Truyen2U.Net quay lại rồi đây! Các bạn truy cập Truyen2U.Com. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 13

BATU buntar bercahaya di bawah sinaran rembulan. Tangan gadis berbaju kurung polos dipimpin kemas. Sekejap-sekejap dia melihat ke bawah, memastikan jalan yang mereka ambil selamat untuk dilalui. Maklumlah, malam gelap-gelita seperti itu, apa-apa pun boleh berlaku.

Suara tetamu yang datang diundang untuk menghadiri makan malam bersama mereka malam itu kian memudar. Nafas lega si jejaka hembuskan. Baguslah kalau mereka semakin jauh daripada manusia toksik itu. Harapnya, itu dapat menenangkan sedikit hati retak seribu milik gadis yang jalan berdampingan dengannya.

Tiba-tiba, Embun merencatkan langkahnya. Arjuna lantas menoleh ke sebelah untuk memastikan Embun baik-baik saja walaupun hakikatnya, dia tahu Embun merasakan yang sebaliknya. Di luar, dia kelihatan tak terkesan. Di dalam? Siapa yang tahu? Saat-saat begitulah yang membuatkan Arjuna berharap kekurangannya digantikan dengan kuasa membaca fikiran. Sekurang-kurangnya bolehlah dia merungkaikan isi fikiran Embun yang berselirat.

Embun menarik tangannya. Arjuna tertunduk dan merenung tangannya yang tidak lagi menggenggam apa-apa. Kehangatan yang dirasakan untuk hampir sepuluh minat hilang begitu saja. Tangannya kosong dan dingin, membangkitkan perasaan aneh. Seolah-olah menyayangkan sesuatu, kehilangan sesuatu.

"Terima kasih," ucap Embun.

Arjuna kembali mendongak dan gadis itu sudah melabuhkan punggung pada gazebo. Arjuna tersenyum kelat. Tangan yang kosong dia selukkan ke dalam saku celananya. Cuba untuk kelihatan bersahaja meski Embun tidak dapat melihatnya. Kemudian, tanpa berkata apa, Arjuna pun menghenyakkan punggung di samping Embun. Kakinya yang panjang diunjur jauh ke hadapan dan disilang.

"Mesti awak terkejut, kan?"

Arjuna menggaru kepala. Terkejut... Sejujurnya, dia lebih dari sekadar terkejut. Dia tidak menyangka seseorang yang lemah-lembut seperti Embun mampu berubah 180 darjah seperti tadi. Tiada lagi keayuan dalam suaranya yang naik seoktaf dengan setiap kata yang dilontar, tiada lagi senyuman manis di wajah dengan setiap jalur keretakan pada hati.

Tempoh perkenalannya dengan Embun tidaklah selama mana. Tambah-tolak sebulan. Tapi apa yang dia tahu, Embun yang tadi, bukanlah Embun yang dia sedang cuba untuk kenali hati budinya. Namun tak mengubah fakta dia bersyukur dapat melihat sisi lain Embun. Bersyukur kerana Embun tidak cuba untuk berselindung di sebalik imej gadis ayunya.

Tidak semua orang berani untuk menunjukkan sisi buruk mereka ketika amarah meluap dalam diri dan Arjuna adalah salah seorang daripada golongan itu. Ada saatnya, Arjuna juga merasakan emosi yang keterlaluan. Namun setiap kali saat itu datang, dia bersembunyi dalam cangkerang. Takut untuk menunjukkan sisi buruknya kepada dunia.

Bukan kerana risau dia akan berakhir melukakan orang lain, tetapi dia tahu, lama-kelamaan, letusan emosi itu akan memakan dirinya. Banyak hal dalam hidup ini tidak abadi dan kelegaan juga bukanlah sesuatu yang akan kekal buat selamanya.

Kita manusia. Manusia dan sesalan berpisah tiada. Lambat-laun, kata-kata yang diucapkan ketika sedang marah akan datang menghantui semula. Arjuna takut akan saat datangnya sesalan itu.

"Keluarga saya memang gila sikit. Suka jerit-jerit." Embun memaksa tawa.

'Keluarga mana aje yang tak gila?' Arjuna tersenyum sinis.

"Kadang-kadang saya cemburu dengan awak, Juna." Embun memejam matanya dan mendongak ke langit malam. "Awak kira bertuah tahu? Sebab dilahirkan dalam keluarga yang normal, penuh kasih sayang, aman damai."

'Normal? Aman damai?'

Nampaknya, banyak lagi yang Embun belum tahu darihal keluarganya. Penuh kasih sayang? Ya. Arjuna akui dia tidak pernah merasa diabaikan. Kasih sayang yang dicurahkan ke atasnya melimpah-ruah. Lebih-lebih lagi kerana dia anak tunggal. Seluruh perhatian tertumpu kepadanya setiap waktu. Katakan, dalam bentuk apa saja kasih sayang hadir, dia memilikinya. Dia mampu mendapatkannya.

