Bab 5
"ESHAL ELZAHRA!" Panggilan itu buatkan langkah kaki Eshal mati. Ketika itu, dia sedang berdiri di anak tangga kedua untuk naik ke bilik. Penat, baru pulang dari kerja.
Eshal menoleh ke arah suara itu. Kelihatan seorang lelaki beruban sedang berjalan ke arahnya. Meskipun bertongkat, tetap nampak aura hebatnya. Terus Eshal merengus dalam hati. Terserempak pula dah!
"Balik pun kamu." Suara itu meskipun bernada serius, terselit rasa puas hati.
Eshal mencebik dalam hati. Dia sendiri tak tahu kenapa dia ikutkan juga akhirnya arahan datuknya itu. Mungkin sebab dia kenal datuknya siapa. Kalau bukan rela, paksa. Tunggu saja datuknya petik jari, tak sampai sejam dia kena sumbat masuk Alphard putih. Jadi, daripada kena heret balik, lebih baik balik sendiri dengan penuh bergaya.
"Ya, Eshal dah balik! Puas hati?" balas Eshal mendatar. Sudah hampir dua bulan dia tidak menjejakkan kakinya ke rumah agam ini. Namun, entah kenapa firasat mengatakan dia bakal menyesal. Jarang datuknya itu tidak mempunyai motif lain.
"Bagus. Malam ni kita ada tetamu," kata Tan Sri Ghazi pula.
Terlalu awal prasangka Eshal menjadi nyata. Dia mendengus kasar. Wajahnya juga berkerut tanda tak puas hati.
"Atuk ni tak habis-habis lagi ke?" soal Eshal geram. Tak perlu datuknya jelaskan. Dia tahu sangat siapa 'tetamu' datuknya itu. Ini tak lain tak bukan. Segmen cari jodoh BaitulJannah, BaitulMuslim, baitulmal dan segala jenis baitul lagi dah bermula. Entah lelaki mana pula yang dia kutip kali ni? Makin advanced nampaknya! Selalu makan malam diatur di luar. Tapi kali ini, siap disambut di rumah.
"Selagi kamu belum kahwin, selagi itulah atuk tak akan berhenti."
"Oh, ya? Sampai sanggup jadikan Eshal isteri ketiga orang?" sinis Eshal geram.
Masih teringat lagi. Calon terakhir sebelum ini rupa-rupanya sudah berkahwin. Dua kali di Siam. Bila dah kantoi, mula-mula memang rasa nak terajang sampai pupus keturunan jantan itu. Tapi Eshal lebih gembira. Gila tak gembira terlepas mulut buaya? Tapi lain pula reaksi datuknya. Marah dah tentu.
Siapa suruh cari lelaki lembut gigi dari lidah? Spesies yang lebih elok tak membiak!
"Kali ini lain. Atuk yakin dia memang baik, dari keturunan baik. Kamu pun mungkin akan suka dia nanti." Suara penuh yakin. Buat tak dengar saja dengan sindiran cucunya itu.
Eshal tahu calon yang dibawa datuknya itu bukan sembarangan. Latar belakang hebat-hebat. Namun, kenapa beberapa kali pencubaan datuknya gagal? Mudah! Alasan klise, tiada jodoh. Dah tentulah dia yang pastikan mereka tak berjodoh.
Sebab dia tak berminat! Dah berapa kali dia cakap kepada datuknya yang dia tiada hati untuk berkahwin. Tapi datuknya itu hanya masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Dah nak mula nyanyuk barangkali!
"Atuk, Eshal dah cakap Eshal tak nak kahwin lagi!" Entah kali berapa Eshal tegaskan.
Bukan tak nak lagi, tapi memang tak nak langsung. Titik! Bila datuknya nak berhenti?
"Kamu tu dah tua, Eshal. Tahun ni dah tiga puluh tahun. Susah sangat ke kamu nak berumah tangga?"
Itu sajalah modalnya. Jenayah dunia ke kalau perempuan masuk tiga puluhan tapi belum berkahwin? Atau ada ura-ura paksi bumi akan senget beberapa darjah kalau dunia ni penuh dengan golongan andartu? Andartu ni habiskan beras rumah dia orang ke?
"Kenapa kamu tak suka dengan calon-calon atuk sebelum ni? Nak kata ada boyfriend, tak ada. Ada kawan lelaki kat tempat kerja pun, kamu buat gaduh."
