Bab 5
TERTELAN air liur Ghaus apabila melihat sahabat-sahabat Latifah muncul di gerai mereka. Macam langit dengan bumi, gelaknya dalam hati.
Yang seorang dengan jaket kulitnya persis pelakon Hollywood, seorang lagi macam ketua gengster dan yang perempuan pula dah macam... Ghaus menggelengkan kepala seraya meneruskan kerja membungkus Maggi kari yang dipesan pelanggan.
Dia menjeling Jamil yang masih memasak. Agak sibuk juga mereka malam ini. Rata-rata pelanggan datang untuk membungkus makanan. Ghaus perasan mereka berempat mula menjadi perhatian.
Jamil mengesat dahinya yang berpeluh dengan tuala kecil. Kemudian dicampaknya tuala lusuh itu di penyangkut di tepi penghadang gerai.
Matanya cekap menangkap empat orang pelanggan yang baru tiba di meja berhampiran. Secara tidak sengaja, bertentang mata pula dengan Latifah. Jamil melarikan pandangan lalu menumpukan perhatian kepada pesanan seterusnya.
"Ada menu baru?" soal Hairi.
"Ada. Maggi Dendeng Daging," ujar Ghaus.
Elisa tergelak kecil. "Tak pernah lagi aku dengar menu ni. Biasanya masa raya aje dapat makan dendeng."
"Cubalah, memang sedap!" Ghaus mengasak sambil matanya masih menatap wajah Elisa yang cantik jelita itu.
Elisa tersenyum manis. "Okey, bagi saya Maggi tu satu dengan kopi ais."
"I nak Rosy Cheese Maggi dan air Coke." Kent membuat pilihan.
"Hmmm..."
Elisa mencebik. "Seperti biasa, kau yang paling susah nak oder."
Hairi tergelak. "Kau nak apa, Tipah?"
"Hmmm..."
"Kak Tipah suka Maggi Asam Pedas, kan?" Ghaus menyampuk sambil tersengih.
Latifah menjeling Ghaus sebelum berkata, "Tak naklah hari ni. Bagi Maggi Goreng Ayam aje dengan air sirap bandung."
"Telur mata, tak nak tambah?"
Latifah menggeleng kepala sebelum menoleh ke arah Hairi yang menggaru kepala. Kemudian mengerling pula ke arah Jamil yang sedang tangkas menggoreng sesuatu di dalam kuali.
"Maggi Seafood Carbonara ajelah dan teh tarik kaw satu." Hairi sengih seraya menyerahkan menu kembali kepada Ghaus.
"Makin handsome pula aku tengok Jamil tu," bisik Elisa tiba-tiba.
Latifah membulatkan biji mata. "Handsome? Kau patut pakai cermin mata, Lisa!"
Gadis itu ketawa halus seraya membetulkan ikatan rambutnya lalu ditocang tinggi. Elisa masih memerhatikan Jamil sehinggalah disedari kembali oleh Latifah.
"Kau nak nombor telefon dia ke?" perli Latifah.
Elisa mengenyitkan mata. "Aku suka tengok ajelah. Bukannya nak dia jadi boyfriend."
"Siapa?" Kent tiba-tiba menyampuk setelah meletakkan telefon.
Elisa memuncungkan bibir. "Yang tengah masak tulah."
"Kenapa?"
"Kau rasa kalau dia dengan Tipah, okey juga, kan?"
"Hoi!"
Jeritan Latifah membuatkan Jamil deras berpaling. Gadis itu lantas menutup mulut kerana menyedari tindakannya menyebabkan satu gerai memandang ke arahnya.
Jamil memandang semula kuali berisi kuah asam pedas itu sebelum bibirnya mengukir senyuman kecil.
"Mulut kau ni kan..." Latifah memandang tajam ke arah Elisa.
"Dia smart apa... Tinggi, sesuai dengan kau yang rendah..." usik Hairi.
Latifah menarik muka masam. "Tak naklah, dia kurus."
Kent menyampuk, "Hah, okey dah tu. Dia kurus, kau montel."
Mereka bertiga ketawa. Suka benar mengusik Latifah yang wajahnya mudah merah itu. Elisa sempat menarik pipi Latifah yang gebu sebelum sahabatnya itu menampar pahanya pula.
"Hesy, siapa tu, Tipah? Sejuk betul mata memandang," gumam Elisa.
Latifah memandang ke arah pandangan Elisa. "Oh, tu Imam Hafiz. Imam kampung aku."
"Alamak, segan pula dia tengok sini." Wajah Elisa merah padam sebelum tersenyum malu.
Latifah mencebik. "Oh... Depan imam kau segan, depan Tuhan tak pula?"
Elisa hanya ketawa mendengar kata-kata tajam sahabatnya itu. Acap kali sehingga lali telinganya. Dia faham dengan niat murni Latifah. Bukan tidak ada perasaan untuk berubah tetapi dia mahu lakukannya perlahan-lahan.
"Kopi ais aje? Abang nak pergi mana malam-malam ni, kacak semacam rupanya."
Latifah mendengar soalan Jamil kepada Imam Hafiz. Entah kenapa, dia sengaja pasang telinga sementara mereka bertiga sedang bertelagah tentang isu di tempat kerja masing-masing.
"Abang nak ke KL, ada urusan. Kopi ais kau kan kaw, buat teman di tengah jalan," usik Imam Hafiz.
Latifah senyum dan mengeyakan dalam hati. Kopi ais buatan Jamil memang sangat kaw! Bila syif malam saja, mesti dia dan Fawwaz akan oder buat peneman waktu kerja.
"Berapa lama kau orang nak duduk resort tu?" soal Latifah ketika makanan mereka tiba di meja.