Normal? Arjuna faham dari mana Embun memetik kata 'normal' untuk menjelaskan keadaan keluarga mereka. Setiap pagi, tengah hari dan malam, mereka akan duduk semeja dan makan bersama.

Mereka akan bertukar beberapa soalan tentang hari mereka dan setelah makanan di atas pinggan habis, perbualan mereka pun tamat. Di mata orang lain, itulah erti normal. Sebuah keluarga meluangkan masa bersama dan berbual dengan tenang tetapi tidak di mata Arjuna.

Bertikam lidah di hadapan rezeki, berebut nugget terakhir, si sbang yang sengaja menumpahkan kuah kari ke dalam jus oren si adik—hal-hal yang kelihatan biadab, hal-hal itulah yang normal di mata Arjuna.

Seharusnya sebuah keluarga yang normal, memiliki saat-saat seperti itu. Ditemani huru-hara, riuh-rendah, hiruk-pikuk. Bukannya ditemani oleh muzik klasik dari ruang legar rumah dan perbualan serius di antara tiga orang. Menjadi anak tunggal juga ada kekurangannya.

Akhir sekali, aman damai. Aman damai sudah lama lesap dari hidup Arjuna. Sejak peristiwa beberapa tahun lalu yang meninggalkan titik hitam dalam sejarah hidupnya, Arjuna tidak lagi mengenali erti sebenar hidup dalam keamanan dan kedamaian. Setidaknya, tidak ketika dia cuba untuk melelapkan mata. Mimpi ngeri bukan tanda kedamaian, betul?

"Mak long kakak arwah abah. Lepas opah meninggal, baru tahu opah wasiatkan rumah kat kampung kat arwah abah. Mak long tak boleh nak terima sebab dia anak sulung."

Arjuna diam. Memasang telinga.

"Abah tak suka gaduh-gaduh. Abah pun bagilah rumah tu kat mak long. Saya dengan abah pun pindah, cari rumah sewa. Saya tak kesah pun nak tinggal kat mana. Yang penting dengan abah."

Nada suara Embun semakin perlahan. Ayat terakhirnya menambah lagi keretakan hati. Sayangnya, dia perlu meneruskan hidup tanpa seorang abah dan rumah yang dia diami tak akan pernah menjadi 'rumah'.

"Beberapa tahun selepas saya dengan arwah abah pindah, ada masalah kewangan sikit. Abah kerja pemandu teksi tapi pelanggan dah tak ramai macam dulu. Sewa rumah pula dah berbulan-bulan tak bayar. Abah pun minta tolong kat mak long, nak pinjam duit sikit. Mak long tak kasi."

Arjuna mengetap gigi. Dahinya berkerut seribu sementara pandangan dia lontar jauh ke hutan belukar.

"Mak long kata abah pemalas. Asyik nak minta duit aje tapi kerja tak nak. Tapi saya kenal abah saya!" Embun mengesat hujung matanya. "Abah bukan orang macam tu! Abah... abah takkan meminta selagi dia boleh usaha sendiri! T... tapi... tapi..."

Arjuna menoleh ke sisi. Embun sudah tertunduk dengan bahunya bergetar, naik dan turun dengan laju. Esakannya memecahkan bunyi cengkerik yang bersahut-sahutan. Arjuna tergamam.

"Tapi abah tak sihat. Dah tak larat nak kerja," sambung Embun dengan suara terketar. "Tapi sebab tak nak susahkan mak long, abah paksa diri. Pergi awal pagi, balik sebelum subuh. Sampailah hari abah kemalangan."

Embun menggigit bibir. Air mata yang deras membasahi pipi dia kesat dengan hujung lengan baju kurungnya. Arjuna menghembus nafas yang berubah menjadi keluhan kecil.

Hujung kemeja yang diselukkan ke dalam celana, dia tarik keluar. Kancing kemeja dibuka satu-per satu dan kemeja ditanggalkan.

Alis Embun terjongket sedikit apabila kehangatan membaluti tubuhnya yang dingin dek angin malam. Tangannya naik untuk menarik kolar kemeja Arjuna dan hujung jari mereka bertemu. Arjuna lantas menatap mata mata hazel bertompok putih abu-abu itu. Tak berkerdip.

"Terima kasih," ucap Embun.

Arjuna tersentap dan cepat-cepat melarikan tangannya. Kedinginan di hujung jari terasa kembali, cuba untuk dihangatkan dengan menggosok tapak tangan. Memasang muka selamba walaupun kolam hati seperti lautan yang bergelora.

"Maaf pasal malam ni. Saya... tak dapat nak kawal perasaan saya."

Dua ketukan pada lantai gazebo kedengaran. Bibir Embun menguntum senyuman.

"Dan terima kasih juga sebab temankan saya. Saya... rasa lebih tenang bila ada awak."

Pipi Arjuna bera. Dia terkebil-kebil. Buku jari digenggam erat dan...

Tok-tok!

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Com