Tikus mondok mana yang bawa mulut kepada datuknya ini? Jumpa kat dia nanti, memang kasi telan brodifacoum setengah kati.
Eshal hanya tadah telinga mendengar datuknya sambung membebel. Panas telinga. Datuk dia ni dah macam golongan mak-mak bila pasal kahwin. Dulu datuknya tak pernah kesahkan tentang dia. Kenapa sekarang lain pula? Datuknya itu makin bertegas dengannya, lebih daripada Kirana, kakak tirinya yang merangkap cucu kandung datuknya. Takut sangat Eshal menconteng arang ke mukanya agaknya.
"Kamu cakap dekat atuk. Ke kamu ni suka kaum sejenis?"
Angguk karang, ada juga yang kena cardiac arrest. Siapa suruh meragui seksualitinya?
"Mana adalah. Eshal just tak nak kahwin. Marriage is not for me."
"Ada pula macam tu? Kahwin ni untuk hidup berteman. Dapatkan zuriat. Biar ada yang jaga bila dah tua nanti."
"Tak perlu. Eshal dah rancang nak duduk rumah orang-orang tua. Dah mula menabung dari sekarang. Sekarang ni dah ada rumah orang tua untuk golongan T20. Ada orang tolong jagakan dengan layanan VVIP."
"Haish, budak ni! Mengarut! Atuk tak peduli. Ikut cakap atuk. Malam ni, turun! Pakai cantik-cantik. Ini arahan. Jangan nak ingkar!" Tan Sri Ghazi yang makin panas hati berkata sebelum dia pusing meninggalkan tempat itu. Kena cari blood pressure monitor gamaknya. Berdebat dengan cucunya yang seorang ini selalu bikin tekanan darahnya naik. Dia tak tahulah Eshal memang serius atau sekadar mahu menyakitkan hatinya.
Eshal pula merengus lagi. Itu saja modalnya. Arahan! Arahan! Huh! Tapi yang anehnya, dia tetap akan ikut juga.
Eshal sambung panjat tangga. Kakinya dihentak-hentak pada permukaan marble itu sebagai tanda protes. Marahkan datuk, tapi kakinya yang dapat sakit. Silap langkah, mahu tergolek. Tapi, elok juga! Jadi, tak payahlah dia jumpa tetamu kehormat a.k.a calon suami tak jadi dia itu.
HAMPIR pukul lapan setengah malam, Ardean bersama abangnya tiba di sebuah banglo yang terletak di ibu kota. Mereka disambut oleh pasangan suami isteri. Kemudian, kelihatan seorang lelaki yang lebih tua tersenyum lebar berjalan ke arah mereka. Dan Ardean tahu, inilah si tukang jodoh a.k.a bekas pesakit abangnya itu.
Ardean hanya mendengar mereka berbasa-basi dan ketawa. Mana bakal kakak ipar tak jadinya? Teringin juga Ardean nak tengok orangnya macam mana. Siapa tahu pertemuan kali ini membuahkan hasil? Kut la puteri kayangan yang abangnya tunggu itu sebenarnya terperangkap di sini.
Ketika itulah Ardean nampak satu kelibat muncul dari arah belakang lelaki tua itu. Sedang menuruni tangga. Sebaik sahaja melihat wajah wanita itu, mulut Ardean sedikit ternganga. Wajah yang cukup dikenalinya walaupun tak sampai seminggu mereka berkenalan. Ternyata wanita itu juga sama. Terhenti seketika langkahnya sebelum kembali mengatur langkah ke arah mereka.
"Datang dengan siapa ni?" Pertanyaan itu menjengah halwa telinga Ardean. Dia tahu dirinya yang dimaksudkan.
"Oh, ini adik..."
"Kawan!" Mulut Ardean laju memintas. Dia pandang abangnya. Nufail bermuka blur.
"Adik kawan?"
"Haah, ya! Adik kawan. Abang dia kawan baik saya." Nufail masih bingung tapi lancar saja dia berbohong. Memahami isyarat telepati daripada adiknya itu. Buat hal la kau, dik!
"Boleh panggil saya Ardean." Ardean memperkenalkan diri. Senyum manis kepada semua yang berada di situ.
