Bab 12
BISKUT coklat cip dipindahkan dari bakul rotan Bali ke piring. Kepala Nabila terangguk-angguk, mengakui biskut yang dibakar sendiri oleh Puan Kirana seenak rupanya. Tangan mahu mengambil sekeping lagi tetapi terhenti tatkala matanya menangkap susuk tubuh seseorang di depan pintu.
Rambut keriting paras bahu digaya kemas dengan gel rambut. Kemeja putih diselukkan ke dalam celana dengan butang kolar dibiarkan terbuka. Hujung lengan kemeja dilipat sedikit hampir ke siku, mendedahkan garisan arteri di lengan. Pandangan mata mereka bertemu seketika dan senyuman kecil dihadiahkan buat Nabila.
Piring kecil di tangan Nabila tergelincir dari tangan dan hampir terjatuh. Mujurlah mendarat pada ribanya. Skirt kebaya dijadikan jaring untuk menghentikan piring daripada pecah seribu di atas lantai kayu bambu. Apabila Nabila mendongak semula, kelihatan senyuman jejaka itu melebar sedikit. Terhibur agaknya dengan kecuaian Nabila itu.
Tanpa berlengah lagi, pintu diketuk cukup kuat untuk mencuri perhatian semua yang ada di situ. Perbualan orang dewasa tergendala. Mereka semua serentak menoleh ke arah pintu, di mana Arjuna berdiri dengan tangan sopan di depan. Dia mengangguk, menyapa tetamu yang lebih tua seraya tersenyum.
"Haa, siap pun!" getus Puan Kirana. "Duduklah dulu. Aunty ada buatkan biskut coklat cip lembut. Juna suka, kan?"
Arjuna sekadar mengangguk dan mencari tempat duduk. Badan dia rendahkan apabila lalu di hadapan orang yang lebih tua. Sofa kosong bertentangan dengan Embun dan Nabila menjadi pilihannya. Berbanding duduk bersama orang-orang tua, dia lebih selesa duduk bersama yang sebaya dengannya. Lebih tepat lagi, dengan Embun.
Wajah Embun diamati. Dahinya berkerut mencuba untuk mentafsir riak wajah Embun yang kosong itu. Matanya yang bengkak dan merah menjerit sayu. Bahkan lesung pipi kegemaran Arjuna juga tidak kelihatan malam itu.
'Kenapa dia... nampak macam sedih aje?' Arjuna melirik ke arah saudara-mara Embun yang bertandang ke rumah mereka malam itu. 'Dia tak suka ke keluarga dia datang sini?' gumamnya dalam hati.
Nabila turut menoleh ke arah Arjuna. Matanya bertemu dengan ibunya yang menjongket-jongketkan kening dengan bibir dijuihkan ke arah Arjuna. Nabila menggigit bibir tanda kesal. Tahu sangat apa yang ibunya ingin dia lakukan.
"Hai. Saya Nabila."
Arjuna tersentap dari fikirannya apabila suara ayu itu menyapanya. Dengan teragak-agak, dia menyambut huluran tangan Nabila, berjabat tangan tanda salam perkenalan. Kening Nabila terjongket ke atas apabila Arjuna tidak pula memperkenalkan dirinya. Sombongnya...
"Ini anak lelaki Encik Adi dengan Puan Kirana, ya?"
Encik Adi menoleh ke arah isterinya sementara isterinya pula membuang pandangan ke arah lain dengan senyuman kelat di bibir. Setelah sekian lama mengenali Puan Kirana, Encik Adi tidak perlu untuk berfikir panjang dan terus meraih tangan Puan Kirana. Menggenggamnya erat seperti tak mahu dilepaskan.
Kemesraan pasangan suami isteri itu tidak terlepas dari pemerhatian Arjuna. Seharusnya dia sudah terbiasa dengan kelakuan mereka. Puan Kirana juga telah lama tinggal bersama mereka tetapi entah mengapa, sukar untuk dia membiasakan diri. Mungkin ada kaitannya dengan bagaimana dia belum bersedia untuk menerima Puan Kirana sebagai figura seorang ibu dalam hidupnya.
Arjuna menoleh ke arah lain dan mencuba untuk kelihatan kekal selamba. Bersahaja seolah-olah pertanyaan daripada saudara-mara Embun tidak mengganggu fikirannya. Suasana sudah cukup kekok dan janggal. Tidak perlulah dia menambahkan lagi ketidakselesaan semua orang.
"Ah, ya. Nama dia Arjuna." Encik Adi akhirnya menjawab.
Puan Kirana menatap suaminya dan kepahitan senyumannya beransur hilang. Kan manis bila senyuman tak dipaksa seperti tadi.
"Oh, Arjuna? Jarang-jarang orang pakai nama Arjuna ni." Puan Kalsom tersenyum penuh makna.
"Arjuna umur berapa?"
"17 tahun." Puan Kirana pula yang menjawab.
