Truyen2U.Net quay lại rồi đây! Các bạn truy cập Truyen2U.Com. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 4

Bingkai gambar yang tergantung pada dinding direnung dengan kolam mata yang bergenang. Trisya melabuhkan punggungnya di atas katil. Wajah si tua yang terbaring tenat sedang meraba-raba wajahnya jelas terlayar pada ruang mata. Kenangan lebih daripada dua tahun itu seakan-akan tidak pernah padam dari kotak memorinya.

"Trisya! Trisya mana? Trisya!" Datin Paduka Dahlia mengangkat tangannya dalam payah. Matanya kabur tidak jelas memandang persekitaran.

Trisya yang baru sahaja terlelap bingkas bangun. "Trisya sini, tok wan!"

Tangan tua yang berurat itu digenggam. "Trisya kat sini, tok wan!"

"Trisya! Trisya cucu tok wan!" Trisya ditarik rapat ke dadanya.

"Ya, tok wan. Trisya kat sini."

"Mana anak-anak tok wan? Mereka tak datang jenguk tok wan?"

"Mereka baru pulang, tok wan." Trisya berbohong.

Datin Paduka tergelak. "Tok wan dah nak mati pun, Trisya masih nak tipu tok wan lagi. Anak-anak tok wan tu hanya menunggu mama mereka ni mati aje. Semua dah duk tercongak mengira harta."

Trisya menggeleng kepalanya laju. "Tak, tok wan. Semua orang sayang tok wan."

"Panggilkan lawyer Wardah, sayang. Tok wan rasa, tok wan dah tak lama. Mungkin sebulan. Mungkin seminggu. Mungkin sehari..."

"Tok wan! Please jangan cakap macam ni! Tok wan aje yang Trisya ada. Kalau tok wan tinggalkan Trisya, siapa lagi yang..." Trisya membawa tangan Datin Paduka Dahlia ke pipinya.

Hangat tangan wanita itu membuatkan dia tidak sanggup berpisah. Kalau dia boleh bertukar tempat, dia sanggup. Dia penat asyik ditinggalkan sahaja. Allah menjemput arwah Anuar supaya kembali kepada-Nya, Aisyah kejam meninggalkannya di masjid dan Mahani lantang mengatakan bahawa dia adalah anak luar nikah.

"Sebab tu rumah ni akan tok wan serahkan pada Trisya. Supaya kenangan dan memori kita kekal di sini selama-lamanya. Tok wan tak nak harta yang tok wan dan Tok Ki Omar usahakan jatuh ke tangan yang salah."

Trisya sebak. Dia tidak mampu mengeluarkan hatta sebarang perkataan sekalipun. Akalnya sebu. Dari pandangan tok wan terselit satu rasa yang cukup pedih. Lebih teruk daripada azab yang dilaluinya sekarang.

"Kalau tok wan mati, Trisya nikah dengan Pian, ya? Pian aje tok wan yakin untuk tinggalkan dengan Trisya. Hati tua ni percaya Pian akan jaga Trisya. Trisya pun sayang Pian, kan? Hanya dia sahaja yang tok wan percaya. Ingat, Trisya. Jangan percaya sesiapapun selain Pian. Ingat tu, sayang!"

Tok-tok! Pian mengetuk pintu. Sepantas itu, bayang tok wan yang terlantar tenat hilang dari ruang mata Trisya. Tiada lagi bunyi nafas tok wan yang berat untuk bernafas. Tiada lagi bau busuk yang menyengat hingga ke dalam hidung. Munculnya Pian mengganggu kenangannya bersama tok wan.

Trisya berpaling ke belakang. Dia segera keluar dari bilik Almarhumah. Tidak mahu berada di tingkat tiga itu berdua dengan Pian sahaja.

"Betul kau dah nikah dengan pengawal peribadi kau tu?" Pian berpeluk tubuh sambil bersandar pada bingkai pintu.

Trisya angguk malas.

"Tipu! Aku tak percaya! Kau memang pandai hasilkan kad palsu, kan? Aku pernah kantoikan kau dulu... Waktu kau hilangkan smart card library!"

"Ceit!" Trisya tidak sangka jejaka itu masih mengingati cerita lama itu.

"Tapi aku tak boleh nak fikir macam mana kau tergamak cium dia sedangkan kau dengan dia tu bukan mahram!"

Kening Trisya terjongket. "Kau nak aku cium kau ke?"

Pian merenung Trisya tajam. Langsung gadis itu tidak mengenal malu menyoalnya sedemikian.

"Jadi bodoh tak perlukan sijil!"

Trisya mendekati Pian dengan gigi saling berlaga. Pian dengan mulut puakanya itu memang tidak berubah dari kecil.

Wangian yang dipakai oleh Trisya membuatkan Pian menahan nafas. Emosinya tidak keruan. Dia tidak tahu bagaimana perasaan lelaki yang tampak sentiasa serius seperti Haq apabila 'dicabul' oleh Trisya tadi.

"Kau nak cuba tengok apa yang akan jadi dengan saudara-mara kau kalau aku tiba-tiba lari dan tak nak kahwin dengan kau? Maklumlah, aku kan si bodoh! Tapi hairan, kan? Ada juga yang nak kahwin dengan orang bodoh. Kelakarnya!" Trisya mengejek. Dia melemparkan jelingan sebelum berjalan melepasi Pian.

Selangkah... Dua langkah... Kakinya terhenti. Tanpa memusingkan badan, dia melontarkan soalan. "Apa jaminan yang kau akan ceraikan aku?"

