sangat sekarang."

Encik Adi meletakkan cawannya ke bawah setelah dihirup sedikit.

"Lain macam mana?"

"Abang tahu tak, beberapa minggu ni, saya nampak Juna selalu sangat dengan Embun. Lebih-lebih lagi bila Embun pergi gazebo kat kebun arwah Kak Suria tu. Mesti Juna ikut."

"Ya ke? Baguslah tu. Ada juga yang tengok-tengokkan Embun. Bahaya kalau dia jalan seorang-seorang. Nanti ada ular ke, terjatuh ke, boleh juga Juna tolong." Encik Adi berdehem kecil. "Lagipun, memang itu yang kita berdua nak, kan?"

"Tapi betul ke apa yang kita buat ni, bang?"

Puan Kirana melontar pandangan ke luar jendela. Langit yang cerah dicerap lama. Bianglala sedikit demi sedikit bertambah jelas. Itupun tidak dapat menenangkan gelora hatinya.

"Saya rasa kita tak patutlah tipu Juna macam ni."

"Untuk kebaikan Juna juga." Encik Adi mengeluh kecil. "Awak jangan risaulah. Juna mesti faham kenapa kita buat macam ni."

"Macam mana kalau... keadaan Juna makin teruk? What if we end up leaving him more broken that he already is?"

Encik Adi menggeleng kepala. Tidak bersetuju sama sekali dengan apa yang isterinya katakan. Arjuna sudah dewasa. Dia pasti akan mengerti apa yang mereka berdua lakukan itu hanyalah untuk mengubatinya, bukan melukainya.

"We won't."

"You don't know that. We don't have the right to say what hurts him and what doesn't. It's up to him."

Encik Adi mengeluh lagi. Dia bangun dan duduk pada lengan kerusi. Kedua-dua belah tangan diletakkan pada bahu Puan Kirana yang naik dan turun dengan laju, sebati dengan nafasnya yang tak teratur. Ubun-ubun isterinya dikucup lembut. Puan Kirana lantas mengesat air mata yang jatuh.

"Awak tengok Juna sekarang, awak rasa dia gembira tak?" tanya Encik Adi.

Puan Kirana mengangguk meski teragak-agak.

"Well then, that's all that matters, right?" Encik Adi melutut pula di hadapan Puan Kirana. "Kita buat ni pun, memang untuk gembirakan Juna, kan?"

Puan Kirana mengangguk lagi.

"Can I see your smile?" Encik Adi meraih tangan isterinya. "Senyumlah."

Puan Kirana menyeka air mata yang kering di pipi. Bibirnya melengkung ke atas. Memberikan senyuman yang suaminya dambakan.

"Kan manis macam tu."

Tangan isterinya di dalam genggaman di bawah rapat ke bibir, dikucup mesra tanpa memutuskan tatapan mata ke mata mereka. Semudah itu, hati Puan Kirana berjaya dipujuk.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Com