Bab 5
SINAR fajar yang baru menyingsing membutakan mata Arjuna. Rumah banglo putih dua tingkat yang terletak di atas bukit, di sebalik tingginya pokok pain, begitu aman sekali pagi itu. Tanpa jiran yang tinggal berdampingan, kawasan Casa de Nieve memang selalu hening. Hanya kicauan burung dan bunyi kenderaan yang lalu-lalang sekali-sekala kedengaran.
Di garaj, kereta antik yang sering dipandu oleh Encik Adi tidak kelihatan di mana-mana. Begitu juga dengan Puan Kirana yang selalunya, pada waktu begitu sedang menyiapkan sarapan pagi di dapur. Kalau awal pagi lagi sudah menghilangkan diri, tak lain tak bukan, pasangan suami isteri itu pergi ke pasar hujung minggu di pekan. Nampaknya sarapan pagi hari itu dilambatkan.
Arjuna mengeluh perlahan. Perut yang dibiarkan kosong sejak semalam dia gosok perlahan. Laparlah pula. Itulah, semalam orang ajak makan malam sekali, jual mahal. Alih-alih diri sendiri juga yang rugi. Layanlah ego tu lagi!
Tiba-tiba, angin menghembus kuat ke wajahnya. Rambut keriting mencecah bahu yang dibiarkan terurai turut bertiup sama mengikut arah angin. Sedang dia mengalihkan rambut dari menghalang penglihatan, dia terpandang sesuatu dari hujung mata.
'Embun?'
Arjuna menoleh ke arah gazebo yang terletak di kebun arwah mamanya, Puan Suria. Sama seperti dua hari yang lalu, ada gadis bergaun putih yang sedang duduk di situ. Menikmati kucupan cahaya matahari pagi dan elusan lembut bayu dingin.
'Itu... Embun, kan? Kalau bukan Embun, siapa lagi yang nak pakai gaun putih? Takkan puntianak kut?'
Alih-alih, bayu bertiup lebih kuat. Arjuna lantas menoleh ke belakang, menghadap cat lusuh banglo putih itu. Setiap jendela yang dikuak dan ditutup rapat dia perhatikan satu per satu. Manalah tahu ada yang sedang memerhati dalam diam.
Hanya dengan berfikir seperti itu, bulu romanya meremang. Dia meneguk liur. Cepat-cepat menoleh semula ke gazebo. Apabila gadis bergaun putih itu masih berada di situ, Arjuna menghembus nafas lega. Kalau betullah hantu, mesti sudah menghilangkan diri. Harap-harap, itu Embunlah.
Arjuna berdehem kecil. Kaki menjejak laluan batu buntar yang menuju ke gazebo di kebun terbiar itu. Langkah diatur perlahan. Tidak ingin memeranjatkan Embun yang sedang termenung jauh, hanyut dalam fikiran sendiri.
Langkah direncatkan. Wajah gadis itu dia tatap lama. Meski tak tersenyum, bulat pipinya jelas kelihatan. Mata tanpa emosi itu kelihatan dingin sekali, berbeza dengan kali pertama mereka bertatapan mata.
Fikiran itu membawa Arjuna kembali ke dua hari yang lalu. Imej Embun berada dalam pelukannya setelah kemalangan kecil yang terjadi atas kecuaian Embun berlaku bermain-main dalam fikirannya. Dia menggeleng kepala. Mengusir jauh-jauh memori yang membangkitkan perasaan aneh itu.
'Dia... betul-betul tak nampak ke?'
Hujung alis Arjuna bertemu. Sepasang mata bulat milik gadis bergaun putih itu dia amati. Kemudian tanpa dia sedari, dia melambai tangan di hadapan muka Embun yang sejak tadi diam seribu bahasa. Setelah Embun tak memberi sebarang reaksi, Arjuna berpeluk tubuh.
'Betullah dia buta. Haih, dengan orang buta pun nak bersangka buruk! Juna, Juna... Tak baiklah.'
"Selamat pagi."
"Oh, mak kau cantik!"
Sebelah kaki Arjuna terangkat paras 90 darjah. Tangan yang tadi memeluk tubuh, naik ke dada. Mata sepetnya terkebil-kebil memandang Embun yang sedang tersenyum manis. Kus semangat!
'Eh, dia boleh nampak aku ke?'
"Sorry. Saya kejutkan awak ke?" tanya Embun.
'M... macam mana dia boleh nampak aku?'
"Awak jalan macam gajah. Kuat sangat."
Mata sepet Arjuna membesar dua kali ganda. Satu, terkejut apabila suara hatinya didengari oleh Embun. Dua, rasa terhina kerana Embun menyamakannya dengan gajah walhal dia sudah berhati-hati untuk tidak memijak ranting kayu.
"Saya gurau ajelah!" Embun melepaskan tawa.