"Peratusan saham aku dalam Maju Desa, kau boleh ambil kesemuanya. 1 peratus bukan nilai yang kecil." Pian yakin Trisya tidak akan menolak.

Trisya memejamkan matanya menahan geram. 'Kau memang tak pernah suka aku, kan?'

Sakit dalam hatinya hanya Allah sahaja yang tahu. Trisya benci dengan diri sendiri. Cinta yang pernah hadir untuk lelaki itu sukar untuk dia padam. Dan akhirnya, dia merana sendiri. Lelaki yang dia cintai tidak punya rasa yang sama. Hanya dia sahaja yang bertepuk sebelah tangan.

'Kau bodoh, Trisya. Berhentilah sukakan dia. Tolong! Tolong berhenti! Macam mana kau boleh maafkan aje perangai setan dia waktu dulu?' Hati Trisya menghasut.

"Aku takkan mungkir janji." Pian menutur yakin.

"Deal!" Trisya mengetap gigi. Dia mengangkat tangan dengan simbol jari okey sebelum memijak anak tangga turun ke bawah.

Menghampiri anak tangga terakhir, matanya tertancap pada Rozalia yang sedang menaiki tangga. Ketika mereka berselisih, Rozalia menghulurkan kaki.

'Kau silap langkahlah, sampah!' Kaki kanan Trisya sengaja menarik kaki gadis itu ke atas.

"Arghhh, tolong!" jerit Rozalia apabila dia tidak dapat mengimbangkan diri seperti mahu terjatuh ke belakang.

Trisya memusing-musingkan badannya ke udara lagak ahli gimnastik sebelum mendarat ke bawah.

Bedebuk!

"Aduhhh! Tak guna kau, Trisya!" Rozalia menggosok-gosok punggungnya yang kesakitan.

"Kalau kail tu panjang sejengkal, jangan kau berani duga lautan. Memalukan!"

Pian yang menjadi saksi kejadian itu tergelak perlahan tanpa sedar. Wajahnya diraup seperti tidak percaya bahawa Trisya boleh membuat aksi gimnastik dengan berbaju kebaya.

Pian kagum. Trisya masih lagi fleksibel. Tanpa Pian tahu, Trisya juga mampu melipat badan dan lolos ke suatu tempat yang sempit. Kebolehan hasil adaptasi daripada kisah hidup itu, tidak pernah terjangkau dek akal Pian.

Tidak pernah sekalipun lelaki seperti Pian terfikir bahawa Trisya selalu sahaja menyorok daripada dipukul oleh Mahani. Menyorok daripada dibuli oleh Pian dan rakan-rakan. Semua itu mendera fizikal dan mengajarnya cara untuk untuk bersembunyi.

"Trisya! Trisya! Kenapalah kau selalu buat hati aku ni berdegup secara luar biasa?" Pian tersenyum-senyum sendirian.

Mendengar bunyi orang berlari mendekati ruang tangga, Pian berundur beberapa langkah. Dia tidak mahu ada saudara-maranya yang tahu bahawa dia berada di situ menyaksikan adegan tadi.

"Subhanallah, Lia! Lia, anak aku! Kenapa ni?" Suara Ungku Hazifah cemas.

"Lia jatuh," rengek Rozalia.

Dengan riak wajah tidak bersalah, Trisya mencelah-celah antara mereka lalu melarikan diri dari situ. Melilau dia mencari bayang Haq.

"Cik Trisya!" panggil Haq perlahan. Dia ke tandas tadi. Suhu pendingin hawa yang sejuk membuatkan dia terasa mahu ke tandas.

"Ke mana? Dah, jom blah!"

Haq mengiringi Trisya keluar. "Kereta Cik Trisya tinggalkan kat sini. Saya hantarkan ke rumah cik nanti. Biar saya hantar Cik Trisya pulang. Kan nanti mak Cik Trisya risau cik masih belum pulang."

'Mak nak risau ke kalau aku tak balik ke rumah? Paling kurang, dia kata aku pergi tidur rumah jantan. Bertahun-tahun aku membesar kat luar, dia tak kesah pun ke mana aku pergi.'

"Saya bermalam di kondo."

"Kalau ada apa-apa, Cik Trisya cepat-cepat telefon saya. Saya akan datang seberapa segera."

"Saya boleh jaga diri sendiri. Awak jangan risau."

Trisya membuka tas tangannya apabila terasa gegaran. Telefon yang ditetapkan dalam mode silent itu memaparkan nama 'Ayah' pada skrin.

"Mana kamu tak balik lagi, Trisya? Dah jam berapa dah ni? Dah nak tengah malam! Kamu tu perempuan. Balik lekas! Hati orang tua macam ayah ni tak senang bila anak dara duk berembun lagi kat luar! Maghrib ke mana! Isyak ke mana!" bebel Aluwi, resah.

Kalau Mahani tidak mahu pedulikan anak gadis yang seorang itu, Aluwi fikir dia perlu ambil tahu. Apa-apa pun boleh berlaku. Zaman sekarang, sesiapa pun tidak boleh dipercayai.

Bibir Trisya tersenyum tidak sengaja. Dia tergelak kecil. Bebelan Aluwi itu tidak ubah seperti risaunya arwah Anuar suatu ketika dahulu.

'Allah swt panggil arwah ayah pulang tapi Allah tak kejam. Allah hadirkan seorang ayah persis ayah kepada aku.'

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Com