Dia sendiri tak tahu kenapa dia tak mahu dikenali sebagai adik Nufail. Melihat cik ketua editor di hadapannya buatkan laju saja otaknya bertindak. Mungkin juga sebab tiada siapa yang mengetahui latar belakangnya di tempat kerja. Semua hanya kenal dia sebagai A.T, si budak intern, tua-tua tak habis belajar lagi tanpa siapa tahu sebabnya. Ardean belum bersedia untuk bersoal jawab tentang salasilah keturunannya pula. Kalau boleh, dia mahu kekalkan semua itu sehingga dia tamat latihan industrinya.
"Haaa... Ini pun dia! Kenalkan cucu atuk, Eshal. Ini Nufail dan Ardean." Eshal yang baru muncul diperkenalkan.
"Hai, Eshal! Saya, Nufail. Selamat berkenalan." Dah memang dalam genetiknya sebagai seorang doktor, memang ramah Nufail menegur.
"Eshal." Eshal tetap membalas sepatah meskipun dengan wajah serius.
Bila pandang Ardean, ekspresi lelaki itu seperti yang selalu dilihat. Senyum manis. Dia tak tahu harus memberi reaksi apa apabila melihat anak buahnya yang baru berpisah beberapa jam yang lepas di tempat kerja kini muncul di bawah bumbung rumah keluarganya.
"Ayah, jemputlah tetamu-tetamu ayah ke meja makan dulu. Makan malam dah siap. Nanti sejuk, tak sedap. Kita sambung borak-borak lepas ni." Belum sempat Eshal berkata apa-apa, ibu tirinya mempelawa.
"Jomlah, Nufail, Ardean! Kita makan malam," ajak Tan Sri Ghazi pula. Mengarahkan orang gaji untuk mengiring tetamu ke ruang makan. Sempat dijeling ke arah cucunya di sebelah. Puas hati. Nasib baik dengar cakap dia malam ini.
Sementara itu pula, sambil melangkah ke ruang makan, Nufail mendekati adiknya.
"Kau apa hal?" soal Nufail dengan nada berbisik. Menagih jawapan untuk apa yang jadi beberapa minit yang lepas.
"Eshal tu bos kat tempat kerja aku," jawab Ardean.
Wajah Nufail sedikit terkejut. Really? Dia juga tak sangka. Kebetulan atau suratan?
"Dia..."
Ardean pantas angguk.
"So, untuk drama cinta kau malam ni, tolong jangan libatkan aku." Sempat dihadiahkan satu jelingan kepada abangnya. Nak beri amaran kononnya.
Tapi Nufail hanya senyum misteri.
"Tak janji."
Suasana di meja makan hanya tenang. Mereka semua hanya bertujuh. Tapi entah kenapa Ardean rasa ada ketegangan menular di atmosfera. Atau mungkin hanya dia yang rasa, gara-gara aura Si Elsa The Snow Queen yang duduk berhadapan dengannya. Dia masih tak sangka wanita itu yang cuba dijodohkan dengan abangnya.
Kecil betul dunia ni! Tapi, membayangkan Eshal dengan abangnya...
Haish, tak boleh jadi ni! Macam tak kena aje!
"Lama tak jumpa Nufail. Kali terakhir dulu masa follow up lutut ayah. Lepas tu, Nufail tukar tempat kerja, ya?" Datin Hasnita bertanya. Doktor muda itu bukanlah seseorang yang asing untuk keluarga mereka.
Eshal cuma mendengar. Sekarang dia dah tahu dari mana datuknya sauk calon suaminya untuk kali ini. Bekas doktor dia rupanya. Datuk sungguh bahaya sekarang. Rasanya mana-mana teruna yang lalu di sebelah dan ada potensi untuk jadi bakal suami Eshal akan dimasukkan terus dalam senarai. Lebih dahsyat, escort terus ke rumah, macam sekarang.
"Saya memang bukan staf tetap di situ, auntie. Hanya clinical posting untuk beberapa bulan. Saya dalam latihan untuk menjadi pakar ortopedik masa tu."
"Kiranya sekarang ni, dah bergelar doktor pakar la, ya?"
"Alhamdulillah, auntie. Saya pun baru beberapa bulan bergelar pakar secara rasmi. Masih banyak lagi yang saya kena belajar." Dengan merendah diri, Nufail menjawab.
"Wah, bagus kamu, Nufail! Muda-muda lagi dah jadi pakar. Bukan senang nak jumpa pakar yang masih muda." Suara penuh rasa bangga dan kagum. Datang dari Datuk Huzaini pula.