Elisa menarik pinggan berisi Maggi Dendeng Daging sebelum menghidu aromanya yang begitu harum.
"Lusa."
"Untunglah senang ambil cuti," cebik Latifah.
"Jomlah ikut."
Latifah menggeleng. "Susahlah, aku kerja ikut syif."
Kent memandang wajah Latifah. "Sampai bila kau nak kerja dekat sini, Tipah? Tak nak balik KL semula?"
Latifah termenung tiba-tiba. Memorinya datang menggamit sebelum dia mengeluh perlahan. Elisa yang menyedari perubahan Latifah segera menjegilkan matanya ke arah Kent.
Hairi pula menepuk paha Kent dari bawah meja, memberikan amaran supaya tidak menyambung pertanyaan tersebut. Kent yang berasa serba salah, terus berdehem dan menyambung makan.
Latifah tersenyum kecil. "Aku... Aku okey. Tengoklah, kalau ada rezeki. Dahlah, jom makan cepat. Nanti gerai nak tutup."
Mereka bertiga makan tanpa berbual lagi. Ghaus sibuk mengemas meja-meja kosong dan menyusun kerusi. Jamil pula mengemas di bahagian dapur.
"Alhamdulillah, kenyang." Hairi menepuk perut sebelum menarik muk.
"Tak jadi aku nak singgah beli burger tepi jalan tu," ujar Kent.
Elisa menggeleng kepala. "Kau bela saka ke, Kent? Nafsu makan melampau."
Hairi ketawa sementara Kent mengerutkan dahi sebelum bertanya, "Saka? Saka tu apa? Sejenis haiwan?"
"Saka tu hantu!" Elisa berkata dengan agak kuat.
Merinding bulu roma Latifah apabila angin tiba-tiba saja bertiup kencang. Dedaunan pokok-pokok berhampiran gugur dan masuk ke dalam gerai.
Bunyi dentuman atap-atap zink daripada kampung berhampiran menimbulkan bunyi aneh yang hanya membuatkan mereka berempat berpandangan.
Latifah mengerling ke arah stesen minyak, tempat dia bekerja di seberang jalan. Dari jauh dia ternampak Fawwaz, pekerja syif malam keluar dari pintu kedai lalu berdiri di hadapan.
Tegak, tidak bergerak langsung. Latifah menelan air liur sebelum angin menjadi kencang semula.
"Nak ribut kut..." Elisa menyedapkan hati walaupun tubuhnya juga menjadi seram sejuk.
"Tulah, kau gatal lagi sebut pasal hant..."
"Argh!"
Tiba-tiba saja lampu gerai terpadam dan jeritan nyaring Elisa kedengaran sangat mengerikan pada pendengaran mereka. Latifah menampar lengan Elisa yang terkejut.
"Hoi! Istighfar sikit!" Hairi menempik.
"Sabar, sabar... Blackout ni," ujar Jamil yang tiba-tiba muncul di sisi meja mereka.
Elisa mengeluh berat sambil meraba dadanya yang berasa sesak. Menyesal sungguh dia menyebut tentang saka dan hantu tadi. Dia lantas merapati Latifah yang terkumat-kamit membaca sesuatu.
"Kenapa aku rasa lain macam..." Elisa menguatkan pegangan di lengan Latifah.
Latifah cuma mendiamkan diri. Malas untuk memberitahu Elisa tentang kawasan depan stesen minyak yang mempunyai tanah lapang tetapi penuh semak-samun itu sebenarnya agak keras.
Beberapa saat kemudian, lampu terpasang semula dan mereka berempat menarik nafas lega. Latifah memandang Jamil yang keseorangan di dapur sebelum lelaki itu menuju ke arah meja mereka semula.
"Dah okey ke kalau saya nak angkat mangkuk-mangkuk ni? Gerai dah nak tutup," kata Jamil sebelum membuka topinya lalu diterbalikkan dan dipakai semula.
"Dah, tak apa. Kami tolong bawakan sekali." Hairi segera bangun lalu membantu Jamil.
"Mana Ghaus?" Latifah bertanya.
Mereka bertentang mata. Jamil terkelu sekejap. Seingatnya, inilah kali pertama Latifah bertanya lembut kepadanya setelah bertahun hubungan mereka dingin.
"Dah balik," ujar Jamil dengan cepat sebelum melarikan pandangan.
Latifah cuma mengangguk. Dia sendiri terkejut apabila tiba-tiba saja dia mengutarakan soalan itu kepada Jamil. Latifah menoleh ke arah Elisa dan baru dia perasan wajah sahabatnya yang pucat.
"Kau tidur dengan aku kan, malam ni?"
Latifah sengih. "Jom pergi 7-Eleven, beli jajan. Kita borak sampai pagi. Atau kau nak beli burger macam Kent juga?"
Usikan Latifah membuahkan hasil apabila Elisa terus mengukir senyuman lebar. Latifah lega. Risau kalau-kalau Elisa tidak dapat mengawal perasaan takutnya, lebih-lebih lagi waktu telah menginjak ke tengah malam.
"Aku nak burger double special cheese daginglah! Kita singgah beli air Coke, aiskrim dengan roti!" Elisa berkata girang.
Kent melopong. "Kau nak berparti sampai pagi ke?"
Latifah mencubit perlahan pipi Elisa. "Untung kan kau? Makan selori, badan masih sepapan."
Elisa dan Kent ketawa besar. Latifah tersenyum. Bahagia melihat sahabat-sahabatnya tersenyum girang. Dia mengerling Hairi yang masih rancak di dapur dan berbual dengan Jamil sambil membasuh pinggan.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Com