Truyen2U.Net quay lại rồi đây! Các bạn truy cập Truyen2U.Com. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 4

SEMINIT, dua minit, tiga minit dan minit-minit seterusnya Arjuna luangkan bersendirian di dalam bilik. Perutnya berkeroncong hebat kerana tidak bersarapan pagi, tetapi setiap kali dia teringatkan apa yang berlaku sebentar tadi, dia merasa tak lalu makan. Mana mungkin dia masih berselera setelah mencederakan orang lain meski tanpa niat.

Derapan tapak kaki di luar bilik membangunkannya dari katil. Pandangan ditalakan ke lubang di bawah pintu. Ada bayang-bayang lalu dengan perlahan di hadapan pintu biliknya. Dihakimi daripada suara yang turut kedengaran berbisik, dia yakin itu Puan Kirana yang sedang mengiringi Embun, si tetamu istimewa yang muncul tiba-tiba ke bilik tidurnya. Kemunculan Embun juga masih misteri kepada Arjuna. Sejak bila Embun bertandang ke rumah mereka sebenarnya?

Perlahan-lahan dan tanpa membuat sebarang bunyi, Arjuna memulas tombol pintu. Mujurlah pintunya memberi kerjasama hari itu. Pergerakannya senyap seperti penembak hendap. Tiada bunyi berkeriut seperti selalu. Bolehlah dia mencuri dengar perbualan Puan Kirana dan Embun yang ternyata mendiami bilik tetamu di sebelah bilik tidurnya.

"Embun rehatlah dulu. Kejap lagi aunty datang balik, bawa sarapan untuk Embun."

Panik apabila mendengar bunyi tapak kaki Puan Kirana yang hendak meninggalkan bilik tidur Embun, Arjuna berundur setapak ke belakang. Puan Kirana teliti orangnya. Sangat memberi perhatian terhadap keadaan sekeliling. Mudah untuknya menangkap Arjuna yang sedang mencuri dengar. Alih-alih, Embun memanggil wanita itu semula. Arjuna pun mengambil peluang itu dan menjengukkan semula kepala ke luar.

"Kenapa Juna tak suka saya?" tanya Embun.

Arjuna membuka mulut, mahu menjelaskan bahawa itu semua hanyalah salah faham belaka. Dia faham mengapa Embun berfikir sedemikian. Kalau dia berada di tempat Embun dan menerima layanan seperti itu, dia pun akan salah faham juga. Namun hakikatnya, dia tidak pernah membenci Embun. Atas dasar apa dia hendak membenci orang yang baru dia temui? Malahan tidak sampai sehari pun mereka mengenali satu sama lain.

Arjuna mungkin bukan penyayang orangnya. Malahan jauh sekali daripada manusia bersayap malaikat tetapi itu tidak bermaksud dia akan membenci orang tanpa sebab yang munasabah. Kehilangan suara tidak bermaksud dia kehilangan akal rasionalnya. Itulah yang dia cuba sampaikan.

"Bukan tak suka." Puan Kirana bersuara.

Kedengaran spring tilam termampat bergema di sepanjang laluan. Puan Kirana melabuhkan punggung pada katil gadis bergaun putih itu. Tangannya yang lembut ditarik kemudian dielus lembut. Kehangatan itu membuatkan Embun tertunduk sayu. Sudah lama dia tidak merasakan belaian penuh kasih sayang seperti itu.

"Sebenarnya, kerusi tadi tu, kerusi arwah mama Juna."

Embun mendongak. Matanya terbeliak.

"A... arwah... Arwah mama?"

Puan Kirana mengangguk seraya tersenyum kelat. Lambat-laun Embun akan tahu juga. Apa salahnya dia memberitahu Embun lebih awal? Lagi pula semua orang tahu bahawa wanita yang tinggal di banglo putih itu bukanlah ibu kandung kepada Arjuna Nara. Ia bukanlah satu rahsia lagi apabila acap kali menjadi buah mulut orang ramai. Puan Kirana juga tidak menidakkan kenyataan itu. Dia tahu dan sedar dia siapa di keluarga itu. Hanya seorang pengganti; pengisi kekosongan.

"M... maksudnya aunty..."

"Ibu tiri Juna," cantas Puan Kirana.

Arjuna berundur semula ke dalam biliknya. Dia bersandar pada dinding putih dan perlahan-lahan, jatuh terduduk di atas lantai. Pintu dibiarkan terkuak begitu. Walaupun pedih dan akan menghiris hatinya yang tinggal separuh, dia masih ingin mendengar perbualan dua orang wanita itu.

"Sebelum meninggal dunia, arwah mama Juna selalu duduk kat kerusi tu. Sebab itulah, sampai sekarang tak ada siapa-siapa yang duduk kat kerusi tu. Juna tak nak ada yang gantikan tempat arwah mama dia."

"Oh." Embun mengeluh perlahan. "Minta maaf. Embun tak tahu pula..."

"Eh, tak apalah! Salah aunty juga sebab tak beritahu Embun awal-awal."

"Mesti Juna marah."

Puan Kirana tersenyum kecil. Dia juga sempat berfikir Arjuna akan menyimpan dendam tetapi perilaku Arjuna membuktikan yang sebaliknya. Dia teringatkan isyarat tangan Arjuna sebelum berlalu pergi meninggalkan mereka setelah menyebabkan kemalangan ke atas Embun.

"Taklah. Dia tak marah pun," beritahu Puan Kirana lalu bangun dari katil. "Juna minta maaf kat Embun. Dia kata dia tak bermaksud pun nak lukakan Embun."

Embun mendongak ke kirinya. "Mana aunty tahu? Juna beritahu aunty ke?"

"Hm." Puan Kirana tersenyum sayu. "Tadi Juna beritahu aunty. Embun nak maafkan Juna, kan?"

Tanpa berfikir panjang, Embun mengangguk. Sudah tentu dia bersedia untuk memaafkan Arjuna. Kalau difikirkan semula, dalam salah Arjuna, ada salahnya juga. Dia berjanji, selepas itu, dia akan lebih berhati-hati lagi. Takut menyinggung hati sesiapa lagi. Tetamu layak dilayan seperti seorang raja tetapi itu tidak bermaksud dia boleh melakukan sesuka hatinya sepanjang berada di situ.

"Tolong beritahu Juna, Embun pun minta maaf sebab duduk kat kerusi arwah mama dia," tambahnya pula.

Puan Kirana mengerling ke laluan luar yang hening. Di cermin yang digantung berhadapan dengan pintu bilik tetamu yang Embun diami sementara, dia dapat melihat pantulan pintu bilik Arjuna yang sedikit terkuak. Jarang sekali pintu itu dibiarkan terbuka seperti itu. Selalunya, tidak kiralah sama ada Arjuna ada di dalam bilik mahupun pergi ke mana-mana, pintu itu akan sentiasa dipastikan tertutup rapat. Begitulah dia mengetahui Arjuna sedang memasang telinga.

"Hm. Nanti aunty beritahu Juna."

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Com