"Oh."
Puan Kalsom dan suaminya, Encik Harun saling berpandangan. Sedikit hairan mengapa Encik Adi dan Puan Kirana yang menjawab soalan mereka bagi pihak Arjuna. Kalaulah mereka tahu kebenarannya...
"Er, hari pun dah makin lewat. Apa kata kita menjamu selera dulu? Makan malam pun dah siap tapi maaflah, kali ni katering yang masak sebab saya tak larat nak masak banyak-banyak."
"Eh, tak apa, tak apa! Susah-susah aje sampai tempah katering."
"Alah, bukan selalu pun!" balas Encik Adi, menepuk bahu Encik Harun.
Satu-per satu daripada mereka bangun. Sedang mereka menuju ke ruang makan, Arjuna menanti Embun untuk bangun agar dapat pergi bersamanya. Tiba-tiba, Embun yang tidak berganjak dari tempatnya, bersuara.
"Kau orang nak apa sebenarnya?"
Semua kepala tertoleh ke arahnya.
"Kami nak lawat Embunlah. Dah lama kita tak jumpa. Mestilah kami nak tahu Embun sihat ke tidak." Puan Kalsom memaksa senyum.
"Tak payah nak tipulah!" bentak Embun, dadanya naik turun dengan laju.
"Nak lawat saya? Masa arwah abah saya dalam bilik bedah, kau orang pergi mana? Masa jenazah arwah abah saya dimandikan, kau orang pergi mana? Pernah terfikir nak lawat saya masa tu? Pernah terfikir nak ambil tahu saya okey ke tak masa tu?"
Arjuna menatapnya tak berkerdip. Air mata yang bercucuran di pipi Embun meremukkan hatinya. Betapa hebatnya sepasang mata itu menyembunyikan duka yang bersawang dalam hati selama ini.
"Ingat saya tak tahu ke kenapa mak long datang sini?" Embun akhirnya bangun. "Mak long nak duit, kan?"
Puan Kirana tertunduk dan Encik Adi berdehem kekok. Sebenarnya, mereka pun dapat menghidu niat keluarga Puan Kalsom itu. Cumanya mereka masih tahu adab bersopan santun. Tidak salah memberi layanan yang baik. Andai betullah Puan Kalsom datang untuk meminta wang, pasti mereka akan tolak dengan cara yang baik juga.
"Embun! Kau jangan nak tuduh aku sebarangan ya?" Jari dituding.
Seluruh muka Puan Kalsom berbahang. Masakan tidak malu bila niat sebenarnya diungkapkan oleh Embun di hadapan semua orang seperti itu. Lebih-lebih lagi di hadapan orang ada-ada seperti keluarga Encik Adi. Di mana dia harus menaruh muka yang sudah dicalit dengan arang?
"Tuduh apanya?!" Embun mula hilang sabar. "Kalau kau orang datang sini semata-mata nak duit, baik kau orang balik ajelah. Saya tinggal kat sini pun atas simpati orang. Arwah abah tak tinggalkan apa-apa harta untuk saya. Rumah ni pun bukan milik saya! Saya minta tolong sangat kat mak long, jangan ganggu saya lagi. Tak perlu nak lawat saya lagi. Saya tak perlu belas kasihan keluarga mak long."
"Kau ni memang tak kenang budi, kan?!"
Puan Kalsom maju ke hadapan tetapi dihalang oleh suaminya. Suasana semakin tegang. Sekelip mata, situasi bertukar keruh.
"Kau lupa ke dulu, keluarga aku yang tolong kau dengan abah kau yang tak guna tu?!"
"Tolong?!" Embun tertawa sinis. "Kalau dulu mak long tolong kami yang sebatang kara, mungkin abah saya masih lagi ada kat sini."
Nabila menoleh ke arah kanannya, di mana Embun berada. Kata-kata terakhir Embun itu membuatkan dia tertunduk malu, terpempan. Walaupun ibu dan abahnya sering kali memarahinya, tak pernah terlintas dalam fikirannya untuk menghajati kepergian mereka. Dia mungkin belum merasai kehilangan sesiapa kepada Ilahi, tetapi dia faham apa yang Embun mungkin rasakan ketika itu.
Untuk reda dengan kepergian seseorang bukanlah sesuatu yang mudah. Di hadapan semua orang, berjaya meyakinkan diri bahawa diri baik-baik saja. Kemudian pintu tertutup rapat dan jarum jam menuding ke nombor 3 dengan bumi ditelan kegelapan, topeng ditanggalkan.
Oh, rupanya diri ini tidak baik-baik saja.
Rupanya kehilangan masih terasa.
"Juna?" panggil Embun dengan nada terketar.
Arjuna menatap mata hazel dengan tompok putih itu. Tak perlu mendengar sepatah kata lagi daripada Embun, Arjuna terus menarik tangannya. Memimpinnya pergi jauh dari situ. Bersama-sama.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Com