Truyen2U.Net quay lại rồi đây! Các bạn truy cập Truyen2U.Com. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 3

SARAPAN pagi ala Inggeris terhidang di atas meja bulat yang diperbuat daripada kayu pokok oak yang tumbuh di North-America. Embun memejam mata seketika dan menghirup nafas sedalam-dalamnya. Menghidu aroma sarapan yang disediakan oleh tuan rumah yang cukup baik hati kerana mahu menerima kedatangannya ke teratak indah mereka. Layanan mereka terhadap tetamu sepertinya sangat baik sehinggakan dia tidak tahu lagi bagaimana untuk mengucapkan terima kasih.

Tiba-tiba, senyuman kelat terukir di bibirnya. Hatinya dijentik rasa sendu. Kalaulah abahnya ada di situ, pasti abahnya gembira sekali kerana dapat mengisi perut sebelum memulakan rutin hariannya sebagai seorang pemandu teksi veteran. Jangankan sarapan pagi ala Inggeris, sekeping roti disapu jem strawberi pun sudah cukup untuk meletakkan senyuman di wajah tua keriput itu.

Puan Kirana menepuk bahu suaminya, mengumumkan ketibaan tetamu mereka di ruang makan. Encik Adi, lelaki dalam lingkungan 50-an yang bermisai nipis menurunkan surat khabar di tangan dan menyapa Embun dengan senyuman yang mengalu-alukan. Walau dia sendiri tidak yakin sama ada Embun dapat melihat senyumannya, dia merasakan itu harus dilakukan atas dasar kesopanan. Berbeza sekali dengan anaknya, Arjuna yang sejak tadi menjeling-jeling ke arah Embun dalam diam.

"Embun?" panggil Encik Adi.

Mata Embun celik semula. Mata hazel dengan tompok putih di kornea mata terdedah kepada tuan rumah di hadapannya. Embun lantas mengangguk seraya tersenyum.

"Embun, ni Uncle Adi." Puan Kirana memperkenalkan suaminya kepada tetamu istimewa mereka.

"Oh. Assalamualaikum, uncle," sapa Embun.

"Waalaikumussalam," jawab Encik Adi. "Embun dah jumpa Juna ke?"

"Juna?" Alis Embun terjongket.

"Anak uncle. Nama dia Arjuna Nara. Panggil Juna aje. Juna pun 17 tahun juga. Sebaya dengan Embun."

Embun berfikir sejenak. Selain daripada Puan Kirana dan Encik Adi, dia ada bertemu dengan seorang lagi penghuni rumah itu. Tak lain, tak bukan, penyelamatnya daripada jatuh tertiarap setelah tergelincir di tangga. Tangan runcing yang dia rasakan melingkar di sekeliling pinggangnya, tangan itu milik seorang Arjuna Nara?

"Oh." Embun mengangguk faham kemudian memperkenalkan dirinya pula. "Nama saya Embun. Terima kasih sebab tolong saya tadi. Saya ni memang cemerkap orangnya. Nanti kalau Juna free, bolehlah kita borak sikit."

Puan Kirana dan Encik Adi saling berpandangan. Riak wajah Arjuna berubah serta-merta. Daripada tertanya-tanya menjadi kelat. Mulutnya pun terkunci rapat. Sapaan ramah Embun dibiarkan berlalu seperti bayu pagi. Deheman Encik Adilah yang memecahkan keheningan daripada berpanjangan. Atmosfera hangat cuba untuk dikembalikan.

"Embun, jemputlah duduk. Kita sarapan sama-sama. Juna, meh duduk. Kita makan sekali," pelawa Encik Adi.

Arjuna yang sejak tadi menjadi pemerhati mereka bertiga mengangguk perlahan. Embun pula, setelah menerima pelawaan Encik Adi, bertindak menarik kerusi terdekat untuk duduk. Belum sempat dia melabuhkan punggung, terasa kerusi kayu oak yang berat itu direntap kasar dari tangannya. Akibatnya, ibu jari kakinya diheret kaki bangku. Dia mengadu sakit.

"Juna!" herdik Encik Adi.

Puan Kirana sudah bergegas mendapat Embun yang berpaut pada meja. Wajah gadis itu berkerut seribu menahan sakit. Bibirnya terketar-ketar dan matanya berkaca. Air mata menggugat untuk jatuh membasahi pipinya buat kali kedua pagi itu. Kalau bukan kerana ada yang mengerumuninya, pasti dia sudah teresak-esak di situ juga.

"Ya Allah!" getus Puan Kirana, terkejut melihat kuku ibu jari Embun yang tertanggal.

Arjuna turut melihat ke arah yang sama. Cecair merah likat mengalir ke mozek putih yang dingin itu membuatkan dia meneguk liur. Apakala dia mencuri pandang ke arah gadis yang air matanya tertumpah meski cuba untuk ditahan itu, rasa bersalah mula menyerangnya bertubi-tubi.

Genggamannya pada kerusi dilepaskan. Dia tahu, dengan melakukan itu sahaja tak cukup untuk dijadikan permohonan maaf. Bukan maksudnya untuk mencederakan Embun. Dia sendiri tidak menyangka kebiadabannya itu akan menyebabkan kemalangan seperti itu. Memanglah malang tidak berbau tetapi kalau bukan sebab dia membiarkan emosi mengawalnya, pasti kejadian yang tak diingini itu tidak akan berlaku.

Arjuna membuka mulut. Niatnya untuk memohon maaf atas kesalahan sesuai dengan kehendak hatinya. Namun... tiada suara yang keluar. Bukan Arjuna seorang yang kecewa, malahan Encik Adi sendiri mengeluh perlahan. Keluhan itulah yang membuatkan Arjuna makin tertunduk. Ya, dia memang satu kekecewaan dalam keluarga itu. Encik Adi membuktikannya setiap masa.

Tidak tahan berdiri di situ lebih lama lagi, Arjuna lantas mengatur langkah untuk pergi. Namun sebelum meninggalkan ruang makan, dia sempat berhenti di samping Embun dan Puan Kirana. Tangan kanan Arjuna genggam dengan ibu jarinya diunjur keluar. Kemudian tangan yang sama juga diangkat ke paras dada dan dipusingkan sekali mengikut arah jam.

"Maafkan saya."

Meskipun begitu, Embun masih hanyut dalam sakit dan tangisannya sendiri. Tahu bahawa permohonan maafnya tidak dapat dilihat sendiri oleh Embun, hati Arjuna bertambah sakit. Rasa bersalah menggelapkan seluruh hatinya. Dengan perasaan kesal dan marah, dia mengangkat kaki, pergi dari situ dan kembali ke dalam 'kubunya'.

"Embun ikut aunty. Kita rawat kaki Embun."

Embun mengangguk. Tidak membantah.

"Abang, saya..."

"Hm. Pergilah," cantas Encik Adi.

Kepergian ketiga-tiga penghuni rumah itu menambahkan keheningan ruang makan. Encik Adi menatap sarapan pagi yang disediakan oleh isterinya dan teringatkan betapa berseleranya dia sepuluh minit yang lalu. Memang tidak sabar untuk melahap licin semuanya kerana dia tahu, isterinya pakar dalam memasak. Kini, seleranya telah hilang bersama-sama mereka.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Com