Truyen2U.Net quay lại rồi đây! Các bạn truy cập Truyen2U.Com. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 7

TAYAR kereta yang dicat biru Arjuna angkat dari tanah. Air yang bertakung meresap ke dalam tanah, memberi nafas kepada rumput-rumput yang tumbuh di sekelilingnya. Beberapa hari itu, hujan asyik turun tanpa henti. Dek takut air bertakung menjadi tempat pembiakan musuh utamanya iaitu nyamuk, dia pun melakukan hal yang sama kepada tayar-tayar yang lain.

Dulu sewaktu arwah mamanya masih hidup, apa-apa saja yang boleh dikitar semula, pasti arwah mamanya akan manfaatkan. Botol kaca sparkling water dijadikan pemegang lilin, surat khabar lama akan dikisar dan dijadikan buku jurnal, penyedut minuman digunting menjadi bunga lavender palsu dan tayar pula dijadikan pasu. Arwah mamanya memang seorang yang kreatif. Macam-macam idea yang dia fikirkan.

"Eh!"

Arjuna menoleh ke belakang. Embun berdiri tidak jauh dari tempat dia berada. Gadis itu memukul-mukul tanah lembab dengan tongkatnya. Arjuna menggelengkan kepala. Sudah tahu selepas hujan jalan menuju ke gazebo berlumpur, degil juga ke situ.

"Bismillahirrahmanirrahim," ucap Embun.

Sangka Arjuna, Embun akan berpatah balik ke banglo setelah mengetahui jalan untuk gazebo tidak selamat untuknya tetapi gadis itu sepertinya nekad sekali untuk meneruskan perjalanan. Arjuna pun bingkas bangun dari terus mencangkung di hadapan tayar. Dia mencekak pinggang melihat Embun yang terhuyung-hayang untuk mengelak terpijak lumpur.

Plakk!

Tongkat Embun terlepas sasaran... tidak. Ia mengena tepat pada sasaran. Entah berdendam terhadap siapa, Embun memukul kuat lumpur di hadapannya. Arjuna yang berdiri hanya beberapa kaki di hadapannya terkena tempiasnya.

Sekelip mata saja, kulit sawo matangnya disalut lumpur. Dia secara tak sengaja membuka mulut dan lumpur mengalir dari hidung ke mulut. Arjuna menjelir lidah. Tangan mengesat lecak pada lidah. Kuat betul dugaan orang bisu, rintih hatinya.

Arjuna kembali menoleh ke arah Embun. Dia terlopong luas apabila gadis bergaun putih dengan sedikit kotoran di hujung gaunnya sudah duduk dengan selesa di gazebo. Siap termenung jauh lagi.

'Bertuah punya budak!'


DERUMAN enjin motosikal menjemput Arjuna untuk menjenguk ke luar rumah. Seminggu sekali, akan ada penghantaran bunga segar dibuat ke rumah mereka atas permintaan Puan Kirana. Awal pula penghantaran minggu itu. Seawal sembilan pagi lagi sudah ada yang tercegat di depan pintu, membunyikan loceng.

Arjuna bergegas ke luar dan dikejutkan oleh Embun yang memintasnya. Sejak bila Embun berada di situ? Rasanya baru tadi Arjuna melihatnya di perpustakaan mini. Selain daripada gazebo, perpustakaan mini itu juga menjadi tempat kegemaran Embun. Acap kali Arjuna melihatnya masuk ke situ.

"Wanginya," kata Embun, tersenyum. "Minggu ni, bunga apa?"

"Macam-macam bunga pun ada, Cik Embun. Puan Kirana minta kitorang mix and match. Dah bosan dengan bunga mawar katanya," jawab pekerja penghantaran tersebut.

"Oh."

Hampir seminit berbual dengan Embun, barulah pekerja penghantaran kedai bunga La Flor tersebut menyedari kehadiran Arjuna di muka pintu. Jejaka rambut mencecah bahu itu meletakkan jari telunjuk ke bibir. Menyuruh pekerja tersebut untuk tidak menyapanya kerana dia tidak mahu Embun mengetahui kehadirannya di situ.

"Cik Embun nak sekuntum?"

"Eh, boleh ke?" tanya Embun. Malu-malu tapi mahu pula.

"Mestilah boleh. Pilihlah."

"Nak pilih macam mana? Saya bukannya boleh nampak bunga yang awak bawa."

"Eh..."

Pekerja tersebut menggaru kepala yang terlindung oleh topi keledar. Arjuna mengetap bibir. Dia tahu Embun sedang bergurau kerana gadis itu sudah meleraikan tawa tetapi reaksi pekerja tersebut benar-benar mencuit hati. Arjuna terus mencuba sedaya-upayanya untuk melakukan teknik pernafasan tarik dan hembus agar penyamarannya tidak terbongkar.

"Kalau saya main petik aje, tak apa ke?" tanya Embun.

"Er... B... boleh aje."

"Okey. Kalau macam tu..." Embun terus menarik bunga yang dia inginkan. "... saya nak yang inilah!"

Arjuna dan pekerja tersebut saling berpandangan. Kedua-duanya kehilangan kata-kata apabila Embun memetik daun daripada tangkai bunga dan bukannya memetik bunga. Apabila Embun menyelitkan daun itu ke telinganya, Arjuna hilang kawalan lagi. Dia terus mendongak, menatap langit. Meminta Tuhan mengurniakannya kekuatan untuk melawan keinginannya untuk meledakkan tawa.

"Cik Embun, itu..."

Arjuna mengangkat tangan. Menghentikan pekerja tersebut daripada menyambung ayatnya. Biarlah Embun bahagia dengan pilihannya sendiri. Walaupun pilihan itu... adalah daun.

