Truyen2U.Net quay lại rồi đây! Các bạn truy cập Truyen2U.Com. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 8

"MAAF. Saya kejutkan awak ke?"

Kornea coklat putih tidak meninggalkan sepasang mata yang terbeliak besar milik Arjuna. Sekali lagi jejaka itu meneguk liur. Adakah 'buta' hanyalah satu watak yang dimainkan oleh Embun? Jika tidak, mengapa Embun menatapnya seolah-olah dapat melihatnya yang sedang pegun di situ?

Rima detak jantungnya mula tidak stabil. Semakin lama dia berada di situ, semakin tidak keruan jadinya. Fikirannya kian bercelaru dan cacamarba. Terlalu 'ramai' yang bersuara di dalam kepala, mempersoalkan segalanya. Lalu, dia pun melakukan apa yang dia sering lakukan setiap kali keadaan menekannya; melarikan diri.

Bunyi ranting pada tanah lembab yang patah memberitahu Embun ke mana arah tuju jejaka yang diam sejak tadi. Mengikut deria pendengarannya, Arjuna sudah beberapa langkah jauh darinya. Tongkat terlepas dari genggamannya apabila dia memanjangkan tangan, mahu menghalang Arjuna daripada pergi. Meskipun itu bukan satu helah untuk memaksa Arjuna tetap tinggal di situ bersamanya, ia berjaya merencatkan langkah Arjuna.

Arjuna menggigit bibir. Perasaannya berbelah bagi. Separuh memintanya untuk memberi simpati dan membantu Embun yang sedang meraba-raba tanah lembap dalam mencari tongkatnya, separuh lagi menyuruhnya untuk melayan ego dan berambus dari situ tanpa secalit perikemanusiaan.

'Alah, dia bukannya buta pun! Nak tolong buat apa? Pandai-pandailah dia cari sendiri.'

Arjuna berpaling lagi tetapi kakinya terasa berat untuk melangkah. Tangan mencekak pinggang. Muka ditala ke arah langit yang mulai cerah setelah gerimis berlalu. Saat itu, tujuh warna bianglala pun tidak dapat menenangkan hatinya. Walhal keindahan alam semula jadi tidak pernah gagal dalam mengubati apapun yang mengganggu ketenangannya.

'Tapi kalau dia betul-betul buta, macam mana?'

Arjuna menoleh semula ke arah gazebo yang dia tinggalkan. Melihat hujung jari Embun yang bersalut tanah, Arjuna mengeluh perlahan. Lama berfikir, akhirnya dia memaksa diri untuk kembali ke gazebo dan melutut di hadapan Embun. Egonya kalah dan diketepikan.

"A... awak datang balik?"

Arjuna menjelingnya tajam. Kalau dia betul-betul celik, baguslah. Biar terketar-ketar tulang tengok jelingan maut Arjuna.

Pergelangan tangan Embun ditarik kasar. Hujung t-shirt Arjuna tarik, dijadikan kain untuk mengelap hujung jari Embun yang kotor. Habis kukunya kotor dengan tanah yang masuk ke dalam. Kuku pun panjang. Simpan kuku panjang-panjang, tapi tak reti nak jaga.

"Oh. Tangan saya kotor eh?"

Arjuna menjelingnya lagi. Kalau bukan sebab mahu membersihkan tangannya, buat apa Arjuna sesuka hati menarik tangannya seperti itu? Ingat Arjuna sengaja mengambil kesempatan? Dia tidaklah sejahil itu.

Usai membersihkan tangan Embun, Arjuna merendahkan badan, memungut tongkat Embun dari tanah kebun yang tidak sesubur dahulu. Tongkat diletakkan pada tapak tangan Embun kemudian buku jari Embun dipaksa untuk menggenggam erat tongkat itu. Biar tidak jatuh lagi. Setelah itu, Arjuna cuba untuk berlalu pergi buat kali kedua. Pun gagal juga.

"Saya minta maaf!" ucap Embun sekuatnya, takut Arjuna sudah jauh ke hadapan dan tidak dapat mendengarnya.

"Saya... saya tahu kenapa awak marah saya. Kenapa... awak tak pernah bercakap dengan saya dan... tolak saya sampai saya terjatuh hari tu."

Arjuna memejam mata. Mengapa susah sekali untuk Embun membiarkannya pergi? Tetapi... nampaknya Embun salah faham terhadapnya. Peristiwa tidak diinginkan yang berlaku tempoh hari itu benar-benar tidak disengajakan. Tidak pernah terlintas dalam fikirannya untuk mencederakan Embun.

Kalau betullah itu niatnya, tiada alasan untuk dia membantu Embun hari itu. Pastinya dia akan membiarkan Embun tercari-cari tongkatnya. Lantaklah kalau ribut atau puting beliung melanda sekalipun, Arjuna pasti akan memekakkan telinga dan membutakan mata saja.

"Kalau ada orang suruh saya tengok jalan betul-betul, saya pun marah. Saya kan buta." Embun tertawa kelat.

Arjuna cuba untuk tidak menunjukkan sebarang ekspresi tetapi hujung bibirnya menjongket ke atas. Tidak dapat menahan diri. Lawak pahit itu menyentuh sedikit hatinya. Jauh sekali dari terharu tetapi... dia rasa difahami. Rasa terwakili oleh kata-kata Embun. Tipulah kalau dia tidak pernah terasa hati apabila kekurangannya diutarakan secara negatif.