Mulut Arjuna muncung sedepa. Dia menjeling tajam wajah ayu yang sedang tersenyum manis mengalahkan gula kapas. Gurau tak gurau, hati dah terluka ni. Siapa nak bayar pampasan?
"Dah dua hari saya tak nampak awak. Awak masih marah kat saya lagi ke?"
Arjuna menggeleng kepala, menjawab pertanyaan Embun.
"Awak ni memang tak banyak cakap, kan? Ke... Awak tak suka bercakap dengan saya? Awak marah lagi eh?"
'Bukan aku dah jawab ke soalan dia tadi?' Tidak lama kemudian, menepuk dahi.
'Astaghfirullahaladzim! Dia kan buta. Manalah nampak kalau aku angguk-angguk, geleng-geleng.'
"B... bunyi apa tu?"
Arjuna berdehem kecil. Kuat sangatkah bunyi dia tepuk dahi tadi?
Perbualan sehala mereka disampuk oleh ngauman guruh. Arjuna lekas mendongak, mencerap langit. Tadi elok sahaja dengan warna biru seruleannya. Sekarang, diselindungi oleh awan kelabu yang kian menghampiri.
Arjuna menoleh ke kirinya, di mana Embun sedang berada. Melihat daripada ekspresi tenang Embun, sepertinya dia tidak merancang untuk bergegas pulang ke rumah seperti Arjuna. Sebentar lagi hujan akan turun membasahi bumi. Nanti tidak semena-mena, mereka terperangkap di situ pula. Bahaya.
'Bunyi orang tepuk dahi dengar. Takkan bunyi guruh tak dengar pula?'
Arjuna mengeluh perlahan. Tanpa berfikir panjang, jari runcingnya memaut lengan Embun, memeranjatkan gadis itu. Memandangkan dia bisu dan Embun pula buta, terpaksalah guna cara kasar sikit.
"Eh, a... awak nak bawa saya pergi mana ni?"
'Balik rumahlah! Takkan nak bawa kau pergi bercuti pula? Hari nak hujan ni.'
"Le... lepaslah!"
Arjuna mendengus geram. Semakin Embun melawan, semakin erat dia memegang lengan gadis itu. Awan kelabu akhirnya menyelubungi langit mereka. Melodi rintik gerimis mengena atap gazebo menyapa gegendang telinga.
"Awak nak buat apa ni?! Lepaskan sayalah!" bentak Embun.
'Takkan aku nak tinggalkan kau seorang-seorang kat sini pula? Nanti kena panah petir, meninggal, tak pasal-pasal kau jadi hantu kat sini! Mentang-mentanglah tiap hari pakai baju macam puntianak dengan gaun putih dia, rambut panjang dia. Suka-suka aje nak mati kat kebun orang.'
"Lepaslah!"
Dengan kudrat yang ada, Embun menolak kuat tubuh jejaka itu. Mungkin daya terlalu kuat untuk ditampung tubuh kecilnya, dia terjelopok pada tanah sementara Arjuna kaku di tempatnya. Fikirannya kosong melihat Embun yang sedang mengadu sakit sambil memegang buku lali.
"Arjuna!"
Arjuna menoleh ke arah datangnya suara garau itu. Kereta antik bercat hitam yang hilang sejak awal pagi tadi memunculkan diri bersama-sama papa dan ibu tirinya. Arjuna meneguk liur.
"Embun!" jerit Puan Kirana yang sedang meluru ke arah mereka.
Arjuna panik. Dia memandang Embun dan Puan Kirana bersilih ganti. Bukan itu yang dia inginkan. Mengapa setiap kali dia bertemu Embun, akan ada kemalangan berlaku? Siapa yang membawa malang sebenarnya? Dia atau Embun?
"Embun! Embun okey ke?"
Puan Kirana melutut di atas tanah. Buku lali Embun yang sepertinya akan membengkak dia teliti berhati-hati. Melihat Embun dalam kesakitan seperti itu, dia turut terluka. Begitu risau sekali sehinggakan matanya berkaca.
"Juna buat apa kat Embun?" Puan Kirana mendongak, memandang remaja 17 tahun yang berdiri seperti tunggul kayu di situ.
Arjuna menatap lama gadis bergaun putih itu. Mengapa dia kerap mengulangi kesalahan yang sama? Mengapa pertemuannya dengan Embun acap kali berakhir dengan Embun yang terluka?
Dengan keluhan kesal, dia membawa tangannya rapat ke dada. Membuat satu pusingan mengikut arah jam.
'Maafkan saya.'
Tubuh berpaling dari Embun dan Puan Kirana. Langkah laju diatur menuju ke banglo putih. Ingin menghilangkan diri secepatnya.
"J... Juna! Juna!" panggil Puan Kirana.
Apabila panggilannya tak disahut, keluhan panjang dilepaskan.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Com