"Kenapa? Tak cantik ke?" tanya Embun.

Arjuna mengangguk laju. Menghantar isyarat lagi kepada pekerja tersebut.

"Ca... cantik! Masya-Allah, cantik betul ciptaan Allah! Cik Embun nampak lagi cantik daripada bunga-bunga kat La Flor!"

"Awak puji saya lebih-lebih ni, awak suka saya ke?"

"Eh!" Pekerja tersebut mengurut dada. "Saya... saya dah ada bini. Cik Embun jangan macam-macam. Kalau bini saya mengamuk kat Cik Embun, tak apa juga. Kalau dia mengamuk kat saya, arwah saya."

Embun tertawa. Dia berseloroh saja sebenarnya. Lagipun dia tahu, mana mungkin ada yang dapat menerimanya. Mahu kata dia cantik, dia sendiri tidak tahu wajahnya sendiri. Sudah bertahun-tahun berlalu sejak kali terakhir dia menatap pantulan dirinya di cermin. Dia sendiri terlupa akan wajahnya.

"Awak letak bunga-bunga ni kat dalamlah. Kat atas meja makan. Puan Kirana tengah solat kat atas. Arjuna pula..."

Arjuna meneguk liur.

"Entahlah. Saya pun dah lama tak nampak dia. Eh, tapi saya memang tak nampak orang pun!" Embun menyengih. "Saya nak pergi kebun dulu. Terima kasih abang bunga bagi saya bunga ni," ucapnya seraya menyentuh daun di cuping telinganya yang disangkakan kelopak bunga yang mekar.

"Sama-sama. Hati-hati pergi kebun tu."

"Okey."

Embun terus mengatur langkah pergi dari situ. Tongkatnya mengetuk jalan di hadapannya. Memastikan jalannya menuju ke gazebo yang terletak di kebun tidak dihalang oleh apa-apa objek asing. Kebelakangan itu dia semakin berhati-hati, lebih-lebih lagi setelah dia secara tak sengaja memecahkan pasu bunga Puan Kirana tempoh hari.

"Juna, abang letak bunga-bunga ni kat dalam dululah."

Arjuna mengangguk. Pekerja penghantaran kedai bunga La Flor tersebut berlalu masuk ke dalam rumah bersama jambangan bunga yang Puan Kirana inginkan. Sementara itu, Arjuna membuntuti Embun dari belakang. Sentiasa memastikan ada jarak di antara mereka agar dia tidak memeranjatkan Embun yang cemerkap. Silap hari bulan ada juga yang kena ketuk dengan tongkat dia.

Daun hijau yang terselit di cuping telinga Embun dia tatap. Tawa kecil terlepas jua dari bibir. Tak sangka betullah Embun ni lawak orangnya.


MARY JANE ditanggalkan dari kaki. Merasakan embun pagi bermain di tapak kakinya. Sengaja diayun ke depan dan belakang agar dapat merasai titisan basah itu. Embun tersenyum sendiri apabila terfikirkan bagaimana embun dapat menggembirakan hati seorang Embun.

Sedang dia hanyut dalam permainan kata yang mengujakannya itu, bunyi asing menyapa gegendang telinganya. Sebelum itu, gazebo yang terletak berhampiran kebun itu hening sekali. Hanya kicauan burung yang kedengaran tetapi hari itu, ada yang mengiau pula.

Bunyi itu tidak hanya menangkap perhatian Embun malahan Arjuna juga. Jejaka bermata sepet itu keluar dari tempat persembunyiannya, iaitu di sebalik pokok. Dia menghampiri gazebo tanpa membuat sebarang bunyi. Sambil-sambil itu, matanya ligat mencari sumber haiwan yang mengiau itu.

"Miau?" panggil Embun. "Miau? Miau kat mana tu?"

Seakan-akan dipanggil oleh tuannya, seekor kucing memunculkan diri dan terus melompat ke riba Embun. Awalnya Embun sedikit terkejut tetapi apabila haiwan berbulu lebat itu menggosok-gosok kepalanya ke tangan Embun, rasa terkejut itu reda. Embun terus membelainya.

"Hai. Awak datang dari mana ni?" tanya Embun.

Arjuna berpeluk tubuh. Perlahan-lahan, dia melabuhkan punggung pada gazebo. Duduk berjarak sedikit dengan Embun. Hanya mendengar perbualan Embun dan kucing misteri itu dalam diam. Macamlah dia boleh menyampuk.

"Dah berminggu awak ikut saya pergi mana-mana."

Arjuna terus mendengar. Menyangka itu hanyalah satu lagi kata-kata yang ditujukan kepada kucing misteri tersebut. Sehinggalah Embun melepaskan kucing itu dan menyambung bicaranya.

"Sampai bila awak nak ikut saya? Sekali-sekala, tegurlah."

Arjuna mengerutkan dahi. Mengapa lain betul perbicaraan Embun? Seakan-akan kata-kata itu ditujukan kepadanya pula.

Curiga, Arjuna pun menoleh ke sisi. Mata sepetnya membulat setelah mendapati Embun sedang merenung tepat ke arahnya. Korneo coklat hazel dengan tompokan putih di tengah itu mencuri nafas Arjuna.

Terkejut, Arjuna terbangun dari duduknya. Liur yang ditelan tersangkut di kerongkong. Dia berundur setapak demi setapak ke belakang. Takutkah dia terhadap Embun? Mungkin.

Setahunya, Embun tidak dapat melihat. Lalu bagaimana Embun tahu di mana keberadaannya? Satu lagi misteri yang perlu dia rungkaikan.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Com