Nufail hanya senyum. Ya, dia memang dikira antara yang termuda sebagai doktor pakar. Ramai saja pegawai perubatan muda yang mahu menjadi pakar. Tapi untuk melepasi syarat-syarat yang ditetapkan bukan senang. Ada tapisan yang ketat. Lebih-lebih lagi untuk hospital kerajaan. Kuota untuk setiap pengambilan pun bukan banyak.
"Orang tua kamu tinggal kat mana? Masih kerja lagi?" soal Datuk Huzaini. Dia mahu tahu latar belakang anak muda itu.
"Petaling Jaya, uncle. Ya, mereka masih bekerja." Nufail rumuskan seringkas mungkin.
"Nufail ni anak Doktor Mahani dan Dr. Ar. Abdul Nuqman," celah Tan Sri Ghazi.
"Oh, ya? Maksudnya, kamu anak pemilik Estoria Specialist Medical Centre. Doktor Mahani sekarang ni masih lagi vice president ke?" Penuh keterujaan suara Datin Hasnita. Dia kenal dengan wanita hebat itu.
Nufail hanya senyum dan angguk.
"Dr. Ar. Abdul Nuqman? Uncle kenal ayah kamu. Arkitek Malaysia yang terpilih untuk design reka bentuk salah satu masjid besar di Mekah lebih kurang dua puluh tahun yang lepas. Sekarang masih kerja di syarikat sama ke?"
"Ayah berhenti beberapa tahun lepas tu. Buka firma sendiri. Tapi dah pilih untuk pencen tahun lepas. Sekarang ni jadi pensyarah kontrak di Taylor's University. Ajar postgraduate," jawab Nufail.
Ardean di sebelah hanya tenang sambil menghiris ketulan daging kambing yang penuh juicy itu. Diam sambil pasang telinga. Angguk-angguk kepala. Makin naiklah saham abangnya itu.
"Adik-beradik kamu? Kamu ada berapa orang adik-beradik?" soal Datuk Huzaini lagi.
"Saya ada tiga orang adik-beradik. Dua lelaki, seorang perempuan. Saya yang sulung. Yang kedua, adik perempuan, doktor estetik. Dia sekarang uruskan klinik kecantikan sendiri di Sri Hartamas." Nufail hanya jujur.
"Wah, nanti beri auntie contact number adik Nufail tu! Bolehlah auntie cuba rawatan di klinik dia pula nanti." Begitulah wanita. Teruja bila bab-bab kecantikan ni.
Nufail ketawa perlahan. Nampaknya adiknya itu dah punya potensi klien baru.
"Insya-Allah boleh, auntie."
"Yang bongsu pula kerja apa? Doktor juga?" Kali ini dari Tan Sri Ghazi pula.
Tiba-tiba Ardean rasa macam tak berapa nak lepas daging kambing yang lalu esofagusnya. Pantas minum air sebelum dia tersedak di situ. Berdebar kerana secara teknikalnya dirinya yang dimaksudkan lelaki tua itu.
"Tak, dia bukan doktor." Nufail tenang menjawab. Kemudian teringat sesuatu.
"Eh, kejap! Lupa pula. Secara teknikalnya, dia pun doktor juga sebab dia baru habis PhD in Physics," sambung Nufail sebelum ketawa pendek bagaikan ada sesuatu yang lucu.
"Oh, doctorate! Lari bidang ya adik bongsu kamu. Tak macam abang dan kakak dia."
Kata-kata itu buatkan Nufail automatik menoleh ke sebelah.
"Kalau dah otak Einstein, perangai dia memang lain dari yang lain. Anak bongsu pula tu. Memang senang aje la ibu dan ayah nak ikut kepala dia. Anak emas la katakan." Mendatar suara Nufail walaupun sedang menyindir Ardean. Kenyataan yang satu keluarganya sudah tahu.
Ardean yang dengar rasa hanya mencebik dalam hati. Memang tak dinafikan dia anak emas. Kira okeylah dapat mandat tu sebab dah asyik kena buli dengan adik-beradik yang lain. Dahlah pakaian masa kecik-kecik dulu pun hasil sedekah abangnya saja. Jadi tak peliklah kalau sampai ke besar dia asyik rembat harta benda abangnya. Haha.
"Eh, asyik cerita pasal saya saja! Kita cerita pasal Eshal pula. Dari tadi asyik senyap saja." Nufail mengubah topik secara berhemah.
Pandangan dikalihkan ke arah Eshal. Wanita itu tak bersuara dari mula makan lagi. Wajahnya juga serius, macam yang adiknya selalu cerita.