Arjuna menatap lama Embun yang seolah-olah sedang menanti balasan daripadanya meskipun dia sudah tahu, Arjuna tak mampu bersuara. Arjuna beralih ke sebelahnya dan melabuhkan punggung. Mereka berteduh dari langit yang kian cerah di bawah atap gazebo yang sama.

"Tapi saya... hargai sangat kalau lain kali, awak boleh beritahu saya yang awak ada dekat saya. Bukan awak seorang aje tahu yang terkejut. Saya pun sama. Tengah duduk seorang-seorang, tiba-tiba rasa macam ada orang tengah renung saya. Meremang bulu roma."

Tangan Embun naik mengurut tengkuk seraya menyengih, membuat demonstrasi. Perasaan direnung lama masih dia rasakan sehingga saat itu. Memang terasa sampai ke sumsum tulang. Arjuna... masih merenungnya?

Arjuna menggaru kepala. Ya, salahnya juga kerana bertindak seperti penguntit. Mujurlah Embun suka berkeliaran waktu pagi saja. Kalau waktu malam, tak semena-mena Arjuna dipukul pula kerana disangkakan orang minyak. Eh, tapi ada ke orang minyak berambut panjang seperti dia?

Tiba-tiba, buku jari Embun mengetuk lantai gazebo dua kali sekaligus merentap Arjuna dari terus hanyut dalam fikirannya. Jejaka itu lantas menoleh ke arah Embun. Sangkanya, Embun baru saja menamatkan riwayat serangga.

"Macam ni." Embun mengetuk lantai lagi. "Kalau awak ada dekat saya, awak kena ketuk dua kali macam ni. Okey?"

Suara baldu milik Embun membelai lembut gegendang telinga Arjuna. Sementara matanya pula tak putus menatap wajah yang turut memandang ke arahnya. Sudah lama Embun tinggal bersama mereka tetapi rasanya, itu baru kali pertama Arjuna dapat melihat wajah Embun tanpa buru-buru. Mengamati setiap ketidaksempurnaan yang menyempurnakannya.

Tatapannya menjeda lama di lesung pipi Embun. Gadis itu tidak perlu tersenyum kerana lesung pipinya terlalu dalam. Cukup dengan bernafas seperti sekarang sudah menampakkan keistimewaan itu.

Arjuna teringatkan satu artikel dunia perubatan yang pernah dia baca dahulu. Sebenarnya, lesung pipi yang didambakan ramai orang itu ialah satu kecacatan di otot zygomaticus. Tetapi anehnya, ketidaksempurnaan itu tak menjadi kekurangan. Malahan menyempurnakan lagi ciri wajah gadis itu.

'Cantiknya...'

Eh?

Arjuna menggeleng kepala. Pandangan dikalihkan ke arah lain. Dilontar jauh ke bukit-bukau yang kelihatan kelabu dari kejauhan. Mahu menampar perlahan pipi untuk menyedarkan diri tetapi takut deria pendengaran super milik Embun menangkapnya pula macam tempoh hari bila dia menepuk dahi.

"Boleh saya tanya awak satu soalan?"

Arjuna diam dan Embun menganggap keheningan itu sebagai satu jawapan 'ya'.

"Sebenarnya, Abang La Flor yang beritahu saya awak... tak boleh bercakap. Kalau tak keberatan, boleh saya tanya sejak bila?"

Arjuna tertunduk. Sekali lagi, Embun menganggap keheningan itu sebagai satu jawapan tetapi bertentangan dengan 'ya'. Senyuman kecil ditampal di bibir. Tidak mengapalah kalau Arjuna tidak sudi berkongsi. Lagipula soalan itu juga sepertinya agak kurang sopan untuk diajukan. Embun pun hanya mencuba nasib dengan bertanya.

"Tak apa. Saya faham." Embun mengayun kakinya yang tergantung ke depan dan belakang.

"Juna?"

Arjuna menyahut dengan tolehan kepala.

"Boleh tak awak temankan saya sekejap? Lima minit pun tak apa. Saya janji saya tak akan tanya awak apa-apa soalan."

Dahi Arjuna berkerut seribu. Selama itu, elok saja berkeliaran di pekarangan banglo tanpa ditemani sesiapa. Tiba-tiba mahu Arjuna temani pula?

"Saya... rasa sunyi." Embun tersenyum kelat. "Awak pernah tak rasa sunyi sangat tinggal kat rumah besar macam ni? Entahlah. Mungkin sebab saya baru aje pindah sini kut. Belum terbiasa."

Mendengar luahan hati Embun itu, Arjuna teringatkan subuh yang telah lama berlalu. Apa yang dia sempat saksikan dengan mata sendiri dan juga perbualan di antara dia dan Puan Kirana.

"Abah Embun dah tak ada."

Kata-kata Puan Kirana terngiang-ngiang di telinga Arjuna. Kerutan di dahi memudar dan hilang. Faham apa yang dimaksudkan sebenarnya oleh Embun dengan 'sunyi'.

"Beberapa minggu ni saya tak rasa sunyi sangat sebab awak selalu ada dengan saya. Walaupun kita tak pernah berborak macam kawan."

"But it feels nice. To have someone with me."

Arjuna menggenggam buku jarinya. Tok-tok!

Lantai gazebo diketuk dan senyuman Embun melebar. Ternyata, Arjuna masih di situ dan sudi menemaninya. Itu sudah lebih dari cukup.

"Terima kasih." 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Com