"Nak tahu apa pasal saya?" soal Eshal seperti orang yang tak punya jiwa.
Tak ada yang menarik pun. Hanya perempuan tua yang sibuk dicarikan jodoh sebab takut esok lusa dah nak menopaus. Tak pun mampus. Bibirnya hampir saja menghamburkan kata-kata itu. Andai saja Ardean tiada di situ.
Dia pun tak tahu kenapa kewujudan Ardean buatkan dia lebih menjaga perilakunya. Mungkin sebab dia tak mahu Ardean bawa mulut ke pejabat nanti. Cerita dia biadab dengan tetamu bukanlah sesuatu yang harus dibanggakan walaupun hakikatnya itu dilakukannya semata-mata untuk buatkan lelaki yang cuba dijodohkan dengannya itu meluat dengannya. Ini Ardean tahu dia diaturkan jodoh pun rasa macam nak menyorok di dalam almari. Nampak sangat tak laku tapi terdesak.
Tambahan pula, dia nampak Nufail baik orangnya. Air muka Nufail tenang dan kelihatan seperti orang yang bertanggungjawab. Dia juga tidak sombong dan sopan. Patut saja datuk yakin tadi. Markah untuk Nufail mungkin akan jadi lima per lima andai saja dia bukan diperkenalkan oleh datuk. Oleh sebab itu, DNA memberontak Eshal terus jadi dominan. Auto dia bagi kosong.
"Ardean cakap Eshal bos dia. Wah, seronoknya kalau ada bos yang cantik macam Eshal! Patutlah tiap-tiap hari Ardean semangat nak pergi kerja."
Okey, dari kosong kini jadi negatif sepuluh! Dipandangnya Nufail macam nak kasi tembus meskipun lelaki itu senyum manis tanpa rasa bersalah. Bagaikan tak terkesan.
Ardean pula rasa nak pelangkung kepala abangnya. Pertama, sesedap oren aje timbulkan isu tempat kerja. Kedua, sengaja cari nahas! Tengok muka Eshal umpama tercekik arsenik itu, dia tahu Eshal tak suka. Bukannya dia tak pernah cerita Eshal jenis macam mana.
Abang memang sengaja...
"Oh, really?" Tan Sri Ghazi sedikit terkejut dengan kenyataan itu. Patut saja mata tuanya sempat perasan dua orang itu sesekali saling berpandangan.
"Ya, Eshal dan Ast... Ardean memang kawan sepejabat. Satu tim. Kenapa? Lepas ni, atuk nak jadikan dia calon seterusnya untuk Eshal pula ke?" Selamba Eshal berkata.
Sunyi. Sebelum Datin Hasnita ketawa. Buat-buat ketawa. Namun ketawanya janggal buatkan suasana janggal makin janggal jadinya.
"Kelakarlah kamu ni, Eshal. Ada ke patut cakap macam tu depan Nufail dan Ardean." Sempat dijeling amaran kepada Eshal. Budak ni, kalau tak memalukan keluarga, tak sah!
Eshal buat selamba. Pisau menghiris daging kambing yang dicucuk garpu dengan penuh elegan. Tanpa rasa bersalah.
"Betul apa? Kira okeylah Eshal dah siap cadangkan calon seterusnya. At least Eshal dah kenal dia. Dengan Doktor Nufail belum tentu ada jodoh. Betul tak, doktor?" sinis Eshal.
"Hmm... kalau dengan Ardean, saya tak nampak apa masalahnya. Ardean pun baik budaknya. Tak mustahil pun kalau Eshal suka dia nanti." Nufail angguk-angguk kepala. Gelas tinggi yang mengandungi air putih itu dicapai, lalu disisip perlahan untuk menyembunyikan senyuman yang merekah.
Ardean di tengah-tengah hanya tenang habiskan makan. Sesekali geleng kepala dengan muka penuh pasrah. Psychological war. Dia tahu itu cuma taktik nak lepaskan diri mereka. Dua-dua dah bagi hint dan gambaran arah tuju 'hubungan' mereka selepas ini.
Dua-dua nampaknya sekapal.
Tapi, kenapa dia yang tak bersalah yang jadi mangsa? Rasa nak high five dahi sendiri.
Dan lagi rasa nak high five dahi sendiri apabila dia mendengar soalan itu.
"Ardean dah berpunya?"
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Com